Categories
GLOBAL

Sembilan terkorban kebakaran Hospital Taipei

TAIPEI, 14 OGOS: Kebakaran di sebuah hospital di New Taipei City, kelmarin, mengakibatkan sembilan maut manakala 15 lagi cedera, lapor agensi berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan Taiwan.

Sementara itu, 11 daripada mangsa yang cedera dilapokan parah ekoran kebakaran yang bermula di wad tingkat tujuh, Hospital Taipei, kira-kira jam 4.30 pagi, semalam.

Anggota bomba bernama Chen berkata, terdapat 32 pesakit di tingkat itu ketika kejadian.

“Api sedang marak di seluruh kawasan wad dan dipenuhi asap tebal ketika anggota bomba tiba, di lokasi kejadian,” katanya memetik BERNAMA.

Pekerja hospital turut membantu operasi menyelamat dengan membawa pesakit ke tingkat atas sebelum diselamatkan anggota bomba menggunakan kren.

Operasi menyelamat mangsa dan memadam membabitkan kira-kira 208 anggota bomba serta 76 jentera bomba.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.27 pagi dan punca kejadian sedang disiasat.

Categories
SELANGOR

Sukarelawan tampil hulur bantuan mangsa kebakaran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 APR: Seramai 100 sukarelawan di Selangor tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Desa Kenanga Semenyih, baru-baru ini.

Pegawai Pasukan Sukarelawan Selangor, Muhammad Hanafi Jalalludin berkata, kejadian kebakaran itu berlaku pada 12 April lalu.

“Program bantuan ini dinamakan ‘Rise Together With New Hope’ membabitkan kerjasama antara pasukan sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diketuai oleh saya sendiri, Ahli Majlis Zon 17, Bryan Lai dan Jawatankuasa Surau Al-Falah Taman Desa Kenanga Semenyih.

“Pada masa sama, penduduk sekitar turut tidak ketinggalan membantu mangsa kebakaran ini,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Hanafi berkata, demi meringankan beban mangsa kebakaran semua sukarelawan terlibat menjalankan aktiviti seperti membersihkan sisa kebakaran dan menyediakan makanan.

“Antara rumah mangsa kebakaran yang kita bersihkan adalah Tarmizi Abdul Razak dan Sivandini Paramasivam.

“Manakala, kos kerugian akibat kebakaran ini dianggarkan sejumlah RM300,000,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Bomba: Litar pintas dipercayai punca kebakaran stor IFPN HKL

KUALA LUMPUR 17 MAC: Kebakaran di stor penyimpanan peralatan Makmal Jabatan Patologi di Institut Forensik Perubatan Negara (IFPN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata stor penyimpanan yang terbakar melibatkan peralatan bedah siasat yang diperbuat daripada plastik.

Beliau berkata kebakaran pada kira-kira 12.15 tengah hari itu menyebabkan dua petugas yang berada di dalam stor di tingkat bawah bangunan berkenaan terperangkap, namun kedua-duanya sempat naik ke tingkat atas sebelum diselamatkan anggota bomba.

“Susulan itu, pihak HKL telah mengambil tindakan dengan menutup suis elektrik di makmal itu termasuklah membawa keluar kira-kira 150 tong oksigen ke tempat selamat.

“Selain itu, bomba juga mengalihkan bahan kajian HKL yang diletakkan di dalam peti sejuk dan mengalihkan 19 mayat dari bilik mayat ekoran suis peti sejuk ditutup,” katanya pada sidang akhbar di IFPN di sini.

Khirudin berkata, stor berkenaan terbakar 100 peratus tetapi kebakaran tidak merebak ke bahagian lain kerana api berjaya dikawal pihak bomba dalam masa setengah jam.

“Pengoperasian HKL berjalan seperti biasa kecuali di makmal stor penyimpanan itu yang ditutup sementara untuk siasatan forensik kebakaran.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 12.20 tengah hari dan tiba di lokasi 10 minit kemudian bersama lima jentera bomba antaranya dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa dan KLCC dengan jumlah keanggotaan sebanyak 31 anggota serta lapan pegawai,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada petugas HKL kerana memanggil pasukan Emergency Response Team HKL sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Mangsa kebakaran Bagan Hailam terima bantuan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 1 MAC: Sebanyak 14 keluarga mangsa kebakaran di Bagan Hailam, Pelabuhan Klang menerima bantuan segera RM7,000 daripada Kerajaan Negeri, pada 27 Februari lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, setiap keluarga menerima RM500 bagi meringankan beban mangsa.

“Bantuan ini tidak terhenti di sini, sebaliknya Kerajaan Negeri akan terus meneliti sumbangan lain bagi meringankan beban mereka.

“Mungkin kita boleh usahakan membantu membina semula rumah mereka yang hangus terbakar 100 peratus. Bagaimanapun, perkara itu perlu dibincang dan diteliti untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, 13 rumah setinggan atas air musnah dan hangus terbakar, manakala sebuah lagi musnah 50 peratus, pada malam ketiga sambutan Tahun Baharu Cina.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu memusnahkan sebahagian besar kediaman penduduk berbangsa Cina dengan api marak dalam tempoh setengah jam.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali menyarankan Kerajaan Negeri membina dewan orang ramai di kawasan terbabit untuk kegunaan penduduk jika ditimpa musibah.

“Mangsa kini berada di rumah saudara masing-masing kerana kawasan ini tidak mempunyai dewan, malah balai JKK juga sudah uzur dan kecil,” katanya.

Categories
SELANGOR

13 rumah atas air hangus di Bagan Hailam

OLEH SABIRAH AZIZ

PELABUHAN KLANG, 19 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina bertukar suram bagi penduduk Kampung Bagan Hailam di sini, apabila 13 rumah setinggan atas air yang dihuni mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sebahagian besar daripada mangsa berbangsa Cina berkenaan tiada di rumah kerana keluar berhari raya dan makan malam bersama keluarga.

Api marak mengakibatkan semua kediaman berstruktur kayu berusia lebih 100 tahun itu hangus sepenuhnya, menyebabkan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berdekatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana @ Azlan Musa, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 malam.

“Seramai 42 pegawai dan anggota bersama lima jentera serta tiga tangki air dari Balai Bomba Pelabuhan Klang, Shah Alam, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Sungai Buloh dikerah memadamkan kebakaran itu.

“Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak memusnahkan semua rumah berkenaan, namun sebahagian besar penghuni tiada di situ,” katanya di tempat kejadian, pagi ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pihaknya pada jam 11.55 malam dan padam sepenuhnya jam 1 pagi tadi.

Juyana berkata, punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan itu yang juga saksi kejadian, Soh Eng Chew, 48, berkata dia terkejut melihat cahaya terang luar biasa ketika berada di sebuah tokong berdekatan.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya segera mengajak beberapa penduduk kampung lain menuju ke lokasi itu dan terkejut melihat kebakaran berkenaan.

“Namun, kebakaran itu tidak merebak ke rumah saya yang berada sederet dengan lokasi kejadian. Sebahagian besar daripada penghuni keluar beraya di sekitar daerah ini,” katanya lapor Berita Harian.

SUMBER: BERITA HARIAN

Categories
SELANGOR

Pusat jagaan orang tua di Sungai Long tiada permit

KAJANG, 13 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesahkan rumah banglo dua tingkat yang dijadikan pusat jagaan orang tua di Sungai Long, Kajang, yang terbakar hari ini, tidak memiliki permit.

Kaunselor MPKJ Lai Wa Cheong berkata, semakan rekod pihaknya mendapati pemilik pusat jagaan terbabit tidak pernah memohon permit untuk beroperasi.

“Sebuah pusat jagaan orang tua swasta memerlukan permit untuk beroperasi. Bagaimanapun, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada pemilik pusat jagaan terbabit.

“Setakat ini, kami masih menunggu rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada pemilik pusat jagaan itu ada merujuk perkara berkenaan kepada JKM,” katanya, lapor Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, berdasarkan maklumat awal, pemilik pusat jagaan itu dipercayai warga Pakistan.

“Kami sedang menyiasat sama ada premis ini mempunyai kebenaran untuk beroperasi daripada JKM dan pihak berkuasa tempatan.

“Pada masa sama, jabatan siasatan forensik polis dan bomba sedang menyiasat punca kejadian yang bermula dari tingkat bawah rumah banglo dua tingkat berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kami mendapati pusat jagaan itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dan disewa dengan harga RM6,000 sebulan,” katanya.

Categories
SELANGOR

4 maut dalam kebakaran rumah di Sepang

SEPANG 13 DIS: Dua warga emas dan dua kanak-kanak lelaki maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Sepang kira-kira jam 6 pagi tadi.

Mangsa yang dikenalpasti adalah Lim Mai Shak, 68; Chia Tee Nang, 73 dan Chia Yuan Bin, tiga tahun manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun belum dikenalpasti, lapor BH ONLINE.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.08 pagi, dan 15 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 7.4 x 7.4 meter persegi musnah sepenuhnya.

“Empat mangsa ditemui selepas api berjaya dipadamkan,” katanya.

Mohd Sani berkata, mangsa pertama ditemui jam 6.43 pagi, kedua pada jam 6.47 pagi manakala mangsa ketiga dan keempat ditemui pada jam 6.58 pagi.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Lima warga emas maut kebakaran di Kajang

KAJANG 13 DIS: Kebakaran di Pusat Jagaan Novel Care Home Centre di Sungai Long awal pagi tadi menyebabkan lima warga emas maut.

Selain lima mangsa itu, seorang warga emas turut cedera akibat kejadian berkenaan, lapor KOSMO!.

Kejadian jam 4.50 pagi itu melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat yang dijadikan pusat jagaan orang tua.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.06 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi.

“Seramai sembilan orang berada dalam banglo itu di mana lima daripadanya maut, seorang cedera dan tiga lagi berjaya diselamatkan.

“Mangsa pertama ditemui pada pukul 6.05 pagi manakala mangsa terakhir ditemui pada pukul 7.07 pagi,” katanya.

Sementara itu, satu sidang akhbar berhubung kejadian berkenaan akan diadakan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof pada pukul 10 pagi nanti.

SUMBER: KOSMO!

Categories
GLOBAL

Trump isytihar darurat di California, kebakaran terburuk 80 tahun

GLOBAL 9 DIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terpaksa mengisytiharkan darurat di California, ekoran kebakaran merebak ke beberapa gunung di sekitar Los Angeles.

Menurut White House, perisytiharan itu dibuat bagi memudah kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan susulan keadaan kecemasan akibat kebakaran hutan bermula awal bulan ini.

Ia juga bagi mengagihkan dana kecemasan kerajaan ke tempat yang dilanda bencana, termasuk Los Angeles, Riverside, San Diego, dan daerah Ventura.

NEWSWEEK melaporkan empat kebakaran terus marak di selatan California pada hari Khamis, dengan amaran yang berkuatkuasa pada hari Sabtu.
Kebakaran merebak ke arah Los Angeles, dan awal minggu ini, menjadikannya ke pantai Pasifik dengan asap-asap yang kelihatan dari satelit NASA.

Sebelum ini dilaporkan hampir 200,000 penduduk dipindahkan susulan kebakaran hutan di selatan California yang semakin buruk.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, kira-kira 5,000 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran di empat hutan yang telah memusnahkan ratusan kediaman di selatan negeri ini.

Jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat apabila kebakaran hutan baharu dilaporkan berlaku di utara San Diego.

Categories
NASIONAL

Kebakaran: 5 terkorban, 1 cedera di Sungai Petani

SUNGAI PETANI 7 NOV: Lima rentung dan seorang cedera parah akibat melecur dalam kebakaran membabitkan empat rumah jenis kayu di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya dekat sini awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 4.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian bersama jentera pertama, lima minit kemudian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan empat rumah berkeluasan 2.3 meter X 6.5 meter persegi telah musnah 90 peratus setiap rumah dan kita percaya seorang daripada mangsa (yang rentung) merupakan kanak-kanak berdasarkan saiz mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pagi ini.

Abdul Razak berkata seramai 14 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman api yang masih diteruskan setakat 8 pagi ini dengan dibantu 41 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Beliau berkata idenditi mangsa yang terlibat masih dalam proses dikenal pasti manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kebakaran terburuk AS: 35 sah terbunuh, lebih 10,000 diarah berpindah

GLOBAL 15 OKT: Ribuan lagi penduduk California mengosongkan kediaman masing-masing semalam ketika kebakaran hutan merebak berikutan arah angin yang kerap bertukar, dan pegawai menjangka angka kematian akan meningkat dengan ratusan lagi masih hilang.

Enam belas kebakaran besar, sebahagiannya adalah beberapa api kecil yang bergabung, di kawasan utara San Francisco memusnahkan kawasan hampir seluas 86,000 hektar sejak tujuh hari lalu, atau secara kasar 537 kilometer, kawasan lebih luas daripada New York City, lapor REUTERS.

Kematian disahkan setakat ini adalah 35, termasuk 19 di Sonoma, menjadikan ia adalah kes kebakaran paling buruk dalam sejarah California.

Kira-kira 10,000 dipaksa berpindah, termasuk 3,000 semalam dari San Francisco, dan 250 lagi dari Sonoma. Bencana itu memusnahkan banyak rumah dan premis perniagaan.

“Ia amat sukar dikawal ketika ini,” kata pegawai penerangan kebakaran, Dennis Rein.

Lebih 10,000 anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran, yang sudah memusnahkan 5,700 bangunan.

Sekurang-kurangnya 12 ladang anggur di Napa Valley dan Sonoma rosak atau musnah, menjadikan industri wain dan pelancongan negeri itu terjejas.

Dari udara, 70 helikopter dan pesawat besar termasuk 747, dua DC-10 dan 12 tangki udara memadamkan kebakaran di seluruh kawasan terjejas menggunakan bahan kalis api.

Di darat, banduan membantu anggota bomba dengan menggali laluan untuk membantu mengekang api, menyediakan makanan di pusat arahan, dengan dipantau pengawal.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

7 lori, 2 treler musnah

SHAH ALAM 25 SEPT: Tujuh lori 10 tan dan dua treler musnah dalam satu kebakaran di sebuah kilang kotak, di Jalan Bukit Kemuning, Bukit Kemuning, awal pagi tadi.

BH ONLINE melaporkan bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran kira-kira jam 12.50 tengah malam itu.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata jentera pertama tiba pada jam 1.07 pagi dan mendapati ada beberapa lori sedang terbakar di kawasan terbuka di luar pagar kilang kotak itu.

“Ketika jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba, api sedang marak.

“Maklumat awal mendapati lori berkenaan yang berdinding kanvas serta treler penuh berisi kotak.

“Api berjaya dikawal pada jam 2.33 dan padam sepenuhnya kira-kira jam 5 pagi,” katanya.

Alimaddia berkata, punca dan jumlah kerugian sedang disiasat.

=EZY=