Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPA: Tiada kompromi isu rasuah dalam kalangan penjawat awam

GEORGE TOWN, 18 MAC: “Berani buat, berani tanggung”, demikian ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berhubung pembabitan penjawat awam dalam gejala rasuah.

Katanya, pihaknya tidak pernah sama sekali berkompromi dalam isu yang berhubung kait dengan pelakuan rasuah, pelanggaran peraturan atau undang-undang melibatkan penjawat awam.

Beliau berkata SPA sentiasa memandang serius isu berhubung penjawat awam menyalahi undang-undang terutama soal amalan rasuah walaupun jumlah mereka yang terbabit dalam kegiatan tersebut adalah kecil.

Zainal Rahim berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuklah penamatan perkhidmatan terhadap mereka yang didapati terbabit dalam jenayah, gejala rasuah, serta salah laku yang serius dan berulang.

Beliau berkata demikian kepada Bernama hari ini ketika mengulas penahanan 44 individu termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disyaki terbabit dengan sindiket melindungi kegiatan pengusaha lori yang melanggar pelbagai kesalahan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Perlis.

Penahanan itu dilakukan melalui Operasi Sukat digerakkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa hari lalu.

Zainal Rahim berkata penapisan ketat dilakukan terhadap calon penjawat awam dan selepas pelantikan, mereka wajib menghadiri pelbagai kursus yang menekankan pelbagai perkara berkaitan kerja serta jati diri termasuk hal rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata seseorang penjawat awam telah diamanahkan kuasa dan tanggungjawab serta perlu bertindak secara telus dengan mematuhi proses atau prosedur undang-undang ditetapkan.

“Mereka harus memahami tanggungjawab dan perlu tahu jika buat kesalahan akan dikenakan tindakan tatatertib malah dibuang kerja.

“Sebenarnya kalau mereka sanggup buat (terima rasuah) dan beranilah tanggung hukuman iaitu dibuang kerja,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPA sedia luluskan segera tambah petugas hadapan KKM

GEORGE TOWN, 18 MAC: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersedia memberikan kelulusan segera kepada permohonan jawatan petugas barisan hadapan yang diperlukan Kementerian Kesihatan (KKM), dalam usaha membendung penularan wabak Covud-19 ketika ini.

Pengerusinya Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya akan memastikan pelantikan petugas KKM di buat secara cekap dan berkesan, supaya tidak berlaku kelewatan bagi keperluan khas.

“Saya dimaklumkan KKM perlukan lebih 11,000 petugas baharu bagi mendepani Covid-19, sekarang ini dan bagi tempoh dua minggu lepas sahaja hampir 6,000 orang telah dilantik dalam KKM, jika (KKM) perlukan lagi SPA akan lantik ikut keperluan KKM.

“Ketika dalam pendemik Covid-19 sekarang ini, SPA memang buat lantikan tambahan bagi petugas KKM seperti jururawat dan doktor, ia dibuat secara cekap, cepat serta berkesan, supaya tidak berlaku kelewatan dan kami di SPA memainkan peranan yang cukup penting, bagi memastikan penjawatan dilantik segera kerana ia keperluan khas kepada KKM,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata semua lantikan itu dibuat secara kontrak dan akan diserap sebagai petugas tetap, selepas KKM melihat komitmen serta keupayaan mereka dalam menjalankan tugas.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata proses pengambilan penjawat awam menerusi SPA, tetap berlangsung seperti biasa iaitu membabitkan kira-kira 28,000 calon setiap tahun, walaupun negara berdepan tekanan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

Katanya kekosangan jawatan itu berikutan penjawat awam yang bersara iaitu kira-kira 25,000 orang setiap tahun, dan keperluan kementerian serta jabatan yang ingin mendapatkan pertambahan pekerja berdasarkan keperluan dasar-dasar baru.

“Covid-19 tidak mempengaruhi kekosongan jawatan yang ada dalam perkhidmatan awam dan SPA membekalkan pekerja setiap tahun bagi keperluan jabatan, setiap tahun terdapat 28,000 kekosongan bagi jawatan tetap, manakala ribuan lagi untuk penjawatan kontrak,” katanya.

Terdahulu, Zainal Rahim mendahului senarai penerima pada istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-82, Yang Dipertuan Negeri Tun Abdul Rahman Abbas yang berlangsung di Setia Spice Convention Centre.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 11 tahun di Pulau Pinang, menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Masa depan kedai gunting rambut, spa kian kabur

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, perkhidmatan guntingan, dandanan rambut dan pusat kecantikan adalah antara sektor terakhir diberikan kebenaran beroperasi.

Alasannya, ia sukar mematuhi arahan penjarakan sosial ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana melibatkan sentuhan fizikal dan dikhuatiri meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Ironinya, selepas dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun tahun lepas sewaktu fasa PKP Pemulihan, sektor berkenaan yang menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah RM13.5 bilion setahun tidak pernah pun ‘melakar’ kluster baharu Covid-19.

Tidak dinafikan sememangnya wujud kes positif, namun itu pun hanya melibatkan tukang gunting rambut warga asing yang didapati memberikan perkhidmatan secara tidak sah dari rumah ke rumah sebelum kebenaran rasmi diberikan.

Tatkala baru bertatih semula selepas terjejas teruk akibat dipaksa ‘berhibenarsi’, sejarah kembali berulang kepada kira-kira 74,500 tenaga kerja dari 16,728 perniagaan berdaftar di bawah sektor berkenaan yang terpaksa sekali lagi menutup pintu perniagaan mereka pada pelaksanaan PKP 2.0 kali ini.

Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia Bambang Sutrisno Soteto ketika dihubungi Bernama berkata sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lepas sehingga kini kira-kira 5,800 salon dan pusat dandanan rambut terpaksa gulung tikar.

Bimbang semakin ramai terpaksa gulung tikar kali ini, beliau berkata pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memohon kebenaran beroperasi.

“Sebelum ini kami telah membuktikan kami mampu mematuhi SOP ditetapkan dan tidak pernah lagi wujud kluster gunting rambut, kami yakin kali ini kami juga mampu mematuhi SOP berkenaan,” katanya.

Antara SOP yang ditetapkan kerajaan bagi sektor ini termasuk pemakaian pelindung muka, apron pakai buang dan satu set sarung tangan bagi setiap pelanggan serta menjaga jarak antara pelanggan sekurang-kurangnya dua meter, selain memastikan bilangan pelanggan mengikut keluasan premis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Spa Malaysia (Amspa) Datin Jeanette Tembakau cukup khuatir industri spa juga bakal ‘nazak’ sekiranya terus tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi.

Sehingga kini beliau anggarkan terdapat kira-kira 60 spa yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menanggung bebanan kos.

“Kami sangatlah menitikberatkan kebersihan dan pematuhan SOP sewaktu bekerja. Malah dalam satu bilik pun biasanya paling ramai dua pelanggan sahaja dan katil juga memang diletakkan berjauhan. Kami turut mewajibkan latihan berhubung SOP kepada spa terapi kami secara dalam talian,” katanya.

Beliau juga menyatakan industri spa sebenarnya boleh diumpamakan sebahagian daripada perkhidmatan perlu memandangkan fungsinya berkaitan dengan kesihatan terutamanya terapi yang sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan.

“Sekarang memang banyak orang menghadapi tekanan terutamanya apabila ‘terperangkap’ disuruh duduk di rumah, bekerja di rumah. Kurang pergerakan menyebabkan tubuh badan letih dan tidak bermaya,” katanya menambah bahawa ketika ini terdapat lebih kurang 400 ahli berdaftar di bawah Amspa.

Seorang pengusaha spa selama lima tahun Shalwiza Rahmat, 36, berkata sepertimana perniagaan lain, mereka juga perlu ‘survive’, perlu ada aliran tunai untuk menanggung gaji pekerja dan sewa premis.

“Tidak bermakna kami perlu dipinggirkan sebegini. Cukuplah tahun lepas diarah tutup selama tiga bulan. Masih belum pulih. Bagaikan jatuh ditimpa tangga,” kata pemilik Derma Medispa yang beroperasi di Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prasekolah, tadika dibuka Rabu ini, persiapan rapi ikut SOP

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Menjelang pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta, yang dijadual bermula Rabu ini (1 Julai), ibu bapa semestinya sibuk menguruskan persiapan anak-anak selepas lebih tiga bulan tidak ke sekolah, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam kalangan ibu bapa, pastinya ada yang masih ragu-ragu untuk menghantar anak ke sekolah, memandangkan negara masih belum diisytiharkan bebas Covid-19.

Justeru dalam hal ini, pihak pengurusan memainkan peranan utama memastikan pusat pendidikan itu bersedia, dengan tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan bagi menjamin keselamatan si cilik, semasa waktu pembelajaran.

Aspek jarak sosial, pergaulan murid serta kebersihan sekolah perlu diberi perhatian, apa lagi melibatkan kanak-kanak yang sentiasa aktif dan gemar melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

Selain prasekolah, tabika dan tadika yang akan dibuka semula pada 1 Julai, beberapa sektor lain turut dibenarkan beroperasi termasuk, pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki, aktiviti menonton wayang, teater dan ‘live event’, serta penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.

Bermula tarikh itu juga, kerajaan turut membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat, majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir, serta aktiviti riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.

Hari ini, merupakan hari ke-20 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sejak ia dikuatkuasakan pada 10 Jun lepas.

Jika dilihat, satu demi satu kelonggaran telah diberikan namun masyarakat diingatkan supaya tidak alpa dengan kebebasan yang ada, kerana negara masih berperang dengan Covid-19.

Orang ramai perlu terus meningkatkan pematuhan SOP seperti yang sering diingatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang medianya, termasuk menjaga jarak sosial, kerap mencuci tangan, memakai pelitup separuh muka dan elak bertutur dengan jarak dekat.

Setakat semalam, jangkitan Covid-19 di Malaysia kekal dua digit apabila 18 kes positif wabak itu, dilaporkan menjadikan jumlah kes kumulatif dalam negara adalah 8,634 kes dengan kebolehjangkitan 195 kes.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 121 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Pemulihan: Boleh manjakan diri di spa, tapi jangan abai SOP

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Usaha mengekang penularan Covid-19 di Malaysia yang semakin positif meyakinkan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak sektor ekonomi kembali beroperasi.

Ini termasuk berita baik buat mereka yang lama memendam hasrat untuk ‘memanjakan’ diri di pusat spa, “wellness” dan urut kaki, anda boleh melakukannya mulai 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata semua premis berkenaan dibenarkan beroperasi dengan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia mulai tarikh itu.

Antara SOPnya ialah hanya pekerja warganegara Malaysia sahaja dibenarkan untuk bekerja di premis tersebut dan mereka juga perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum dibenarkan beroperasi.

Selain itu, berita gembira buat pelajar sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar turut dinantikan susulan premis berkenaan turut dibenarkan beroperasi semula berdasarkan tarikh pembukaan sekolah yang akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) nanti.

Sementara itu, turut dibenarkan dibuka semula ialah industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan & Pameran (MICE) dan pameran pelancongan serta perdagangan mulai 1 Julai ini.

Ismail Sabri berkata bagi industri MICE, hanya 250 orang dibenarkan pada satu-satu masa dan semua pengunjung perlu memuat turun aplikasi MySejahtera bagi pendaftaran masuk.

Memasuki hari ke-17 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, buat kali pertamanya kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 mencatat angka kurang 200 iaitu 191 kes.

Malah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi berita gembira bahawa kadar penyembuhan kes Covid-19 di Malaysia adalah antara yang tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN iaitu 96.4 peratus.

Selain itu, kadar kematian Covid-19 di Malaysia juga antara yang paling rendah di seluruh dunia iaitu 1.41 peratus.

Dengan sifar kematian sejak 12 hari berturut-turut, semalam juga menyaksikan kes baharu harian telah mencapai satu angka selama empat hari berturut-turut mulai 23 Jun dengan merekodkan enam kes menjadikan jumlah kes positif 8,606 kes.

Malahan, kes harian penularan dalam negara dalam kalangan warganegara adalah kurang daripada lima kes bagi enam hari berturut-turut.

Sekalung tahniah buat rakyat Malaysia yang sentiasa memberi kerjasama padu kepada pihak kerajaan dalam usaha kita sama-sama membendung penularan jangkitan Covid-19 sehingga mencapai situasi ini.

Namun, harus diingat bahawa peperangan menghadapi virus Covid-19 masih belum tamat dan rakyat perlu terus kekal berwaspada dan terus patuh kepada SOP supaya sasaran untuk kita mencapai sifar Covid-19 menjelang Julai ini dapat direalisasikan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Halimah Yakin DUN Selat Klang Kekal Di Bawah PR

jambatan-kpg-delek 01

KLANG 2 MEI : Momentum kebangkitan rakyat menyakinkan calon PAS DUN Selat Klang akan kekal menjadi kerusi Pakatan Rakyat (PR).

Penyandangnya, Dr Halimah Ali berkata momentum kebangkitan rakyat itu jelas menunjukkan perubahan berbanding 2008.

“Kita percaya orang-orang Selat Klang mempercayai penntadbiran Pakatan di Selangor adalah yang terbaik berbanding Umno-BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jambatan Kampung Delek, baru-baru ini.

Dalam tempoh lima tahun memegang kerusi DUN itu, Dr Halimah berkata banyak kemudahan prasarana dan insfrastruktur di bangunkan di situ.

“Antaranya, kemudahan lalu lintas di jalan-jalan besar dan kecil serta pembangunan modal insan seperti perpustakaan dan pusat-pusat tuisyen.

“Kita juga banyak membina gelanggang futsal untuk belia dan membangunkan semula pusat berdaya wanita,” katanya.

Dr Halimah turut menawarkan tiga komitmen penting khusus rakyat Selat Klang sekiranya diberi mandat pada Ahad ini.

Katanya, beliau akan membaiki sistem perparitan yang tidak sempurna di kawasan sekitar bagi mengelakkan banjir besar.

Selain itu, beliau juga menawarkan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.

” Bagi wanita yang bekerjaya, saya tahu mereka tertekan dengan kerja dan rumah tangga, jadi dengan itu saya akan membina pusat riadah untuk wanita supaya mereka boleh mengurangkan ‘stress’.

“Pusat itu akan disediakan secara percuma meliputi pusat rawatan kecantikan (SPA). Ia juga sebagai inisiatif mengelakkan penceraian berlaku,” katanya.

Dr Halimah menambah komitmen yang ketiga adalah untuk membanteras gejala sosial bagi golongan muda.