Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Komited Selesaikan Status Hak Milik Tanah Di Tiga Kampung Di Ijok

MB ponggal kg keretapi ijok 01

KUALA SELANGOR 3 FEB: Masalah tanah di dua kawasan di Ijok, Kampung Sungai Darah dan Kampung Pecah Batu, yang antaranya berlarutan lebih 30 tahun, bakal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri dalam masa tiga minggu.

Manakala masalah tanah di Kampung Keretapi akan diselesaikan setelah Kerajaan Negeri ambil tindakan terhadap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bagi Kampung Sungai Darah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) serta Pejabat Daerah Kuala Selangor akan dipanggil untuk berbincang mengenai status hak milik tanah penduduk kampung.

MB ponggal sg darah ijok 01Katanya, masalah tersebut akan dapat diselesaikan dalam jangka masa dua minggu memandangkan semua nama pemohon sudah dikenalpasti.

“Saya akan duduk bersama Yang Dipertua MDKS pada minggu hadapan dan selepas itu kita akan berjumpa masyarakat selepas itu untuk memberikan hak milik kepada mereka.

“Pemilik tanah akan menerima nama yang baru dan juga tanah tersebut mesti mempunyai rezab jalan dan rezab parit supaya tidak berlaku masalah di masa akan datang,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menghadiri pesta Ponggal yang disambut masyarakat India di beberapa kawasan di sekitar Ijok petang tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua MDKS, Noraini Roslan, Setiausaha MDKS, Azahari Saidin serta Pegawai Daerah Kuala Selangor, Yazid Bidin.

Bagi kes Kampung Pecah Batu pula, penduduk juga akan menikmati status hak milik tanah dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu lagi.

Azahari berkata, sebelum ini tanah yang diduduki penduduk di kawasan itu adalah tanah rezab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Menteri Besar berhak membatalkannya dan menjadikan tanah tersebut menjadi tanah kerajaan.

“Selepas jadi tanah kerajaan, barulah boleh proses untuk memberikan hak milik kepada penduduk di kawasan ini dan semua pelan sudah disediakan termasuk senarai nama penduduk.

“Kita akan pamerkan nama pemohon yang memohon lot tanah tersebut supaya semua yang memohon dapat mengenalpasti status hak milik tanah mereka,” kata Azahari ketika berucap di majlis tersebut.

Manakala bagi kes di Kampung Keretapi pula, status hak milik tanah di kawasan itu dibawah KTMB dan Kerajaan Negeri akan berbincang dengan penasihat Undang-Undang negeri.

Ini bagi mengambil tindakan mahkamah jika KTMB tidak menyerahkan hak milik tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata, undang-undang menyatakan bahawa jika tanah tersebut tidak digunakan untuk pembinaan landasan keretapi, Kerajaan Negeri berhak mengambil balik tanah tersebut.

“Saya menjangkakan dalam tempoh 50 tahun pun belum tentu KTMB nak buat landasan keretapi di kawasan ini, dan Kerajaan Negeri akan mengambil semula tanah ini.

“Saya ingin meminta supaya penduduk di Kampung Keretapi ini bersabar sementara kes ini akan diselesaikan supaya setiap penduduk dapat memiliki hak milik tanah sendiri,” kata Abdul Khalid yang juga merupakan Adun Ijok.

Rata-rata penduduk yang ditemui di tiga kampung terlibat menyatakan perasaan gembira kerana penantian yang ditunggu selama hampir 30 tahun akan dapat dirasai.

Bagi Razali Mohamad, 46, penduduk Kampung Pecah Batu, merasakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid sentiasa berusaha mencari jalan bagi mengatasi masalah seperti pemberian hak milik kepada penduduk.

“Saya sudah tinggal selama hampir 30 tahun di sini dan telah lama menantikan hak milik kekal dan syukurlah impian ini bakal menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui.
Mb ponggal tuan mee ijok 01

Categories
NASIONAL

KTMB Jadi Alat Propaganda BN, Tidak Layan PR Sewa Ruang Iklan

Sayangi Selangor KTM 02

SUBANG JAYA, 31 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang merupakan sebuah syarikat pengangkutan awam tidak wajar dijadikan alat propaganda Umno-BN dengan hanya menempatkan iklan mempromosikan gagasan itu pada gerabak keretapi.

Tindakan tersebut jelas menunjukkan Umno-BN menjadikan KTMB sebagai alat kepentingan politik apabila permintaan DAP Selangor untuk menyewa ruang iklan yang sama bagi DAP dan Pakatan Rakyat (PR) tidak mendapat layanan sama.

Menurut Bendahari DAP Selangor, Hannah Yeoh dalam sidang medianya hari ini, pihaknya sebelum ini telah menghantar surat menyatakan minat DAP dan PR untuk menyewa ruang iklan pada koc komuter KTMB.

“Pada 8 Januari lalu, kami ada hantar surat kepada Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir melalui tangan dan surat itu sudah diterima dengan terdapat akuan penerimaan pada salinan surat itu sebagai bukti penerimaan.

“Tujuannya adalah untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai bertugas untuk mendapatkan sebut harga tapak iklan dan sebagainya seperti mana BN.

?Tetapi malangnya tiada sebarang jawapan dari KTMB,” ujar Hannah yang juga merupakan Adun Subang Jaya.

Hannah turut mempertikaikan keengganan KTMB menjawab persoalan yang pernah ditimbulkan sebelum ini, iaitu samada KTMB mengenakan sebarang bayaran kepada Umno-BN untuk iklan mereka.

Dalam isu sama Hannah turut menempelak Datuk Seri Mohd Zin Mohamed agar lebih bijak membezakan antara jawatan Kordinator BN Selangor dengan Pengerusi KTMB yang kedua-duanya disandang beliau.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Umno-BN menjalankan propaganda politik mereka menerusi iklan ‘Sayangi Selangor’ di stesen dan gerabak KTMB.

Categories
NASIONAL

Anwar : Kroni Umno-BN Semakin Kaya, Kehidupan Rakyat Tidak Berubah


CHERAS, 9 SEPT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat memberikan kontrak penswastaan jutaan ringgit kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

Dakwanya, Datuk Seri Najib Razak adalah seorang Perdana Menteri yang penakut dan lebih mementingkan kroni berbanding memperbaiki kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Sekarang saya nak tanya Najib sebagai Perdana Menteri, kamu ada kuasa, sebab apa kamu takut sangat dengan Tan Sri Syed Mokhtar.

“Apa dia minta semua kamu bagi, gula, beras, KTMB, elektrik IPP, Proton, pelabuhan Tanjung Pelepas semua kamu bagi kepada Tan Sri Syed Mokhtar.

“Kalau kita nak tolong Bumiputera, tidak bolehkah kita beri kepada anak melayu lain yang lebih layak supaya kekayaan negara dapat dimanfaatkan sebetulnya kepada rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian di dalam ucapannya di Majlis Rumah Terbuka MP Bandar Tun Razak Tan Sri Khalid Ibrahim di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak hari ini.

Baru-baru dilaporkan bahawa Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan cadangan daripada syarikat Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) untuk mengambilalih operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Syed Mokhtar, menerusi beberapa syarikatnya, menguasai lapangan terbang Senai, Port of Tanjung Pelepas (PTP) dan pelabuhan Pasir Gudang.

Laman web The Malaysian Insider melaporkan beliau juga mempunyai kaitan dengan sebuah konsortium yang dianugerahkan projek keretapi dalam bandar MRT.

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Tidak Gusar Dengan Kempen “Sayangi Selangor”

SHAH ALAM, 25 JULAI : Propaganda Umno-BN menerusi iklan “Sayangi Selangor” di stesen dan gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diyakini gagal mempengaruhi majoriti rakyat yang kini bijak menilai apa yang terbaik untuk diri mereka.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, tindakan tersebut adalah usaha terdesak Umno-BN untuk meraih sokongan bagi mengekalkan kuasa di samping cubaan merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat (Pakatan).

Adun Seri Setia itu menambah, secara prinsipnya pendekatan Umno-BN itu adalah salah kerana biarpun KTMB adalah agensi Kerajaan Pusat tetapi ia bukan agensi parti berkenaan.

“Kalau betul-betul mereka nak berlaku adil, mereka seharusnya membuka peluang kepada semua pihak termasuk Kerajaan Selangor atau Pakatan untuk iklankan di KTMB.

?Ini salah guna kuasa tetapi saya tidak risau kerana rakyat pun sudah bijak menilai. Kita lihat  Umno-BN semakin terdesak menggunakan semua medium yang ada,” katanya ketika dihubungi Selangorkini di sini hari ini.

Nik Nazmi selanjutnya berkata, KTMB sewajarnya melihat perkara itu secara adil kerana realitinya ia adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

Dalam laporan media sebelum ini, Pengerusi KTMB, Datuk Seri  Mohd Zin Mohamed berkata kempen iklan “Sayangi Selangor” dibayar tetapi enggan mendedehakan siapa yang menanggung kos untuk kempen itu.