Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 344 kes baharu di Singapura, keseluruhan 31,960

SINGAPURA, 25 MEI: Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 344 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 31,960 dengan 14,876 pesakit pulih setakat semalam.

Data awal setakat tengah hari ini menunjukkan hanya empat kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan.

“Jumlah kes yang rendah hari ini disebabkan tidak banyak ujian yang dilakukan,” kata kementerian itu, sambil menambah bahawa pihak kementerian masih meneruskan perincian kes-kes tersebut dan akan memberikan maklumat terkini lewat hari ini.

Data penuh yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,673 sebagai kes komuniti, 580 adalah kes import manakala 29,363 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat semalam, 690 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan lapan daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, sementara 23 telah meninggal dunia.

Kementerian itu berkata 16,027 kes yang bergejala ringan atau baik dari segi klinikal tetapi masih diuji positif untuk Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Memandangkan tiada lagi kes yang dikaitkan dengan Strand Hotel di Bencoolen Street untuk tempoh dua inkubasi lepas, kluster itu kini ditutup.

Tidak ada kluster baharu yang dikenal pasti semalam, sementara kluster terbesar di republik itu, S11 Dormitory @ Punggol mempunyai sejumlah 2,679 kes yang disahkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 545 kes baharu di Singapura, keseluruhan 31,616

SINGAPURA, 24 MEI: Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 548 kes Covid-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 31,616.

Pesakit yang pulih setakat Sabtu adalah seramai 13,882 orang.

Data berhubung kes baharu itu menunjukkan hanya tiga pesakit adalah warga Singapura atau penduduk tetap manakala majoriti terdiri daripada pekerja asing di asrama, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata maklumat lanjut berhubung kes baharu dan perkembangan terkini akan dimaklumkan kelak.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu, Singapura mengklasifikasikan 1,682 sebagai kes komuniti, 580 adalah kes import manakala 28,806 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut kementerian itu, jumlah kes baharu dalam komuniti meningkat kepada purata tujuh kes sehari pada minggu lepas berbanding lima kes sehari bagi minggu sebelumnya.

“Ia antaranya berikutan pengawasan dan pemeriksaan aktif warga rumah jagaan dan petugas pra-sekolah yang merekodkan banyak kes minggu lepas,” kata MOH.

Setakat Sabtu, sebanyak 711 kes disahkan sedang dirawat di hospital dengan lapan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 23 meninggal dunia.

Menurut kementerian itu, sebanyak 16,452 kes mengalami gejala ringan, atau sihat secara klinikal tetapi masih positif Covid-19, diasingkan dan ditempatkan di fasiliti komuniti.

Memandangkan tiada lagi kes yang berkaitan dengan Tuas South Incineration Plant dan 234A Balestier Road untuk dalam tempoh dua inkubasi lepas, kluster itu kini ditutup.

Dua kluster baharu dikenal pasti pada Sabtu manakala kluster terbesar S11 Dormitory @ Punggol merekodkan keseluruhan 2,591 kes yang disahkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 682 kes baharu di Singapura, keseluruhan 28,038

SINGAPURA, 17 MEI: Singapura mengesahkan 682 kes baharu Covid-19, dengan hanya empat kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Data awal setakat tengah hari ini mencatatkan jumlah kes di republik ini seramai 28,038 orang.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataan mengumumkan peningkatan yang banyak itu melibatkan pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama pekerja asing.

Kementerian itu masih mengkaji butiran kes berkenaan dan akan dikemaskini kemudian hari ini.

Singapura mengklafikasi kes kepada 1,306 kes komuniti, 580 kes import, 361 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 25,109 kes pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat 465 kes baharu, keseluruhan lebih 27,000

SINGAPURA, 16 MEI: Singapura pada Jumaat melaporkan 1,275 kes pulih daripada jangkitan Covid-19, hari ini mengesahkan 465 kes positif baru dengan majoriti besar melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Dengan kes baharu disahkan hari ini itu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 27,356 kes.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), data awal sehingga tengah hari, hari ini menunjukkan hanya empat kes melibatkan warganegara Singapura atau penduduk tetap.

Menurut Kementerian itu, mereka masih lagi sedang mendapatkan butiran kes-kes terbabit dan akan memberikan maklumat tersebut kemudian.

Dalam data dikeluarkan pada lewat Jumaat, Kementerian itu menyatakan mereka terus mencatatkan jumlah kes dalam kalangan pekerja asing yang tinggal di asrama, termasuk dalam kilang dijadikan asrama, kerana ujian berterusan di premis berkenaan.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses kami utnuk menguji dan memastikan status kesemua pekerja,” katanya.

Singapura sehingga kini mengklasifikasikan 1,327 sebagai kes komuniti, 580 kes import, 435 kes melibatkan pekerja asing tinggal di luar asrama dan 24,549 kes melibatkan pekerja asing tinggal di asrama pekerja.

Sehingga hari ini, sejumlah 7,248 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.

MOH menyatakan 1,124 kes disahkan masih berada di hospital dengan 18 di dalam unit rawatan rapi manakala jumlah kematian 21.

Kementerian itu berkata, 18,498 yang menunjukkan gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi disaring untuk Covid-19 dan diasingkan dan ditempatkan di fasiliti komuniti.

Pada Jumaat, Singapura mengenal pasti lima lagi kluster baru dan pada masa sama menutup dua kluster sedia ada, iaitu McDonald dan kawasan kerja pengubahsuaian di National Univerisiti Hospital.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Korban global lebih 90,000, PBB gesa dunia bersatu

BEIJING, 10 APRIL: Dunia kini umpama berada di medan peperangan untuk melawan Covid-19 yang semakin mengganas, virus maut itu sudah merebak ke lebih 200 negara dan wilayah, lapor agensi berita Xinhua.

Di WASHINGTON, ujian klinikal untuk menilai keselamatan dan keberkesanan hydroxychloroquine, ubat antimalaria sudah bermula, dalam usaha mencari penawar penyakit COVID-19, menurut Institut Kesihatan Negara (NIH) Amerika Syarikat pada Khamis.

Peserta pertama telah mendaftar untuk menyertai ujian klinikal itu di Vanderbilt University Medical Center, Tennessee.

Di BRUSSELS pula menyaksikan Menteri Kewangan Eurogroup pada Khamis bersetuju mengenai pakej kewangan bernilai setengah trilion euro untuk membendung wabak itu.

Di NEW YORK, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyeru semua negara anggota Majlis Keselamatan bersatu bagi mendepani pandemik COVID-19.

“Penglibatan Majlis Keselamatan penting untuk mengurangkan implikasi keamanan dan keselamatan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu taklimat secara maya.

“Sudah tentu perpaduan amat penting pada masa yang mencemaskan ini.”

Di GENEVA, kadar kematian akibat Covid-19 dianggarkan 10 kali lebih tinggi berbanding influenza, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Bercakap pada taklimat Misi Covid-19 dari Geneva pada Khamis, beliau berkata setakat ini, lebih 1.3 juta orang dijangkiti dan hampir 80,000 terkorban.

Ujarnya, pandemik ini adalah lebih teruk daripada krisis kesihatan, ia memerlukan seluruh kepemimpinan kerajaan dan masyarakat bersama-sama berganding bahu untuk memerangi wabak itu.

Di LONDON, Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Khamis dipindahkan ke wad selepas beberapa hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut seorang jurucakap, perdana menteri itu akan terus dipantau dalam fasa awal pemulihan, selepas dijangkiti Covid-19.

Di NEW YORK, pada Khamis petang Johns Hopkins University menerusi data terkini mendedahkan angka korban Covid-19 melebihi 90,057 orang di seluruh dunia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tetap notis usul kes rasuah Zahid 17 September

SHAH ALAM, 14 OGOS: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 September untuk mendengar notis usul difailkan pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memindahkan 33 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan notis usul untuk memindahkan 33 pertuduhan Ahmad Zahid ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didengar hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan kerana mereka sedang menunggu keputusan satu permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang difailkan minggu lepas untuk didengar pada 28 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun menyatakan permohonan tersebut bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu yang membenarkan tujuh lagi pertuduhan rasuah dihadapi Ahmad Zahid dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam.

“Oleh itu, saya mohon agar pendengaran notis usul hari ini ditangguhkan sehingga keputusan semakan (untuk memindahkan kembali tujuh pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) diputuskan nanti,” katanya.

Bagaimanapun, tiada bantahan daripada pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Rozilah turut mengekalkan jaminan terhadap Ahmad Zahid berjumlah RM200,000 seperti yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

Pada 27 Jun lalu, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai SGD150,000, RM325,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, tujuh pertuduhan menerima rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibacakan sekali lagi di mahkamah di sini dan presiden UMNO itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Bagi tujuh pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta (anggaran RM1=SGD3.06) daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA