Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Segera rawat jika alami kesan sampingan berpanjangan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Penerima vaksin COVID-19 yang mengalami kesan sampingan serius atau berpanjangan dinasihat merujuk kepada fasiliti kesihatan berhampiran dan mendapatkan rawatan segera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau hari ini memaklumkan rawatan segera terhadap kesan sampingan serius vaksin adalah penting agar kesan mudarat dapat dikurangkan dan laporan yang lengkap dapat diperoleh untuk siasatan.

Beliau berkata terdapat empat cara melaporkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19 iaitu membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera bagi mereka yang menghadapi kesan tidak serius.

Selain itu, laporan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau mengisi secara manual borang yang dicetak daripada laman sesawang NPRA dan dihantar melalui e-mel atau pos ke NPRA.

Katanya bagi AEFI serius, laporan hendaklah dibuat melalui anggota kesihatan yang merawat kes itu melalui laman sesawang NPRA atau Pharmacy Information System (PhIS) bagi fasiliti Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan sekumpulan lelaki didakwa pukul warga asing

KUALA LUMPUR 4 MEI: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang didakwa memukul seorang lelaki warga asing dalam kejadian di kawasan kaki lima Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2.30 petang dan dirakam dalam sebuah video yang berdurasi selama seminit 21 saat.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah melihat video yang tular ini dan melakukan siasatan ekoran dipercayai tempat kejadian merupakan kawasan di bawah pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian yang tular ini melibatkan mangsa seorang lelaki dipercayai warga asing yang dipukul sekumpulan lelaki tempatan dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenal pasti.

“Kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan ia mengganggu-gugat serta mendatangkan kekacauan terhadap ketenteraman awam kerana berlaku di kawasan awam yang terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, penelitian ke atas video itu juga mendapati, kumpulan lelaki tempatan berkenaan telah melanggar beberapa tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Berdasarkan video yang tular ini, kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, bolehlah dihukum penjara dua tahun atau dikenakan denda ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menambah, bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seskyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mohd Zaid berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Radzee Jamudi, di talian 019-665 5811.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Sinovac keluaran China sama berkesan cegah Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Vaksin Covid-19 Sinovac keluaran China yang diterima Malaysia hari ini berkesan dalam mencegah jangkitan Covid-19 sama seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital Cheras, Dr Malar Santhi Santherasegapan berkata ujian klinikal yang dijalankan di Brazil dan Turki mendapati tahap keberkesanan vaksin Sinovac masing-masing negara adalah 50.4 peratus dan 91.2 peratus.

Beliau berkata ada kalangan dalam masyarakat yang salah faham apabila menganggap bahawa 50.4 peratus sukarelawan di Brazil yang mengambil vaksin itu sihat manakala lagi 49.6 peratus yang mengambil vaksin mendapat kesan sampingan yang memudaratkan.

“Tetapi (sebenarnya) tahap keberkesanan yang dimaksudkan pada penerima yang 50.4 peratus itu (ialah mereka) telah berjaya membina imuniti terhadap Covid-19 dan 100 peratus daripada mereka tidak langsung mendapat jangkitan atau memerlukan rawatan rapi dan tiada yang meninggal dunia,” katanya dalam progam khas terbitan Bernama TV yang disiarkan di Facebook bertajuk “Malaysia Terima Vaksin Covid-19” hari ini.

Menurutnya peratusan itu adalah tahap keberkesanan untuk membina imuniti dan bukannya baki daripada peratusan itu yang mendapat kesan sampingan daripada vaksin.

Malar Santhi seterusnya menegaskan tidak ada langsung data menyokong pendapat yang menyatakan bahawa Orang Kurang Upaya (OKU) berisiko tinggi mendapat kesan sampingan daripada mana-mana jenis vaksin Covid-19.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata ketibaan vaksin Covid-19 juga boleh menjana ekonomi negara apabila lebih ramai sudah boleh bekerja dengan selamat.

– BERNAMA