Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lantikan 169 Ketua Blok Kuala Selangor tingkat produk tani

KUALA SELANGOR, 21 APR: Seramai 169 petani di kawasan pengairan daerah Kuala Selangor dipilih sebagai Ketua Blok Pertanian Sawah Padi bagi mengusahakan produk pertanian kawasan diwakili mereka.

Lantikan membabitkan kawasan pengairan di Sawah Sempadan (39), Sungai Burong (61), Sekinchan dan Sungai Leman (69).

Sementara 25 individu lagi bertanggungjawab sebagai Ketua Kampung Pecahan Pengairan membabitkankan tujuh orang di Sawah Sempadan serta masing-masing sembilan di Pengairan Sungai Burong, Sekinchan dan Sungai Leman.

Majlis penyerahan watikah disampaikan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib di Hotel Apps, di sini, hari ini.

LANTIKAN KETUA BLOK (3)Zaidy berkata, lantikan itu diharap dapat memberi sumbang saran kepada mereka dalam usaha merancakkan lagi aktiviti pertanian di daerah berkenaan.

“Lantikan ini penting disertakan dengan tanggungjawab untuk memastikan golongan petani memberi khidmat bakti terbaik kepada masyarakat.

“Tanggungjawab ini juga memerlukan anda menjadi medium terpenting kepada Kerajaan Negeri untuk mendapat sebarang makluman berkaitan isu pertanian padi di peringkat akar umbi.

“Anggaplah amanah ini sebagai landasan untuk melebar cakupan perkhidmatan terbaik yang perlu diperluaskan demi kebajikan golongan tani seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, menzahirkan penghargaan, Abu Samah Ismail yang juga Pengerusi JKKK Kampung Parit 3 Sungai Burong berkata, tanggungjawab itu akan digalas secara konsisten bagi menambah baik mutu penghasilan padi negeri.

LANTIKAN KETUA BLOK (1)“Ini bukan pertama kali peluang sama diberikan. Amanah ini akan dilaksanakan sehabis baik demi manfaat umum khususnya golongan tani di sini,” katanya.

Bagi Ng Ah Kim yang mewakili JKKK Kampung S3B Sekinchan, beliau percaya komitmen diberikan akan dijayakan secara efektif berpandukan sokongan berterusan di peringkat negeri.

“Saya mengucapkan terima kasih apabila diberi kepercayaan ini. Terima kasih juga kepada pentadbiran negeri khususnya DUN Sekinchan yang rajin turun padang bantu petani di sini,” katanya.

Untuk rekod, Ketua Blok di bawah pentadbiran Kerajaan PAKATAN menerima elaun bulanan RM1200 setahun, berbanding RM480 ketika zaman pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

Categories
NASIONAL

Suhakam Minta Polis Patuhi Akta Kaedah-Kaedah Lokap

memorandum SUHAKAM

KUALA LUMPUR, 20 JUN : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memastikan pihak polis mematuhi dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah.

Pematuhan kepada akta ini bagi memastikan kes kematian dalam tahanan lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam, pihaknya tidak mampu menangani kes kematian dalam tahanan polis yang dikatakan terlalu ramai dan makin kritikal.

Beliau difahamkan setakat ini, sebanyak 222 kes kematian dalam lokap dilaporkan sejak tahun 2000, dengan kes terbaru membabitkan seorang jurutera, P Karuna Nithi yang disahkan meninggal dunia di Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan.

“Kami tidak mampu untuk mendengar lebih banyak kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan saban hari.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan Akta Kaedah Lokap yang harus dipatuhi polis, antaranya memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat, memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi untuk memantau keadaan tahanan.

“Memaklumkan kepada keluarga tahanan sekiranya berlaku sesuatu dengan kadar segera selain mematuhi jangka masa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan.

“Undang-undang sudah ada, polis hanya perlu ikut sahaja. Apa yang boleh saya jamin ialah pihak Suhakam akan menggesa supaya akta ini dikuatkuasakan untuk mengelak perkara sama berulang lagi,” katanya semasa menerima memorandum daripada keluarga mendiang Karuna di ibu pejabat Suhakam, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan PKR, S Manikavasagam yang mewakili keluarga mendiang menggesa supaya Suhakam menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kematian Karuna.

Tegasnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tempoh hari atas tujuan sama (menyiasat kematian Karuna), namun tiada respon diberikan sehingga hari ini.

“Sudah banyak kali kes sebegini dilaporkan, tetapi malangnya polis tidak pernah ambil sebarang tindakan.

“Polis ambil jalan mudah dengan mengatakan tahanan diserang sakit jantung. Adakah ini adil untuk keluarga mendiang sedangkan laporan perubatan sudah sahkan mendiang dicederakan,” tegasnya.

Memorandum itu antara lainnya mempersoalkan tindakan polis yang tidak memindahkan mendiang ke penjara Sungai Udang setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, sebaliknya membiarkan Karuna di Balai Polis Tampin.

Keluarga mendiang turut mempersoalkan mengapa tiada rakaman CCTV dilakukan pada hari kejadian sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa polis cuba menyembunyikan bukti.

Selain itu, memorandum tersebut turut mempertikaikan mengapa keluarga mendiang masih tidak diberikan sebarang penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian Karuna.

Karuna,42, disahkan meninggal dunia pada 1 Jun lalu di ibu pejabat polis daerah Tampin, sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk mengikat jaminnya.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dilaporkan berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian Karuna yang ditahan pada 27 Mei selepas didakwa menyerang isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu, dalam laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan mendiang mengalami 49 kecederaan.

Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al’Aidrus.