Categories
NASIONAL

Suhakam Minta Polis Patuhi Akta Kaedah-Kaedah Lokap

memorandum SUHAKAM

KUALA LUMPUR, 20 JUN : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memastikan pihak polis mematuhi dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah.

Pematuhan kepada akta ini bagi memastikan kes kematian dalam tahanan lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam, pihaknya tidak mampu menangani kes kematian dalam tahanan polis yang dikatakan terlalu ramai dan makin kritikal.

Beliau difahamkan setakat ini, sebanyak 222 kes kematian dalam lokap dilaporkan sejak tahun 2000, dengan kes terbaru membabitkan seorang jurutera, P Karuna Nithi yang disahkan meninggal dunia di Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan.

“Kami tidak mampu untuk mendengar lebih banyak kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan saban hari.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan Akta Kaedah Lokap yang harus dipatuhi polis, antaranya memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat, memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi untuk memantau keadaan tahanan.

“Memaklumkan kepada keluarga tahanan sekiranya berlaku sesuatu dengan kadar segera selain mematuhi jangka masa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan.

“Undang-undang sudah ada, polis hanya perlu ikut sahaja. Apa yang boleh saya jamin ialah pihak Suhakam akan menggesa supaya akta ini dikuatkuasakan untuk mengelak perkara sama berulang lagi,” katanya semasa menerima memorandum daripada keluarga mendiang Karuna di ibu pejabat Suhakam, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan PKR, S Manikavasagam yang mewakili keluarga mendiang menggesa supaya Suhakam menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kematian Karuna.

Tegasnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tempoh hari atas tujuan sama (menyiasat kematian Karuna), namun tiada respon diberikan sehingga hari ini.

“Sudah banyak kali kes sebegini dilaporkan, tetapi malangnya polis tidak pernah ambil sebarang tindakan.

“Polis ambil jalan mudah dengan mengatakan tahanan diserang sakit jantung. Adakah ini adil untuk keluarga mendiang sedangkan laporan perubatan sudah sahkan mendiang dicederakan,” tegasnya.

Memorandum itu antara lainnya mempersoalkan tindakan polis yang tidak memindahkan mendiang ke penjara Sungai Udang setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, sebaliknya membiarkan Karuna di Balai Polis Tampin.

Keluarga mendiang turut mempersoalkan mengapa tiada rakaman CCTV dilakukan pada hari kejadian sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa polis cuba menyembunyikan bukti.

Selain itu, memorandum tersebut turut mempertikaikan mengapa keluarga mendiang masih tidak diberikan sebarang penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian Karuna.

Karuna,42, disahkan meninggal dunia pada 1 Jun lalu di ibu pejabat polis daerah Tampin, sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk mengikat jaminnya.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dilaporkan berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian Karuna yang ditahan pada 27 Mei selepas didakwa menyerang isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu, dalam laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan mendiang mengalami 49 kecederaan.

Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al’Aidrus.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lokap Polis Jadi Pusat Penderaan Tahanan?

keganasan-polis

KOMENTAR :  Dalam tempoh lebih kurang tiga minggu kebelakangan ini, sebanyak tiga insiden kematian tahanan dalam lokap di laporkan pihak media.

Pada 21 Mei, N Dhamendran, 32, mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Pada 26 Mei pula, R Jamesh Ramesh, 40, ditemui mati sehari selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. Manakala, pada 1 Jun lalu pula, jurutera P Karuna Nithi, 42, mati dalam tahanan polis di Tampin, Negeri Sembilan.

Sementara Wakil NGO MyWatch dan Power, S Gobi Krishnan berkata antara tahun 2000 hingga 2010 statistik menunjukkan  64 orang Melayu, 30 Cina dan 28 India telah meninggal ketika dalam tahanan polis.

Dari 122 kematian yang di catatkan tersebut menunjukkan terdapat purata 12 kematian setahun atau satu kematian setiap bulan.

Namun selama ini, mungkin insiden sebegini sekadar menjadi catatan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak dipanjangkan kepada dharmendranpihak media.

Atau pun media arus perdana sendiri bertindak ‘mematikan’ berita tersebut kerana dianggap akan memberi keaiban kepada kementerian yang selalunya di pegang oleh perdana menteri sebelum ini.

Senario ini di lihat agak berbeza apabila pembangkang yang lebih ‘advance’ dengan media alternatif mendapat tempat di kalangan rakyat setelah Tsunami politik 2008.

Pembongkaran demi pembongkaran berhubung kes kematian seperti kes kematian Kugan yang dibongkar oleh media-media alternatif telah membuka minda dan mata rakyat berhubung tindakan salah guna kuasa pihak polis.

Lokap tempat ‘belasah’ pesalah?

Memandangkan insiden kematian di lokap ini semakin menjadi-jadi, orang ramai, NGO dan parti-parti politik merasa bimbang dengan jaminan keselamatan pihak Polis yang selama ini dianggap sebagai payung untuk melindungi keselamatan rakyat.

Lebih menakutkan lagi apabila persepsi rakyat yang selama ini menganggap kejadian tersebut hanya sebahagian dari plot cerita dari filem-filem barat yang mereka tonton di televisyen. Rupa-rupanya suatu ‘kaedah wajib’ yang dilakukan ke atas tahanan di lokap oleh pihak polis di seluruh dunia.

Walaupun secara saikologinya, persepsi ini boleh di lihat baik kerana menakutkan orang ramai dari melakukan jenayah tetapi dalam konteks realitinya tahanan lokap bukan ‘berpengertian’ mengurung pesalah atau mereka yang telah di putuskan bersalah atau seorang penjenayah.

adam adli jinjang 01Tahanan lokap adalah tempat tahanan sementara bagi membolehkan proses pendakwaan dan mengenalpasti bentuk kesalahan yang dibuat ke atas mereka yang di syaki.

Terdapat beratus-ratus tahanan di lokap dibebaskan sebelum ini kerana didapati tidak bersalah atau tersalah pendakwaan.

Tragedi kematian yang banyak di kaitkan dengan penderaan di lokap memberi gambaran yang amat buruk kepada imej pihak polis.

Malah lokap akan di anggap sebagai tempat untuk pihak polis memperoleh jalan pintas bagi mendapatkan maklumat dengan tindakan membelasah orang yang di syaki.

Ini di lihat seolah-olah pihak polis boleh bertindak sesuka hati termasuk membelakangkan keputusan yang belum lagi diputuskan oleh pihak mahkamah berhubung status tahanan di lokap.

Menyemak semula SOP

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam sidang medianya berkata, anggota polis yang didakwa terlibat sedang di siasat dan akan di gantung tugas.

Menurut Zahid lagi pihaknya juga akan menyemak semula Piawaian Prosedur Operasi (SOP) yang dijalankan oleh anggota polis yang bertugas dalam menyoalsiasat tahanan.lim-vs-zahid

Selama ini tidak ada maklumat atau berita yang di laporkan media berhubung tindakan yang telah diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian tahanan di lokap.

Sedangkan berdasarkan lapuran dari NGO MyWatch dan Power, dari tahun 2000 hingga 2013 lebih dari 122 kematian di catatkan. Kalau menggunakan angka purata kematian 12 tahanan setahun, sehingga Mei 2013 ini terdapat lebih kurang 150 kematian tahanan lokap sejak tahun 2000 di catatkan.

Dalam lain perkataan, apakah baru sekarang ini setelah lebih 150 kematian di catatkan, Zahid dan KDN baru menyedari untuk menyemak semula SOP dalam soalsiasat tahanan di lokap?.

IPCMC Tidak Akan di wujudkan

Penghujung Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata tidak ada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Menurut Low, ini kerana sudah ada mekanisme untuk membuat aduan terhadap polis iaitu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang merupakan sebuah badan pengawasan bebas terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang.

Badan penguatkuasa ini menurut Low juga menyiasat aduan salah laku oleh anggota polis.

Persoalannya sekarang, seandainya badan penguatkuasa ini telah lama wujud sebagaimana kenyataan Low, berapakah jumlah kes yang melibatkan lebih 150 kematian di lokap sejak tahun 2000 ini di siasat oleh badan ini?

Persoalannya juga apakah bidang kuasa penguatkuasa ini? Apakah EAIC hanya sekadar menerima aduan dan menyiasat tanpa kuasa mendakwa atau kuasa untuk mengambil tindakan?

Andai ini congak yang di buat oleh Low, EAIC tidak ubah seperti SPRM dan SPR yang akhirnya akan menyerahkan kepada kuasa pihak polis untuk menyiasat sebelum di serah kepada pihak peguam negara untuk pendakwaan.

….yang akhirnya hingga ke saat ini kes kematian Kugan dan kematian Teoh Beng Hock serta siapa dalang di sebalik kematian model Monggolia, Altantuya Shaariibu menjadi misteri yang masih tidak terjawab.

Mengapa IPCMC takut diwujudkan?

Ramai yang bertanya mengapa IPCMC atau Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis enggan ditubuhkan oleh kerajaan sedangkan cadangan penubuhan suruhanjaya ini bukan cadangan dari pihak pembangkang atau dari musuh politik kerajaan BN.

IPCMC salah satu daripada 125 cadangan pembaikan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005.

4-TS-MUSA-HASSANSuruhanjaya yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaidin Abduullah itu mencadangkan IPCMC ditubuhkan sebelum 31 Mei 2007.

Sehingga kini, IPCMC masih belum terlaksana dan penangguhannya terus didesak oleh rakyat setiap kali terdapat berita tentang salah laku atau keganasan polis terhadap orang awam.

Persoalannya juga mengapa kerajaan Umno-BN begitu fobia dengan penubuhan suruhanjaya Diraja. Sedangkan penubuhan IPCMC bertujuan menambahbaik institusi kepolisian negara bagi menjadikannya lebih di hormati dan lebih berintegriti.

Tidak di nafikan perbuatan salah laku dan tindakan diluar prosidur SOP terhadap tahanan dilakukan oleh segelintir pihak namun kesannya amat besar terhadap keyakinan rakyat kepada badan keselamatan awam tersebut.

Rakyat juga telah sekian lama menyaksikan bagaimana jabatan polis diperkuda oleh ahli-ahli politik sehingga badan tersebut terpaksa membelakangkan profesionalism perkhidmatannya.

Kenyataan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan bahawa beberapa tindakan polis berhadapan dengan demontrasi jalanan sebelum ini bukan arahan dari beliau tetapi arahan dari pihak yang lebih atas dari beliau.

Apakah sebahagian plot dari kenyataan Musa Hasan tersebut merupakan antara beberapa rentetan yang menyebabkan Kabinet baru Datuk Seri Najib Razak enggan IPCMC di realisasikan?

Ini kerana ia di lihat memberi kebaikan kepada penambahabaikan kepada pihak polis tetapi tidak menambahbaik kuasa Umno-BN dalam mengekangan kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan politik bertapak di bumi bertuah ini.