Categories
SELANGOR

ADN Selangor disaran bersama dekati belia – Khairuddin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Golongan belia di Selangor yang kini mencecah 2.7 juta orang membentuk hampir separuh daripada keseluruhan populasi di negeri ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, keadaan ini menjadikan belia golongan yang mesti didekati Ahli Dewan Negeri.

“Kalau dilihat nisbah penduduk di Selangor bermakna hampir 50 peratus pengundi Yang Berhormat (YB) sekalian adalah dalam kalangan belia atau dalam erti kata lain YB mestilah menyokong portfolio saya, berkerjasama dengan saya, tiada pilihan,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin pada sesi pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menjawab satu soalan tambahan, Mohd Khairuddin menjelaskan mengikut Dasar Belia Negara 2018, golongan belia ditakrifkan berumur 15 hingga 30 tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri sendiri sangat menitik berat terhadap program pembangunan belia di Selangor.

Categories
SELANGOR

Bangun kemudahan sukan OKU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri komited membangunkan kawasan sukan dan rekreasi yang inklusif untuk semua golongan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, usaha itu bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan minda, aktif dan sihat.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarahkan memberikan kemudahan infrastruktur sukan kepada golongan atlet OKU bagi mereka menjalani latihan persediaan untuk menyertai sebarang kejohanan yang dirancang.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai kemudahan sukan untuk semua golongan masyarakat.

“Kerajaan Negeri juga sedia maklum mengenai keperluan kemudahan sukan untuk OKU bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin di sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, empat pusat antaranya Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Shah Alam, Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam dan Kompleks 3K Majlis Perbandaran Subang Jaya menawarkan fasiliti sukan OKU.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri peka bagi menyelesaikan masalah itu dan berharap kerjasama semua pihak dalam membantu memberikan pandangan atau cadangan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi inisiatif kemenangan RM100,000 kepada atlet kontinjen negeri Selangor yang berjaya memenangi pingat di PARA SUKMA XIX, Perak 2018.

Categories
SELANGOR

Program INSAN tingkat kualiti hidup masyarakat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM 20 MAC: Pelaksanaan program INSAN menjadi agenda penting Kerajaan Negeri melahirkan rakyat yang cemerlang, berdaya maju dan berdaya saing dikekalkan selaras meningkatkan kualiti hidup masyarakat, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, program yang sebelum ini dikenali sebagai Spiritual, Physical, Intelektual, Emosi dan Sosial (SPIES) memfokuskan kepada beberapa kluster utama meliputi belia, remaja, komuniti, keluarga dan wanita.

“Antara program disusun melalui kluster utama ini termasuk program pemantapan jati diri belia, sembang santai budaya buli, program kesedaran pencegahan gejala sosial dan bengkel remaja cemerlang.

“Program Insan Komuniti pula membabitkan program pengupayaan pimpinan komuniti, program kemahiran ‘coaching’ bagi pertubuhan bukan kerajaan dan program karnival komuniti prihatin.

“Sementara itu, program Insan Keluarga antaranya program Semarak Ramadhan Jalinan Ukhuwah Penduduk, forum perdana rakyat maghrifah dan pembebasan serta program pembangunan kemahiran pentadbiran rumah perlindungan termasuk kursus asas kemahiran kaunseling bagi pembangunan insan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung perancangan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, program diwujudkan sejak 2008 itu memberi banyak manfaat terutama terhadap kualiti hidup masyarakat, sekali gus menjadi aset penting Kerajaan Negeri yang berupaya menyumbang kepada pencapaian serta hala tuju Selangor.

“Ia memberi penekanan dalam penerapan nilai murni bagi mewujudkan individu dan masyarakat yang mempunyai jati diri kuat seterusnya menjadikan masyarakat yang prihatin,” katanya.

Terdahulu, kerangka INSAN menjadi satu model pembangunan modal insan bagi diri, keluarga, organisasi dan masyarakat untuk Selangor.

Ia mengandungi beberapa modul yang dijalankan bagi membantu peserta memahami konsep INSAN dan bagaimana peserta mengaplikasikan atau menghayati konsep itu dalam kehidupan harian, sama ada dalam diri, keluarga, di tempat kerja termasuk masyarakat.

Categories
SELANGOR

242 Pengerusi PeBT terima watikah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 FEB: Seramai 242 Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) menerima watikah perlantikan masing-masing dalam Majlis Apresiasi dan Penyerahan Watikah PeBT Negeri Selangor 2019.

Penyerahan watikah itu disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman di Dewan Jubli Perak di sini, petang tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; ADN Rawang, Chua Wei Kiat dan ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Sementara itu pada majlis sama, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi selepas diumumkan sebagai pemenang Anugerah PeBT Negeri Selangor Terbaik.

Anugerah itu disampaikan Mohd Khairuddin kepada Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman.

Seramai 12 Pengerusi PeBT pula dianugerahkan PeBT terbaik Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.

Manakala 24 yang lain pula memenangi Anugerah Kepimpinan PeBT dan Anugerah Penghargaan PBT dengan masing-masing membawa pulang hadiah trofi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

10 tahun ditubuhkan, PeBT lahir ramai pemimpin muda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 FEB: Penubuhan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sejak 10 tahun lalu bukan sahaja memberi banyak manfaat kepada belia di peringkat akar umbi.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, PeBT turut melahirkan ramai pemimpin muda yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis sebelum terpilih menjadi wakil rakyat muda seperti beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) di dalam dan luar Selangor.

“Antara wakil rakyat yang asalnya mengasah bakat memimpin dalam PeBT seperti, ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; ADN Rawang, Chua Wei Kiat dan ADN Ketari, Pahang, Syefura Othman.

“Mereka sebelum itu adalah Pengerusi PeBT di zon masing-masing dan kemudian ada yang menjadi Ahli Majlis dan ada juga selepas itu menjadi wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyerahan Watikah PeBT Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, berbanding negeri lain, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai program seumpama ini.

Selangor mempunyai 288 Pengerusi PeBT yang mewakili zon masing-masing di dalam 12 Pihak Berkuasa Tempatan.

Pengerusi PeBT dipilih berdasarkan kriteria tertentu antaranya aktif dalam aktiviti belia, mempunyai sifat kepimpinan dan berdisplin tinggi .

Categories
SELANGOR

Lebih 200 kakitangan SUK zumba 2 jam tanpa henti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 DIS: Dengan semangat mendedahkan orang ramai kepentingan senaman antara elemen terbaik penjagaan kesihatan, lebih 200 kakitangan Setiausaha Kerajaan Negeri dan orang awam menyertai senaman zumba selama dua jam tanpa henti.

Acara senaman zumba itu diadakan sempena Program Kit SUKSEL 2.0 ‘Kuminiti Cergas dan Sejahtera’ sempena Ambang Tahun Baru 2019, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

EXCO Pembangunan Genarasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya bersukan dalam kalangan rakyat khususnya penjawat awam.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap melalui sukan, ia dapat mewujudkan komuniti cergas dan aktif serta memupuk semangat perpaduan pelbagai kaum dan budaya.

“Saya dimaklumkan FIT SUKSEL dilaksanakan pada Oktober lalu sempena Sambutan Hari Sukan Negara.

“Gerakan FIT SUKSEL ini mengajak setiap lapisan masyarakat untuk bersukan dan sentiasa cergas bagi mendepani cabaran kehidupan yang mencabar,” katanya ketika ditemui.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor dan Setiausaha Kelab SUK Selangor, Muhamad Faiz Mohamed Yusof.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, program seumpamanya membabitkan penjawat awam itu wajar dijadikan contoh kepada jabatan-jabatan lain.

“Saya juga mencadangkan senaman zumba ini dijadikan acara terbesar oleh FIT SUKSEL sekali gus, mencipta ‘Malaysia Books Of Record’ pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri melaksanakan program pelepasan awal bagi memberi laluan kepada kakitangan yang ingin beriadah.

Antaranya, Communication Corporation Sdn Bhd yang mengendalikan Media Selangor dan Central Spectrum Sdn Bhd.

Categories
SELANGOR

Naik taraf kemudahan sukan daerah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 DIS: Kemudahan sukan di daerah-daerah akan dinaik taraf bagi melahirkan lebih ramai atlet dan memberi peluang kepada masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

EXCO Pembangunan Genarasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, perkara berkenaan juga antara sebahagian visinya untuk membudayakan aspek sukan dan hab anak muda.

“Walaupun sebagai sebuah negeri maju, tetapi fasiliti sukan masih perlu diperbaiki.

“Saya akan melihat bagaimana untuk membangunkan padang ringkas yang boleh digunakan untuk bola sepak di kampung-kampung.

“Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan sesuatu yang baharu dan segar dalam merancang program sukan bagi komuniti sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Program Kit SUKSEL 2.0 ‘Kuminiti Cergas dan Sejahtera’ sempena Ambang Tahun Baru 2019, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor dan Setiausaha Kelab SUK Selangor, Muhamad Faiz Mohamed Yusof.

Pada masa sama, Khairuddin turut mahu beliawanis untuk turut aktif dalam program sukan.

Katanya, pihaknya turut merangka program sukan khusus untuk golongan terbabit antaranya zumba, mendaki dan bola sepak.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Agensi pelaksana projek jangan ketepikan ADN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 OGOS: Agensi pelaksana di Selangor diingatkan suapaya tidak mengenepikan pandangan Ahli Dewan Negeri (ADN) sebelum melaksanakan sesuatu projek di kawasan mereka.

ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata ia berikutan ADN lebih mengetahui aspirasi masyarakat dan kemudahan yang perlu diutamakan di kawasan masing-masing.

“Bermakna moral yang disebutkan di sini, kita boleh adakan rizab yang besar tetapi perlaksanaannya kena rujuk kepada ADN. Kalau tidak masalah takkan selesai,” katanya pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) Darul Ehsan Ke-13, di sini, hari ini.

khairuddinBeliau berkata, ADN juga tidak dimaklumkan status beberapa projek melibatkan kemudahan masyarakat setempat selain projek yang tidak bertepatan dengan masalah sebenar.

Antara projek yang dimaksudkan adalah Stadium Mini Paya Jaras, Pasar Bertingkat Paya Jaras dan jejantas lintasan kaki di Jalan Kuala Selangor yang menghubungkan TSB Commercial Centre.

“Bayangkan, bagaimana nak melintas di jalan utama empat lorong. Saya pernah lihat di depan mata seorang pejalan kaki meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Dewan Ulama PAS anggap isu pakaian ala dewa salah faham

SHAH ALAM 9 FEB: Dewan Ulama PAS Pusat menyifatkan isu Adun Paya Jaras, Khairuddin Othman didakwa berpakaian menyerupai ala dewa berlaku bukan bertujuan melanggar batasan agama jauh sekali memperkecil serta mempersenda syariat Islam.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata sebaliknya apa yang berlaku hanya kerana salah faham dan tidak mengamati kedudukan menyerupai bentuk amalan agama lain.

Katanya, beliau mengharapkan kepada semua ahli PAS lebih berhemah dalam apa jua tingkahlaku yang membabitkan keagamaan.

“Ia agar tidak menimbulkan permasalahan dan fitnah kepada semua agama yang wujud dalam negara kita tercinta ini,” kata Dr Nik Muhammad dalam kenyataan media.

Katanya diharapkan kesilapan itu tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Kita harap segalanya diampunkan oleh Allah SWT,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Umno hidap barah paling berbahaya

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Tindakan Umno berterusan menyerang pakatan pembangkang hanya bertujuan melindung pekungnya sendiri yang semakin membusuk.

Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman, berkata Umno kini dilanda barah paling berbahaya apabila Presidennya, Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat kepercayaan penuh ahlinya.

khairuddin othmanKatanya, Najib terdesak dan terpaksa bertindak kerana merasakan beliau akan kehilangan kuasa sebagai presiden parti itu.

“Ahli Umno di cawangan pasti tidak akan berdiam diri kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Timbalan Presiden yang sah.

“Tindakan Najib ini juga mendedahkan rahsia umum mereka bahawa wujud gerakan menjatuhkannya dalam kalangan ahli Umno sendiri,” kata Adun Paya Jaras itu kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Umno membenarkan ketua Wanita, Pemuda dan Puteri merasmikan perhimpunan agung mereka sendiri kali ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden parti kebiasaanya diberi penghormatan merasmikan mesyuarat agung ketiga-tiga sayap Umno.

ngsueelimSementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim, berkata Najib memecah tradisi itu hanya kerana mahu meminggirkan pengaruh Muhyiddin.

“Lebih jelas lagi, ia bagi menghalang Muhyiddin membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion.

“Semuanya ada udang di sebalik batu dengan cuba melindungi kisah sebenar daripada diketahui ahli Umno dan rakyat,” katanya yang juga Adun Sekinchan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lainlah jika operasi DEIG sudah lima atau 10 tahun

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 NOV: Penubuhan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) harus dipertahankan untuk menambah baik struktur tadbir urus korporat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan anak syarikat (GLC).

Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras), berkata DEIG berperanan menstruktur semula GLC yang tidak membawa keuntungan, saling bersaing serta tersasar daripada matlamat asal.

“Bagaimana kita mahu menambahbaik tadbir urus DEIG jika ia belum lagi beroperasi, lainlah jika ia sudah beroperasi lima atau 10 tahun.

khairuddin othman“Saya juga kurang setuju jika dikatakan GLC yang ada seakan tidak teratur apabila kita berjaya kutip dividen daripada GLC untuk program kebajikan seperti ‘Jom Shopping’, pemberian air percuma dan bantuan universiti,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berbahas usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) berkenaan saranan penambahbaikan struktur tadbir urus korporat MBI dan GLC.

Katanya, keyakinan juga seharusnya diletakkan terhadap enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) di Selangor dalam tadbir urus MBI dan GLC.

“FOI ini membabitkan GLC, jabatan kerajaan, syarikat yang dikawal kerajaan atau milik kerajaan.

“Begitu juga soal ahli lembaga pengarah bebas atau tidak, bagi saya yang penting adalah sistem perjalanan SOP (Standard of Procedure), kalau dah betul saya yakin semuanya akan dapat dikawal dengan baik,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Wujud ‘ruang rakyat’ bertemu YB di DNS

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 APR: Dewan Negeri Selangor (DNS) disaran membuka ruang kepada pihak luar yang berhasrat bertemu wakil rakyat sepanjang mesyuarat Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung.

Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras) berkata, cadangan itu bersandarkan kepada tanggungjawab wakil rakyat mendengar setiap aduan yang dikemukan rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya.

“Cadangan ini juga perlu disertakan dengan syarat memenuhi peraturan dewan yang ditetapkan termasuk mengehadkan bilangan individu yang ingin berjumpa dan memadai dengan beberapa wakil.

khairuddin othman“Apa yang penting, Kerajaan Pakatan memberi peluang kepada rakyat untuk sampaikan mesej mereka kepada pemimpin di dewan. Saya kira, rakyat di luar sudah cukup matang untuk displin dan ikut etika DNS,” katanya.

Bercakap kepada Selangor Kini, Khairuddin menzahirkan rasa terkilan apabila sekumpulan yang mendakwa mewakili suara 10,000 guru Kafa tidak dibenarkan bertemu wakil rakyat, semalam.

Begitu juga hari ini, apabila wakil Seniman Paksi Rakyat (Paksi) turut tidak dibenarkan menyerahkan memorandum, bahkan mereka terpaksa membuat sidang media di Foyer SUK.

“Saya tidak salahkan pegawai keselamatan dewan kerana mereka hanya menjalankan tugas.

“Mungkin juga pihak luar yang ingin bertemu itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. Maka dengan sebab itu saya cadangkan ada ruangan khas diwujudkan untuk mereka,” katanya.

-NFN-