Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 282 mangsa banjir Hulu Langat terima bantuan makanan

HULU LANGAT, 7 NOV: Seramai 282 mangsa banjir di Kampung Batu 16 di sini, menerima bakul makanan disumbangkan sukarelawan Team Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan makanan kering seperti beras, mi segera, sardin dan biskut termasuk pelitup muka serta cecair pembasmi kuman bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas.

“Agihan bantuan oleh Team Selangor dan dibantu Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dibuat secara berperingkat bermula hari ini. Insya-Allah dalam masa dua atau tiga hari lagi segala proses kepada semua penduduk dijangka selesai.

“Kita juga sedang fikir untuk menyalurkan bantuan sama di tempat lain yang terjejas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas menyampaikan bakul makanan kepada 10 penduduk sebagai simbolik agihan sumbangan di Dewan Batu 16 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang mengadakan lawatan pasca banjir di daerah ini mengunjungi Kolam Air Panas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 16 bagi meninjau kerja pembersihan dijalankan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada 4 November lalu, lebih 400 rumah di 10 kampung di Hulu Langat ‘lumpuh’ akibat banjir susulan hujan lebat selama hampir lima jam.

Kampung terlibat ialah Kampung Batu 16, Kampung Sungai Serai, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 14, Kampung Batu 18, Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 17, Kampung Dusun Nanding, Kampung Batu 13 dan Kampung Lubuk Kelubi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Peruntukan PeBT bukan niat politik

PETALING JAYA, 9 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin yang mempertikaikan pemberian peruntukan RM5.3 juta kepada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sebagai tidak wajar.

Ini kerana, penubuhan PeBT bukan berniat politik atau menjadi pesaing kepada Majlis Belia Selangor (MBS) malah sejak 2009 ia turut mempunyai struktur yang hampir sama seperti ketua kampung dan sebagainya.

“Saya tidak nampak ia berniat politik sebab kita memang nak membangunkan belia. Sebab itu kita terbuka bukan hanya anak muda Pakatan Harapan sahaja, ia juga harus melibatkan semua gabungan anak muda yang ada.

“Sudah tentu (kenyataan) tidak wajar kerana kita sudah melahirkan pimpinan bukan satu dua orang, ramai yang terlibat sama ada di peringkat tempatan, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO). Ini satu contoh bidang kepada anak muda untuk terlibat secara langsung dengan aspirasi kerajaan,” katanya.

Amirudin Shari meneliti karya pelukis Khairul Ehsani Sapari bertajuk ‘The Transition lll’ selepas merasmikan Pameran Seni Rupa ‘Sisarasa’ Residensi Seni 2/2019 Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya pada 8 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media selepas pembukaan RUsSEL Residensi sesi 2/2019 di sini, semalam.

Katanya, PeBT dan MBS perlu bergabung di peringkat tempatan dan akar umbi kerana menjadi pemangkin belia di samping menghubungkan semua persatuan sedia ada.

“Ada orang minat persatuan, ada yang minat persatuan kompang tidak berdaftar (dan) ada yang minat persatuan skateboard. Mereka ini tidak berdaftar tetapi mereka terlibat. PeBT tugasnya mencantumkan (persatuan) yang rasmi dan tidak rasmi dalam satu program atau aktiviti disusun Kerajaan Negeri,” katanya.

Mohd Imran dalam kenyataan dilaporkan sebelum ini mendakwa penyaluran peruntukan jutaan ringgit itu dipercayai untuk kepentingan parti politik pemerintah di Selangor.

Categories
SELANGOR

PeBT MBSA rai 40 keluarga kurang bernasib baik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 MEI: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meraikan 40 keluarga sekitar Kampung Sungai Kandis serta Zon 15 di Dewan MBSA Sungai Kandis, semalam.

Pengerusi Belia Tempatan(PeBT) Zon 15, Muhammad Syaril Showkat Ali berkata, ia selaras dengan sepuluh teras utama PeBT yang membantu melatih anak muda memperkasakan nilai kepimpinan dan organisasi diri.

“Pada masa sama, ia adalah usaha sama dan membabitkan anak muda tempatan yang merancang dari awal sehingga ke akhir program.

“Lazimnya, anak muda lebih berminat kepada aktiviti sukan seperti futsal, permainan elektronik dan sukan lasak namun menerusi program ini dapat memberi pendedahan terhadap kebajikan masyarakat serta mendidik sikap prihatin terhadap golongan yang lebih memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis; Mohd Zawawi Ahmad Mughi, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor; Jestin Raj Savarimuthu dan Ahli Majlis MBSA Zon 15 dan 13.

Dalam kenyataan sama, Mohd Zawawi berkata, menerusi program itu, ia dapat memberi kesedaran sekali gus memupuk sikap kerjasama dalam kalangan belia di kawasan terbabit.

“Di samping itu, setiap program yang kita diadakan, kita juga perlu menerapkan tradisi ‘Yuk Munjung’ (Jom Mengunjung) bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik untuk kongsi keriangan Aidiliftri ini,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

MPK saran PeBT laksana program sukan & ekonomi

OLEH UMIRAH IZRIN

KLANG, 8 MAC: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Majlis Perbandaran Klang (MPK) disaran melaksanakan program berasaskan sukan dan ekonomi.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, aktiviti sukan dan ekonomi seperti jualan kraftangan, batik dan pameran mampu menyatupadukan belia.

“Justeru, PeBT bertindak sebagai medium Kerajaan Negeri dan MPK kepada belia bagi melaksanakan sebarang aktiviti.

“PeBT merupakan landasan terbaik menarik golongan muda sekali gus, melahirkan belia yang berwibawa dan bermatlamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Semarak Kasih Penghargaan Ahli Majlis dan PeBT 2019 di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedia membantu PeBT melalui pelbagai bantuan fasiliti jika diperlukan.

Terdahulu, seramai 24 Ahli Majlis Perbandaran Klang dan 21 ahli PeBT melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

IBR julung kali diadakan bagi memupuk sifat tanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan amanah.

Categories
SELANGOR

242 Pengerusi PeBT terima watikah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 FEB: Seramai 242 Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) menerima watikah perlantikan masing-masing dalam Majlis Apresiasi dan Penyerahan Watikah PeBT Negeri Selangor 2019.

Penyerahan watikah itu disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman di Dewan Jubli Perak di sini, petang tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; ADN Rawang, Chua Wei Kiat dan ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Sementara itu pada majlis sama, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi selepas diumumkan sebagai pemenang Anugerah PeBT Negeri Selangor Terbaik.

Anugerah itu disampaikan Mohd Khairuddin kepada Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman.

Seramai 12 Pengerusi PeBT pula dianugerahkan PeBT terbaik Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.

Manakala 24 yang lain pula memenangi Anugerah Kepimpinan PeBT dan Anugerah Penghargaan PBT dengan masing-masing membawa pulang hadiah trofi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

10 tahun ditubuhkan, PeBT lahir ramai pemimpin muda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 FEB: Penubuhan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sejak 10 tahun lalu bukan sahaja memberi banyak manfaat kepada belia di peringkat akar umbi.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, PeBT turut melahirkan ramai pemimpin muda yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis sebelum terpilih menjadi wakil rakyat muda seperti beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) di dalam dan luar Selangor.

“Antara wakil rakyat yang asalnya mengasah bakat memimpin dalam PeBT seperti, ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; ADN Rawang, Chua Wei Kiat dan ADN Ketari, Pahang, Syefura Othman.

“Mereka sebelum itu adalah Pengerusi PeBT di zon masing-masing dan kemudian ada yang menjadi Ahli Majlis dan ada juga selepas itu menjadi wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyerahan Watikah PeBT Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, berbanding negeri lain, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai program seumpama ini.

Selangor mempunyai 288 Pengerusi PeBT yang mewakili zon masing-masing di dalam 12 Pihak Berkuasa Tempatan.

Pengerusi PeBT dipilih berdasarkan kriteria tertentu antaranya aktif dalam aktiviti belia, mempunyai sifat kepimpinan dan berdisplin tinggi .

Categories
SELANGOR

RM4.96 juta perkasa generasi muda dan PeBT

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM4.96 juta bagi tujuan pemerkasaan generasi muda dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bagi 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, salah satu Dasar Belia yang akan diberi penekanan adalah Teras Keusahawanan dan Pekerjaan dengan penyediaan pelbagai insentif kepada belia di Selangor untuk menjadi usahawan berjaya.

“Kerajaan Negeri juga mahu merangsang aktiviti keusahawanan belia dengan memberi bantuan perniagaan yang disediakan kepada generasi muda.

“Aktiviti kesukanan yang melibatkan Generasi Muda Program Pesta Sukan Generasi Muda Selangor (GEN-S) akan diperluaskan dengan melibatkan belia- belia di universiti, kolej, serta sekolah-sekolah di seluruh Negeri Selangor dengan mengekalkan Teras Kesukanan dan Kecergasaan.

“Program #YouthPower bakal melahirkan Ikon Generasi Muda yang berwibawa dan meneruskan legasi yang berjaya dengan gabungan Pendidikan (Kemahiran) dan Usahawan Muda,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penganjuran Jelajah Muafakat Anak Muda ke setiap daerah dengan aktiviti kempen jauhi Dadah adalah memberi fokus kepada anak-anak muda di kampung dan desa.

Bagi memartabatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT), Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018-2022 diwujudkan untuk dijadikan asas gerak kerja PeBT serta dijadikan panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang.

Inisiatif ini akan melibatkan pemegang taruh yang berkaitan di dalam pembangunan generasi muda Selangor dan pemimpin Penggerak Belia Tempatan yang berada di peringkat akar umbi.

Categories
SELANGOR

Ahli Pebt berpotensi jadi ahli majlis

NORHAYATI UMOR

MORIB, 26 OKT: Penggerak Belia Tempatan (Pebt) seluruh negeri disarankan mahir berkomunikasi untuk menjadi pemimpin berdaya saing.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata dalam pembentukan seseorang pemimpin, kebolehan bercakap sangat penting.

Amiruddin Shari“Kriteria berani dan mampu membuat pengucapan awam dengan baik, ia akan dapat menyakinkan golongan belia yang lain.

“Mana tahu ada penggerak belia menjadi ahli majlis tahun depan, jadi sedikit sebanyak perkara ini diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Kepimpinan dan Bengkel Pengucapan Awam Pebt Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Gold Coast International Resort, di sini, semalam.

Amirudin berharap Pebt dilantik dapat meneruskan pencapaian mereka dalam kemahiran berkomunikasi sehingga perlantikan baru dilakukan tahun depan.

“Saya mahu pastikan sesiapa dipilih mampu memimpin masyarakat dengan cara sihat dan boleh menjadi mata dan telinga komuniti sekeliling,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini Pebt dilihat semakin popular dengan banyak manfaat diperoleh dan berharap landasan itu digunakan sebaiknya dalam usaha menjadi pemimpin yang berketerampilan tinggi.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Orang ramai dijemput hadiri Sambutan Hari Belia Antarabangsa pada 24 Ogos

DSC_0105

SHAH ALAM 19 OGOS : Orang ramai dijemput untuk bersama-sama dalam Sambutan Hari Belia Antarabangsa pada 24 Ogos (Sabtu) ini.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata sambutan itu akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, bermula jam 7.00 pagi sehingga 12.00 malam

Turut dianjurkan serentak adalah Majlis Hari Raya Aildilfitri serta sambutan Ambang Merdeka.

Menurut Dr Ahmad, tema ‘Integriti’ dipilih supaya generasi muda menghayati prinsip itu dalam agenda perubahan nasional.

Tambah beliau, antara acara yang disusun nanti adalah penerangan isu berkenaan krisis di Mesir dan Solat Hajat untuk memohon keamanan di Mesir.

Turut diadakan sembang santai golongan belia bersama Mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan juga program khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita juga akan menganugerahkan anugerah Penggerak Belia Tempatan (Pebt) terbaik,” kata beliau.

Kata beliau, para pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan bagi sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri yang akan disediakan oleh setiap pihak berkuasa tempatan.

“Disasarkan lebih 10,000 akan hadir dalam program ini dan diharapkan lebih daripada itu kerana pada tahun lepas lebih 50,000 hadir pada program kemuncak dalam program bersama Ustaz Azhar Idrus,” kata beliau.

Katanya, beberapa acara sukan akan diadakan seperti Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ‘Rasuah’, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

 

Categories
SELANGOR

‘Masjid Angkat’ Bawa Belia Dekati Rumah Allah

 

BESTARI JAYA 23 SEPT : Kerajaan Negeri kini lebih inovatif dalam usaha menggerakkan anak-anak muda mendekati masjid dengan program melibatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di setiap DUN.

Antaranya, Kerajaan Negeri memperkenalkan program ‘Anak Muda Dekati Masjid’ di mana setiap PeBT harus mempunyai sebuah ‘masjid angkat’ untuk dijaga dan diselenggara dengan baik.

Hari ini bertempat di Masjid Al-Awwabin, kira-kira 50 orang belia mula berkumpul untuk kerja-kerja menaik taraf tandas masjid bermula seawal 8 pagi tadi.

“Saya selaku warga belia rasa seronok dan ringan untuk melakukan aktiviti sebegini.

 

“Bukan sahaja dapat berbakti dengan masjid yang kami kunjungi, tetapi ia juga mampu memberi keselesaan pada jemaah dan musafir yang singgah,” ujar Pengerusi PeBT Zon 4E, Mohd Nadzril Beedin, 28.

Beliau menambah, segala peruntukan menaik taraf tandas tersebut dibiayai Kerajaan Negeri di bawah seliaan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Sementara itu, Nazir Masjid Al-Awwabin, Mohamad Ariffin,58, memuji penganjuran program tersebut yang disifatkan sebagai usaha menarik minat anak muda ke masjid.

“Sekurang-kurangnya orang tidak boleh kata lagi, masjid hanya untuk mereka yang berusia.

“Adanya program seumpama ini, anak muda pun sudah boleh melibatkan diri dengan aktiviti masjid, ini sememangnya yang digalakkan agama (Islam) kita,” ujarnya yang sudah lebih sepuluh tahun berkhidmat di masjid tersebut.

Turut diadakan ialah program gotong-royong membersihkan kawasan masjid yang disertai Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi selain penduduk dan pelajar-pelajar daripada Sekolah Menengah Teknik Kuala Selangor.