Categories
NASIONAL

Mangsa kelima rabies di Sarawak meninggal dunia

KUCHING, 24 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa kelima jangkitan virus rabies dari Serian, Sarawak meninggal dunia, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun itu meninggal dunia, pada jam 10.43 malam.

Katanya, lelaki berkenaan disahkan positif virus rabies, pada 18 Julai lalu.

“Penyebab kematian adalah rabies with underlying pulmonary tuberculosis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat lima kes dalam kalangan manusia dilaporkan di Serian yang disahkan positif rabies dan semuanya meninggal dunia.

kkm1Bagaimanapun, katanya, tiada kes baru dilaporkan buat masa ini.

“Sebanyak 20 kawasan dalam tiga bahagian iaitu Serian, Sri Aman dan Kuching diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh Kerajaan Sarawak.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing mengikut prosedur dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian terlibat,” katanya.

Sehingga 23 Julai lalu, 770 kes gigitan haiwan (anjing dan kucing) di ketiga kawasan terbabit dikesan dan diberikan rawatan lanjut.

Categories
NASIONAL

KKM bakal kuat kuasa larangan jual ikan buntal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan peraturan mengharamkan penjualan ikan buntal, kecuali toksik dalam perutnya dibuang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham berkata, ia akan dilakukan melalui pindaan kepada Akta Makanan 1983 yang akan mengharamkan import, penyediaan, iklan atau penjualan ikan buntal.

Katanya, sesiapa yang didapati bersalah di bawah akta pindaan itu boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara.

“Undang-undang baru itu sedang diusahakan untuk diwartakan.

“Pindaan itu dicadangkan kali pertama pada 2014 ketika kementerian mendapat pandangan masyarakat,” katanya memetik laporan The Star.

kkm1Noor Hisham berkata, kementerian akan terus mendidik masyarakat berkenaan makanan selamat termasuk bahaya memakan ikan buntal.

Malaysia ketika ini tidak mempunyai badan mengawal mereka yang berhasrat memasak ikan buntal untuk sajian berbanding Jepun.

Dari 1985 hingga 2014, Bahagian kawalan penyakit mencatatkan 55 kes keracunan ikan buntal dan 17 kematian berkaitan ‘tetrodotoxin’.

Baru-baru ini, heboh diperkatakan isu memakan ikan buntal. Terdapat peniaga yang menjual filet ikan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Categories
NASIONAL

Tiada ‘sulfamethazine’ dalam tin luncheon China

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Tiada penggunaan bahan telarang ‘sulfamethazine’ dikesan dalam tin luncheon meat yang diimport dari China, sebagaimana tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan terus memantau jika wujud pelanggaran terhadap kandungan itu.

“Bahan ini yang juga dikenali sebagai sulfadimine adalah sejenis antibiotik digunakan dalam penternakan haiwan dan merawat jangkitan bakteria pada manusia.

“Bahan ini dibienarkan penggunaannya di bawah Jadual 15 A pada paras 100 UG bagi lembu, ayam dan khinzir,” katanya dalam kenyataan, lewat malam tadi.

Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia memaklumkan 292.936.21 kilogram (kg) luncheon meat dari China bernilai RM3.7 juta diimport sejak 1 Januari 2015 hingga 16 Jun lalu.

Terdahulu, International Agency for Research on Cancer (IARC) mendedahkan, sulfamethazine tidak diklasifikasi sebagai karsinogen kepada manusia.

Sementara itu, penilai antarabangsa iaitu Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA) menetapkan kandungan bahan itu di bawah paras Acceptable Daily Intake (ADI) 0-0.05 mg/kg body/weight.

Categories
NASIONAL

KKM akui silap kes serah mayat di Hospital Kajang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUN: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengakui berlaku kesilapan dan kecuaian dalam kes penyerahan mayat di Hospital Kajang, baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan rapi diketuai Ketua Pengarah Kesihatan sedang dijalankan dengan mengambil keterangan kakitangan dan pengawai perubatan di rumah mayat hospital berkenaan.

Katanya, siasatan itu dijangka siap secepat mungkin bagi membolehkan tindakan tegas diambil.

“Kita minta maaf sebab perkara itu sepatutnya tidak berlaku. Semua Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah disemak semula tetapi tidak tahu bagaimana perkara itu berulang di Hospital Kajang.

“Kalau ada bukti kecuaian dan apa sebab ia berlaku, kita akan ambil tindakan tatatertib termasuk menggantung tugas,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau dilapor berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Yahya dengan Warga Kementerian Kesihatan di Putrajaya, semalam.

Dr-S.-SubramaniamSubramaniam berkata, kejadian serupa juga pernah berlaku tiga bulan lalu di Hospital Pulau Pinang dan pihaknya sudah menyemak semula SOP berhubung penyerahan mayat.

Katanya, kejadian di Hospital Kajang bagaimanapun dilihat sebagai isu sensitif kerana membabitkan isu agama dan tidak seperti kes di Pulau Pinang.

“Kali ini berbeza kerana ia membabitkan emosi memandangkan isu jenazah dekat di hati khususnya saudara mara.

“Saya amat sedih atas kejadian itu,” katanya.

Pada 4 Jun lalu, mayat seorang mualaf, Hassan Abdullah, 74, dilapor tersalah serah oleh Hospital Kajang kepada sebuah badan kebajikan hingga menyebabkannya disempurnakan mengikut agama Buddha.

Allahyarham atau nama asalnya, Lin Ah San @ Lim Ah San merupakan satu-satunya penganut Islam dalam keluarga dan menetap di sebuah rumah kebajikan di Kajang.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan bazir ubat

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang ubat yang diterima dari hospital atau klinik sejurus mendapat sijil cuti sakit (MC).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Helmi Yahya berkata, hal itu kerana pihaknya menerima banyak laporan pesakit membuang ubat-ubatan diterima di luar pagar hospital atau klinik selepas mendapat rawatan.

Katanya, kementerian turut mengenal pasti perbuatan itu banyak dilakukan dalam kalangan pesakit yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Kalu tidak mahu ubat, jangan ambil atau pulangkan semula kepada klinik atau hospital berkenaan kerana selain merugikan, tindakan itu amat merbahaya terutama kepada kanak-kanak jika mereka menemuinya,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada masa sama, Dr Helmi berkata, KKM memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana ia menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.

“Ubat yang disediakan bukanlah sedikit, sebaliknya menelan kos sehingga RM22 bilion, pada tahun lalu,” katanya.

Categories
NASIONAL

KKM: Elak guna tiga kosmetik mengandungi racun

SHAH ALAM 11 APRIL: Orang ramai dinasihatkan mengelaklan daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk itu ialah Tati Skincare Night Cream yang mengandungi merkuri, Tati Skincare Treatment Cream (hydroquinone dan tretinoin) dan Moleek Anti Pigment Cream (hydroquinone dan tretinoin).

“Notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Pengguna dan orang ramai boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik di laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di http://npra.moh.gov.my/.

=EZY=

Categories
NASIONAL

KKM tidak terima amaran pencemaran paracetamol

SHAH ALAM, 8 FEB: Tiada sebarang laporan amaran berjaga-jaga diterima akibat pencemaran paracetamol daripada pihak berkuasa negara pengilang atau negara lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk P/500 (Aeknil) berwarna putih itu tidak berdaftar dengan kementerian dan ia adalah berbeza dengan Aeknil Tablets yang didaftarkan.

Ini berikutan penularan mesej di media sosial bahawa produk P/500 (Aeknil) berwarna putih berkilat itu mengandungi virus Machupo.

Katanya, Aeknil Tablets berdaftar mengandungi bahan aktif paracetamol 500mg dengan nombor pendaftaran ‘MAL19911249XZ’ dengan indikasi ‘For the relief of mild to moderate pain and reduce fever’.

16422337_1282931121746208_5811552976984953831_o“Tablet yang didaftarkan itu berwarna biru, berbentuk bulat dengan diameter setengah inci dan mempunyai perkataan aeknil atau therapeutic pada permukaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, virus Machupo yang tersebar melalui air kencing atau najis tikus yang dijangkiti dikelaskan dalam kumpulan virus Arenavirus dan boleh menyebabkan demam berdarah.

Beliau berkata virus tersebut tidak boleh hidup dalam persekitaran kering seperti tablet paracetamol dan setakat ini hanya ditemui di Amerika Selatan.

Justeru, orang ramai diminta memastikan produk diguna adalah produk berdaftar, mempunyai pelekat hologram dan dilabel dengan nombor pendaftaran MAL.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pesakit kelas ketiga terus terima rawatan percuma

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa pesakit kelas ketiga terus menerima rawatan perubatan percuma.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kabinet memutuskan kajian semula beberapa caj hanya dilakukan bagi kelas satu dan dua.

Katanya, ia dibuat memandangkan kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh masa agak lama.

“Rakyat Malaysia yang sudah lama menikmati penjagaan kesihatan percuma akan terus menerima perkhidmatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, terdapat dakwaan di laman sosial bahawa caj rawatan di hospital turut naik selain kenaikan harga bahan bakar bermula hari ini.

=EZY=

Categories
NASIONAL

KKM: Sulfur dioksida tidak berbahaya jika dalam kuantiti dibenar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JAN: Penggunaan sulfur dioksida dibenarkan dalam pengawetan makanan namun penggunaannya adalah pada kadar tertentu dengan tidak melebihi 30mg/kg.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata, sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia jika digunakan pada kadar dibenarkan namun individu sensitif akan mengalami lelah sekiranya terhidu atau tertelan.

“Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet dalam makanan tertentu. Ini termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin di mana sulfur dioksida dibenarkan pada kadar tidak melebihi 30 mg/kg.

“Sulfur dioksida dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan pada kadar tertentu oleh badan penilai antarabangsa Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA).

“Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kadar dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan lelah terhadap orang yang sensitif apabila terhidu atau tertelan,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata demikian mengulas penyebaran berita di laman media sosial berkaitan limau mandarin yang didakwa mengandungi sulfur dioksida.

Katanya, bagi melindungi pengguna sensitif kepada sulfur dioksida, di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap bungkusan mengandungi makanan untuk jualan termasuk produk segar seperti limau mandarin ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10 mg/kg, suatu pernyataan “mengandungi sulfur dioksida” hendaklah dilabel pada bungkusan itu.

“Sesiapa yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” katanya.

Manakala, katanya, di bawah subperaturan 11(1) (j), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bagi makanan import termasuk limau mandarin, nama serta alamat pembungkus dan pengimport, termasuk nama negara dari mana makanan itu berasal hendaklah dinyatakan pada label.

“Dalam hal ini, sesiapa yang membuat pelabelan palsu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau denda atau kedua-duanya seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan limau mandarin diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemantauan sepanjang 2015 hingga 2016 mendapati tiada limau mandarin dikesan mengandungi sulfur dioksida.

“KKM bagaimanapun meneruskan pemantauan ke atas limau mandarin dijual di pasaran bagi memastikan ianya selamat dimakan,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KKM tarik balik ubat hipertensi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JAN: Pesakit hipertensi yang menerima produk Ternolol 50 Film-Coated Tablet keluaran syarikat Hovid Berhad dinasihatkan menyemak sama ada terdapat kelompok BG04645 dalam simpanan mereka.

ternolol-tabletKetua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah mengeluarkan arahan kepada syarikat pengeluar itu untuk memanggil balik kelompok berkenaan.

Katanya, arahan itu dibuat berikutan kotak luar kelompok itu dilabel Ternolol 50, manakala label pada blister dicetak Ternolol Tab 100 miligram (100mg).

“Sekiranya kelompok berkenaan ada dalam simpanan pesakit, kerjasama dipohon agar tidak mengambil ubat dan memulangkannya dengan kadar segera ke klinik, farmasi komuniti atau fasiliti kesihatan di mana ianya dibekalkan.

“Sila berjumpa dengan pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat atau pemeriksaan sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, NPRA dan pihak pengilang sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca masalah.

“Produk itu didaftarkan Pihak Bekuasa Kawalan Dadah (PBKD) dengan nombor pendaftaran MAL19940057AZ.

“Ternolol 50 Film-Coated Tablet mengandungi bahan aktif atenolol yang dipreskrib untuk rawatan hipertensi,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi NPRA di talian 03-78835538 atau Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800 88 6722.

-NFN-

Categories
NASIONAL

KKM siasat prosedur sunat kendalian klinik seluruh negara

KUALA LUMPUR 31 DIS: Siasatan dalaman terhadap semua prosedur sunat dikendalikan klinik di seluruh negara dilaksanakan supaya kes kepala kemaluan kanak-kanak terputus ketika pembedahan tidak berulang.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya memandang serius terhadap dua kes komplikasi sunat membabitkan klinik perubatan swasta, baru-baru ini.

“Sunat adalah prosedur kecil, namun komplikasi yang mungkin tercetus daripada proses pembedahannya mampu mengancam nyawa pesakit.

“Pegawai perubatan sama ada swasta atau kerajaan sepatutnya perlu menjalani latihan mencukupi bagi memastikan mereka berkemampuan untuk melaksanakan prosedur pembedahan secara cekap dan selamat,” katanya dalam kenyataan media.

Mengulas perkembangan kedua-dua pesakit berkenaan, Noor Hisham berkata kanak-kanak yang masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun itu kini boleh kencing seperti biasa, namun sukar menjangkakan kesan psikologi apabila mereka menjengah usia remaja kelak.

Katanya, tempoh kedua-dua pesakit itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mempunyai kepakaran untuk merawat kes sedemikian penting kerana peluang semakin tipis jika mereka lewat dirujuk ke pakar perubatan.

“Kes berkenaan dikendalikan perunding berpengalaman, iaitu pasukan yang terdiri daripada pakar bedah plastik dan pembentukan semula, urologi (fisiologi dan rawatan salur kencing) serta psikiatrik kanak-kanak,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kes denggi menurun namun masyarakat mesti waspada

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 16 APR: Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kes denggi di seluruh negara terus menunjukkan penurunan kes iaitu bagi tempoh 3 April sehingga 9 April, sebanyak 2,031 kes denggi dengan tiga kematian dilaporkan seminggu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penurunan daripada 3,500 kes seminggu pada Januari 2016 kepada purata 2,000 kes seminggu pada April 2016.

“Jumlah kumulatif kes denggi adalah sebanyak 39,221 kes, berbanding 35,701 kes bagi tempoh yang sama pada 2015, peningkatan sebanyak 9.9 peratus (3,520 kes).

AEDES 1“Dalam tempoh sama, jumlah kumulatif kematian denggi adalah sebanyak 90 kematian berbanding 113 kematian bagi tempoh yang sama pada 2015, menunjukkan pengurangan sebanyak 23 kematian iaitu 20.4 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil pemantauan KKM menjangkakan kenaikan kes denggi berlaku pada bulan Mei sehingga Julai 2016 kerana mendapati tren kes denggi menunjukkan corak sama untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini

Bagi membendung peningkatan kes itu, KKM merancang Operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes secara besar-besaran di seluruh negara.

Operasi itu bermula pada 11 April hingga 10 Jun untuk memastikan tiada pembiakan Aedes terutama di premis kediaman, lokaliti hotspot dan wabak dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi peringkat negeri.

“Selain itu, KKM juga mengalakkan penglibatan kementerian dan agensi lain dalam aktiviti pencegahan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Namun begitu pelaksanaan aktiviti ini juga mesti dipantau dan mempunyai kesinambungan (sustainability) misalnya aktiviti pencegahan denggi di tempat kerja, program COMBI di bawah LA 21, Program Bebas Denggi di sekolah / IPT dan sebagainya.

“Diharapkan operasi penguatkuasaan ini berjaya mencapai objektif ditetapkan dan mendapat kerjasama daripada semua pihak terlibat,” katanya.

EZY