Categories
AGENDA NASIONAL

Kes kesalahan akta syarikat dua anak Shahrizat selesai

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kes membabitkan dua anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhubung beberapa kesalahan akta syarikat, selesai selepas mereka membayar kompaun kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pegawai Pendakwa SSM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Manira Mohd Nor bahawa kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) iaitu Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh ,35 dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh, 33, membayar kompaun terbabit.

“Pihak OKS sudah selesai membayar kompaun dan pihak kami memohon supaya saman dibatalkan,” katanya semasa sebutan semula kes itu.

Manira kemudiannya membatalkan saman yang dikeluarkan terhadap kedua-dua OKS itu.

Bagaimanapun, jumlah bayaran kompaun berkenaan tidak didedahkan dan bayaran itu dibuat di pejabat SSM bulan lalu.

Kedua-dua anak Shahrizat tidak hadir ke mahkamah.

Difahamkan saman itu dikeluarkan terhadap kedua-dua OKS berhubung beberapa pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 termasuk gagal membentangkan akaun untung dan rugi, gagal mengadakan mesyuarat agung taqwim dan gagal menyerah simpan penyata tahunan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 2012 dan 2015.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MBPJ lanjut bayaran kompaun lalu lintas sehingga 31 Ogos

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 27 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melanjutkan tempoh bayaran kompaun tertunggak dan kompaun semasa sehingga 31 Ogos ini bagi kesalahan lalu lintas.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, pihaknya bersetuju melanjutkan tempoh kempen berkenaan ekoran sambutan menggalakkan selain memberi peluang kepada orang ramai membuat bayaran.

“Kempen ini memberi peluang dan ruang kepada orang awam membuat bayaran bagi kompaun berkenaan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bilangan 6/2019 di Ibu Pejabat MBPJ, di sini semalam.

Mohd Sayuthi berkata, pihaknya berjaya mengutip hampir RM580,000 kompaun tertunggak dari 1999 hingga 2017, sementara hampir RM200,000 dikutip daripada kompaun semasa dari 2018 hingga sekarang.

Justeru, beliau berharap peluang itu diambil sebaik mungkin sebelum tindakan undang-undang di mahkamah akan diambil pihaknya.

Untuk semakan kompaun, orang awam boleh hadir ke tingkat 2 Menara MBPJ, memuat turun aplikasi pintar Smart PJ Enforcement atau hubungi talian 0379588085 sambungan 125/126

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ tawar pengurangan kompaun sempena ulang tahun ke-13

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun tertunggak dan semasa bagi kesalahan lalu lintas serta parkir bermula 1 Jun sehingga 30 Jun.

MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, ia diadakan bersempena sambutan ulang tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-13 pada 20 Jun ini.

Katanya, kempen pembayaran kompaun itu tidak membabitkan kes kompaun yang telah didaftarkan ke mahkamah.

“Penganjuran kempen ini memberi peluang dan ruang kepada orang awam untuk membuat bayaran bagi kompaun tertunggak dengan kadar minima.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa untuk menjelaskan semua bayaran tertunggak melalui semua saluran atau kaedah yang digunapakai MBPJ,” katanya.

Orang awam boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Pembayaran di Ibu Pejabat MPBJ; Lobi Menara MBPJ dan sistem atas talian di https://epay.mbpj.gove.my

Untuk sebarang pertanyaan dan proses semakan kompaun, orang ramai boleh memuat turun aplikasi pintar SMART PJ Enforcement atau layari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau hubungi di talian 03-79588085 sambungan 125/126.

Categories
NASIONAL

Tindakan kompaun untuk kesedaran rakyat – MB Terengganu

 

KUALA TERENGGANU, 29 Mei: Tindakan kompaun RM50 kepada individu yang dikenal pasti membuang sampah merata-rata di tempat awam, bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat untuk bersama-sama menjaga kebersihan sekitar pusat bandar raya.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun tindakan tersebut dilihat agak keras, namun ia dilakukan bagi memastikan persekitaran Kuala Terengganu sentiasa bersih, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tentunya kita hendak meraikan Hari Raya Puasa dengan persekitaran yang bersih, perantau pulang dalam keadaan yang ceria dan mendatangkan imej yang baik kepada negeri.

“Kita harap rakyat faham bahawa semua ini dibuat bukan untuk suka-suka, tetapi demi kepentingan semua pihak termasuklah pegunjung dan rakyat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan angkat di sini semalam.

Dilaporkan, tindakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tersebut berkuat kuasa serta merta semalam.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Shahidan Embok dilaporkan berkata, tindakan kompaun RM50 tersebut bertujuan memastikan kebersihan bandar raya ini terutama kawasan sekitar jambatan angkat. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

MPK laksana kempen pengurangan kompaun serendah RM5

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan kempen “Grand Discount” bermula 20 Mei sehingga 2 Jun ini, bagi pengurangan kompaun letak kereta serendah RM5.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tawaran selama 14 hari itu dilaksanakan sempena ulang tahun ke-129 pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Katanya, ia membabitkan tawaran Kompaun Letak Kereta dengan kadar RM5 untuk tempoh dari 2011 sehingga 2015 dan RM15 sehingga RM200 (2016-2019) membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kempen ini diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai menjelaskan kompaun mereka terutama yang sudah sekian lama tertunggak.

“Kadar serendah RM5 ini dapat membantu pelanggan yang tidak berkesempatan menjelaskan kompaun mereka sebelum ini, sekali gus dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK Bil 4/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kompaun itu tidak termasuk bagi kesalahan kompaun yang dikeluarkan di bawah Perenggan 51 (Kesalahan meletak kereta di petak khas), Perenggan 36 (2) (e) (Kesalahan OKU) dan Perenggan 36 (1) (a) (Kesalahan tiada seorang pun menghalang atau menyebabkan terhalang mana-mana tempat atau petak letak kereta).

“Oleh itu, orang ramai digesa merebut peluang keemasan ini untuk menjelaskan kompaun mereka sebelum tempoh tawaran tamat pada 2 Jun.

“Semakan juga boleh dilakukan di kaunter tambahan yang disediakan di lobi Ibu Pejabat Majlis dan Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana,” katanya.

Sementara itu, bayaran pula boleh dibuat di semua kaunter Ibu Pejabat MPK, Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Pejabat Cawangan MPK Jalan Raya Barat, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang, Dewan Meru dan Pekan Kapar.

Selain itu, turut disediakan pembayaran melalui Mesin i-Kiosk (CDM), Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan di pasar raya terpilih mengikut jadual ditetapkan.

Semakan dan bayaran kompaun boleh dilakukan pada hujung minggu Sabtu dan Ahad di kaunter AEON Bukit Raja (25-26 Mei) dan AEON Bukit Tinggi (1-2 Jun), mulai 10.30 pagi sehingga 10 malam.

Untuk makluman, pembayaran kompaun secara dalam talian melalui JomPAY (Biller code: 84277) dan aplikasi Smart Parking MPKlang (Android dan Iphone) juga boleh dilakukan bagi memudahkan orang awam.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pemaju lebuh raya didenda RM25,000 kes banjir lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenakan kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemaju projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) susulan kejadian banjir lumpur di Taman Sierra Ukay, Ukay Perdana, Ahad lalu.

Notis kompaun dikeluarkan pada 1 April berdasarkan Seksyen 70A(9), Akta Jalan Dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk dan menyebabkan banjir lumpur.

Tindakan itu dinyatakan dalam laporan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang disahkan oleh Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi, semalam.

Dalam dokumen enam halaman itu, yang dilihat SelangorKini, MPAJ mengesyorkan kerja pembangunan dihentikan bagi pelaksanaan kerja metigasi di tapak binaan.

Menurut siasatan PBT itu, banjir lumpur berpunca daripada kegagalan pemaju “mengawal atau menyelenggara kolam tadahan dan longkang dengan sempurna yang menyebabkan aliran air berlumpur melimpah keluar.”

“Hasil semakan di tapak juga mendapati kolam tadahan dan longkang tanah yang dibina kontraktor terlalu kecil dan cetek serta tidak mampu untuk menanggung taburan hujan yang tinggi…,” laporan itu dipetik.

Susulan itu, laporan berkenaan berkata, air yang bercampur lumpur melimpah ke kawasan rumah yang berhampiran di beberapa batang jalan di taman perumahan berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, kawasan paling teruk terjejas adalah Jalan Siera Ukay 6.

Dalam kejadian 31 Mac lalu, hampir 13 buah rumah terjejas akibat banjir lumpur akibat taburan hujan yang lebat selama tiga jam dari jam 6 petang.

Bagi tindakan jangka masa panjang, MPAJ meminta reka bentuk perancangan kawalan hakisan sedimen (ESCP) disemak semula oleh perunding alam sekitar bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Selain itu, kaedah kerja di tapak pembinaan terutamanya kerja tanah akan dikaji dan diperincikan semula.

“(Pemaju) memaklumkan sebarang perubahan reka bentuk dan kaedah kerja kepada pihak berkuasa dan juga penduduk bagi penyampaian maklumat yang tepat.

“Mengadakan taklimat kepada penduduk secara berkala untuk menerangkan kemajuan projek serta aktiviti pembinaan yang dijalankan di kawasan sekitar.

“Mengemukakan laporan ringkas berkaitan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar di tapak kerja secara berkala kepada persatuan penduduk,” kata MPAJ dalam laporan itu.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun 50% sepanjang Mac

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 7 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan potongan sebanyak 50 peratus kepada Orang Kena Kompaun (OKK), sepanjang Mac ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen itu adalah inisiatif MBSA membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan.

“MBSA turut memberikan pengurangan RM30 bagi kompaun di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Antara jenis kompaun yang diberi pengurangan adalah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

Pada masa sama, katanya, saluran bayaran terbaharu JomPAY turut diperkenalkan bagi memudahkan OKK membuat bayaran.

Shahrin berkata, OKK hanya perlu memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ref1 dan nombor telefon pada ref2 serta seterusnya jumlah bayaran.

“MBSA menyeru orang ramai khususnya yang memiliki tunggakan kompaun supaya mengambil peluang menyelesaikan kompaun masing-masing bagi mengelak tindakan mahkamah atau sekatan urusniaga dikenakan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ keluar 88 notis kompaun sepanjang Januari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 27 FEB: Sebanyak 88 notis tawaran kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan premis makanan, sepanjang Januari lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, melalui pemeriksaan terhadap 206 premis, pihaknya turut mendapati 93 premis atau 45.15 peratus mendapat Gred B, manakala lima premis ditutup kerana mendapat Gred D.

“Kami mengenal pasti pemilik makanan tiada Sijil Latihan Pengendali Makanan, tiada suntikan antitaun (typhoid), gagal mengekalkan premis makanan dalam keadaan bersih, tidak memakai apron dan penutup kepala serta tidak menjaga kesihatan diri.

“Pemilik premis melanggar peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MPSJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MPSJ) 2007,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.2/2019, di Bilik Mesyuarat Kenanga Aras 2, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, MPSJ akan terus mempertingkatkan usaha melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ke atas premis makanan bagi memastikan premis terbabit mematuhi peraturan ditetapkan, khususnya daripada aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

Katanya, bagi premis makanan di Medan Selera MPSJ, Pihak Berkuasa Tempatan itu akan membatalkan penyewaan pengusaha premis berkenaan dan dibuka kepada penyewa baharu jika premis atau gerai terbabit masih mendapat Gred C dan D.

“Untuk rekod sepanjang 2018, sebanyak 1,743 notis pembersihan dan 867 notis tawaran kompaun keluarkan kepada pemilik premis makanan yang melanggar peraturan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Harga kompaun dan tunda MPSJ naik

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 7 DIS: Kadar kompaun dan tundaan kenderaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan dinaikkan kepada RM260, bermula 2 Januari 2019.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kadar yang dinaikkan dari RM132 itu untuk semua kenderaan yang didapati melanggar peraturan lalu lintas di pentadbiran MPSJ.

Katanya, kadar baru itu dikenakan bagi membentuk dan mendisiplinkan masyarakat supaya mematuhi peraturan, sekali gus mengurangkan permasalahan halangan lalu lintas, di kawasan berkenaan.

“Keputusan menaikkan kadar kompaun dan tundaan kenderaan ini diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Bil 09/2018 bertarikh 18/10/2018 serta Mesyuarat Majlis Perbandaran Subang Jaya Bil 10/2018 bertarikh 25 Oktober 2018,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemilik kenderaan yang ditunda juga perlu menjelaskan bayaran komapauntertunggak (jika ada) sebelum kenderaan dilepaskan.

“Justeru, MPSJ menyeru orang awam untuk mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan dan meletakkan kenderaan di dalam petak letak kenderaan.

“Ini bagi mengelakkan tindakan penguat kuasaan dikenakan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta ) Majlis Perbandaran Subang Jaya 2007 (Pindaan) 2011,” katanya.

Kadar bayaran kompaun trafik dan tunda itu membabitkan kompaun (RM50), tunda (RM200), kos simpanan (RM10) sehari.

Jumlah bayaran akan bertambah mengikut bilangan hari kos penyimpanan kenderaan.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini (sehingga November 2018), MPSJ mengeluarkan 6,462 notis tawaran kompaun serta tindakan tundaan kenderaan kepada pesalah lalu lintas.

Categories
PBT SELANGOR

RM88.3 juta kompaun tertunggak di MPSJ

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 24 JAN: Lebih RM88.3 juta masih belum dijelaskan pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan jalan raya, di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, sepanjang tahun lalu, 567 kes trafik dibawa ke Mahkamah Majistret Munisipal MPSJ untuk tindakan pendakwaan, dengan 127 waran tangkap dikeluarkan terhadap Orang Kene Saman (OKS).

“Sehubungn itu, MPSJ melaksanakan kempen ‘Flat Rate’ dengan OKK boleh membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan kadar lebih rendah selama tiga bulan.

“Pengurangan RM10 akan diberi bagi semua kod kesalahan, bermula 1 Februari hingga 30 April ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPSJ, pagi tadi.

Noraini berkata, ia terbuka kepada semua jenis kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MPSJ 2007 kecuali kesalahan di bawah Perintah 2 Perintah Pengangkutan Jalan MPSJ 2012 dan kompaun yang dibawa ke mahkamah.

Katanya, orang ramai khususnya pesalah trafik sewajarnya mengambil kesempatan itu sebelum kes mereka dibawa ke mahkamah dan boleh dikenakan maksimum RM80 sebaik tempoh kempen tamat.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ tawar kompaun ‘Flat Rate’ serendah RM10

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan kempen kadar rata ‘Flat Rate’ bagi menggalakkan orang ramai membayar kompaun kesalahan trafik yang tertunggak.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kempen yang akan bermula pada 1 Februari hingga 30 April ini mengenakan bayaran RM10 bagi melunaskan kompaun.

“Kadar ‘Flat Rate’ adalah untuk semua kesalahan trafik kecuali Kesalahan di Bawah Perintah 2, Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Berat) MPSJ 2012 melebihi 10 tan dan kompaun yang
dibawa ke mahkamah.

“Ini adalah peluang yang diberi kepada pesalah trafik sebelum tindakan perundangan diambil selepas tarikh akhir,” katanya dalam kenyataan.

Bayaran boleh dibuat melalui Mesin Kios Elektronik 24 Jam di MPSJ, kaunter pandu lalu, kaunter bergerak dan sistem MPOS, iaitu pembayaran menggunakan kad kredit atau debit kepada anggota penguat kuasa MPSJ di lapangan.

Categories
PBT SELANGOR

MPK tawar pengurangan kompaun serendah RM15

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 DIS: Orang ramai disaran menjelaskan bayaran kompaun letak kenderaan sempena Krismas ini serendah RM15 sahaja, di Majlis Perbandaran Klang.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, tawaran terbabit dibuat dalam tempoh terhad, menjelang akhir tahun ini.

Katanya, pengurangan itu membabitkan kesalahan Kompaun Letak Kereta, bermula 15 hingga 24 Disember ini.

“Tawaran kempen pengurangan berkenaan bertujuan menggalakkan orang ramai mengambil peluang menjelaskan kompaun tertunggak mereka.

“Kempen yang diadakan juga akan membantu pelanggan tidak berkesempatan untuk menjelaskan kompaun terdahulu supaya dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, semakan boleh dibuat di Kaunter Tambahan di Lobi Ibu Pejabat Majlis dan Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana.

Katanya, bayaran boleh dibuat di semua kaunter Majlis di Ibu Pejabat MPK, Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang dan Pekan Kapar.

“Selain itu, bayaran juga boleh dilakukan di Kaunter MPK Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan kaunter pasaraya terpilih yang akan disediakan.

“Pembayaran kompaun melalui ‘online’ juga boleh dilakukan,” katanya.

Perkhidmatan semakan dan pembayaran tawaran kompaun di pasar raya terpilih dibuka, pada Sabtu dan Ahad bermula 16 hingga 17 Disember ini, di Pasaraya Aeon Bukit Raja, Klang manakala 23 dan 24 Disember ini di Pasaraya Aeon Bukit Tinggi, Klang.