Categories
AGENDA NASIONAL

31 kompaun langgar SOP PKPP dikeluarkan di Port Dickson

PORT DICKSON, 1 OGOS: Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh seminggu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata Pasukan Petugas Pematuhan SOP PKPP terdiri daripada anggota polis Ibu Pejabat Daerah Port Dickson, penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan penguat kuasa Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson telah menjalankan pemeriksaan ke beberapa premis sekitar bandar Port Dickson, Lukut dan Teluk Kemang.

“Operasi pematuhan turut tertumpu di kawasan pantai yang kerap dikunjungi pelawat yang dibuka kepada orang awam sejak 13 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pasukan petugas juga mengeluarkan dua kompaun terhadap dua lelaki yang minum minuman keras sehingga mabuk di tepi pantai Sunshine Bay, Jalan Pantai Port Dickson, Sabtu lepas, katanya sambil menambah pihaknya secara berterusan mendidik masyarakat agar mematuhi SOP PKPP sehingga 31 Ogos, nanti.

Katanya, operasi pematuhan diperhebatkan pada hujung minggu dengan tumpuan dilakukan di sepanjang pantai Port Dickson dan orang ramai juga diingatkan bahawa sebarang aktiviti selepas pukul 12 malam, adalah dilarang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu tak pakai pelitup muka didenda serta-merta

SHAH ALAM, 30 JULAI: Polis boleh mengenakan kompaun serta-merta terhadap individu tidak memakai pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang gagal mematuhi peraturan itu akan didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Apabila kita kata wajib, jika melanggar peraturan, akan dikenakan tindakan (kompaun). Bagaimanapun, pelaksanaannya terpulang pada budi bicara polis.

“Kalau biasanya dulu-dulu apabila sesuatu perkara ditetapkan, pada peringkat awal (polis) akan tegur secara berhemah. Polis (boleh) mengenakan kompaun serta-merta dan boleh beri nasihat juga,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 23 Julai, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam selepas mengambil kira penambahan kluster baharu selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM keluar 92 kompaun nilai RM4.6 juta salah syarikat telekomunikasi

CYBERJAYA, 4 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan sebanyak 92 kompaun bernilai RM4.6 juta kepada syarikat telekomunikasi atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 setakat suku kedua tahun ini.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata kesemua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan untuk prestasi penyelesaian aduan pengebilan, prestasi penyelesaian aduan bukan pengebilan dan standard prestasi pengendalian panggilan (talian hotline pelanggan).

Jumlah dan nilai kompaun sehingga suku kedua 2020 tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan sepanjang 2019 yang menyaksikan hanya 26 kompaun bernilai RM960,000 sahaja dikeluarkan menurut suruhanjaya itu.

Ia berkata peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan sehingga suku kedua 2020 itu menunjukkan ketegasan dan komitmen SKMM dalam memastikan kualiti pengalaman pengguna sentiasa terjamin.

Ini sekali gus mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pengguna terhadap industri komunikasi dan multimedia negara serta memastikan kemampanan industri terhadap kepentingan pengguna untuk jangka panjang, kata SKMM.

“SKMM akan terus bertindak tegas terhadap mereka yang gagal mengekalkan standard yang ditetapkan dalam AKM 1998, Piawaian Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) serta Kod Pengguna Am.

“Mereka yang ingkar boleh didenda mengikut Seksyen 105(3) AKM 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM100,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata pihak industri disarankan supaya meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi kepentingan pengguna dan seterusnya memperkukuh kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompaun jika langgar SOP di R&R, tempat awam

SHAH ALAM, 10 JUN: Masyarakat diingatkan untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di tempat awam atau bakal dikenakan kompaun, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tumpuan kini diberikan terhadap pematuhan SOP selepas tiada lagi sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rakyat.

“Saya ingin mengingatkan masyarakat walaupun kerajaan beri kebebasan bergerak dan merentas negeri, namun mereka sentiasa dalam pemantauan pihak berkuasa.

“Kompaun akan dikeluarkan jika ada yang melanggar SOP di hentian rehat dan rawat (R&R) ketika pulang ke kampung dan ketika berada di tempat awam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Ogos dengan lebih banyak
kelonggaran diberikan antaranya kebenaran rentas negeri dan aktiviti ekonomi kembali beroperasi mengikut SOP ketat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, premis niaga dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 3 JUN: Sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya semalam dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Agensi tersebut dalam kenyataan memaklumkan tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Selain itu, dua lagi kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membuat jualan murah tanpa mengemukakan notis kepada pengawal dan setiap premis dikompaun serta-merta sebanyak RM200,” katanya di Facebook.

KPDNHEP Selangor turut memaklumkan dua aduan berjaya diselesaikan dan disiasat selain mengeluarkan 76 kenyataan pemeriksaan premis sebagai bukti kehadiran penguat kuasa di lapangan.

Agensi itu juga menasihatkan peniaga mematuhi etika dan undang-undang manakala pengguna perlu bijak berbelanja bagi mengelakkan pembaziran.

Categories
AGENDA NASIONAL

Alasan tidak munasabah, 61 pemandu cuba rentas negeri dikompaun

SHAH ALAM, 27 MEI: Sebanyak 61 pemandu semalam dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri dan memberi alasan tidak munasabah.

Tindakan dibuat dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 388 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dan Kilometer 126 Jalan Persekutuan Ipoh Kuala Lumpur berhampiran sempadan Tanjung Malim, Perak dan Hulu Bernam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata antara alasan diberikan ialah mahu menjenguk rumah ibu bapa yang dilanda banjir kilat, namun pemeriksaan mendapati insiden berlaku minggu lalu.

“Ada juga pemandu memaklumkan SJR hanya dilakukan pada hari raya pertama menyebabkan dia merentas negeri. Bagaimanapun, polis mempunyai budi bicara bagi mereka yang mempunyai kes kecemasan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sulizmie berkata pihaknya juga melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah terutama yang mempunyai kenderaaan banyak, namun tiada pemilik dikenakan kompaun.

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor keluar kompaun lebih RM30,000 sepanjang PKP

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan kompaun berjumlah RM31,400 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan 76 kes dicatatkan di seluruh negeri sejak 18 Mac lalu sehingga semalam.

Menurut infografik yang dimuat naik di Facebook KPDNHEP Selangor, sebanyak 2,452 pemeriksaan dijalankan sepanjang tempoh tersebut dan keseluruhan nilai rampasan ialah RM818.80.

Bagi fasa kedua PKP, sebanyak 45 kes dicatatkan daripada 611 pemeriksaan membabitkan kompaun RM5,000 dan 31 kes direkodkan pada fasa ketiga dengan jumlah kompaun RM26,400.

Tiada sebarang kes dan kompaun dikeluarkan pada fasa pertama PKP.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, antara kesalahan utama dikesan KPDNHEP Selangor ialah peniaga tidak meletakkan tanda harga menyebabkan mereka dikompaun RM1,000 serta-merta.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, peniaga dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kegagalan meletakkan tanda harga pada beberapa barang jualan menyebabkan pemilik sebuah kedai runcit di Tasek Permai, Ampang semalam dikompaun RM1,000.

Ketua pegawai penguat kuasa daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan Kajang berkata jumlah kompaun itu pertama kali dikenakan terhadap peniaga kedai runcit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini, kami hanya mengeluarkan kompaun RM100 kepada peniaga yang gagal meletakkan tanda harga pada barangan harga terkawal, namun tindakan ini (kompaun RM1,000) diambil supaya peniaga tidak ambil ringan perkara ini terutama ketika PKP,” kata Mohd Sani Mohammad Nor dalam kenyataan.

Katanya, kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 3 (1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993.

Sementara itu, Mohd Sani berkata sebanyak 1,472 premis di seluruh kawasan seliaannya diperiksa sepanjang PKP.

“Setiap hari, kami menerima banyak aduan daripada orang membabitkan pelbagai sektor perniagaan.
Daripada keseluruhan pemeriksaan, 29 premis dikompaun dengan nilai keseluruhan RM4,200,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompaun RM1,000 jika ingkar arahan PKP – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 9 APRIL: Berkuatkuasa semalam orang ramai yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun RM1,000, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini sebanyak 95 notis denda telah diserahkan kepada individu terbabit.

“Mereka yang didapati ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran perlu diselesaikan di pejabat kesihatan daerah dalam tempoh dua minggu.

“Sesiapa yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar pengurangan kompaun parkir sepanjang Januari

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan bayaran kompaun tempat letak kereta sempena Kempen Pengurangan Kompaun sepanjang Januari tahun depan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata bayaran kompaun akan dikurangkan kepada RM10 bagi kesalahan sejak 2002 hingga 2009 daripada jumlah asal.

Manakala, katanya pengurangan kepada RM30 diberikan bagi kesalahan dari 2010 hingga 2020.

“Kempen ini untuk membantu dan menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan sebelum tindakan tegas dikenakan jika mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya MBSA turut menawarkan pengurangan sehingga 50 peratus terhadap kes di bawah kesalahan Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

“Ini termasuk Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pembayaran di kaunter utama Wisma MBSA, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

Categories
PBT SELANGOR

Padah parkir kenderaan berat di bahu jalan

KLANG, 2 DIS: Tindakan pemilik meletakkan kenderaan berat di taman perumahan dan bahu jalan, di sini mengundang padah apabila dikenakan kompaun serta saman oleh pihak berkuasa.

Dalam satu Operasi Kenderaan Berat pada Sabtu lalu, sebanyak 17 kompaun halangan kenderaan berat dikeluarkan Majlis Perbandaran Klang (MPK), 16 saman oleh Polis Trafik Klang Selatan manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sembilan saman.

Setiausaha MPK, Elya Marini Darmin berkata operasi terbabit dibuat berdasarkan aduan orang ramai yang bimbang terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Tindakan mereka (pemilik) meletak kenderaan berat di kawasan taman perumahan dan bahu jalan bukan sahaja mengganggu orang awam tetapi turut mengancam keselamatan.

“Justeru, operasi ini akan diadakan lebih kerap bagi memastikan pemilik kenderaan berat mematuhi syarat ditetapkan dan pemantauan akan dijalankan secara berterusan,” katanya kepada SelangorKini.

Operasi bermula 8 malam itu diadakan di Bandar Putra, Lebuh Kebun Nenas 1, Jalan Kebun Nenas 2A, Kebun Nenas 2J dan 2K serta Hulubalang 10, Seruling (tapak letak kenderaan berat MPK), Taman Chi Liung dan Batu Unjur.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS keluar 70 kompaun hari pertama bayaran parkir

KUALA SELANGOR, 4 SEPT: Sebanyak 70 kompaun dikeluarkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) atas kesalahan gagal mempamerkan kupon letak kereta pada hari pertama pelaksanaannya, semalam.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, sejumlah RM10 dikenakan bagi mereka yang membuat bayaran dalam tempoh 24 jam dan akan meningkat kepada RM30 dalam tempoh 14 hari jika lewat.

“Bagaimanapun, pada hari pertama pelaksanaan sistem ini berjalan lancar dan kebanyakan pengguna memahami serta mematuhi pelaksanaannya.

“Hanya terdapat segelintir pengguna yang masih keliru dengan tarikh pelaksanaan yang bermula semalam, namun MDKS akan berterusan menjalankan proses habahan kepada orang awam melalui Facebook dan laman rasmi kami,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah berkata, orang ramai boleh mendapatkan kupon gores melalui 140 ejen yang dilantik di semua kawasan Operasi Tempat Letak Kereta.

Katanya, untuk memudahkan pengguna, mereka juga boleh menggunakan aplikasi ‘Smart Selangor Parking’ dan ‘Flexi Parking’ yang boleh dimuat turun melalui ‘Google Play’ dan ‘Apple Store’.

“Selain itu, MDKS juga menawarkan harga promosi pas bulanan bernilai RM60 mulai September hingga Disember 2019 dan mulai 1 Januari 2020 harga pas bulanan itu akan dijual pada harga asal iaitu RM70 sebulan.

“Orang ramai boleh mendapatkannya dengan menghubungi 0332811654 untuk tempahan pembelian,” katanya.