Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih RM500,000 biaya pakej data internet percuma pelajar Kuis

SHAH ALAM, 2 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM502,500 bagi pembiayaan pakej data internet percuma kepada mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu bagi memastikan program pendidikan dan pengajaran di institusi berkenaan berjalan lancar meskipun perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat susulan Covid-19.

“Cabaran kita usahakan supaya pengajaran dan pendidikan dalam talian dapat dilaksanakan sebaik mungkin walaupun berdepan kekangan mendapat data internet khususnya bagi pelajar dari keluarga berpendapatan rendah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam tayangan video sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kuis di Pusat Konvensyen Kuis, Bangi hari ini.

Beliau berkata institusi pengajian tinggi lain milik Kerajaan Negeri seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) juga dibantu bagi memperkasa agenda pendidikan negeri.

Dalam majlis sama, institusi itu turut menerima dana rangsangan masing-masing RM1 juta daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebagai sokongan menghadapi pandemik Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kuis lahir lebih 24,000 graduan sejak 1995

SHAH ALAM, 2 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) berjaya melahirkan seramai 24,213 graduan sejak ditubuhkan 25 tahun lalu.

Rektornya Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata kejayaan graduannya diiktiraf dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Kecemerlangan ini sekali gus meningkatkan imej Kuis sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di bawah kelolaan Kerajaan Negeri yang terkemuka,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak ke-25 kolej itu di Pusat Konvensyen Kuis, Bangi hari ini.

Beliau berkata kolej itu turut berdepan pelbagai cabaran untuk menjadi institusi pendidikan yang menyediakan pengajian akademik berteraskan tauhid, sesuai dengan keperluan zaman.

“Usaha ini didokong pensyarah dan warga kerja yang memiliki sifat mudarris, mu`allim, muaddib, murabbi, dan mursyid. Memetik kata-kata Buya Hamka: “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh”,” kata Dr Ab Halim lagi.

Kuis yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ehsan memulakan operasi dengan menumpang di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jamaah, Seksyen 11 Shah Alam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tarikh daftar pelajar baharu Kuis bermula 1 Julai

SHAH ALAM, 21 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mengumumkan perubahan tarikh pendaftaran secara dalam talian bagi pengambilan pelajar baharu Sesi 1 2020/2021.

Tarikh baharu untuk pengajian asasi ditetapkan pada 1 Julai, diploma (sepenuh dan separuh masa) 2 Julai manakala ijazah sarjana muda pula 3 Julai membabitkan pengajian sepenuh dan separuh masa.

“Pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah ini serta bersemuka berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Pengajian Tinggi. Permohonan kemasukan bagi Sesi 1 2020/ 2021 masih lagi diterima,” maklum Kuis menerusi Facebook hari ini.

Bagi pendaftaran asrama pula, Kuis memaklumkan boleh dibuat secara hadir terus pada 4 Julai untuk pengajian asasi dan diploma sementara 5 Julai untuk pelajar ijazah sarjana muda.

Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan menerusi pautan http://eadmission.kuis.edu.my/ atau Google Form https://forms.gle/Brzu8csixHUsMs3v5 untuk prapendaftaran.

Untuk sebarang bantuan atau permohonan melalui WhatApps, pemohon boleh menghubungi pegawai pemasaran Kuis wasap.my/+60192260746/NakmasukKUIS atau wasap.my/+60193896937/NakmasukKUIS.

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Kurangkan yuran daftar, Kuis bantu pelajar terjejas

SHAH ALAM, 9 JUN: Susulan keadaan ekonomi terjejas akibat Covid-19, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menetapkan yuran pendaftaran pelajar baharu sebanyak RM650, kata timbalan rektor pengurusan korporat (pembangunan dan pengantarabangsaan).

Dr Zulkifli Abd Hamid berkata pengurangan RM350 daripada jumlah asal itu terbuka kepada pelajar tempatan yang berdaftar dengan universiti tersebut bagi sesi Julai 2020/2021.

“Atas dasar keprihatinan dan mengambil kira situasi ekonomi masa kini kita setuju untuk mengurangkan yuran pendaftaran memandangkan ramai dalam kalangan masyarakat terjejas berikutan Covid-19 dan mereka yang berminat untuk menjadi warga Kuis boleh mula mendaftar sehingga tarikh tutup pada 24 Julai ini,” katanya kepada SelangorKini.


Mengulas mengenai sasaran Kuis bagi sesi kali ini, Dr Zulkifli berkata pihaknya menyasarkan 2,505 orang yang akan mendaftar sebagai pelajar institusi pendidikan berteraskan kepada aqli dan naqli ini.

“Bagaimanapun, mengambil kira pandemik yang belum berakhir kita setuju untuk tidak melaksanakan sesi orientasi kepada pelajar baharu ini tetapi akan diadakan sesi taklimat secara bergilir-gilir mengikut pengajian,” kata beliau.

Untuk maklumat pendaftaran dan permohonan, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kuis di www.kuis.edu.my atau hubungi 019-226 0746 atau 013-389 6937 atau 03-8911 7000.

 

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

KUIS tawar pengajian ijazah lepasan matrikulasi

SHAH ALAM, 6 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) membuka permohonan pelajar lepasan matrikulasi bagi menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sesi 2020 dan 2021, kata rektornya.

Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata permohonan dalam talian itu dibuka dari 1 Julai hingga 3 Julai.

“Kuis adalah institusi pendidikan berteraskan kepada aqli dan naqli bagi melahirkan generasi profesional yang mempunyai kompetensi dalam aspek ilmu, kemahiran dan akhlak.

“Kami juga komited melahirkan tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangun dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Ab Halim berkata selain menawarkan pengajian Islam, Kuis turut menyediakan Pengajian Perniagaan, Perbankan Islam, Bahasa dan Komunikasi, multimedia, dan pendidikan.

“Kami menyediakan persekitaran kampus indah, kemudahan penginapan selesa serta kemudahan pembelajaran dan pengajaran terkini.

“Pada masa sama bertekad menjadi gedung ilmu bertaraf antarabangsa dan pelopor dalam kalangan institusi pendidikan tinggi berteraskan Islam,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ramadan normal baharu beri pengalaman berbeza buat mahasiswa

SHAH ALAM, 24 APRIL: Ramadan kali ini yang dihadapi dalam suasana normal baharu memberi pengalaman pahit dan manis kepada segelintir mahasiswa di kampus masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhamad Iqbal Hakim Nadhri, 20, berkata menjalani hari pertama ibadah puasa di perantauan terasa sedikit berbeza dan sayu kerana biasanya ketika ini beliau akan bersama keluarga di Jitra, Kedah.

Muhammad Iqbal Hakim Nadhri

“Ia memang agak menyedihkan, jika sebelum ini emak dan ayah akan kejutkan bangun sahur tetapi sekarang perlu dibuat sendiri dengan bantuan jam loceng telefon bimbit.

“Malah seperti kelaziman tahun sebelumnya saya berpeluang solat berjemaah dengan keluarga namun kini dalam suasana berbeza kerana wabak Covid-19 yang melanda negara,” kata penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Dengan Multimedia Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) kepada SelangorKini.

Anak ketiga daripada empat beradik yang juga Timbalan Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar Kuis itu bersyukur kerana ramai pihak mengambil berat keperluan dan kebajikan kira-kira 170 pelajar yang masih menghuni kolej kediaman tersebut sepanjang tempoh PKP.

“Kerajaan juga ada menyediakan makanan sahur, berbuka dan moreh. Itupun sudah cukup membantu pelajar kerana sepatutnya kami sedang cuti semester,” katanya.

Nada sama dilontarkan penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Sumber, Siti Nurizzati Fatihah Zazuri, 20, yang mengakui suasana Ramadan tahun ini sedikit suram selepas tidak berpeluang mengerjakan solat tarawih bersama keluarga di masjid.

Katanya, walaupun sudah biasa tinggal di asrama sejak tingkatan satu, namun perasaan sedih sukar dibendung kerana kali ini terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika berbuka puasa pada hari pertama.

“Tetapi saya gembira kerana kebajikan terjaga dan segala kemudahan termasuk makanan disediakan pihak pengurusan kolej, sekurang-kurangnya boleh mengubat kerinduan pada kampung,” katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis: Kuliah dalam talian jika perintah kawalan dilanjut

SHAH ALAM, 24 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bersedia menjalankan kuliah secara dalam talian jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, kata rektornya.

Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata kuliah melalui aplikasi Sistem Pengurusan Pembelajaran Kuis akan diguna pakai pada semester baharu, sama ada dari rumah atau luar kampus.

“Jika ditakdirkan (perintah kawalan dilanjutkan), maka kita kita perlu menghadapi kemungkinan adakan kelas secara maya memandangkan pelajar akan masuk semula pada Jun.

“Aplikasi yang dibangun membolehkan pelajar mengikuti kelas dalam talian dengan mudah, malah ia pernah digunakan pelajar matrikulasi Kuis,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau turut menggalakkan pensyarah menggunakan WhatsApp dan Telegram sebagai sokongan terhadap sistem pembelajaran tersebut, bagi memastikan maklumat penting sampai kepada pelajar.

“Pensyarah juga dibenarkan membuat kelas melalui persidangan video Skype atau Google Hangouts Meet. Insya-Allah kita akan cuba laksanakan program ini sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ab Halim berkata penularan Covid-19 tidak menjejaskan promosi bagi menarik lebih ramai mahasiswa baharu mendaftar di institusi tersebut pada semester depan.

Katanya, walaupun siri jelajah terpaksa dibatalkan lebih awal, namun pihak pemasaran Kuis masih giat meneruskan promosi di media sosial dengan memuat naik klip video pendek.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Kuis, Unisel hargai insentif makanan percuma

SHAH ALAM, 20 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel) menyambut baik insentif makanan percuma diumum Kerajaan Negeri bagi membantu mahasiswa yang tidak pulang ke kampung berikutan penularan wabak Covid-19.

Rektor Kuis, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata 180 pelajar tempatan dan antarabangsa yang masih tinggal di asrama memerlukan bantuan berkenaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Pengumuman ini sudah pasti melegakan mahasiswa yang sedang mengharapkan bantuan makanan daripada kerajaan memandangkan mereka tidak dibenarkan keluar daripada kawasan kampus,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata Majlis Perwakilan Pelajar bersama pengurusan kolej mencari jalan meringankan beban pelajar sejak dua hari lalu dan beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menghargai komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan penuntut di universiti itu.

Katanya, bagaimanapun semua pelajar tempatan sudah pulang ke rumah masing-masing sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan kerana cuti semester.

“Pelajar antarabangsa pula ada pergi ke rumah kawan dan melancong manakala yang masih tinggal di asrama ialah 22 (kampus Shah Alam) dan 29 (kampus Bestari Jaya). Buat masa ini Hal Ehwal Pelajar menguruskan kebajikan mereka,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tujuh inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan.

Menerusi inisiatif keempat iaitu Memudahcara Urus Diri Mahasiswa, mahasiswa di Unisel, Kuis dan Kolej Antarabangsa INPENS yang tidak pulang ke kampung akan disediakan makanan percuma melibatkan keseluruhan bantuan RM2.3 juta bermula Ahad ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Rapatkan jurang digital realisasi Negeri Pintar 2025

BESTARI JAYA, 19 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat merapatkan jurang digital antara pelajar di bandar dan luar bandar bagi merealisasikan agenda Selangor menjadi Negeri Pintar 2025.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Fazlina Hashim berkata Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bekerjasama menganjurkan ICT Boot Camp (ICTBC) Selangor 2019 bagi memberikan pendedahan terhadap dunia teknologi maklumat serta revolusi industri 4.0 (RI 4.0).

“Kita menyediakan geran terus kepada Unisel dan Kuis mengadakan ICT Boot Camp 2019 bagi memberikan pendedahan teknologi maklumat kepada pelajar sekolah menengah di kawasan luar bandar.

“Dengan cara itu kita dapat membangunkan modal insan dalam bidang teknologi selain mengatasi jurang digital,” katanya di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Perkomputeran di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan geran RM200,000 untuk penganjuran kem disertai dari enam sekolah meliputi daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Fazlina sebelum itu menyempurnakan majlis Perasmian dan Penutup Pameran Projek Akhir Pelajar Fakulti Seni Visual serta Minggu ICT 2020 sambil disaksikan Timbalan Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran dan Jaringan Global) Unisel, Prof Dr Mohd Nor Nawawi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KUIS sasar ambil 12,000 pelajar tahun ini

BANGI, 13 JAN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menyasarkan pengambilan 12,000 pelajar baharu pada tahun ini, kata Rektornya.

Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata unjuran sasaran itu meningkat berbanding 9,000 pelajar sebelum ini bagi mengembangkan lagi bilangan mahasiswa dalam setiap fakulti.

Katanya pihaknya akan mempergiatkan usaha promosi bagi menarik lebih ramai pelajar ke institusi terbabit menerusi program Jom Masuk KUIS.

“Setiap fakulti di KUIS diminta membuat video pendek berkaitan bidang mereka dan menerusi platform itu kita yakin akan ada lebih ramai yang tertarik untuk masuk ke institusi ini.

“Selain itu, kita turut mempromosi menerusi pameran dan jelajah ke beberapa sekolah di sekitar Selangor khususnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Perasmian ICT Boot Camp Selangor 2019 yang dirasmikan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian di KUIS di sini hari ini.

Orang ramai yang berminat untuk mendaftarkan sebagai pelajar baharu di KUIS boleh melayari www.kuis.edu.my atau muat turun aplikasi Jom Masuk KUIS di Google Play Store atau Apps Store atau hubungi 03-8911 7000.

KUIS adalah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan secara rasmi pada 15 Februari 1995 bertujuan membangunkan agenda pendidikan sekali gus melahirkan Da’i, Ulama dan Umara’.

Categories
AGENSI SELANGOR

KUIS luas pembangunan fesyen berteras Islam

BANGI, 12 NOV: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan memuktamadkan penawaran program Diploma Rekabentuk Fesyen Islam melalui memorandum persefaham (MOU) dengan Srikandi Skill College (SSC).

Pejabat Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan & Pengantarabangsaan KUIS), Raja Nor Ashikin Raja Ramli berkata jaringan industri itu bertujuan melahirkan pelajar berkemahiran dan mempunyai asas pengetahuan Islam.

“SSC merupakan anak syarikat Siti Khadijah Holdings Sdn Bhd dalam menghasilkan jahitan rekaan fesyen Islam.

“Dengan memeterai MOU ini, pembangunan fesyen berteraskan Islam dan sumbangan kepakaran, pengalaman serta khidmat dalam bidang akademik dan industri dapat diperluas di institut ini,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam majlis sama, KUIS turut memeterai MOU dengan Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI) dalam usaha mengetengahkan keharmonian rumahtangga menurut Islam.

MoU itu lebih kepada kerjasama dalam penganjuran seminar, konsultasi, khidmat nasihat dan modul rumahtangga harmoni yang boleh dikongsi bersama masyarakat.

Antara program yang berjaya dilaksanakan adalah Seminar Psikologi Komunikasi Bermadu pada 26 Oktober lalu.

Majlis MOU itu dihadiri Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid dan disaksikan Dekan Fakulti Pengajian Peradaban Islam KUIS, Dr Md Noor Hussin.

SSC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ir Aminuddin Mohd Nasir sementara HARMONI diwakili presidennya Abdul Syaheed Ismail dan disaksikan Setiausaha Agung Musa Mohd Amin.

Pada masa sama, Raja Norashikin berkata MOU itu menjadi titik tolak kepada perkembangan KUIS dalam meluaskan jaringan bukan hanya dalam bidang akademik semata-mata.

“Ia dapat diperluas dengan jaringan pihak industri yang akan membuka mata pelbagai pihak dengan kesepaduan ilmu Islam syumul itu boleh diaplikasi dalam segenap sudut dan kehidupan seharian,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pengorbanan ibu bapa dorong kejayaan Nurul Balqis

OLEH: ALIFF HAIKAL

BANGI, 7 SEPT: Penat jerih ibu bapa yang berkorban mengeluarkan belanja tinggi menghantar Nurul Balqis Junaidi, melanjutkan pelajaran ke Semenanjung terbalas apabila dia menerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor.

Ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22, pelajar cemerlang itu nyata sebak dengan pengorbanan ibu bapanya.

“Saya berasa amat terharu dan tidak menyangka terpilih untuk menerima anugerah ini. Kedua-dua ibu bapa saya berusaha keras mengumpul wang bagi menampung pembelajaran saya di sini.

“Justeru, anugerah ini adalah hadiah terbaik dari saya untuk mereka,” katanya yang juga menerima anugerah Dekan setiap semester.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di majlis konvokesyen itu, di sini.

Graduan Sarjana Muda Terjemahan Bahasa Arab itu mengatasi 2,338 graduan lain bagi memperolehi Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor.

Pada masa sama, Nurul Balqis, 25, turut berterima kasih kepada pensyarah dan rakannya atas sokongan padu yang diberikan.

Beliau turut berhasrat untuk menerima tawaran guru interim di Sabah dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi jika berkesempatan.

Sementara itu, Muhammad Nabil Hakimi Ahmad Halami, 24, graduan dalam Sarjana Muda Usuluddin dan Multimedia menjadikan ibu bapa, pensyarah dan rakan sebagai pendorong utama kejayaannya.

“Pensyarah banyak membantu dalam bidang akademik dan memberikan sokongan moral sepanjang pengajian saya di sini,” katanya.

Katanya, antara aspek yang penting dalam kejayaan ialah sentiasa menjaga hubungan dengan Tuhan, pensyarah dan rakan sepanjang pengajian.