Categories
NASIONAL SELANGOR

Ali Rustam dilantik Senator, Menteri JPM, ketuai PNB demi upah politik?

umno-retakSHAH ALAM, 27 OGOS: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik pemimpin ditolak rakyat dalam pentadbiran kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikesali kerana tindakan itu dianggap sebagai upah politik demi menjaga kepentingan politik beliau menjelang Pemilihan Agung Umno yang bakal dilangsungkan tidak berapa lama lagi.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin, Najib sepatutnya melantik individu yang mempunyai pengalaman serta trek rekod yang bersih selaras dengan prinsip wasatiah dan bukan melantik pemimpin yang mempunyai rekod prestasi yang buruk dan terpalit dengan pelbagai skandal rasuah.

“Saya lihat ada satu trend pengagihan jawatan penting untuk mengemudi syarikat startegik negara kepada mereka yang kalah seperti Datuk Abdul Ghani Othman di Sime Darby, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di Tabung Haji dan terbaru Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula diwarkan bakal mengemudi Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Malangnya ada diantara mereka bukan sahaja ditolak rakyat, malah tidak mempunyai latar belakang ekonomi dan lebih teruk lagi mempunyai rekod perkhidmatan yang tidak menyinar seperti Ali Rustam yang menyebabkan Melaka berhutang sebanyak RM900 juta dan skandal perkahwinan anak beliau yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

Shamsul berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah media semalam, Mohd Ali dipercayai bakal dilantik mengetuai PNB dan senator bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekod, Lembaga Disiplin Umno sebelum ini juga pernah menggantung Ali Rustam daripada bertanding dalam Pemilihan Agung Umno 2009 apabila didapati bersalah memberi rasuah kepada perwakilan agar memberikan pencalonan bagi membolehkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Shamsul menambah, trend melantik demi upah politik yang dipraktikan Umno-BN mampu memburukkan lagi keadaan prestasi ekonomi dan sekaligus membawa kewangan negara terus berada dalam keadaan defisit yang semakin tinggi.

“Malaysia sekarang ini sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan ‘auto pilot’ dan tiada pencapaian yang boleh dibanggakan dilakukan Najib selepas 100 selepas pilihan raya dan diburukkan lagi dengan amalan memberi upah politik untuk dapatkan balasan politik,” ujar Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan.

Sebelum ini amalan melantik semula pemimpin politik dari Umno-BN tanpa mengambil kira trek rekod, pengalaman dan latar belakang ke jawatan penting dalam organisasi strategik kerajaan dengan gaji lumayan mula dilihat sebagai trend pentadbiran Najib.

Selain Abdul Ghani, Abdul Azeez dan terbaru Mohd Ali, pemimpin Umno lain, Datuk Seri Isa Samad yang pernah terpalit dengan rasuah politik wang dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Tan Sri Rahim Thamby Chik yang didakwa dikaitkan dengan skandal rogol gadis bawah umur turut mendapat tempat dalam pentadbiran Najib.- MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno ketandusan pemimpin, ‘kitar’ semula individu rasuah

umno retakSHAH ALAM 21 OGOS : Umno semakin ketandusan pemimpin bersih dan berkaliber untuk diketengahkan sehingga terpaksa mengitar semula pemimpin yang sudah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan salahlaku.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, berkata ramai pemimpin Umno yang ‘bersih’ sukar untuk naik disebabkan tidak mempunyai kekuatan kewangan dalam persaingan dalam politik wang yang sudah menjadi darah daging dalam Umno.

Beliau berkata, hasrat Tan Sri Mohd Isa Samad yang menawarkan diri untuk Naib Presiden dalam pemilihan Umno merupakan bukti bahawa parti itu tidak mampu menawarkan pemimpin yang lebih bersih.

“Bukan mudah untuk mana-mana individu menaiki tangga dalam tampuk kuasa Umno kerana mungkin dia tidak mempunyai kekuatan kewangan dan kedudukan,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata apabila individu yang rasuah ini menang dalam pemilihan Umno maka mereka ini akan memegang jawatan penting dalam kerajaan dan ia akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Ramai pemimpin kerajaan yang datang dari laluan ini akan lebih bermasalah dengan korupsi dan jenayah.

“Ini akan mendedahkan negara dan rakyat kita kepada kesengsaraan, rakyat yang akhirnya akan rugi dengan apa yang berlaku dalam Umno,” kata beliau.

Sebelum ini, Mohd Isa pernah memenangi jawatan itu bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi iaitu mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Namun Lembaga Disiplin Umno melucutkan jawatan beliau kerana didapati terlibat politik wang.

Sebelum itu pada pemilihan tahun 2000 beliau bertanding jawatan Naib Presiden tetapi tewas.

Kemasukan Isa dijangka akan menghangatkan lagi persaingan jawatan yang kini disandang oleh Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan akan mempertahankan jawatan tersebut.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Mohd Ali Rustam turut dikatakan berhasrat untuk merebut jawatan itu.

– mza