Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Kerajaan Pusat Memihak Kepada SYABAS Bukan Rakyat

Konvensyen Days Saing Komoditi 01

KUALA LUMPUR 18 JAN : Kerajaan Pusat dilihat lebih berminat menjaga kepentingan kroni dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berbanding rakyat dalam isu air di Selangor sehingga masalah itu berlarutan tanpa penyelesaian.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkara tersebut boleh diselesaikan cepat sekiranya Kerajaan Pusat mengutamakan rakyat dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

“Ia bukan isu politik tetapi isu rakyat. Kembalikan hak air kepada rakyat. Jangan diswastakan lagi, itu yang paling penting.

“Undang-undang bersetuju hak air boleh dikembalikan tetapi ada tiga pihak mesti bersetuju, Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan pemegang saham.

“Kerajaan Pusat tidak memihak kepada rakyat tetapi memihak kepada kroni. Kalau Kerajaan Pusat kata setuju ambil, esok kita boleh selesaikan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, penswastaan air dilakukan itu adalah satu kesilapan kerana diserahkan kepada syarikat yang tidak mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mengendalikan operasi air.

Katanya, ini diakui sendiri oleh bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan menyarankan ia diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri.

“Ini jelas kita sudah melihat beberapa perkara termasuk penjagaan pam yang tidak dijaga dibiarkan saja rosak selama setahun, baru sekarang sibuk nak betulkan hinggakan (Datin Seri) Rosmah sendiri kena angkut air,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hormati Sumbangan Keng Yaik, Benarkan Penstrukturan Semula Industri Air

Khalid Ibrahim Salam 01

SHAH ALAM 3 JAN : Kerajaan Pusat seharusnya menghormati usaha mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara dengan membenarkan penstrukturan semula industri air di Selangor.

Tambahan pula, mendiang Keng Yaik memainkan peranan penting dengan mengkaji semula dasar penswastaan perkhidmatan air Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak menyebelahi kepentingan rakyat, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kerajaan Negeri komited dan berusaha keras untuk meneruskan usaha mendiang yang ingin membetulkan industri perkhidmatan air dengan melaksanakan kehendak WSIA sepertimana diperjuangkan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik,” kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan serius bagi melaksanakan penstrukturan semula industri air.

“Kerajaan Persekutuan perlu menghormati usaha mendiang dengan mengembalikan hak air kepada rakyat dan membenarkan kerajaan Selangor menguruskan perkhidmatan air untuk kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Datuk Seri Peter Chin Kah Fui perlu memikul tanggungjawab ini selaras dengan kuasa yang ada padanya mengikut WSIA,” ujar Abdul Khalid lagi.

Mendiang Keng Yaik merupakan Menteri Kabinet yang bertanggungjawab memperkenalkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang mengembalikan hak air kepada kerajaan negeri.

“Beliau pernah mengetuai kementerian yang berlainan seperti kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Namun beliau sentiasa berusaha gigih membuat kajian dan persediaan supaya setiap keputusan yang dibuat relevan dengan perubahan semasa,” kata Abdul Khalid yang tidak berpeluang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang kerana berada di luar negara.

Bagaimanapun, Menteri Besar berkesempatan menziarahi keluarga mendiang Keng Yaik sebagai tanda penghormatan terakhir.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Bekas Menteri Umno-BN Juga Setuju Perjanjian Air Dahulu Berat Sebelah

 

SHAH ALAM, 13 JUN: Bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik pernah menyatakan perjanjian tarif air yang dibuat sebelum 2006 berat sebelah.

Demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Forum Air Negeri Selangor 2012 yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre semalam.

“Pada 2006, selepas menandatangani perjanjian ini, Kerajaan Persekutuan di bawah bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr Lim Keng Yaik berpendapat perjanjian-perjanjian yang dibuat sebelum 2006 adalah amat berat sebelah kepada konsesi bukan pengguna.

“Oleh sebab itu satu undang-undang telah diluluskan oleh parlimen pada 2006 dan undang-undang tersebut memberi ruang untuk penstrukturan semula industri air di semua negeri termasuk Selangor.

“Itu sebab undang-undang ini dikeluarkan dalam penyusunan semula industri air di Negeri Selangor,” ucap Khalid.

Menurut Khalid, setiap tindakan yang diambil beliau sebagai ketua pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu air ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Keengganan pentadbiran Umno-BN untuk menstruktur semula industri air Selangor merupakan satu keputusan yang mengkhianati keputusan yang dibuat oleh gagasan itu sendiri.

“Ini lagi satu fakta, pada Januari 2008 terdapat satu keputusan kabinet yang menyatakan industri air di Selangor dibenarkan distruktur semula di mana Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) sebagai anak syarikat milikan penuh Kerajaan Selangor mengambil alih semua operasi air di Selangor.

“Saudara tahu pada Mac 2008, pentadbiran Negeri Selangor bertukar dari Umno-BN kepada Pakatan Rakyat.

“Pertukaran inilah menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak mahu melaksanakan skim yang dipersetujui kabinet pada Januari 2008 itu.

Selain itu menurut Khalid, sekiranya perjanjian kadar kenaikan tarif air yang ditandatangani oleh Kerajaan Pusat, Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada 2004 diteruskan, harga air akan dinaikkan sebanyak 62 peratus.

“Kalau kita teruskan perjanjian 2004 yang ditandatangani antara Syabas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bermakna tarif air dinaikkan 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus pada 2015.

“Ini bererti kalau sekarang kita setuju, tarif airĀ  sekarang dah naik sehingga 62 peratus,” ujar beliau.