Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi kuarantin di rumah terhadap individu dari luar negara

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan memutuskan tiada lagi kuarantin wajib di rumah, sebaliknya mereka yang tiba dari luar negara perlu berbuat demikian di stesen yang ditetapkan Jumaat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata individu terbabit perlu menanggung kos selama 14 hari itu sepenuhnya.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan institut latihan awam atau hotel yang bersesuaian sebagai stesen kuarantin.

“Susulan keputusan ini, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia tidak lagi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan, namun bagi warga asing mereka perlu membuat saringan terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan mengarahkan rakyat yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing, bukan di pusat yang ditetapkan.

Ismail turut kesal dengan kes tular pesakit di bawah pengawasan Covid-19 yang didakwa mengingkari arahan tersebut dan makan di sebuah restoran di Meru Raya.

Categories
AGENDA NASIONAL

20,000 pelajar masih terkandas di luar negara – menteri

KOTA BHARU, 18 JULAI: Dianggarkan 20,000 pelajar Malaysia masih terkandas di luar negara dan tidak dapat pulang ke tanah air berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata kerajaan sedang meneliti secara halus apakah langkah yang boleh diambil bagi membawa pulang kesemua pelajar berkenaan secara berperingkat.

“Contohnya pelajar yang tamat kursus pengajian, kita tak mahu lengah-lengahkan bawa pulang mereka dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan pastikan mereka dibawa pulang dan dibayar belanjanya oleh penaja yang menaja pelajar.

“Kerajaan juga menyediakan satu peruntukan, tak banyak tapi cukup untuk bawa pulang pelajar Malaysia yang masih lagi terkandas di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang) yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab, hari ini.

Pada majlis berkenaan 12 pegawai APM menerima Anugerah Penkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan 14 orang menerima watikah pelantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata ada beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang misi membawa pulang pelajar yang terperangkap di luar negara dilakukan kerajaan.

Beliau berkata antaranya ia melibatkan undang-undang berbeza yang dikenakan oleh setiap negara yang pelajar Malaysia sedang meneruskan pengajian.

“Contohnya sama ada negara berkenaan membenarkan penerbangan masuk atau keluar. Contohnya kita juga semalam berbincang di Amerika Syarikat (AS) penularan nampaknya meningkat, kita bimbang dan kita nak ambil kesempatan ruang angkasa Amerika Syarikat yang masih terbuka ketika ini.

“Sama ada kita ada penerbangan terus dari Amerika Syarikat ke Malaysia atau ada syarikat penerbangan lain yang boleh bawa pulang pelajar ke Malaysia. Kita kena perhalusi keadaan sebegitu sebelum buat keputusan yang melibatkan kewangan negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA

Editor buku hina Jata Negara lari ke luar negara – Polis

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Editor buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” yang gambar kulit bukunya didakwa menghina Jata Negara dikesan melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata lelaki yang merupakan warga tempatan itu didapati ke luar negara sejak 21 Jan lalu, hasil semakan terhadap dokumen perjalanannya.

“Dia (editor) telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ menyenaraikannya sebagai orang yang dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Huzir berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Interpol dan akan mengeluarkan notis merah sekiranya suspek dikesan di mana-mana negara.

Katanya, setakat ini polis merakam keterangan lapan daripada 28 penulis yang menyumbang artikel untuk buku itu, manakala bakinya sedang dikesan.

“JSJ juga akan meminta bantuan Cawangan Khas sekiranya artikel yang disumbangkan 28 penulis buku itu mempunyai unsur-unsur ancaman keselamatan dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 203 laporan polis diterima berhubung kes itu di seluruh negara.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Buku “Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia” yang disunting penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.

Perkara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi selepas ia tersebar dan tular di media sosial menyebabkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia longgar pintu sempadan, PRK Chini dalam kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Selepas lebih tiga bulan Malaysia menutup pintu sempadan negara bagi menghalang kemasukan warga asing, larangan tersebut mula dilonggarkan secara berperingkat dalam pasca-Covid-19 yang kini memasuki fasa pemulihan.

Memasuki hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan mula membuka pintu masuk negara dengan membenarkan kemasukan kumpulan ekspatriat tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

Kebenaran diberikan kepada ekspatriat yang dalam Kategori Ep1, Pas Lawatan Profesional dan Pas Residen Kepada Golongan Berbakat yang melibatkan pengurusan tertinggi.

Selain itu, dalam pertimbangan untuk memberi kelonggaran kepada warga Singapura dan Brunei yang ingin memasuki negara ini sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Langkah tersebut sebagai timbal balas kepada Singapura dan Brunei yang turut memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke negara mereka, tanpa sebarang sekatan.

Walaupun kelonggaran diberikan namun setiap daripada mereka mestilah menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

Langkah ini penting untuk memastikan tidak ada jangkitan Covid-19 import yang masuk ke negara ini bagi memastikan perjuangan membendung penularan wabak ini akan menemui kejayaan sepenuhnya.

Selain itu, hari ini juga adalah hari pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Chini, yang mencatat sejarah – kebiasaan baharu perjalanan pilihan raya di negara ini.

Antaranya yang diperkenalkan ialah penyokong parti tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga jarakan sosial.

Kelonggaran lain kepada calon dan parti ialah berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja, selain hanya tiga orang dibenarkan berkempen dari rumah ke rumah dan digalakkan menggunakan platform dalam talian dan media sosial.

Semoga semua yang terbabit tidak kira calon, pengundi dan penyokong patuh kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak timbul kluster PRK DUN Chini pula kelak!

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Lawatan kerja luar negara diteruskan atas nasihat Wisma Putra

SHAH ALAM, 28 JAN: Kerajaan Negeri tetap meneruskan tugas ke luar negara seperti dijadualkan sebelum ini dengan mendapatkan nasihat daripada Wisma Putra, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu sudah menjadi kelaziman sebelum mengadakan lawatan bukan hanya membabitkan penularan jangkitan 2019 Novel coronavirus (2019-nCoV).

“Kita akan teruskan (lawatan) terutama ke kawasan yang kurang berisiko dan akan meneliti semula jika ada tindakan selanjutnya. Lazimnya kita akan rujuk Wisma Putra untuk mendapat maklum balas serta nasihat dari semasa ke semasa.

“Biasanya Wisma Putra mempunyai maklumat terkini bagi sesuatu tempat dan masalah. Saya percaya kita mampu menangani dan berdepan risiko tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor bersama Dato’ Menteri Besar di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan maklumat terkini jangkitan memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2.

Categories
NASIONAL

Negara luar turut anjur Himpunan Solidariti Kita Lawan 7 Mac

Oleh: MARNIZA OTHMAN

SHAH ALAM, 5 MAC: Himpunan Solidariti Kita Lawan yang bakal berlangsung Sabtu ini (7 Mac) turut melibatkan beberapa lokasi di luar negara.

Lokasi perhimpunan bagi membantah pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik peringkat antarabangsa itu adalah seperti berikut :

i. Old Palace Yard, London (berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom) bermula jam 11 pagi waktu tempatan

Anwarii. Hadapan Bangunan Parlimen Australia, Canberra bermula jam 4 petang waktu tempatan

iii. Hadapan Bangunan Parlimen South Australia, Adelaide bermula jam 4 petang waktu tempatan

iv. Liberty Square (Freedom Square) di Taipei, Taiwan bermula jam 7 malam waktu tempatan.

Ia turut diadakan di bandar New York serta beberapa bandar di Amerika Syarikat, Jepun, New Zealand dan negara Eropah membabitkan lokasi himpunan yang akan dimaklumkan kelak.

Orang ramai diminta berkumpul jam 4 petang dan akan bermula dari Pusat Membeli Belah Sogo, Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh melayari Facebook rasmi, Kita Lawan untuk perkembangan terkini.

-NFN-