Categories
NASIONAL

Anwar Akan Sertai Himpunan Hijau 2.0 Di Kuantan

SHAH ALAM, 24 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta memberi sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan pada 26 Februari 2012 ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya menggesa seluruh pimpinan PKR serta seluruh pimpinan parti disemua peringkat untuk turut serta dalam himpunan tersebut.

Sebelum ini Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan masyarakat setempat telah bersama-sama menentang projek radiaoktif Lynas di Gebeng, Pahang.

Malah, Temurapat Pimpinan PKR pada 24-26 Februari ini yang pada awalnya dijadualkan di Lumut, Perak telah dipindahkan ke Kuantan, Pahang bagi membolehkan semua pimpinan parti diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota KEADILAN di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk turut sama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas.” kata Saifuddin

Dua hari lalu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga membuat gesaan yang sama terhadap PAS supaya semua ahli PAS Pahang serta negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Himpunan Hijau 2.0 pada Ahad ini dijangkakan akan dihadiri lebih 100,000 orang bagi membantah projek radioaktif Lynas tersebut.

 

Categories
NASIONAL

Tolak BN Jawapan untuk Hentikan Lynas

SHAH ALAM 3 FEB : Satu demi satu kemusnahan yang dibawa kerajaan Umno/BN kepada negara ini semakin tidak dapat diterima oleh rakyat. Maka satu-satunya langkah untuk menyelamatkan negara ini adalah dengan menyingkirkan kerajaan sedia ada, demikian pendirian Hentikan Lynas Selamatkan Malaysia (SLSM).

Menurut Pengerusi (SLSM), Tan Bun Teet tindakan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) meluluskan lesen kendalian sementara (TOL) untuk projek kontroversi Syarikat Lynas Advanced di Gebeng, Kuantan adalah sangat mengecewakan.

“Kelulusan yang diberi AELB ternyata tidak memperdulikan segala perhatian dan pandangan orang awam berhubung perkara ini.

“Tidak kurang daripada seribu pandangan dan cadangan dikemukakan kepada AELB pada 26 Januari lepas tetapi hanya 3 hari kemudian Lynas diberi lesen TOL,” ujar Tan dalam kenyataan medianya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan tempatan yang juga merupakan ahli SLSM berkata AELB nampaknya berdegil dan tidak belajar daripada kesilapan mereka di Bukit Merah suatu masa dahulu.

“Nampaknya, kerajaan tidak beri sebarang pilihan pada kita selain menolak mereka dalam pilihanraya akan datang. Kami mahukan Malaysia yang selamat dan bersih untuk semua.

“Kami tidak mahu kerajaan yang tidak pandai menunaikan tanggungjawabnya menjaga rakyat. Rakyat akan bangkit dan melakukan apa sahaja kali ini untuk menghentikan projek toksik ini,” ujar doktor tersebut.

Projek Lynas adalah 10 kali lebih besar daripada projek di Bukit Merah suatu masa dahulu dan dijangka akan menyumbang lebih banyak pencemaran alam sekitar dan kesannya terhadap penduduk sekitar.

Categories
NASIONAL

Isu Lynas: Debat Fuziah – Adnan Yaakob Pada Februari

SHAH ALAM, 18 JAN – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersedia untuk berdebat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai isu kilang Lynas yang mendapat perhatian umum khususnya masyarakat di Kuantan, Pahang.

Ketika dihubungi TVSelangor hari ini, Fuziah berkata, beliau sememangnya bersetuju dan menyambut baik saranan Adnan untuk bersemuka dalam satu sesi perbincangan atau debat secara ilmiah berhubung perkara itu.

Menurutnya, pasti ia adalah medan terbaik bagi orang ramai membuat pernilaian terhadap persoalan Lynas tersebut.

Katanya, pihaknya kini menunggu kata putus dari Kerajaan Negeri Pahang berhubung perkara itu.

“Saya menyatakan persetujuan untuk berdebat apabila diajukan Sinar Harian dan menyambut baik persetujuan Adnan dalam perkara ini. Sinar Harian yang mempunyai pengalaman dalam mengadakan sesi perbahasan seperti Wacana Sinar Harian juga bersetuju untuk bertindak sebagai penganjur.

“Program ini dijangka diadakan di Kuantan pada minggu pertama atau kedua Februari ini,” katanya.

Difahamkan sesi perdebatan itu akan menyentuh mengenai soal sama ada wajar atau tidak Lynas diberikan kelulusan untuk memulakan operasinya di Kuantan.

Fuziah berkata, program tersebut akan mempertemukan dua pihak iaitu pihak yang bersetuju serta menentang dan pihaknya akan mengemukakan hujah selain fakta termasuk bukti kukuh yang disokong pakar luar.

“Perdebatan itu juga akan memberi kesempatan kepada rakyat Kuantan untuk memahami isu Lynas dengan lebih lanjut.

“Apa yang kita perkatakan selama ini adalah untuk kebaikan rakyat Kuantan,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang tidak melanjutkan tempoh meneliti dokumen permohonan lesen peringkat pengendalian sementara syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai tidak relevan.

Tegasnya, dokumen lebih 100 muka surat yang penuh aspek teknikal itu perlu dikaji secara teliti dan tidak boleh semudahnya diputuskan dalam tempoh singkat.