Categories
AGENDA NASIONAL

Macau Scam: Pesara wanita dakwa rugi hampir setengah juta ringgit

KUANTAN, 21 MEI: Seorang pesara wanita mendakwa kehilangan wang simpanan bernilai hampir setengah juta ringgit akibat terlalu mempercayai helah sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai atasan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon pada 29 April lalu, kononnya dari syarikat telekomunikasi berhubung aduan nombor telefon itu digunakan untuk aktiviti perjudian haram.

Mangsa yang menafikan dakwaan itu diarah bercakap dengan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Mangsa mendakwa telah menyerahkan semua maklumat peribadinya termasuk jumlah wang simpanan di tiga buah bank dan jumlah barang kemas, kenderaan serta rumah miliknya dalam proses ‘soal siasat’ menerusi panggilan telefon itu.

“Suspek juga dikatakan meminta nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), nombor pengesahan kad (CVN) dan tarikh tamat kad ATM tersebut yang semuanya dijawab oleh mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa kemudiannya dimaklumkan panggilan itu perlu dipindahkan kepada pegawai polis dari Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman untuk siasatan lebih menyeluruh.

Mangsa bercakap dengan seorang pegawai polis wanita yang memaklumkan bahawa wang simpanannya di tiga bank itu perlu dipindahkan bagi mengelak daripada dirampas.

“Mangsa mendakwa semakan terhadap akaun simpanannya semalam, mendapati terdapat 30 transaksi wang kepada 14 akaun bank yang tidak diketahuinya sejak 29 April hingga 15 Mei lalu berjumlah RM424,650.

“Mangsa cuba untuk menghubungi semula semua suspek berdasarkan nombor dalam rekod panggilan telefon bimbitnya, namun semua panggilan itu gagal disambungkan menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Macau Scam di Shah Alam meningkat 57 peratus

SHAH ALAM, 29 DIS: Kes jenayah penipuan Macau Scam di Shah Alam mencatatkan peningkatan sebanyak 57 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak sembilan kes bagi tempoh sama.

“Manakala, bagi nilai kerugian penipuan mencatatkan penurunan daripada RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta dalam tempoh kajian sama pada 2019.

“Penurunan nilai kerugian adalah lebih kurang RM1.9 juta bersamaan penurunan 32.20 peratus.

“Ini menunjukkan walaupun Macau scam masih mempunyai mangsa tetapi terdapat rakyat yang sedar dan mengetahui berkenaan segala modus operandi serta taktik helah penipuan Macau Scam ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat tiga kes baharu dilaporkan berlaku pada November dan Disember ini iaitu di Kota Kemuning, Sri Muda dan Seksyen 9.

“Polis menerima laporan daripada seorang pesara di Kota Kemuning pada 23 Disember lalu yang kerugian sebanyak RM749,938. Pesara ini ditipu kononnya mempunyai satu kes mahkamah membabitkan kesalahan trafik iaitu langgar lari dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Manakala, dua lagi laporan kes penipuan ‘Macau Scam’ membabitkan pesara pada 19 November lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 504,676.60 dan satu lagi kes di Sri Muda dengan kerugian berjumlah RM150,000.

“Taktik digunakan ke atas pesara di Seksyen 9 adalah mangsa dihubungi oleh seorang lelaki daripada Pejabat Pos Malaysia dan kononnya mempunyai kes jenayah dan perlu membayar wang bagi mengelakkan ditahan.

“Bagi kes di Sri Muda pula, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom dan pegawai polis yang mendakwa kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam akaun bank milik individu bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Sehubungan itu, Baharudin menasihatkan orang ramai lebih peka dan tidak mudah terpedaya jika dihubungi individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi
tanpa membuat semakan dan menghubungi organisasi berkaitan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ‘kepintaran’ ahli sindiket itu untuk mewujudkan taktik lain untuk menipu ekoran perkembangan teknologi yang menjadikan mereka semakin kreatif menjerat mangsa.

Berdasarkan laporan diterima, sindiket kerap menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia atau agensi lain bagi memberi kenyakinan kepada mangsa.

Manakala, bagi modus operandi suspek pula adalah penipuan bank, kad kredit, penculikan, tebusan, saman polis atau mahkamah, hadiah cabutan bertuah dan pakej pelancongan.

Categories
NASIONAL

Macau Scam: Kerani rugi lebih setengah juta

TANAH MERAH, 27 MEI: Seorang kerani wanita di bandar ini kerugian lebih setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket Macau Scam di sini, dari April lepas hingga kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa berusia 40 tahun itu sebelum itu dihubungi seorang wanita yang memberitahu kononnya dia mempunyai tunggakan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM24,000.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa kononnya anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohammed.

Disebabkan panik dan tidak tahu dia sebenarnya telah menjadi mangsa penipuan Macau Scam, mangsa telah memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun kononnya untuk menyelesaikan tunggakan cukai itu.

“Mangsa turut diberitahu sekiranya tidak menyelesaikan hutang itu asetnya akan dibekukan dan suspek meminta semua wang dimasukkan dalam akaun ‘pegawai penyiasat’ dan berjanji wang berkenaan akan dikembalikan sebaik siasatan selesai,” katanya.

Ahmad Azizul berkata, dalam tempoh sebulan, wanita itu telah membuat 12 transaksi bayaran seperti diminta suspek berjumlah antara RM10,000 dan RM38,000 setiap transaksi dengan jumlah keseluruhan RM534,000.

Namun, apabila tiba masanya untuk wang itu dikembalikan, suspek telah memberikan pelbagai alasan untuk tidak memulangkannya, katanya.

Katanya mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

Ahmad Azizul berkata, sebanyak 37 kes penipuan Macau Scam dilaporkan di negeri ini tahun ini dengan kerugian membabitkan RM2.2 juta berbanding 121 kes dengan kerugian RM10.2 juta pada tahun lepas.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah pihak tertentu serta tidak mudah mendedahkan maklumat kewangan peribadi seperti nombor akaun, kad bank atau kad kredit kepada orang tidak dikenali. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Macau Scam: Penjawat awam rugi RM1 juta

MIRI, 22 MEI: Seorang penjawat awam di sini kerugian RM1,096,800 setelah diperdaya oleh seorang wanita yang yang mendakwa dari Mahkamah Terengganu, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa seorang wanita berusia 52 tahun pada mulanya dihubungi menerusi telefon oleh seorang wanita yang bernama Syaifa Omar dari Mahkamah Terengganu pada 7 Mei lepas.

“Wanita tersebut mendakwa akaun mangsa telah disalahguna untuk tujuan jenayah iaitu untuk pembelian dadah dan menggelapkan wang sebuah bank berjumlah RM90,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mustafa berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki bernama Sufian Sulaiman yang mengatakan akaun mangsa digunakan untuk pengelapan wang serta penyeludupan dadah dan meminta mangsa untuk memindah wang dalam akaun mangsa ke akaun lelaki berkenaan untuk mengelakkan akaun dibekukan.

“Mangsa diarahkan untuk menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan dalam talian (online) ke nombor telefon yang diberikan oleh lelaki tersebut,”katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke akaun lain milik mangsa secara berperingkat mulai 7 Mei hingga 20 Mei melalui 18 transaksi.

“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan melalui mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dan mendapati baki akaunnya tinggal hanya RM21 sahaja,”katanya.

Beliau meminta orang awam supaya tidak melayan sebarang panggilan telefon yang meragukan dari invididu tertentu yang tidak dikenali dan boleh menghubungi talian JSJK 013-2111222 jika mempunyai maklumat berkaitan dengan Macau Scam.

“Polis atau agensi kerajaan tidak pernah meminta orang untuk memasukkan wang atau bayaran melalui mesin ATM untuk bayaran seperti saman ke akauan peribadi tertentu,”katanya.

Menurutnya, dari 1 Jan hingga 20 Mei 2019 sebanyak 63 kes Macau Scam dilaporkan di Sarawak melibatkan kerugian RM3.9 juta dengan 15 tangkapan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Wang simpanan lesap diperdaya sindiket Macau Scam

KUANTAN, 31 MAC: Wang simpanan seorang guru wanita sebuah sekolah berasrama penuh di sini, lesap selepas dia menuruti arahan daripada anggota sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ‘Inspekor Narita’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, mangsa yang berusia 51 tahun mendakwa wang itu merupakan simpanannya di Tabung Haji dan akaun bank peribadinya termasuk pinjaman yang baharu diluluskan berjumlah RM80,000.

Katanya, mangsa menjadi mangsa sindiket itu selepas menerima panggilan telefon pada 28 Februari lalu, kononnya daripada pegawai bank bahagian pinjaman di Kuala Lumpur yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan selama tiga bulan.

“Mangsa kemudiannya diarahkan berhubung dengan Inspektor Narita yang memberitahu dia terbabit dengan kes penggubahan wang haram bernilai RM1.5 juta dan suspek berjanji akan membantu menyelesaikan masalah itu, jika mangsa menuruti arahannya.

“Suspek meminta mangsa untuk menukar nombor telefon yang didaftarkan pada akaun Tabung Haji dan bank akaun miliknya kepada nombor lain yang diberikan dan dilarang membuat sebarang transaksi bank selama seminggu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa sekali lagi dihubungi suspek pada 21 Mac lalu dan diarahkan untuk membuat pinjaman daripada bank lain sebanyak RM80,000 kononnya bagi tujuan wang jaminan, yang diluluskan pihak bank pada 27 Mac lalu.

Mangsa sudah memaklumkan ‘Inspektor Narita’ berhubung kelulusan pinjaman itu yang disusuli dengan arahan supaya memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank yang ditetapkan oleh suspek.

“Mangsa berbuat demikian pada 28 Mac lalu dan pada keesokan harinya, meminta rakannya yang bekerja sebagai penolong pengurus bank untuk menyemak baki akaunnya.

“Mangsa diberitahu terdapat transaksi pemindahan wang dari akaunnya dan akaun Tabung Haji yang diselaraskan dengan akaun itu ke dalam sebuah akaun lain berjumlah RM113,000 menyebabkan dia berasa diperdayakan inspektor terbabit,” katanya.

Mohd Wazir menambah mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tumpaskan segera sindiket ‘Macau Scam’

Terbaru, sebanyak 694 kes penipuan Macau Scam direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerugian RM21.4 juta dalam tempoh lapan bulan sehingga Ogos lalu.

Dikatakan ratusan penipuan panggilan telefon atau dikenali sebagai ‘Macau Scam’ telah dilaporkan. Sindiket ini menggunakan pelbagai modus operandi menipu mangsa bagi tujuan memperdaya mereka untuk menyerahkan wang.

Sindiket ini begitu licik apabila menyamar sebagai pegawai bank, polis dan mahkamah atau pegawai daripada syarikat pengutip hutang.

Persoalannya, mengapa masih ramai rakyat di negara ini masih tidak mampu melepaskan diri daripada unsur penipuan seperti ini? Apakah orang ramai masih belum mampu memahami dan membezakan antara urusan dan transaksi yang betul dan salah.

Saya juga suka mengingatkan orang ramai supaya berwaspada apabila mendapat panggilan dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan akaun bank.

Besarlah harapan kiranya di samping pihak berkuasa terus bertindak membanteras kegiatan licik sindiket ini, kita juga mahukan orang ramai turut memainkan peranan yang sewajarnya untuk menangani kes penipuan ‘Macau Scam’ ini.

Kegiatan penipuan merupakan satu perkara yang serius kerana ia secara tidak langsung akan mencemarkan nama baik negara.

YB Chang Lih Kang
ADUN Teja
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN

Categories
NASIONAL

Awas Macau Scam, 694 kes, rugi RM21.4 juta

KUALA LUMPUR 17 SEPT: Sebanyak 694 kes penipuan Macau Scam direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerugian RM21.4 juta dalam tempoh lapan bulan sehingga Ogos lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sejak kebelakangan ini banyak menerima pertanyaan orang ramai bagi mendapatkan pengesahan berhubung panggilan diterima.

Katanya berdasarkan siasatan dijalankan, pihaknya mendapati sindiket menggunakan pelbagai modus operandi menipu mangsa bagi tujuan memperdaya mereka untuk menyerahkan wang.

“Sindiket ini menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank, polis dan mahkamah atau pegawai daripada syarikat pengutip hutang.

“Nombor telefon tertera pada skrin telefon mangsa pula biasanya kepunyaan agensi atau jabatan berkaitan. Mereka mempunyai kaedah khas untuk memalsukan nombor berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, menurut Acyrl Sani, mangsa dimaklumkan bahawa perbualan antara mereka akan dirakam dan tidak membenarkan mangsa untuk memaklumkan mengenainya kepada orang lain.

Jelasnya, mangsa seterusnya dimaklumkan mereka mempunyai hutang atau tunggakan bayaran dan diminta untuk menjelaskannya dengan kadar segera.

“Kemudian, mangsa diarahkan membuat pembayaran atau pemindahan wang dalam tempoh singkat dan nombor akaun diberikan atas nama individu persendirian.

“Sekiranya bayaran tidak di­uat, mangsa diugut akan ditangkap polis atau akaun bank mereka disita oleh pihak berkuasa,” katanya.

Acryl Sani turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada apabila mendapat panggilan sedemikian dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan akaun bank.

“Pihak bank atau agensi kerajaan tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta sebarang bayaran sama ada cukai, saman, bayaran perkhidmatan atau pindahan wang dibuat dalam akaun persendirian,” katanya.

=EZY=