Categories
SELANGOR

Selangor sedia kerjasama tingkat sektor pertanian dengan kerajaan pusat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 22 NOV: Kerajaan Selangor sedia menjalinkan kersama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan sektor pertanian negeri itu berkembang maju.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri dapat membantu petani di negeri itu meningkatkan pendapatan mereka melalui kaedah berkenaan.

“Penganjuran program ini memang usaha yang cukup baik untuk mempromosikan produk pertanian dengan teknologi yang baru dapat menjana pendapatan petani, peladang dan nelayan. Selangor memainkan peranan penting walaupun kita adalah sebuah negeri perindustrian tetapi tidak ketepikan sektor pertanian.

“Kita akan berikan dokongan untuk menjayakan usaha seperti ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Selangor Kini selepas melawat Rumah Pavillion Negeri Selangor di Expo Agrikultur, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2014), di sini, hari ini.

Expo yang membabitkan 1,000 pengusaha industri agromakanan, holtikuktur dan agro pelancongan kali ini turut menarik penyertaan pengusaha luar negara.

Expo dwi-tahunan yang bertemakan ‘Agroteknologi-Pemangkin Trasformasi itu berlangsung dari 20 November hingga 30 November ini.

Pameran itu dijangka menarik kehadiran 3.5 juta pengunjung dengan jumlah anggaran perolehan RM20 juta.

Antara yang dijangka akan menarik perhatian pengunjung dalam expo kali ini adalah pameran haiwan ternakan, makanan popular negeri seluruh Malaysia dan produk pertanian.

Selain itu pelbagai pertandingan menarik juga diada dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran artis popular seperti Datuk Rosyam Noor dan Fizo Omar.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Najib: Rugi bagi petani subsidi minyak sebab hanya pakai ‘kapchai’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 22 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap kenaikan harga petrol berikutan langkah kerajaan memansuhkan subsidi petrol tidak akan memberi kesan kepada golongan petani negara.

Najib berkata, hal itu disebabkan golongan petani negara terdiri daripada mereka bermotosikal enjin berkapasiti kecil yang beliau sebut sebagai ‘kapchai’ berbanding golongan kaya yang menggunakan kereta mewah.

“Rugi kita beri subsidi minyak sebab apa? Tuan-tuan semua bawak kapchai. Betul tak?

“Orang di sini (bandar) pakai kereta Mercedes, kereta besar. Sekali isi minyak 75 liter, kita isi minyak tujuh liter sebab motor kapchai,” kata Najib dalam ucapan perasmian Expo MAHA 2014, di sini, hari ini.

Jelas beliau, kerajaan akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar terhadap sektor pertanian jika mekanisme baru ini berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Najib turut membandingkan kenaikan harga minyak di Indonesia 55 sen yang menurutnya lebih tinggi berbanding Malaysia.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Digesa Tidak Jual Tanah MARDI

SHAH ALAM 25 SEPT : Datuk Seri Noh Omar digesa tidak meneruskan hasrat menjual tanah milik Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang seluas 200 ekar kepada mana-mana pihak hanya untuk meraih keuntungan.

Exco Permodenan Pertanian,Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata Kerajaan Negeri Selangor menolak permohonan pihak MARDI untuk menukar status tanah itu daripada pertanian kepada perniagaan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu lepas.

Dr Yaakob memberitahu pada waktu ini tanah milik MARDI berkenaan sedang dalam proses rundingan untuk dijadikan tapak universiti swasta yang berorientasikan keuntungan semata-mata.

Beliau menegaskan Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani sepatutnya melakukan transformasi terhadap MARDI untuk dijadikan sebagai salah satu pusat pertanian yang unggul di dunia.

?Selaku menteri kabinet beliau seharusnya menasihat ahli-ahli mesyuarat kabinet yang lain supaya mempertahankan tanah tersebut dari terus dijual.

“Sebaliknya, beliau hanya mendiamkan diri dalam isu ini tanpa memberikan sebarang maklumbalas.

“Difahamkan pihak MARDI tidak bersetuju dengan arahan menteri kabinet yang ingin menjual tanah tersebut dengan harga yang sangat rendah,” kata Dr Yaakob di sidang media yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
.
Beliau berkata, tanah itu ingin dijual pada harga kira-kira RM14.50 sekaki persegi walaupun harga pasaran adalah sekitar antara RM80 hingga RM100 sekaki persegi di kawasan itu.

Tambah Dr Yaakob, tanah milik MARDI ketika ini sebahagiannya dijadikan tapak Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Ujarnya, setiap tahun jutaan tetamu yang hadir mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA).

Pada 23 November hingga 2 Disember ini, dijangka seramai 3 juta orang ramai bakal hadir menjayakan pameran tersebut.

?Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha penganjuran MAHA di tapak tersebut, tetapi jangan sesekali menjual tanah di situ.

“Jika ada pihak swasta yang ingin mahukan tempat untuk pembangunan universiti atau hospital, Kerajaan Negeri bersedia menawarkan tapak pembangunan di tempat- tempat lain tetapi bukannya di tapak milik MARDI di Serdang,” katanya.

“Diharapkan pihak MARDI membatalkan permohonan jual beli tanah tersebut?,ujarnya.