Categories
SELANGOR

MPSJ tawar flate rate RM10 dalam promosi bayar kompaun

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuka peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan kompaun RM10 pada kadar flat rate bagi kesalahan lalulintas di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tawaran terbuka sehingga 30 April ini.

“Objektif bagi Kempen Pembayaran Kompaun ini memberi peluang kepada pesalah trafik menyelesaikan kompaun tertunggak mereka sebelum tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mereka.

“Ia juga dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pesalah trafik membuat penyelesaian kes di luar Mahkamah dengan penawaran kadar lebih rendah iaitu mengikut kadar promosi.

“Selain itu, pelaksanaannya juga bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab di atas kesalahan yang mereka lakukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kadar ‘Flat Rate’ adalah untuk semua kesalahan trafik kecuali Kesalahan Di Bawah Perintah 2, Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Berat) MPSJ 2012 Melebihi 10 Tan.

“MPSJ berharap semua pesalah mengambil inisiatif menyelesaikan kompaun tertunggak pada minggu terakhir ini.

“Kegagalan menyelesaikan tunggakan kompaun boleh mendatangkan tindakan perundangan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Berbelanja secara ‘cashless’ di Bazar Ramadan MPSJ

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PUCHONG, 19 APR: Seiring pembangunan teknologi, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan sistem pembayaran secara ‘cashless’ melalui Maybank QRPay dalam urus niaga di bazar Ramadan.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, peniaga dan pembeli boleh membuat urus niaga pembayaran jual beli dengan menggunakan aplikasi perbankan mudah alih bacaan kod Respons Pantas (QR).

“Orang ramai memuat naik aplikasi ini boleh membeli barang di bazar tanpa perlu mengeluarkan wang tunai tetapi dengan hanya ‘scan’ bacaan kod.

“Hal ini juga memudahkan peniaga tidak perlu bimbang tiada pulangan wang kecil kepada pelanggan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar bazar Radaman di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Indah, pagi tadi.

Noraini berkata, pengenalan kaedah itu turut mengambil kira isu keselamatan apabila pengguna tidak lagi perlu membawa duit yang banyak.

SelangorKini difahamkan, Maybank QRPay bertindak seperti pointer yang mengarahkan perpindahan terus daripada akaun bank pengguna ke akaun penerima Maybank sahaja.

Melaluinya, pembeli boleh membayar apa yang dibeli melalui telefon dengan hanya mengimbas kod khas disediakan penjual.

Seterusnya, amaun akan terus ditolak daripada akaun simpanan pelanggan untuk dipindahkan kepada akaun penjual.

Pada masa sama, pelanggan juga boleh menyemak baki akaun, termasuk semua pembelian menggunakan kad debit dan melakukan transaksi ringkas pada bila-bila masa, di mana saja, selain mengurangkan keperluan untuk pergi ke cawangan.

Categories
SELANGOR

MPSJ sasar bazar ramadan sebagai lokasi pelancongan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mensasarkan bazar Ramadan di kawasan seliaannya sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong yang dinantikan setiap tahun.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, Bazar Ramadan dilihat mampu untuk menawarkan pelbagai jenis juadah berbuka puasa yang menyelerakan kepada para pelancong, khususnya dari luar negara.

“Usaha ini dapat dilaksanakan melalui inisiatif penyeragaman syarat peniagaan bazar ramadan serta publisiti informasi lokasi kepada 75 hotel sekitar pentadbiran MPSJ.

“Publisiti yang meluas secara tidak langsung mampu menjana perkembangan ekonomi setempat sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi peniaga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar bazar Radaman di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Indah, pagi tadi.

Noraini berkata, untuk mencapai sasaran itu, keutamaan yang perlu dititik beratkan adalah soal kebersihan tapak bazar dan kualiti makanan.

“Memiliki tapak bazar yang bersih dapat memeliharan alam sekitar dan menjamin kebersihan makanan.

“Sebab itu pentingnya syarat kepada peniaga untuk tidak menggunakan bahan yang tidak boleh diurai seperti plastik dan poliserina semasa berniaga dan menggantikan dengan bahan lebih mesra alam,” katanya.

Categories
SELANGOR

Home Help Services bukti MPSJ prihatin golongan OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SERI KEMBANGAN, 19 APR: Program Jalinan Kasih “Home Help Services” membuktikan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) prihatin terhadap golongan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU), miskin dan terlantar.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, program anjuran kali keempat itu mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Subang Jaya dan Jawatankuasa Penduduk Zon 19.

“Kali ini, kita memilih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati ini iaitu pusat pemulihan yang ditubuhkan oleh JKM bertujuan memberi latihan kepada OKU terpilih.

“MPSJ turun sebagai PBT menghulurkan bantuan barangan asas seperti beras, lampin pakai buang serta keperluan asas yang lain” katanya dalam sidang media di PDK Permata Hati di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Hanafi Maulud.

Sementara itu, Noor Hanim turut memuji inisiatif dianjurkan MPSJ yang menjaga kebajikan golongan OKU tanpa mengira bangsa.

“Di bawah DUN Sri Serdang, saya memang sudah meletakkan sasaran kebajikan yang akan diutamakan tanpa mengenal ideologi, agama, bangsa mahu pun warna kulit.

“Saya harap program sebegini terus dilaksanakan bukan sahaja di bawah MPSJ, namun di seluruh PBT,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ anjur seminar galak pengurusan sistematik di bazar ramadan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PUCHONG, 19 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Karnival Seminar Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2018 bagi memberi pendedahan pengurusan yang lebih sistematik ketika berniaga di tapak bazar.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, seminar tiga hari itu melibatkan 1,375 peniaga bagi 15 lokasi tapak bazar.

“Peniaga didedahkan dengan cara pengurusan permohonan bazar yang boleh dibuat secara atas talian sehingga pengurusan di tapak bazar.

“Peniaga juga didedahkan inisiatif penggunaan ‘cashless society’ dimana penggunaan Maybank QRPAY akan digunakan sebagai salah satu cara pembayaran pembelian di bazar.

“Kita juga melaksanakan kempen Bebas Beg Plastik, Bawa Bekas Makanan Sendiri sebagai saranan untuk tidak menggunakan polisterina atau styrofoam semasa urusniaga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar bazar Radaman di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Indah, pagi tadi.

Noraini berkata, pihaknya juga meneruskan pelaksanaan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai dengan menyediakan tong di lokasi.

Pada masa sama, Noraini berkata, MPSJ mengadakan kolaboratif strategik bersama beberapa syarikat korporat seperti Shinsegae Mamee Sdn Bhd, Marigold, Maybank SME Banking serta KPMC Puchong Specialist Centre.

“Peniaga boleh terus dapatkan suntikan Anti-Tifoid dengan harga lebih murah dari KPMC dan ia adalah salah satu syarat wajib yang perlu dipenuhi untuk memohon permit bazar ramadan.

“Selain itu, Shinsegae Mamee menaja program sepanjang tiga hari ini yang bernilai RM150,000 termasuk mengadakan sesi Demonstrasi Masakan dari Chef Selebriti iaitu Chef Ismail dan Chef Faizul.

“Manakala syarikat Marigold juga berhasrat membantu peniaga kecil dengan menawarkan susu pada harga borong supaya dapat mengurangkan kos pembelian, namun dapat menjual produk berkualiti kepada pembeli,” katanya.

Categories
SELANGOR

Denggi: MPSJ gempur Taman Lestari Putra

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjalankan operasi bersepadu denggi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Persatuan Penduduk Taman Lestari Putra, semalam.

Timbalan Pengarah Korporat, Azfarizal Abdul Rashid berkata, operasi bertujuan mencegah pembaikan aedes berikutan peningkatan kes denggi di kawasan berkenaan.

Katanya, operasi membabitkan penglibatan 120 anggota MPSJ serta Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

“Semua anggota terlibat menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah serta lorong belakang rumah semasa operasi dijalankan.

“MPSJ turut melakukan aktiviti larvaciding serta semburan kabus (fogging) bagi mencegah denggi di lokasi tersebut,” katanya.

Sepanjang 2018, menerusi data sehingga minggu epid ke-15, 765 kes denggi dilaporkan di seluruh kawasan MPSJ.

Menurutnya, setakat 18 April 2018 sahaja sebanyak 37 kes dilaporkan di kawasan LEP 4 berbanding tempoh sama pada 2017 iaitu tiga kes sahaja.

Categories
SELANGOR

MPSJ pergiat operasi cegah denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) giat menjalankan operasi bersepadu mencegah denggi ekoran wabak itu meningkat sejak kebelakangan ini.

Dalam kenyataan, MPSJ memaklumkan sehingga minggu epid ke 15, tahun ini sebanyak 765 kes denggi dilaporkan di seluruh kawasan MPSJ.

Katanya, sehingga 18 Apriln lalu, 37 kes dilaporkan di kawasan LEP 4 berbanding tempoh sama pada 2017 iaitu 3 kes sahaja.

“Di antara lokasi paling banyak direkodkan adalah di Jalan LEP 4/15 iaitu 9 kes manakala LEP 4/17 sebanyak 7 kes.

“MPSJ mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang mempunyai tempat pembiakan nyamuk aedes di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154),” katanya.

Dalam operasi terbaru, MPSJ mengadakan satu operasi bersepadu denggi bersama pihak Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Persatuan Penduduk Taman Lestari Putra jam 8.00 pagi, semalam.

Operasi itu dilaksanakan bertujuan untuk mencegah pembaikan aedes di berikutan peningkatan kes denggi yang dilaporkan di kawasan berkenaan.

Kesemua anggota terlibat menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah serta lorong belakang rumah semasa operasi dijalankan.

Selain itu juga, pihak MPSJ turut melakukan aktiviti larvaciding serta semburan kabus (fogging) bagi mencegah denggi di lokasi tersebut.

Sepanjang operasi dijalankan sebanyak 12 Notis dan 1 Notis Pungutan Jentik-Jentik dikeluarkan.

Categories
SELANGOR

MPSJ sasar jadi 30 bandar terbaik dunia menjelang 2030

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 10 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mensasarkan menjadi Perbandaran Hijau Lestari dan muncul antara 30 bandar terbaik menjelang 2030.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, bagaimanapun rancangan dalam tempoh 12 tahun itu berisiko terjejas gara-gara pemikiran kelas ketiga yang menjadi penghalang utama.

“Bagi mengatasinya, MPSJ melaksanakan transformasi minda di peringkat persekolahan, bak kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

“Kami yakin golongan pelajar boleh dipupuk mindanya sekali gus menjayakan sasaran MPSJ menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Generasi Bestari 2018 (Smart Gen) di Summit USJ, tengahari tadi.

Konvensyen disertai 56 sekolah itu diadakan bagi mengupaya golongan pelajar sebagai agen perubahan generasi akan datang.

Noraini berkata, konvensyen itu menyediakan landasan buat guru dan pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan tentang perlaksanaan projek dan aktiviti Generasi Bestari 2018.

“Melalui program ini, MPSJ mahu mereka berada dalam persekitaran baru sehingga menghasilkan impak positif.

“Bila minda mereka terdidik, maka belanjawan mengatasi masalah sampah dapat dikurangkan seterusnya kita dapat memfokuskan belanjawan ke arah bandar terbaik pada 2030,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ anjur Pertandingan Video ‘Kitar Semula Bermula Dari Rumah’

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Pertandingan Video ‘Kitar Semula Bermula Dari Rumah’ pada 1 April hingga 31 Mei ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pertandingan itu diadakan selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar sebagai satu tanggungjawab individu bermula dari rumah.

“Karya dihasilkan perlulah hasil kerja asal peserta yang mengandungi nilai-nilai murni dan tidak mengandungi unsur-unsur sensitiviti seperti perkauman, kebudayaan, keagamaan dan politik.

“Pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada video yang dapat menyampaikan mesej dengan tepat,” katanya dalam kenyataan.

Pertandingan dibuka secara percuma kepada semua warga berusia 12 tahun ke atas dan merupakan penduduk MPSJ.

“Setiap peserta dihadkan menghantar satu penyertaan sahaja berdurasi tidak melebihi tempoh tiga minit mengenai tatacara mengitar semula bahan dari dapur atau rumah.

“Justeru, MPSJ menyeru semua komunitinya untuk turut serta dan menangi ganjaran wang tunai serta sijil penghargaan,” tambahnya lagi.

Penyertaan yang lengkap hendaklah di kemukakan melalui aplikasi whatsapp kepada urusetia pertandingan di 011-36861267 dan kemukakan fail dalam bentuk CD.

Categories
SELANGOR

MPSJ anjur Karnival dan Bengkel Usahawan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Dalam usaha menggalakkan penglibatan rakyat menjana ekonomi isi rumah, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Karnival dan Bengkel Usahawan, pada 31 Mac ini.

MPSJ dalam kenyataan berkata, program julung kali itu bakal berlangsung di Kompleks 3K, SS13 Subang Jaya bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, program itu bertujuan membantu memberi kesedaran dan memupuk sifat keusahawanan dalam diri masyarakat.

“Selain itu, ia bagi membina keyakinan melalui taklimat keusahawanan tentang pinjaman disediakan untuk membantu pengusaha kecil memulakan perniagaan dan mempromosikan produk mereka.

“Pada masa sama, program ini juga mahu menggalakkan penyertaan masyarakat dengan aktiviti diadakan di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk dan masyarakat setempat,” katanya.

Justeru, bagi menggalakkan penduduk setempat turun padang memeriahkan program itu, pelbagai aktiviti menarik diatur.

Ia termasuklah program usahawan meliputi seminar usahawan, bengkel membuat roti canai, ‘moon cake’, durian crepe, gulai kawah dan tapai pulut, demonstrasi kraftangan serta gerai jualan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan.

Sementara itu, kaunter-kaunter agensi dalaman dan luaran seperti HIJRAH Selangor, Tekun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil bahagian.

Aktiviti menarik lain yang turut diadakan adalah ‘food truck’, ‘car booth sales’, perasmian rumah warga emas, seminar ‘Big Girls Talk’, bengkel tatacara etika berpakaian dan komunikasi semasa temuduga bagi pelajar lepasan SPM, STPM, serta IPT.

Di samping itu, terdapat juga taklimat kesedaran pemakanan dan gaya hidup sihat secara usahasama bersama komuniti, pemeriksaan kesihatan, konsultansi pemakanan sihat, pertandingan sepakan penalti ‘soccer kids’, bengkel asas renang, bengkel asas muzik serta perlawanan amal bola.

MPSJ amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke karnival berkenaan dan merebut peluang menyertai aktiviti disediakan.

Categories
SELANGOR

Perkhidmatan MPSJ kreatif, inovatif berdepan cabaran masa kini

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 MAC: Pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengamalkan buadaya kerja kreatif dan inovatif bagi mendepani cabaran persekitaran ekonomi, sosial dan pembangunan semakin mencabar.

Yang Dipertuanya, Noraini Rosdlan berkata, ia turut merangkumi tindakan tegas, pantas dan berhemah supaya perkhidmatan dapat dirasai dan dinikmati penduduk di kawasannya.

“Berlandaskan lima ‘corporate core values’ MPSJ diamalkan dan menjadi panduan kepada semua warga pengamal nilai korporat ini, ia adalah aspek penting membentuk sahsiah dan keperibadian diri setiap warga kerja MPSJ,” katanya dalam Majlis Apresiasi Warga Kerja MPSJ di sini, semalam.

Beliau berkata, nilai korporat itu ialah pemimpin yang menerajui, profesionalism, kerja berpasukan, berketrampilan dan ‘trend setter’.

Katanya, tonggak kecemerlangan sesebuah organisasi terletak kepada jentera pengurusannya yang berwawasan.

“Tanpa pegawai dan warga kerja mengamalkan budaya kerja cemerlang akan mencacatkan usaha untuk menghasilkan perkhidmatan berkualiti.

“Budaya kerja unggul dan cemerlang menjadi asas kepada peningkatan kualiti dan produktiviti sesebuah organisasi ia ia hanya akan tercapai sekiranya warga organisasi mempraktikkan etika kerja juga sifat integriti menyeluruh dan positif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPSJ sentiasa menekankan aspek mengamal budaya kerja berkualiti tinggi di kalanmgan warganya agar kualiti penyampaian perkhidmatan MPSJ dapat ditingkatkan dari masa ke semasa sehingga memperoleh pencapaian membanggakan.

Dalam majlis itu, MPSJ meraikan 130 kakitangan MPSJ yang menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, 14 pesara (Sijil Penghargaan), lima kakitangan (Anugerah Sukan peringkat antarabangsa (Sukan Sea 2017) serta penerima Anugerah Inovasi peringkat Negara dan Antarabangsa 2017.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Categories
SELANGOR

MPSJ bantu SYABAS bekal air bersih

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif memberikan bantuan bekalan air di lima kawasan sekitar pentadbirannya, hari ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, operasi itu merupakan inisiatif MPSJ mengagihkan air bersih kepada penduduk serta membantu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyampaikan bekalan air kepada penduduk dengan kadar segera.

“Kami memahami kesukaran dihadapi penduduk yang terputus bekalan air akibat kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (SSP3).

“Operasi memasuki hari kedua ini menumpukan kawasan perumahan bertingkat dan beberapa lori air seliaan MPSJ serta Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) turut digerakkan ke kawasan masung-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azfarizal berkata, antara kawasan terlibat adalah Pangsapuri SS19 , Subang Jaya; Pangsapuri Sri Enggang, BK 6, Bandar Kinrara; Pangsapuri Sri Kayan, Pinggiran Subang; Pangsapuri Cempaka, Bandar Puchong Jaya dan Pangsapuri Sri Tanjung, Bandar Puchong Jaya.

“Operasi hari ini diketuai Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Zulkurnain Che Ali, bersama 17 anggota PANTAS MPSJ, lima kakitangan Jabatan MPSJ serta 2 wakil MDKS.

Terdahulu, pada hari pertama operasi, MPSJ turut mengagihkan bekalan air bersih di Masjid SS15 serta Masjid SS19, Subang Jaya bertujuan memudahkan ibadah Solat Jumaat.

Selain itu, MPSJ turut membuat pengagihan air di beberapa kawasan perumahan iaitu SS17, SS18, Taman Kinrara 5, Jalan Merak Taman Kinrara dan Pangsapuri Sri Enggang.

Azfarizal berkata, diharapkan usaha MPSJ itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk dalam urusan seharian mereka.