Categories
NASIONAL

MAPIM seru wang korban diinfaq bantu etnik Rohingya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru masyarakat Islam negara ini memikirkan nasib saudara seagama termasuk etnik Rohingnya yang terkorban setiap hari akibat dizalimi.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika ini ribuan warga Rohingya sedang hebat dizalimi, diburu dan dibunuh selain perkampungan mereka dimusnahkan.

Justeru, pihaknya menyeru muslimin yang ingin melakukan ibadah korban tahun ini untuk menginfaqkan sebahagian wang itu kepada ribuan Rohingnya tertindas.

MAPIM - AZMI HAMID“Di saat kaum Muslimin berkorban haiwan, saudara kita di Arakan kebuluran kerana melarikan diri dalam hutan dan di benteng Sungai Naf untuk menyeberang ke Bangladesh menyelamatkan diri dari buruan tentera Myanmar dan ekstrimis Buddha.

“Kita tidak boleh hanya menumpu untuk mendapat ganjaran amal korban semata-mata tetapi perlu turut menyalurkan pengorbanan untuk disumbang kepada saudara seagama sedang ditindas di Myanmar,” ,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MAPIM turut menyeru semua jemaah haji di Mekah khususnya dari Malaysia berdoa dan bersolat hajat memohon kesejahteraan dan perlindungan etnik Rohingya.

mekahMohd Azmi berkata, penindasan terhadap etnik itu menuntut pembelaan setiap muslimin dan ibadah haji dijalankan ketika ini perlu dimanfaatkan bagi tujuan itu.

“Keadaan kini sangat parah, kanak-kanak dan wanita Rohingya tidak berdosa dibunuh dengan zalim dengan setakat ini lebih 40 kampung musnah dibakar manakala lebih 500 orang terkorban.

“Malangnya tiada sebarang tindakan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, Kesatuan Eropah mahupun Asean,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bantah kekejaman, MAPIM lancar kempen solidariti Islam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 MEI : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menganjurkan Kempen Solidariti Islam besar-besaran membabitkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh negara, Ramadan ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia dilaksanakan sebagai bantahan keras terhadap Kerajaan Myanmar susulan kempen anti Islam yang dilancarkan di negara itu, awal tahun ini.

“Kempen ini dicadangkan serentak dengan sambutan Nuzul Quran di Kuala Lumpur dengan cadangan awalnya di Masjid Wilayah dan Masjid Negara Ramadan ini.

MAPIM - AZMI HAMID“Ia melibatkan semua NGO namun keutamaan seruan kita adalah penyertaan daripada masyarakat Islam seluruh negara untuk datang menyokong kempen ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MAPIM, pagi ini.

Beliau berkata, pengisian kempen itu termasuklah pendedahan aktiviti keganasan dilakukan tentera Myanmar, isu pendidikan setempat dan halangan terhadap masyarakat Islam Rohingnya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi turut mendedahkan kekejaman pihak berkuasa negara itu yang membakar masjid dan sekolah masyarakat Rohingnya, 28 April lalu.

Media melaporkan, kejadian itu berpunca daripada tindakan pihak berkuasa negara Myanmar membenarkan kumpulan sami yang membawa penunjuk perasaan merantai pintu masuk sekolah serta dua buah madrasah dan membakar premis berkenaan.

“Apa yang berlaku kini, kekejaman Myanmar sudah melampaui batas apabila mereka bukan sekadar menyerang masyarakat Islam, namun simbol-simbol Islam seperti Masjid, Surau, Sekolah Islam juga dihapuskan.

“Menjelang Ramadan ini, tidak mustahil masyarakat Islam di sana tidak lagi dibenarkan solat di Masjid sepanjang Ramadan,” katanya.

Justeru katanya, komitmen masyarakat dunia khususnya pertubuhan Islam Kerjasama Islam menerusi penyertaan 57 negara Islam perlu mengambil pendirian tegas menangani isu keagamaan di Myanmar.

 

 

Categories
NASIONAL

MAPIM: Beri ‘Food Flotilla’ laluan, dunia perhati sikap Myanmar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Myanmar didesak tidak mengkhianati kepercayaan Flotilla dalam misi bantuan kemanusian ‘Food Flotilla’.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pada 9 Oktober lalu, jumlah yang diserahkan tidak sampai 20 peratus dari jumlah keseluruhan sebanyak 2,300 tan.

“Sekretariat Flotilla sudah memenuhi syarat yang ditetapkan dengan jaminan bahawa pihak Myanmar akan memastikan bantuan itu akan disampaikan kepada komuniti Rohignya yang berada di Kem IDP Sittwe.

MAPIM - AZMI HAMID“IDP kem di Sittwe sahaja mempunyai tidak kurang dari 150,000 mangsa bergantung penuh kepada bantuan makanan dari luar, ” katanya.

Beliau berkata, Myanmar akan dipertanggungjawabkan jika pengagihan itu tidak berlaku seperti diharapkan.

“Kami juga akan mendapatkan maklumat dari kontak kami di sana bagi melaporkan pengagihan bantuan itu.

“Pihak Myanmar menolak permohohan urusetia Flotilla untuk masuk ke pelabuhan Sittwe, tingkah laku itu sedang diperhatikan dunia,” katanya.

Amanah bantuan itu adalah sumbangan rakyat Malaysia dan badan bukan kerajaan dari 10 negara lain.

-nR-

Usaha MAPIM Bantu Rakyat Gaza Dipuji Kerajaan Selangor

Mapim MB Gaza Aziz 01

SHAH ALAM 25 JAN: Komitmen Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dalam menolong penduduk di Gaza, Palestin mendapat pujian Kerajaan Selangor setelah NGO itu berjaya mendirikan beberapa buah masjid di wilayah itu.

Sehingga kini, Mapim telah berjaya menyalurkan dana dari rakyat Malaysia bagi membina Masjid Beit Hanoun, Masjid Umar Abdul Aziz dan Masjid Al-Hikma serta menyediakan bantuan kemanusiaan yang lain untuk rakyat di Gaza.

Penyelaras Mapim Selangor, Abdul Aziz Abu Bakar berkata, projek terbaru Mapim di Gaza adalah membina sebuah hospital baru dengan kos RM 100 juta.

Mapim juga sedang merancang projek mambantu membaiki rumah penduduk Gaza yang musnah dibedil tentera Israel dengan kos RM3,000 bagi sebuah rumah.

Katanya, sebanyak 110,000 keluarga di Gaza hidup di bawah paras kemiskinan dan 70 peratus daripada penduduknya tidak mempunyai pekerjaan.

“Ia bukan bermaksud mereka malas bahkan sangat rajin kerana projek menyiapkan beberapa buah masjid di Gaza hanya memakan masa beberapa bulan sahaja kerana kerajinan penduduk di sana,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian ketika memberikan penerangan mengenai misi Mapim dalam membantu rakyat Gaza sewaktu majlis beramah mesra wakil Mapim bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kediaman rasmi Menteri Besar petang tadi.

Turut hadir, ahli-ahli Exco Selangor serta wakil Mapim di Gaza, Mohammad Y. Hasna dan Ketua Muslimat Hamas yang merupakan isteri kepada As-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi, Ummu Muhammad Rasha S.A Al Rantisi.

Sementara itu, Mohammad Y. Hasna berkata, rakyat di Gaza amat memerlukan sokongan dan bantuan dalam pelbagai bentuk oleh rakyat Malaysia dalam usaha memerdekakan Palestin.

“Kami sangat berterima kasih dan menghargai sumbangan yang diberikan oleh rakyat Malaysia dan Mapim sebagai salah sebuah pertubuhan yang sentiasa mengambil berat terhadap penduduk di Palestin ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid memuji sikap dan semangat yang ditonjolkan Mapim kerana sentiasa berusaha mencari dana bagi membantu memulihkan Gaza dan berjaya membina pelbagai infrastruktur untuk rakyat di sana.

“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dalam membantu misi kemanusiaan untuk penduduk di Gaza serta ia merupakan tanggungjawab kita semua untuk menghulurkan bantuan,” katanya.