Categories
SELANGOR

Sasar 100 makanan terbaik Selangor dikumpulkan dalam satu acara

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 100 makanan terbaik Selangor akan dikumpulkan dalam satu acara bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk sama-sama menikmati keunikan makanan lokal dan ‘street food’ di Selangor.

Exco Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, ia adalah sasaran bersempena dengan Selangor International Food Festival yang bakal kembali pada tahun ini.

“Ia bagi meneroka kepelbagaian makanan dan minuman lokal yang menjadi tarikan dalam kalangan masyarakat sama ada di dalam dan luar negeri,” katanya.

Amirudin berkata demikian dalam catatan di laman Facebooknya ketika di Mumbai pada 23 Februari lalu, bagi mempromosikan Selangor International Food Festival 2018 bersempena program Malaysian Magic @ Pondichery Cafe, Sofitel Hotel & Resorts Mumbai.

Lawatan itu juga untuk meninjau potensi Mumbai sebagai satu peluang menarik pelancong India datang ke Selangor khasnya, yang terkenal dengan kepelbagaian makanan rakyat popular seperti Satay Kajang, Nasi Ambeng, Tauhu Sumedang, Cendol dan makanan popular kaum Cina serta India.

Turut hadir, Konsul General Malaysia di Konsulat Malaysia Mumbai, Zainal Azlan Mohd Nadzir, Pengarah Tourism Malaysia Mumbai, Mohd Hafiz Hashim dan Pengurus Besar Sofitel Mumbai, Biswajit Chakraborty.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Guna sisa makanan, jimat elektrik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 28 NOV : Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memperkenalkan kaedah penjimatan baru tenaga elektrik untuk dimanfaatkan penduduk perbandaran itu.

Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa Md Taib berkata, pelaksanaan pelan teknologi itu dijayakan secara bersama, SIRIM Berhad.

“Kita menggunakan teknologi pencernaan makanan terpakai yang sudah tidak digunakan (sisa makanan) dengan melaksanakan pendekatan baru.

“Caranya, komponen terpakai ini akan ditukar dan dimasukkan ke dalam sebuah mesin untuk mengeluarkan tenaga yang mampu menjana pengeluaran elektrik.

“Untuk tempoh ini, projek ini masih lagi di peringkat percubaan dengan pelaksanaan uji kaji telah dimulakan di padang futsal.

“Sekiranya projek ini berjaya, kita bersedia untuk mengaplikasikannya di seluruh perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025, di Cyberview Resort and Spa, hari ini.

Terdahulu, ini bukan pertama kali pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperkenalkan inisiatif penggunaan teknologi baru kepada masyarakat setempat.

Sebelumnya, MPSepang juga pernah melaksanakan pendekatan berbeza untuk menangani habitat Aedes dengan menggunakan lebihan minyak terpakai.

Pendekatan itu menyaksikan MPSepang sebagai PBT pertama muncul dengan penerokaan teknologi hijau baru yang turut diperakui Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.

=EZY=

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Makanan tumpuan utama rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kajian dilakukan BlackBox Research untuk Tourism New Zealand. mendapati makanan sentiasa menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia termasuk ketika mereka menikmati percutian.

Kaji selidik itu mendapati lapan daripada setiap 10 (80 peratus) rakyat Malaysia lebih memberi tumpuan terhadap makanan dan menjamu selera adalah aktiviti paling digemari apabila bercuti di sesebuah negara.

BlackBox Research melakukan kaji selidik ke atas 1,000 responden dan turut mendapati 50 peratus daripada pengembara Malaysia menghargai masa berkualiti yang mereka habiskan bersama keluarga juga sahabat handai ketika bercuti diikuti menikmati keindahan alam semula jadi (43%) serta bersantai di pantai (43%).

Pengurus Tourism New Zealand bagi rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara, Steven Dixon berkata, kegemaran rakyat Malaysia terhadap makanan bukan rahsia lagi bagi rakyat New Zealand.

Katanya, terdapat banyak tempat di New Zealand yang sentiasa bersedia memenuhi selera pengembara dari Malaysia.

new zealand“New Zealand menawarkan pelbagai makanan lazat di seluruh negara. Daripada menjamu selera dengan menikmati hidangan tradisional dikenali sebagai ‘Hangi’ di bahagian tengah North Island hingga kelazatan udang getak yang segar di Kaikoura.

“Maka, setiap rakyat Malaysia tidak menghadapi masalah untuk memenuhi selera mereka di mana sahaja apabila berada, di New Zealand,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor BERNAMA.

Dixon berkata, Tourism New Zealand menyediakan Panduan Makanan Halal untuk memenuhi keperluan pelancong beragama Islam, yang boleh dimuat turun melalui www.newzealand.com/my/feature/halal-guide-for-new-zealand.

Dilancarkan tahun lalu, panduan itu memberi maklumat berkenaan opsyen hidangan halal yang terdapat di negara berkenaan.

“Ini termasuk senarai restoran dan kafe yang mempunyai sijil pengesahan halal serta yang menyediakan hidangan daripada sayur-sayuran,” kata Dixon.

new zealand 1Terdapat juga pelbagai acara berkaitan makanan sepanjang tahun di New Zealand yang memberi peluang kepada pengembara dari Malaysia bukan sahaja untuk menikmati budaya makanan negara itu tetapi mengisi masa bersama orang tersayang.

Antara acara yang dimaksudkan ialah ‘Wellington on a Plate’ iaitu festival masakan tahunan yang diadakan pada Ogos apabila restoran dan medan selera menghidangkan masakan baharu dan berbeza sepanjang dua minggu bagi memenuhi selera setiap pengunjung.

Dixon menyifatkan, pengembara dari Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menikmati percutian, di New Zealand.

“Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki New Zealand yang memudahkan mereka untuk berkunjung ke negara ini bagi menikmati percutian sambil menjamu selera.

Selain itu, kata beliau, terdapat penerbangan terus dari Malaysia ke New Zealand yang disediakan Malaysia Airlines, di samping opsyen penerbangan dengan satu persinggahan menarik yang disediakan beberapa syarikat penerbangan termasuk Singapore Airlines.

Categories
NASIONAL

Isi rumah berpendapatan rendah tidak mampu belanja makanan berkhasiat

SHAH ALAM 30 OGOS: Kos makanan semakin tinggi menyebabkan ramai rakyat terutamanya isi rumah berpendapatan rendah tidak mampu berbelanja untuk makanan berkhasiat selaras dengan Panduan Diet Malaysia.

Khazanah Research Insitute (KRI) dalam laporan terbaru keadaan isi rumah mendedahkan faktor harga makanan semakin tinggi terus menjadi penyebab peningkatan bebanan kos sara hidup buat isi rumah di negara.

Laporan itu menunjukkan makanan kekal sebahagian besar perbelanjaan kebanyakan isi rumah dengan kadar peningkatan harga makanan berada di tahap membimbangkan.

Pada 2014, lebih 94 peratus isi rumah berbelanja lebih untuk makanan dari perbelanjaan lain dan mereka yang berpendapatan rendah dari RM2,000 tmembelanjakan lebih 38 peratus dari perbelanjaan bulanan mereka untuk makanan.

Kaji selidik dibuat mengenai keselamatan makanan di kalangan isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur menunjukkan lebih 65 peratus isi rumah mempunyai isu dalam mengekalkan keselamatan makanan.

Ia selaras dengan laporan dikeluarkan Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) mengenai isu ketidakselarasan dan ketidakadilan dalam pengambilan makanan berkhasiat dikalangan isi rumah mengikut keadaan sosio-ekonomi masing-masing.

Selain itu, harga makanan dikatakan semakin naik juga terbukti melalui perkiraan Consumer Price Index atau Indeks Harga Pengguna (IHP)apabila makanan dan minuman merupakan salah satu komposisi indeks tersebut.

Food Mahal

Ternyata, harga makanan semakin naik melebihi paras normal indeks harga pengguna.

Kajian dibuat menunjukkan inflasi harga makanan dalam negara dipengaruhi harga makanan di rumah yang dikira melalui Indeks Makanan di Rumah.

Ikan dan makanan laut menyumbang 23.8 peratus dari keseluruhan indeks, diikuti bijiran pada kadar 23.2 peratus, daging, 15.5 peratus, sayur-sayuran, 11.3 peratus, produk tenusu dan telur, 9.4 peratus.

Setiap jenis produk makanan ini menunjukkan kenaikan harga ketara dari 2010 hingga 2015.

Harga makanan laut dan ikan naik sehingga 30.9 peratus, produk tenusu dan telur sebanyak 23 peratus dan daging naik sehingga 18.7 peratus.

cover_state_of_households_ii_1Memandangkan produk ini menyumbang 48 peratus total dalam Indeks Makanan di Rumah, kesimpulan boleh dibuat ternyata memberi kesan dalam indeks keseluruhan.

Selain produk tersebut, produk gula dan manisan juga semakin naik tinggi dari tahun ke tahun.

Menurut laporan tersebut, sebuah isi rumah dengan lima ahli keluarga membelanjakan minimum diantara RM25.21 dan RM38.45 setiap hari untuk diet yang berkhasiat.

Perkiraan ini tertakluk untuk makanan dimasak di rumah sahaja dan tidak mengira kos memasak di rumah seperti kos pengangkutan untuk membeli barang masakan, caj eletrik, gas memasak, kos membina dan barangan dapur seperti peti sejuk dan periuk nasi.

EZY

Categories
SELANGOR

Elak bazir makanan, sebulan boleh sama tinggi 30 KLCC

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Masyarakat perlu diberi kesedaran sikap keserderhanaan dan berjimat cermat menyambut Ramadan dengan mengelakkan pembaziran makanan.

Sebelum ini media mendedahkan dalam tempoh sebulan Ramadan, rakyat Malaysia membuang kira-kira 270,000 tan makanan yang tidak disentuh yang ia boleh di makan semula.

Kerani, Muhammad Akmal Abdul Latip, 25, berkata ajaran Islam mengajar berbelanja secara bersederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa.

Bazir makanan“Sebaliknya apa yang berlaku kini, masyarakat sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan kerana terlalu ikutkan nafsu yang lapar dan akhirnya berlaku pembaziran,” katanya kepada Selangor Kini.

Pemilik Butik, Farhana Ismail, 28, berkata, masyarakat disarankan membeli bahan untuk memasak sendiri elak dari membeli di luar.

“Kelebihannya, kita dapat hidangkan dalam kuantiti banyak untuk seisi keluarga dan kos bahan juga tidak semahal membeli juadah di bazar yang semakin tidak berbaloi.

“Selain itu, peniaga juga perlu menghadkan penjualan kuantiti makanan dan membuat anggaran pengunjung yang datang untuk elakkan berlaku berlebihan makanan,” katanya.

Sementara itu, Ejen Insurans, Nuraini Ismail Johari, 26, berkata mentaliti masyarakat perlu diubah kerana kebanyakan mereka membeli juadah bukan mengikut keperluan, tetapi mengikut nafsu.

“Kita juga perlu ada sikap ambil tahu dan prihatin terhadap rakyat kurang berkemampuan supaya dapat didik diri tidak berlebihan dalam membeli juadah di bazar Ramadan,” katanya.

Memetik laporan mStar Online, Syarikat menyelia sisa pepejal, SWCorp, berkata berdasarkan perkiraan itu, jumlah makanan itu boleh dihidangkan kepada 180 juta orang, enam kali ganda melebihi populasi negara ini iaitu 27 juta.

Jika 270,000 tan makanan makanan itu dilonggokkan ia adalah bersamaan dengan ketinggian 30 buah bagunan KLCC yang berketinggian 452 meter itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Harga makanan kantin sekolah naik, Kerajaan Pusat patut turun padang

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM 9 JAN : Pengusaha-pengusaha kantin terpaksa menaikkan harga sajian makanan sekirannya mereka terus dibebankan dengan lambakan kenaikan harga barangan di pasaran sehingga menjejaskan kos operasi mereka.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah Malaysia, Hamzah Omar, berkata ia bagaimana pun berlaku pada kadar yang minimum dan tidak membebankan mana-mana pihak khususnya ibu bapa.

Kantin1“Selaku organisasi yang bertanggungjawab kepada pengusaha kantin ini, kami sentiasa memantau dan memastikan agar setiap pengusaha kantin mematuhi kontrak dengan mengekalkan harga tanpa melakukan perubahan harga sesuka hati

“Namun, apabila harga barangan dipasaran melambung naik, sedikit perubahan harga makanan terpaksa dilakukan pengusaha kantin. Itu pun dinaikkan pada kadar minimum bagi menampung kos operasi mereka dan bukannya untuk membuat keuntungan berlibat ganda,” jelasnya ketika dihubungi Selangor Kini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata proses sebut harga dan pemberian tender dari sekolah kepada pengusaha kantin sudah cukup membuktikan hanya pengusaha terbaik dilantik dalam memastikan semua pihak khususnya ibu bapa tidak terkesan.

“Setiap kali sekolah buka sebut harga dan tender baru, sekurang-kurangnya berbelas pengusaha akan memohon. Jadi mereka perlu bersaing dan hanya pengusaha yang memberi sebut harga terbaik akan dipilih oleh sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD),”

“Ini bermaksud, kenaikan harga yang minima itu adalah persetujuan bersama antara sekolah dan PPD. Kenaikan harga yang minima itu, pada saya adalah sangat wajar ekoran lambakan kenaikan harga barangan yang melambung naik hari ini,” jelasnya.

Menjawab keluhan ibu bapa berhubung kenaikan harga makanan di kantin menjelang tahun ini, Hamzah berkata para pengusaha kantin juga terkesan dan bukan sewenangnya mahu mengambil kesempatan meraih keuntungan.

“Kita faham beban yang ditanggung semua ibu bapa ini. Namun, ibu bapa juga perlu memikirkan beban yang ditanggung pengusaha kantin.

“Mereka ini pun terdiri dari kalangan ibu bapa yang turut memerlukan sumber pendapatan,”katanya.

Sebelum ini, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata Kerajaan pusat perlu mengawal harga makanan di kantin sekolah bagi mengelakkan ibu bapa mengalami bebanan dengan kenaikan kos sara hidup di negara ini.

Katanya, Kerajaan Pusat perlu memikirkan kaedah untuk membantu ibu bapa bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas.
EZY