FOKUS ISU : ANAK – Mampukah FGVH Mengangkat Martabat Peneroka ?

Sinopsis:
Sejauh mana penyenaraian Felda (FGVH) dalam Bursa Saham Malaysia mampu mengangkat martabat dan pendapatan peneroka Felda ?

Categories
SELANGOR

Peneroka Felda Rugi Jika Saham FGHV Jatuh Pada RM4.70

SHAH ALAM 6 SEPT : Peneroka Felda yang memiliki Saham Felda Global Ventures (FGHV) bakal berhadapan kerugian jika saham FGVH itu jatuh pada harga RM4.70 yang terus menyukarkan kehidupan peneroka apabila sebelum ini dibebani hutang pinjaman bank bagi memiliki saham itu.

Merujuk kepada laman Bursa Malaysia setakat 12.30 tengahari hari ini ,saham FGVH diniagakan harga RM4.78 di bawah harga psikologi pada RM5.00.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),Mazlan Aliman berkata walaupun saham FGVH disenaraikan pada RM4.55 dan naik kepada RM5.33, tetapi dalam tempoh yang begitu singkat saham ini mula menurun.

Kejatuhan saham FGVH dianggap terlalu cepat berbanding saham-saham lain seperti Amanah Saham Bumiputera dan Saham Negeri-negeri yang hanya jatuh dalam tempoh empat sehingga lima bulan.

“Dan kebimbangan kita ialah apa akan berlaku apabila rugi,sebab bila rugi ia akan ditanggung pemegang saham yang sahamnya dibeli dalam bentuk pinjaman yang perlu membayar termasuk kadar faedahnya lima peratus,apakah peneroka-peneroka Felda itu mampu untuk menampung risiko,” kata Mazlan ketika dihubungi.

Jelas Mazlan, pada realitinya masih lagi belum berlaku keadaan setiap peneroka hanya perlu membayar RM50 kepada Felda dalam masa lima tahun seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Beberapa aduan yang saya terima, di mana peneroka merujuk kepada bank dimaklumkan pihak bank tidak mengetahui hal tersebut.

“Apa yang berlaku di peringkat bawah ia tidak begitu, adi ini telah menimbulkan kerungsingan.

“Walaupun pakej bayaran RM50 itu dilaksanakan, bagaimana dengan peneroka yang sudah mula membayar kepada pihak bank,adakah peneroka boleh menuntut balik bayaran daripada pihak Felda Global Ventures?” soal Mazlan.

Pihak Anak akan menulis surat kepada pihak Yang Dipertuan Agong untuk mendapatkan maklum balas berkenaan memorandum yang dihantar oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik semasa Himpunan Oren pada 14 Julai lepas.

“Kita mahu mengetahui sejauhmana pendirian Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam hal ini.

“Dan kita yakin pihak Raja-Raja Melayu prihatin dan bimbang dengan perkembangan yang berlaku di Felda,” katanya.

ANAK Jangka Perubahan Besar Undi Peneroka Dalam PRU-13

KUALA LUMPUR 31 OGOS : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menjangkakan terdapat perubahan besar dalam undi peneroka Felda pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusinya, Mazlan Aliman optimis dengan siri pendedahan pelbagai pihak berhubung kepincangan Felda berjaya membuka mata warga peneroka terutama generasi kedua Felda.

“Daripada 1.6 juta warga peneroka, 60 peratus daripadanya ialah generasi kedua dan ketiga dan mereka inilah penentu pilihan raya akan datang.

“Kita melihat generasi baru ini lebih relevan dalam membuat penilaian dan mereka sedar pengurusan Felda ini dicengkam pemimpin rakus dan tamak haloba yang menelan kekayaan yang seharusnya menjadi hak warga peneroka,” ujar Mazlan dalam satu temubual ekslusif bersama TV Selangor.

Tambahnya, anak-anak peneroka Felda kini lebih berpendidikan dan bijak menilai bentuk permainan kerajaan pemerintah yang menindas warga peneroka.

“Mereka dapat lihat bagaimana kerajaan sedia ada cuba mewujudkan satu bentuk transformasi yang memindahkan kepentingan peneroka kepada satu konsep dan dasar yang berbeza dengan matlamat awal penubuhan Felda dahulu.

“Sesungguhnya kita semua tidak menolak transformasi namun biarlah ia berbentuk penambahbaikan bukan sesuatu yang sekadar menguntungkan kroni dan menindas peneroka,” kata beliau.

Categories
SELANGOR

Felda : Mazlan : Mengapa Pemimpin Baik Felda Diganti?

SHAH ALAM, 28 OGOS : Aktivis Felda Mazlan Aliman hari ini mempertikaikan penggantian Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dengan seorang pegawai yang dikatakan terlalu ?junior? untuk jawatan itu.

Mazlan mendakwa Faizoull Ahmad yang menggantikan Dzulkifli adalah orang kepercayaan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang sebelum ini hanya berjawatan gred N54.

“Sedangkan ada orang yang lebih senior daripada beliau. Sepatutnya, Faizoul ke gred Jusa C dahulu sebelum naik ke gred Turus 3,? kata Mazlan yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Mazlan berkata Dzulkifli akan disingkirkan dari terus memegang jawatan itu berkuatkuasa 1 September depan.

Perkara tersebut didedahkan oleh Mazlan berdasarkan sumber dalaman Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Felda pagi tadi.

“Datuk Dzul akan dipindahkan ke Kementerian Asas Tani dan ditugaskan ke Rome, Itali,”jelas Mazlan dipetik daripada akuan Facebooknya.

Pendedahan terperinci berhubung perkara ini akan didedahkan dalam satu sidang media 30 ogos ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peneroka Tersentak Saham FGVH Bukan Percuma, Terpaksa Tanggung Hutang Bank

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kegembiraan peneroka menyangkakan bahawa 800 unit saham Felda Global Venture Holding Bhd (FGVH) yang ditawarkan kepada mereka adalah percuma bertukar menjadi mimpi ngeri apabila terpaksa membayar hutang bank bagi membolehkan mereka memiliki saham tersebut.

Kebanyakkan peneroka yang terpaksa menanggung hutang ini hanya menyedari kewujudan pinjaman ini apabila menerima surat bayaran semula pinjaman bernilai balik hutang berjumlah RM3,630 untuk pembelian 800 unit saham FGVH terlibat dari pihak bank baru-baru ini.

Demikian beritahu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman ketika dihubungi TVS hari ini.

“Kebanyakkan mereka tak menyedari ada antara borang yang mereka tandatangani itu adalah pinjaman bank untuk beli 800 unit saham FGVH, sebab peneroka ini tidak diberikan penerangan yang jelas sebelum turunkan tandatangan.

“Rata-rata peneroka atau waris yang menemui saya menyangka 800 unit saham FGVH mereka dapat itu percuma.

“Mereka keliru kerana istilah yang digembar gemburkan adalah durian runtuh dan menyumpah bila terima penyata pinjaman dari bank terbabit,” kata Mazlan.

Malah menurut Mazlan, isu ini tutut menimbulkan perbalahan antara ahli keluarga sebilangan peneroka dan waris mereka.

“Ada seorang menantu peneroka mengadu pada saya, ipar duai dia bertengkar siapa yangg nak ambil tanggungjawab bila bapa mereka meninggal dunia bulan puasa baru-baru ni.

“Ada waris yang dinamakan sebagai peminjam pening kepala bila surat bank sampai; walhal yang beria-iya dulu suruh sain adalah adik beradik,” katanya lagi.

Menurut Mazlan, pinjaman yang dikenakan faedah sebanyak lima peratus itu dicah secara harian.

Jelas Mazlan, caj faedah harian tersebut berterusan meningkat selagi bayaran pinjaman tidak dijelaskan oleh peneroka terbabit.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan Oren Selamatkan Felda Berakhir Aman

Himpunan Oren Selamatkan Felda Berakhir Aman
Oleh Nazli Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Perhimpunan Oren Selamatkan Felda yang diadakan untuk menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung hari ini berakhir dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, perhimpunan ini berjaya diadakan dengan aman apabila tiada sebarang tindakan provokasi dari pihak berkuasa seperti yang berlaku dalam perhimpunan BERSIH 3.0 sebelum ini.

“Ini membuktikan ketegangan yang berlaku dalam perhimpunan sebelum ini disebabkan adanya provokasi dari pihak tak bertanggungjawab termasuk pihak keselamatan sendiri.

“Hari ini Alhamdullilah, pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan profesional, beri kerjasama yang baik kepada kita,” kata Badrul atau dikenali juga sebagai Chegu Bard.

Terdahulu, lebih kurang jam 2.00 petang tadi kira-kira hampir 10,000 perserta perhimpunan yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu itu telah berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke persimpangan berhadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.


Selepas ucapan ringkas beberapa pemimpin, perarakan anjuran Gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda (GSF) tersebut diteruskan ke Istana Negera yang terletak kira-kira kurang 2 km dari situ.

Dalam satu ucapan ringkas oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, perhimpunan tersebut telah mendapat sokongan dari 12 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Antara NGO yang disebut adalah Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam (ABIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS),Sekretariat Kebajikan Bekas Tentera Malaysia (KERABAT), Majlis Perunding Islam Malaysia (MAPIM) dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Selain itu NGO yang turut menyokong gerakan tersebut ialah Badan Bertindak Peneroka Felda (BANGKIT), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS),Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Badan Bertindak Peserta Felcra Malaysia (BAPA).

Sementara itu menurut Mohd Sabu, pihak istana terlebih dahulu telah pun memberikan persetujuan untuk menerima memorandum itu.

Seramai enam orang termasuk beliau sendiri telah dipilih untuk masuk ke Istana Negara dan bertemu Pegawai Istana yang akan menerima memorandum itu bagi pihak Dipertuan Agung.

Selepas itu, perarakan penyerahan memorandum kepada Di Pertuan Agung itu mula bergerak semula menuju ke pintu 3, Istana Negara.

Kira-kira jam 3.20 deligasi penyerahan memorandum telah mendapat kebenaran masuk ke Istana Negara.

Deligasi penyerahan memorandum tersebut telah keluar semula dari Istana Negara pada kira-kira jam 4.00 petang.

Menurut Mohd Sabu, memorandum tersebut berjaya diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Hairi Abd Rahman yang menerima bagi pihak Dipertuan Agung lebih kurang jam 3.30 petang tadi.

Mohd Sabu juga berkata, beliau dan rakan-rakan telah menerangkan kepada pihak istana campur tangan Dipertuan Agung campur tangan dalam isu ini amat diperlukan bagi menyelamatkan tanah-tanah milik orang Melayu.

Memorandum setebal 10 muka surat itu telah menyenaraikan lima justifikasi penolakan penyenaraian FGVH.

Terdapat juga empat saranan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan Felda dan beberapa tindakan bagi menyelamatkan Felda yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Kira-kira jam 4.00 petang, Mohd Sabu mengumumkan kepada para hadirin, misi menyerahkan memorandum telah berjaya.

Para peserta himpunan aman tersebut mula bersurai dengan beberapa minit selepas pengumuman itu dengan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan.

 

Categories
NASIONAL

KPF Tolak Isa Samad Keputusan Baik – ANAK

SHAH ALAM 22 JUN :Keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad tidak meneruskan pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai anggota lembaga pengarahnya adalah keputusan yang baik demi masa hadapan Felda.

“Ia satu keputusan yang menggembirakan dan kita berkeyakinan dengan perkembangan mutakhir ini yang tidak memihak kepada mereka yang hendak menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings(FGVH), saya cukup optimis walaupun 28 Jun ini akan dimuktamadkan untuk penyenaraian FGVH ia akan menemui kegagalan,” kata Mazlan Aliman.

Mazlan yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata Isa Samad tidak layak menjadi ahli KPF kerana beliau bukan kakitangan tetap Felda.

Beliau berkata, adalah wajar KPF ini diuruskan oleh kalangan professional yang berkelayakan dan bukan daripada orang-orang politik yang mempunyai agenda sendiri.

“Bila ada campurtangan politik berlaku ia akan menyebabkan proses transformasi dasar-dasar KPF yang digariskan oleh Lembaga Pengarah sedia ada akan terencat yang akan menyebabkan nanti dasar-dasar ini nanti tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Jelas Mazlan, peningkatan dividen kepada 18 peratus pada tahun ini yang diberikan kepada pemegang-pemegang saham adalah kejayaan yang perlu dikekalkan tanpa campurtangan orang-orang politik yang dibimbangi boleh menjejaskan pencapaian cemerlang KPF kini.

“Dengan kepimpinan KPF sedia ada, saya percaya mereka mampu melonjakkan prestasi KPF sebagai peneraju koperasi terbaik di Malaysia,” ujarnya.

Di bawah Undang-undang Kecil fasal 36(1) dan 36(2), Lembaga Felda dikehendaki melantik tiga orang calon dari kalangan ahli koperasi untuk menganggotai Lembaga KPF.

“Sebab sekarang ini Isa Samad tidak boleh menguasai KPF adalah kerana beliau dan Lembaga Pengarah KPF sedia ada tidak senada dan sehaluan.

“Kalau Isa Samad dinobatkan sebagai pengerusi KPF, ia akan membawa KPF kepada penyenaraian,kerana itu adalah perancangan beliau,” ujar Mazlan.

Sebelum ini, keahlian Isa dibekukan sementara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hakim Abang Iskandar Abang Hashim mendapati terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF.

Pembekuan keahlian Isa sekaligus menghalang beliau daripada dicalonkan sebagai Anggota Lembaga KPF.

Sekiranya berjaya menganggotai Lembaga KPF, Isa dijangka akan menjadi pengerusi KPF baru menggantikan pengerusi sekarang, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Global Felda Ventures Holdings (FGVH) dimiliki 100 peratus oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mana 49 peratus pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.

Manakala, KPF yang dianggotai oleh kira-kira 112,627 peneroka dan 23,000 pekerja Felda pula memiliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam Felda Holdings.

Categories
NASIONAL

Kesahihan EGM KPF Diragui, ANAK Sedia Bawa Ke Mahkamah

SHAH ALAM, 23 APR: Mensyuarat Agung Luar Biasa(EGM) Koperasi Pelaburan Felda (KPF) akan terbatal sekiranya bukti diperolehi bahawa mesyuarat tersebut dijalankan dengan cara tidak sah, tegas Mazlan Aliman hari ini ketika dihubungi.

Mazlan yang juga Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) bersedia untuk memohon pembatalan  setelah menerima beberapa aduan yang mendakwa terdapat penyelewengan pihak Felda dalam mesyuarat tersebut bagi membolehkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) dilaksanakan.

“Sebenarnya kita masih meneliti perjalanan EGM tersebut sebab kita menerima aduan pertama sekali tentang perwakilan yang dipilih dalam EGM itu, statusnya adakah mereka benar-benar dapat mandat daripada koperasi felda di peringkat rancangan.

“Saya difahamkan seramai tiga orang dipilih dari setiap Felda. Isunya sekarang tiga orang itu dipilih dari kaedah bagaimana.

“Adakah mereka dipilih berdasarkan persetujuan atau mandat yang diperolehi dalam mesyuarat di peringkat koperasi mereka.

“Ataupun dia dipilih atau dilantik oleh pihak pengurusan. Kita kena semak semua itu dahulu sebab mereka dipilih untuk mewakili kepentingan koperasi mereka.

“Ini merupakan antara proses terpenting yang akan kita lakukan. Peguam ANAK sedang menelitinya, kalau laporan dengan bukti-bukti yang nyata menunjukan terdapat unsur di atas kita akan memohon pembatalan di mahkamah,” kata Mazlan.

Selain tidak menolak berlaku tekanan dan paksaan terhadap perwakilan dalam mesyuarat EGM terbabit, Mazlan turut mendakwa terdapat unsur sogokan agar usul penyenaraian FGVH tersebut diluluskan.

“Tekanan, ya itu sudah tentu, sebab itulah mereka dikawal yang saya difahamkan daripada rumah mereka lagi.

“Ada setengahnya dibawa oleh pengurus, ‘dientertain’ dan kita juga tidak menolak imbuhan-imbuhan yang diberi mungkin mereka gunakan alasan sebagai duit perjalanan dan sebagainya.

“Jadi kita tidak menolak kemungkinan paksaan, tekanan supaya menyokong penyenaraian dan sekiranya unsur-unsur seperti yang disebutkan tadi memang ada kita minta mereka buat laporan polis dan kita akan mohon supaya EGM itu dibatalkan,” kata Mazlan.

Mazlan turut mendapat maklumat bahawa perwakilan hanya memberikan persetujuan ke atas usul penyenaraian FGVH tersebut setelah usul asal tersebut dibuahsuai.

“Keduanya, usul yang dibawa oleh lembaga pengarah KPF. Adakah maksud sebenar usul itu dan juga persetujuan bagaimana yang dibuat oleh perwakilan sebab saya dapat maklumat bahawa usul itu ada pengubahsuaian dan mandat yang diberikan perwakilan bergantung kepada pengubahsuaian yang dibuat.

“Ada terma-terma usul awal itu sudah berbeza dengan sebelum darinya.

“Contohnya jumlah ekuiti KPF dalam FGVH, kemudian wakil-wakil yang diletakan di bawah FGVH atau istilahnya anggota lembaga yang ditempatkan di bawah ‘invesment holding company’.

“Maknanya itu terma-terma yang dikaji semula oleh pihak KPF yang saya difahamkan ia tidak dipersetujui oleh kerajaan dan semua pengubahsuaian ini sedang kita teliti,” ujar Mazlan lagi.

Categories
NASIONAL

Penyenaraian FGVH: ANAK, GSF Mohon Campur Tangan Istana

SHAH ALAM, 28 FEB: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) mahu pihak Istana Negara campur tangan agar tanah Felda Plantations tidak dipajak kepada Felda Global Venture Holding (FGVH).

“ANAK akan bersama Gerakan Selamatkan Felda(GSF) akan berusaha mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Negeri-Negeri mulai Mac ini memohon perkenan Tuanku Sultan agar campurtangan supaya Tanah Felda Plantation di negeri masing-masing tidak di pajak kepada FGVH,” kata Presiden ANAK, Mazlan Aliman di dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada TVSelangor semalam.

“Bahkan ANAK akan menyerahkan memorandum suatu cadangan bagaimana tanah seluas 360,000 hektar boleh dimanfaatkan untuk rakyat dan menjana perolehan baru kepada kerajaan negeri,” kata Mazlan.

Beliau turut menyokong cadangan pembangunan tanah Felda seluas 55 ribu hektar di Kelantan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu yang akan melibatkan 8 ribu peneroka baru.

Dalam isu yang sama ANAK turut menyatakan sokongan terhadap usaha Biro Felda dan Orang Asal PKR mengutip 100,000 tandatangan orang ramai bagi membantah penyeneraian FGVH di pasaran saham terbuka.

Tandatangan tersebut bakal diserahkan kepada Perdana Menteri 30 Mac 2012 di Putrajaya.

“Bahkan, Jika ianya gagal melunakkan pendirian PM untuk terus menyenaraikan FGVH pada 10 Mei ini seperti disebut Datuk Ahmad Maslan, satu HIMPUNAN RAKYAT PERDANA dijangka akan diadakan pada April ini.

“Puluhan ribu Warga Felda akan menyerlahkan keberanian mereka untuk turun berarak bersama rakyat lainnya menyerahkan memo kepada Yang DiPertuan Agong di Istana Negara,? Mazlan berkata.

Categories
NASIONAL

Felda Akan Rugi Hampir Dua Billion Jika FGVH Disenarai

SHAH ALAM, 22 FEB: Analisis untung rugi terhadap keputusan menyenaraikan Felda Group Venture Holding (FGVH) yang dibuat oleh bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop mendapati Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak RM1.950 billion setahun.

Dr Rosli juga berkata Felda sekarang mempunyai pendapatan purata dari 2007 ke 2010 yang berjumlah RM2.458 billion setahun.

Tetapi Felda hanya akan memperoleh pendapatan RM508 juta setahun jika FGVH disenarai. Ini bermakna Felda akan hilang RM1.950 billion setahun, kata presiden (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) ANAK Mazlan Aliman.

“Berdasarkan analisis di atas, ANAK menyeru kepada seluruh warga Felda, para peneroka dan anak-anak peneroka membuat pertimbangan yang mendalam sebelum bersetuju dengan apa-apa rancangan pelaburan yang dipaksakan ke atas mereka,” Mazlan berkata di dalam satu kenyataan media.

Beliau juga menyifatkan penyenaraian tersebut sebagai skim cepat kaya ‘Pak Man Telo’ yang diketuai oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dengan restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Rosli yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan membuat analisis berdasarkan fakta-fakta yang terkandung dalam perjanjian pajakan tanah antara Felda dan FGVH.

Beliau juga mengunakan data yang diperolehi daripada minit mesyuarat ahli-ahli lembaga pengarah Felda dari tahun 2007 hingga 2010 perbelanjaan tahunan Felda.

Selain kerugian pendapatan, penyeneraian FGVH turut dijangka menyebabkan akaun Felda mengalami defisit sebanyak RM1.428 billion setahun.

“Tanpa analisis yang mendalam, sudah tentu para peneroka akan mudah terjebak dalam skim cepat kaya ala ‘Pak Man Telo’ berskala besar yang sekarang dijaja ke seluruh tanah-tanah rancangan Felda oleh pihak-pihak tertentu diketuai Tan Sri Isa Samad dengan restu Perdana Menteri sendiri.”

 

 

 

Categories
NASIONAL

ANAK Yakin Penyeraian Felda Global Ventures Akan Gagal

SHAH ALAM 14 FEB : Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman optimis cadangan penyenaraian Felda Global Ventures ke Bursa Saham Malaysia akan gagal dan pihaknya bersedia untuk memberikan tentangan sengit daripada pelbagai sudut.

Katanya, ANAK faham yang kerajaan pusat mampu menggunakan apa sahaja cara walaupun terpaksa menggunakan wang yang banyak dan jentera kerajaan.

“Saya difahamkan mereka berbelanja hampir RM1.5 juta untuk persiapan penyenaraian dan mereka menggunakan sogokkan, menghiburkan perwakilan mesyuarat agung dan sebagainya.

“Tetapi saya tetap yakin kita berada di pihak yang benar. Saya percaya sokongan padu yang kita dapat daripada warga Felda dan peneroka sendiri.

“Tidak semudah yang mereka sangkakan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures ke Bursa Saham pada 10 Mei ini sebab mereka kena bersedia berhadapan tentangan kita yang sengit,” katanya.

Beliau membidas tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang membuang Buku Jingga Pakatan Rakyat ke dalam tong sampah sebagai tanda simbolik bagi menolak dasar Pakatan.

Ahmad berbuat demikian pada satu sidang perjumpaan dengan pemimpin FELDA di Kuala Lumpur semalam.

Di dalam Buku Jingga, Pakatan berjanji sekiranya gagasan itu dapat memerintah Putrajaya, ia akan membatalkan Felda Plantations dan membuka ladang-ladang FELDA untuk diusahakan oleh generasi kedua dan ketiga peneroka.

“Bila dia buat kenyataan mengatakan cadangan berhubung Felda Plantation itu sebagai karut dan tidak masuk akal, jadi kita debatkan sejauh mana ianya boleh dilaksanakan atau tidak.

“Tapi bila beliau membuat pendekatan seperti itu (bakulsampah buku jingga) menujukkan beliau tidak profesional dan tidak bertanggungjawab dengan apa yang dia lontarkan,” katanya.

Beliau mengganggap Ahmad Maslan sebagai ‘cetek pengetahuan’ dalam memahami sejarah penubuhan Felda.

“Tanah ini dibawah kuasa kerajaan negeri yang dipohon oleh kerajaan pusat. Bila kerajaan pusat pohon tanah melalui agensinya, FELDA mesti ada sebab.

“Sebab itu adalah untuk diberikan kepada rakyat supaya dengan ini mereka (rakyat) mempunyai jaminan masa depan,” katanya.

 

 

ANAK : Isa Samad Buat Rumah Terbuka FELDA Sepuluh Kali Lebih Mahal

SHAH ALAM 12 FEB : Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad didakwa membelanjakan lebih RM353,000 untuk rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri FELDA tahun lepas, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada kos majlis tersebut pada tahun-tahun yang sebelumnya.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman juga mendakwa isteri Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid turut mengadakan satu lagi majlis rumah terbuka yang lain seminggu selepas majlis yang sama diadakan di rumah Isa.

Mazlan berkata, majlis di rumah Isa di Port Dickson pada 10 September lepas dan majlis di rumah Bibi Sharliza di Taman Fatimah Kuala Pilah pada 17 September masing-masing menelan belanja RM353,370 dan RM17,875.

Biasanya Mazlan menjelaskan, FELDA memperuntukan lebih kurang RM30,000 bagi majlis tahunan itu dan ia lazimnya diadakan di ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.

“Apa keistimewaan nak buat rumah terbuka isteri pengerusi FELDA? Ni pelik. Saya tak pernah dengar selama ni. Biasanya pengerusi buat untuk staf dia cukup lah. Dia mewakili semua.

“Menjadi tanda tanya bagaimana peruntukan ini dikeluarkan. Apa keistimewaan yang ada pada isteri pengerusi FELDA? Sehinga mendapat bajet dan dibuat di luar dari ibu pejabat FELDA di Kuala Lumpur.

“Kita akan buat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah),” Mazlan berkata di sidang media di sini semalam.

Mazlan turut mendakwa mempunyai bukti kes pembaziran berjuta-juta wang FELDA oleh Isa semenjak MP Port Dickson itu dilantik pengerusi FELDA pada Januari 2011.

“Mungkin bila dia dah mula comeback di dalam politik dia nak pergi lebih jauh tapi dia beri meudarat yang besar kepada FELDA. Dia menggunakan wang FELDA wang peneroka FELDA. Ini kita tak boleh kompromi.

“Lepas ini kita akan umumkan yang juta-juta. Kita harap SPRM dapat memastikan Isa Samad disiasat, kerana sebelum ini kita sudah serahkan kes mengenai Isa Samad ke SPRM.”Wang FELDA dibazirkan dengan begitu banyak yang akhirnya peneroka-peneroka FELDA yang sepatutnya menikmati pendapatan FELDA daripada hasil komoditi mereka.

“Tiba-tiba warga FELDA tak dapat apa-apa mereka ini yang tak ada seinci tanah pun di FELDA mereka ini telah mengfaraid kan wang FELDA untuk aktiviti-aktiviti peribadi dan politik mereka.”
ends