Categories
PBT SELANGOR

Bayar bil MBSJ guna e-dompet di stesen minyak

SHAH ALAM, 14 FEB: Orang ramai kini boleh membayar bil Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi aplikasi e-dompet iaitu Touch ‘n Go dan Zapp.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya berkata bayaran itu membabitkan cukai taksiran, sewaan majlis dan bil air bagi gerai milik MBSJ.

Menurut Azfarizal Abdul Rashid, transaksi boleh dilakukan di stesen minyak iaitu Shell, Petron dan Petronas serta kedai MyNews.

“Perkhidmatan ini adalah inisiatif MBSJ untuk memudahkan pelanggan tanpa perlu menunggu di kaunter, urusan boleh dilakukan di mana-mana sahaja menggunakan peranti elektronik.

“Keutamaan MBSJ juga adalah untuk memperkasakan perkhidmatan secara dalam talian sekali gus memudahkan urusan pelanggan,” katanya.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Lapor lokasi sampah haram, ahli majlis MBSJ diugut

PUCHONG, 8 FEB: Seorang ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah diugut selepas membuat laporan mengenai aktiviti pembuangan sampah haram.

EXCO kerajaan tempatan berkata perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ahli majlis dilantik Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan menjaga sesebuah kawasan dan kebajikan penduduk.

“Kita kesal dengan kejadian ini namun laporan polis sudah dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil kepada pihak berkaitan yang membuang sampah haram di tebing sungai,” kata Ng Sze Han kepada media selepas meninjau lokasi pembuangan sampah haram di Taman Mawar di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid.

Sementara itu Ahli Majlis MBSJ, Kenneth Sam berkata kejadian tersebut tidak akan mematahkan semangatnya walaupun baru sahaja dilantik Januari lalu.

Menurutnya, kejadian dua minggu lalu dialami apabila seseorang menghubunginya memberi amaran supaya tidak mengganggu aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan.

“Selain itu, saya turut menerima mesej ugutan. Diharap perkara ini disiasat segera selepas laporan polis dibuat.

“Saya akan pastikan lokasi tersebut dibersihkan selepas ini bagi mengelak pencemaran sungai dan tiada lagi kegiatan pembuangan sampah haram,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBSJ beri 850 permit sementara penjaja, bantu tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 850 permit perniagaan sementara bagi membantu golongan terkesan akibat Covid-19 pada tahun lepas.

Datuk Bandar Subang Jaya berkata langkah tersebut membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan yang terjejas akibat Covid-19.

“Namun kita tekankan kepada penerima lesen sementara supaya mematuhi syarat ditetapkan antaranya tapak perniagaan tidak menimbulkan kacau ganggu, menjaga kebersihan dan kesihatan serta keselamatan.

“Justeru kita berharap penerima lesen memanfaat peluang diberi dengan berniaga mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” kata Noraini Roslan.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan menjawab pertanyaan media selepas selesai Majlis Pembukaan Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud pada Majlis Penyerahan Bantuan Gerai Bergerak di Dataran Penjaja Puchong Permai semalam.

Pada 19 Ogos tahun lepas, EXCO kerajaan tempatan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja yang berniaga di tempat selamat.

Ng Sze Han berkata langkah itu membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi.

Peniaga Takoyaki Khalid Idris, 56, menyiapkan tempahan pelanggan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pusat Penjaja Puchong Permai sedia beroperasi, miliki lot niaga luas

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat niaga yang menempatkan penjaja sekitar Puchong Permai kini sedia digunakan, maklum Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan pengarah Jabatan Korporatnya dalam kenyataan berkata kawasan yang dilengkapi struktur berbumbung dibina pada 1 Julai tahun lalu dengan kos RM280,230.

Azfarizal Abdul Rashid menjelaskan ia boleh memuatkan 64 lot tapak penjaja bersaiz 10×10 kaki setiap satu selain penyediaan kiosk berukuran 6×3 kaki.

“MBSJ berharap penjaja dapat memanfaatkan kemudahan disediakan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan aduan di Bulatan Puchong Permai,” katanya menambah kawasan berkenaan turut dilengkapi taman permainan dan parkir yang luas.

Jelas Azfarizal, pusat penjaja baharu itu berada dalam kawasan strategik iaitu bersebelahan tapak pasar tani yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ahad.

Beliau berkata bekas tapak Uptown Puchong bersebelahan kawasan tersebut pula akan dibangunkan sebagai medan selera dan padang bola mulai tahun ini.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai kerana melanggar syarat permit sementara.

MSBJ dalam kenyataan semalam berkata penjaja diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019, namun ditangguh beberapa kali selepas mereka meminta tempoh sehingga November 2020.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ: Pusat penjaja baharu strategik, banyak kemudahan asas

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat penjaja baharu yang akan menempatkan peniaga Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai berada dalam kawasan strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata lokasinya bersebelahan tapak pasar tani yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ahad.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan tapak baharu itu juga bersebelahan pusat perniagaan Uptown Puchong yang pernah popular dalam kalangan penduduk.

“Bekas tapak Uptown Puchong bersebelahan pusat penjaja berkenaan akan dibangunkan sebagai medan selera dan padang bola pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pusat perniagaan tersebut turut menyediakan taman permainan kanak-kanak dan parkir yang luas bagi memudahkan urusan pengunjung.

Jelas Azfarizal lagi, penjaja akan diberi tapak lebih besar berkeluasan 10×10 kaki berbanding ukuran biasa 8×8 kaki selain kemudahan kiosk seragam bersaiz 6×3 kaki.

Tambahnya, pemindahan berkenaan sebahagian daripada inisiatif MBSJ bagi menempatkan semula penjaja sekitar kawasan Puchong Permai secara sistematik.

“Terdapat beberapa lagi penjaja yang dikenal pasti di kawasan berhampiran yang akan dipindahkan ke pusat penjaja tersebut bagi fasa seterusnya,” kata beliau.

Penjaja diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019, namun ditangguh beberapa kali selepas mereka merayu tempoh sehingga November 2020.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang melanggar syarat permit sementara termasuk menyewakan lesen kepada pihak ketiga demi mengaut untung.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ: Premis di Puchong Permai tidak sesuai, peniaga langgar syarat

SHAH ALAM, 5 JAN: Penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai didapati melanggar syarat permit sementara termasuk menyewakan lesen kepada pihak ketiga demi mengaut untung, kata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan pengarah jabatan korporatnya berkata aktiviti perniagaan juga tidak menepati konsep asal apabila penjaja dikesan membina struktur kekal, meninggalkan barangan niaga serta meletakkan kerusi dan meja pelanggan di kawasan berkenaan.

“Mereka membuka kedai makan seperti kapasiti restoran, kedai baju terpakai, premis cuci kereta dan kedai runcit sedangkan jenis ini hanya sesuai di lot kedai, bukan kawasan awam.

“Ada juga yang menjual barang basah seperti di pasar awam, pasar tani, pasar pagi atau pasar malam,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan.

Jelasnya lagi, syarat tidak membenarkan warga asing berniaga turut dilanggar apabila pemilik lesen dikesan menggajikan golongan itu.

“Perniagaan mereka telah menimbulkan kacau ganggu lalu lintas serta aspek keselamatan malah orang awam juga sering merungut dan mengadu kepada majlis.

“Jadi lokasi ini tak sesuai untuk tapak menjaja selain ia terlibat dengan kerja naik taraf infrastruktur. Oleh demikian MBSJ ambil inisiatif memindahkan peniaga sekitar Puchong Permai ini ke satu tempat lebih teratur dan selesa,” katanya.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan serta melanggar syarat selepas diberi masa berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Penjaja Puchong Permai diberi cukup tempoh kosongkan premis

SHAH ALAM, 5 JAN: Penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019.

Notis pengosongan lokasi pertama kali dikeluarkan pada 24 September 2019 dan sekali lagi pada 13 Mei 2020 sebelum operasi perobohan dilaksanakan.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata perobohan ditangguh lagi selepas penjaja merayu tempoh sehingga November 2020.

Azfarizal Abdul Rashid menjelaskan pihaknya juga sudah mengadakan tiga kali perbincangan dengan peniaga berkenaan berhubung pemindahan tersebut.

“Operasi perobohan yang dilaksanakan pada 28 Disember 2020 mengambil kira tempoh mencukupi dan kesediaan pusat penjaja baharu untuk pemindahan peniaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah terdapat 36 peniaga di situ berdasarkan tiga kali bancian mulai 2019 dan hanya 31 daripadanya layak dipindahkan.

Pada 28 Disember 2020, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan dan melanggar syarat.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ tutup ibu pejabat sehari bagi proses sanitasi

SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menutup ibu pejabatnya hari ini bagi proses nyahkuman untuk mencegah penularan Covid-19.

Notis yang dikeluarkan oleh Datuk Bandar Noraini Roslan turut meminta pelanggan berurusan secara dalam talian.

“Pejabat akan kembali dibuka esok. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya dalam kenyataan.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Panggilan MBSJ di talian 03 80247700.

Categories
PBT SELANGOR

Cukai taksiran MBSJ tahun ini kekal – datuk bandar

SHAH ALAM, 21 OKT: Cukai taksiran di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi tahun ini kekal meskipun dinaik taraf sebagai bandar raya mulai semalam.

Datuk bandarnya berkata bagaimanapun MBSJ kini sedang menilai semula cukai berkenaan dan nilai baharu itu akan diumumkan tahun depan.

“Kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa kos kehidupan, perbelanjaan mengurus bandar itu semakin meningkat dan sentiasa meningkat.

“Bagaimanapun aras nilaian kita hari ini masih berpegang pada aras 1995 dan 1997,” kata Noraini Roslan ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan nilai baharu itu tidak akan dinaikkan melebihi 20 peratus dan cadangan berkenaan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Noraini berkata cukai taksiran menyumbang sebanyak 72 peratus kepada pendapatan MBSJ sambil disokong kutipan sewa dan yuran pembangunan.

“Covid-19 menunjukkan kemerosotan kutipan hasil sewa selain kutipan tempat letak kereta dan dijangkakan pendapatan MBSJ tidak akan pulih begitu cepat tahun hadapan.

“Dua perkara yang kita perlu lakukan adalah meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memberi keutamaan kepada perkara yang lebih diperlukan masyarakat,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengisytihar dan menetapkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai bandar raya yang kini disebut sebagai MBSJ.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Status Subang Jaya jadi bandar raya mulai 20 Oktober

SHAH ALAM, 25 JUN: Status Subang Jaya daripada perbandaran kepada bandar raya berkuatkuasa mulai 20 Oktober depan apabila mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata pihak berkuasa tempatan itu menduduki taraf perbandaran selama 22 tahun sejak 1997.

“Syukur MPSJ mendapat perkenan Sultan Selangor dan tarikh pengisytiharan serta penguatkuasaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) adalah pada 20 Oktober 2020,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MPSJ semalam.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan MPSJ berjaya menukar status kepada MBSJ melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain itu Kuala Langat turut dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandar raya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta tujuh majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Sepang dan Kuala Langat).

Majlis daerah pula Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.