Categories
PBT SELANGOR

MDKS tawar diskaun RM20 kompaun letak kereta berbayar

SHAH ALAM, 17 NOV: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan pengurangan RM20 bagi setiap kompaun letak kereta berbayar kepada pemilik kenderaan yang mempunyai bayaran tertunggak.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan tawaran tersebut bermula 1 hingga 30 November ini.

“Langkah ini memberi ruang kepada orang ramai menjelaskan bayaran tertunggak sebelum tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

MDKS memaklumkan pihaknya dalam proses menjalankan tindakan tersebut bagi Orang Kena Kompaun (OKK) yang mempunyai kesalahan kompaun tegar dijangka dibuat selepas tamat tempoh kempen tawaran itu.

Orang ramai boleh menikmati kadar khas itu dengan membuat pembayaran atau semakan menerusi Kaunter Pandu Lalu Ibu Pejabat MDKS atau melalui aplikasi telefon pintar Smart Selangor Parking dan Flexi Parking.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tawar diskaun RM20 kompaun letak kereta

SHAH ALAM, 3 NOV: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan pengurangan RM20 bagi kompaun letak kereta kepada pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan denda.

Yang dipertua berkata kempen selama sebulan yang bermula kelmarin bertujuan memberi ruang kepada pesalah menjelaskan kompaun tertunggak sebelum pendakwaan di mahkamah.

“Orang ramai boleh menikmati kadar khas ini dengan membuat pembayaran atau semakan menerusi kaunter pandu lalu Ibu Pejabat MDKS atau melalui aplikasi telefon pintar Smart Selangor Parking dan Flexi Parking.

“Oleh itu, rebutlah peluang ini bagi menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pendakwaan di mahkamah bagi Orang Kena Kompaun (OKK) yang mempunyai kesalahan kompaun tegar yang dijangka bermula selepas kempen berakhir.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tangkap tiga kambing, ganggu kawasan awam

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menangkap tiga ekor kambing di Bestari Jaya pada 24 September lalu selepas haiwan ternakan itu didapati berkeliaran di kawasan awam.

Yang dipertuanya berkata operasi bersepadu digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Jabatan Veterinar Kuala Selangor bagi tujuan itu membabitkan 30 anggota kerana didapati menganggu orang ramai.

“Tangkapan tersebut mengikut Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu – Kerbau 1971 kerana membiarkan (kambing) berkeliaran tanpa kawalan dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan.

“Selain itu, satu kompaun turut dikeluarkan serta-merta kepada pemilik ternakan di Taman Ilmu, Bestari Jaya di bawah kesalahan sama,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan mengikut Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971, MDKS berkuasa mengheret dan mendakwa mereka ke mahkamah jika masih berdegil membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di kawasan awam.

“MDKS boleh menyita lembu, kambing dan kerbau ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas atas risiko pemiliknya sehingga kos tangkapan, kurungan dan memberi makan ternakan dibayar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS sita tiga premis, satu gerai warga asing

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menutup dan menyita tiga premis di Tanjung Karang serta sebuah gerai penjaja di Taman Sirambai yang dikendali warga asing tanpa lesen.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan penutupan serta-merta dan sitaan dibuat menerusi operasi bersepadu dijalan anggota penguat kuasa pada 26 Ogos lalu.

“Antara barangan disita adalah seunit peralatan penjaja (khemah, meja kayu dan buah kelapa), 14 unit tong gas dan lapan kampit beras pelbagai jenama.

Penguat kuasa MDKS menyita barangan perniagaan salah sebuah premis yang dikendalikan warga asing dalam operasi bersepadu di Tanjung Karang dan Kuala Selangor pada 26 Ogos 2020. Foto: MDKS

“Selain itu, MDKS menyita dua unit kerusi gunting rambut, satu set peralatan gunting rambut, seunit vakum, seunit pemampat udara dan seunit penyembur buih,” katanya.

Tindakan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 dan Undang-Undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007 serta barang rampasan dibawa ke stor MDKS.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tutup lima premis niaga dijaga warga asing tanpa kebenaran

KUALA SELANGOR, 27 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengarahkan lima premis dikendali warga asing di sekitar Bestari Jaya ditutup serta-merta, selepas dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan.

Yang Dipertuanya berkata tindakan diambil susulan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar kawasan itu dan Ijok melibatkan 20 premis pada 18 Ogos lalu.

“Kesemua lesen perniagaan ditarik semula Jabatan Pelesenan MDKS untuk siasatan lanjut. MDKS boleh membatalkan lesen yang diberi jika pemilik memberi dokumen atau membuat perisytiharan palsu, mengelirukan atau tidak tepat.

“Tindakan sitaan dan arahan tutup serta merta turut dikenakan kepada sebuah pusat cuci kereta di Jalan Makmur, Ijok kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan disyaki dioperasikan warga asing,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada operasi sama, seorang warga tempatan di Jalan Suria 2, Bestari Jaya ditahan bersama 74,096 rokok seludup pelbagai jenis bernilai cukai RM47,501.16.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menjadikan peti sejuk beku di ruangan stor sebagai tempat penyimpanan barangan itu. Suspek ditahan bersama barang rampasan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Trem Bukit Melawati kembali beroperasi esok

SHAH ALAM, 12 JUN: Perkhidmatan trem di Bukit Melawati, Kuala Selangor beroperasi semula esok dengan mengutamakan aspek keselamatan bagi mencegah penularan Covid-19.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dalam kenyataan memaklumkan operasi perkhidmatan di lokasi bersejarah itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang manakala Sabtu dan Ahad (9 pagi hingga 6 petang).

“Melanconglah dengan selamat dan sila amalkan norma baharu seperti penjarakan sosial satu meter, kerap mencuci tangan dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya menerusi Facebook.

Pada 7 Jun lalu, kerajaan memutuskan untuk membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa kelmarin.

Langkah itu selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri dikenakan.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS: Boleh didakwa jika biar ternakan berkeliaran

SHAH ALAM, 11 JUN: Pemilik haiwan peliharaan berisiko diheret ke mahkamah jika berdegil membiarkan ternakan berkeliaran di jalan raya sehingga membahayakan pengguna.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Rahilah Rahmat berkata tindakan mengikut Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 itu memberi kuasa kepada pihaknya menjalankan pendakwaan.

“MDKS boleh menyita lembu, kambing dan kerbau yang ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas haiwan atas risiko pemiliknya sehingga kos tangkapan, kurungan dan memberi makan ternakan dibayar.

“Penjaga boleh menuntut kembali lembu, kambing dan kerbau selepas bayaran jenis kos sitaan serta jagaan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Rahilah berkata pihaknya menangkap dua ekor lembu berkeliaran di Rantau Panjang, Bestari Jaya menerusi operasi bersepadu pemantauan dan penangkapan lembu di kawasan awam pada 4 Jun lalu.

Katanya kompaun dikenakan terhadap pemilik ternakan di Jalan Raja Abdullah, Jeram atas kesalahan sama.

“Berdasarkan maklumat diterima orang awam, MDKS menjalankan operasi menangkap haiwan berkeliaran di beberapa kawasan mempunyai masalah ini,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Bas Smart Selangor MDKS bermula esok dengan SOP ketat

SHAH ALAM, 10 JUN: Bas Smart Selangor kendalian Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan mula beroperasi esok dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih ketat termasuk hanya mengambil 20 penumpang dalam satu masa.

MDKS dalam kenyataan memaklumkan penumpang digalakkan memakai pelitup muka serta perlu mengimbas kod QR di pintu masuk bas.

“Gunakan cecair pembasmi kuman disediakan dalam bas, mereka juga perlu melakukan penjarakan sosial satu meter sama ada dalam bas ataupun di hentian menunggu.

“Pihak operator bas telah menandakan kerusi yang tidak boleh diduduki dan penumpang perlu mengikut arahan supaya langkah pencegahan Covid-19 dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, EXCO Pengangkutan Ng Sze Han mengumumkan perkhidmatan Bas Smart Selangor dan PJ City Bus dihentikan operasi sementara waktu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19.

Penangguhan perkhidmatan itu melibatkan 138 bas di 43 laluan Bas Smart Selangor dan 32 bas PJ City Bus melibatkan enam laluan.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS bayar balik permit bazar Ramadan hingga 3 Mei

SHAH ALAM, 23 APRIL: Semua peniaga yang sudah menjelaskan bayaran permit bazar Ramadan 2020 kepada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) boleh menuntut pulangan semula bermula hari ini sehingga 3 Mei depan.

MDKS menerusi Facebook memaklumkan permohonan boleh dibuat melalui pautan https://iservices.mdks.gov.my/ dan permohonan lengkap akan diproses.

“Sebarang kelulusan tertakluk kepada syarat dan peraturan MDKS,” kata kenyataan itu.

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh hubungi talian 03-32813939, rujuk www.mdks.govmy atau Facebook mdkselangor.

Categories
PBT SELANGOR

35 pendayung sampan santuari kelip-kelip terima sumbangan

SHAH ALAM, 10 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) semalam menyumbang bekalan makanan asas kepada 35 pendayung sampan di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Yang dipertuanya berkata sumbangan tersebut membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup ekoran pandemik Covid-19 yang menjejaskan sumber pendapatan.

“Kita juga mengagihkan bantuan kepada 140 orang terdiri daripada kakitangan MDKS dan penduduk sekitar daerah ini yang memerlukan,” kata Rahilah Rahmat melalui video di Facebook.

Beliau berkata MDKS akan berusaha menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu golongan sasar pada masa hadapan.

“Kita berterima kasih kepada badan bukan kerajaan, syarikat dan kakitangan MDKS kerana banyak menyumbang tenaga dan kewangan yang amat diperlukan ketika semua orang dilanda kesedihan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Peniaga patuh PKP atau premis tutup serta-merta – MDKS

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi amaran kepada pemilik pasar raya, kedai runcit dan serbaneka supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau berdepan tindakan penutupan premis serta-merta, kata yang dipertuanya.

Rahilah Rahmat berkata kesemua premis berkenaan turut berdepan tindakan pembatalan lesen jika masih ingkar.

“Aduan diterima masih terdapat premis tidak mematuhi arahan penjarakan sosial satu meter malah ada pelanggan membawa keluarga untuk membeli barang.

“Saya menggesa supaya semua patuh dengan arahan PKP ini bagi membolehkan kita sama-sama membendung wabak Covid-19 yang melanda,” katanya menerusi kenyataan.

Rahilah berkata bagi fasa pertama PKP, hasil pemantauan secara berkala mendapati 95 peratus peniaga dan penjaja mematuhi arahan dengan premis beroperasi berada dalam keadaan terkawal.

“MDKS merakamkan terima kasih dan ingin menyarankan pemilik premis menjalankan proses nyahkuman atau nyah cemar di dalam premis sebelum memulakan operasi perniagaan,” katanya.

Semalam Rahilah turut menyampaikan makanan dan minuman kepada petugas MDKS yang menjalankan kawalan di kawasan pasar awam sebagai tanda penghargaan selaku petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab melaksanakan proses kawalan pengunjung.

Categories
PBT SELANGOR

Covid-19: PDT Kuala Selangor nafi mesej tular

SHAH ALAM 25 MAC: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor menafikan mesej mengandungi enam perkara berhubung mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 Kuala Selangor seperti tular di aplikasi WhatsApp, kata pegawai daerah Kuala Selangor.

Mohd Faizal Abdul Raji berkata mesyuarat penyelarasan memberi tumpuan terhadap beberapa perkara antaranya pengagihan tugas pasukan keselamatan, lapor Sinar Harian.

“Kita bincang beberapa perkara termasuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu polis memastikan rakyat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, mesyuarat itu turut memberi tumpuan berhubung keperluan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor yang kekurangan khemah dan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 95 peratus penduduk di Kuala Selangor mematuhi arahan dilaksanakan kerajaan bagi mengekang wabak Covid-19.

“Saya sendiri membuat rondaan di beberapa kampung termasuk di Kampung Baru Cina, Pekan Tanjong Karang dan Ijok.

“Terdapat tiga pemeriksaan dijalankan pasukan keselamatan terhadap kenderaan keluar masuk di daerah ini iaitu di Pekan Tanjong Karang, Ijok dan susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (LATAR),” katanya.

Sebelum ini, tular mesej palsu berhubung enam perkara dibincangkan pada mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 di daerah Kuala Selangor.