Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kamera badan: Dua PBT setuju, tetapi perlu pertimbang kos tambahan

SHAH ALAM, 23 FEB: Kerajaan Negeri disaran mempertimbang kos tambahan yang perlu dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung penggunaan kamera badan oleh penguat kuasa.

Menyambut baik pendekatan itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat berkata penggunaan alat tersebut boleh melindungi anggota bertugas jika berlaku perkara tidak diingini.

“Kita memandang serius dakwaan orang ramai berhubung salah laku penguat kuasa semasa bertugas dan sedia bekerjasama jika ada aduan, namun perkara ini (penggunaan kamera badan) melibatkan kos tambahan, justeru ia wajar diambil perhatian jika dilaksanakan kelak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad berkata penggunaan kamera badan membantu anggotanya semasa bertugas di lapangan.

“Kita sentiasa menasihatkan kakitangan khususnya anggota yang bertugas di lapangan supaya berintegriti dan amanah, tenang serta berhemah semasa berhadapan masyarakat,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, Selangor memaklumkan akan mempertimbangkan penggunaan kamera badan bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa PBT dan orang awam di negeri ini jika berlaku insiden luar jangka.

Semalam, EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han menjangkakan penggunaan alat itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi bergantung kepada keperluan dan bajet PBT.

Categories
PBT SELANGOR

Tapak bazar Ramadan MDKS serendah RM6.66 sehari

SHAH ALAM, 23 FEB: Kadar bayaran permit tapak bazar Ramadan di Majlis Daerah Kuala Selangor  (MDKS) serendah RM6.66 hingga RM10 sehari, kata Rahilah Rahmat.

Yang dipertuanya berkata bayaran untuk tempoh 30 hari di Tanjung Karang, Kuala Selangor, Sungai Buloh, Bestari Jaya dan Desa Coafield ialah RM200.

Sementara Tanjung Karang 1, Tanjung Karang 2, Puncak Alam, Saujana Utama dan Ijok ialah RM300.

“Kadar yang dikenakan berpatutan dan MDKS berharap tiada dakwaan mengatakan kadar berkenaan tidak munasabah.

“Kami menggalakkan penduduk Kuala Selangor menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan kali ini. Sekiranya terdapat maklum balas, MDKS menyediakan kaji selidik kepuasan pelanggan yang dihebahkan melalui laman Facebook rasmi,” katanya dalam kenyataan.

Categories
PBT SELANGOR

Garis panduan tingkat kualiti pelancongan Kuala Selangor

SHAH ALAM, 5 FEB: Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) bagi mengatasi masalah jeti dan bot haram di Kuala Selangor mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan di daerah tersebut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat berkata garis panduan terbaharu menjadikan daerah terbabit selamat untuk pelancongan.

“Isu pengusaha jeti dan bot haram yang aktif membawa pelancong sudah lama berlaku dengan niat mendapatkan pendapatan sampingan, namun menjadi aktiviti berbahaya apabila aspek keselamatan tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui selepas program 3S di Kuala Selangor, semalam.

Beliau berkata seramai 191,000 pelancong dicatatkan ke daerah itu tahun lalu dan dianggarkan 500 hingga 2,000 pengunjung ke Sky Mirror melalui pengusaha haram yang menyediakan perkhidmatan bot.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aktiviti pengusaha bot dan jeti haram yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dikhuatiri menjejaskan keselamatan pengunjung dan kualiti pelancongan di Kuala Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

Pantau kebersihan pangsapuri, elak penularan penyakit

SHAH ALAM, 29 JAN: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) digesa memantau kebersihan kawasan perumahan bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit, kata yang dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor.

Rahilah Rahmat berkata usaha itu perlu disokong semua komuniti demi kesejahteraan bersama.

“Kita sebagai masyarakat harmoni perlu bekerjasama membantu JMB atau MC dan usaha ini perlu ditunjukkan melalui pembayaran wang akuan penjelas dan penyelenggaraan bangunan.

“Sekiranya kerjasama ini terus kukuh, ia akan melahirkan komuniti strata yang sihat serta produktif,” katanya ketika berucap pada Program Malam Anugerah JMB/MC 2019 di Eco Grandeur, Puncak Alam, baru-baru ini.

Rahilah berkata anugerah julung kali itu bagi mengukur prestasi penyampaian perkhidmatan JMB/MC daripada segi pengurusan dan penyelenggaraan bangunan, kewangan, keselamatan, risiko, aduan dan penglibatan komuniti serta kesejahteraan penduduk.

Katanya, penilaian berkenaan penting bagi memastikan badan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berada pada tahap terbaik, sekali gus meningkatkan nilai hartanah dan keyakinan pelabur serta perspektif pembeli pada masa akan datang.

Categories
PBT SELANGOR

‘Kilauan biru’ tarikan terbaharu di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 7 JAN: ‘Kilauan biru’ (blue tears) menjadi tarikan terbaharu di Kuala Selangor untuk memikat pengunjung dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor berkata fenomena fitoplankton yang mengeluarkan cahaya biru terang menambah tarikan selain Sky Mirror dan Dataran Pekan Lama.

“Kami menyahut seruan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menjadikan TMM2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

“Saya juga berharap penduduk Kuala Selangor memanfaatkan TMM2020 dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Fitoplankton, sejenis tumbuhan marin mikroskopik yang hanyut di permukaan air menghasilkan cahaya biru terang apabila bertindak balas dengan kandungan oksigen dalam air laut.

‘Blue tears’ boleh dilihat dengan menaiki bot di Jeti Sky Mirror bermula 8 hingga 10 malam.

 

Categories
PBT SELANGOR

Kakitangan MDKS sumbang pingat emas Sukan SEA

SHAH ALAM, 10 DIS: Kakitangan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) antara atlet yang berjaya menyumbangkan pingat emas pada Sukan SEA di Filipina, baru-baru ini.

Kejayaan Saiful Bahri Musmin, 28, yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Jabatan Kawalan Bangunan diperoleh melalui sukan petanque triples lelaki.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat ketika dihubungi menyifatkan pencapaian itu membanggakan warga MDKS dan penduduk Kuala Selangor.

“Ini adalah pingat emas kedua yang dimenangi selepas Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017.

“Hasil penganjuran pertandingan dan pembangunan fasiliti petanque di Kompleks Sukan Kuala Selangor, daerah ini sentiasa melahirkan atlet sukan petanque terbaik untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, skuad petanque negara membuka tirai Sukan SEA dengan cemerlang apabila menewaskan Thailand, sekali gus memenangi pingat emas acara triples lelaki.

Kejayaan itu menamatkan penantian 18 tahun negara yang kali terakhir memenangi acara triples lelaki pada edisi 2001 di Kuala Lumpur.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS mahu mohon semula status naik taraf perbandaran

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan membuat permohonan semula berkaitan status naik taraf pihak berkuasa tempatan itu kepada perbandaran, kata Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung status terbaharu majlis berkenaan setelah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak meluluskan permohonan terbabit.

Pada 13 November lalu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata MDKS perlu mengemukakan semula cadangan dan beberapa kertas kerja untuk pertukaran status berkenaan.

Katanya setakat ini hanya Majlis Daerah Kuala Langat berjaya ditukar kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat melalui surat KPKT pada 31 Oktober 2019.

Amirudin turut berharap Kabinet memberi kelulusan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya untuk membolehkan mereka menerima status bandar raya.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandaraya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya dan enam majlis perbandaran iaitu Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang.

Sementara itu majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

Tindakan mahkamah jika biar lembu berkeliaran

KUALA SELANGOR, 24 NOV: Pemilik haiwan ternakan berisiko diseret ke mahkamah jika sengaja membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di jalan raya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata tindakan di bawah Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 itu memberi kuasa kepada pihaknya untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Katanya pihak berkuasa tempatan itu juga boleh mengurung mana-mana lembu atau kerbau yang ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas haiwan atas risiko penjaganya.

“Sebelum mengambil semula haiwan ternakan mereka, pemilik perlu membayar kos tangkapan, kurungan dan makanan haiwan terbabit.

“Setelah membuat pembayaran, penjaga boleh menuntut kembali lembu atau kerbau berkenaan di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

“Sehingga hari ini, MDKS kerap menerima aduan berhubung kacau ganggu haiwan ternakan di kawasan kediaman mahupun jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu pihaknya menjalankan operasi tangkapan lembu di sekitar kawasan Bestari Jaya, Ijok dan Jeram.

Pada operasi itu, sebanyak empat ekor lembu berjaya ditangkap di Taman Cahaya, Bestari Jaya, Jalan Bukit Rotan dan Taman Permai, Jeram.

Rahilah berkata, dua kompaun turut dikeluarkan serta merta kepada pemilik ternakan di Taman Permai, Jeram dan Taman Cahaya Dua atas kesalahan sama.

“Operasi ini bertujuan mencegah haiwan peliharaan seperti lembu atau kerbau supaya tidak berkeliaran di kawasan awam dan untuk kebaikan semua pihak terutama pengguna jalan raya.

“Masyarakat digalak untuk menyalurkan aduan berkaitan secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-32891439,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Karnival Kuala Selangor ketengah warisan sejarah, budaya

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Karnival Kuala Selangor yang berlangsung hari ini di Dataran Melawati, di sini menjadi landasan terbaik dalam mengetengahkan warisan sejarah dan budaya di daerah terbabit.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, karnival julung kali itu turut mempromosikan produk pelancongan, sesuai dengan lokasinya dalam gugusan eko pelancongan.

“Penganjuran karnival ini adalah inisiatif dalam mengetengahkan warisan sejarah dan budaya yang mengambil pendekatan sebagai elemen penyampai kepada pengunjung.

“Malah, ia amat sinonim apabila peranan Kuala Selangor sebagai pusat perkembangan warisan sejarah dan budaya yang begitu siginifikan dengan perkembangan awal Kesultanan Melayu negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kuala Selangor 2019 yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Rahilah berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan khusus buat pengunjung antaranya pencarian harta karun, pertandingan permainan tradisional dan Glow In The Dark Run yang akan diadakan malam ini sekitar 11 malam.

Katanya, bagi menyahut seruan kerajaan yang menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang 2030, MDKS turut komited menganjurkan Hari Rendah Karbon buat julung kalinya.

“Namun, sasaran ini memerlukan komitmen berterusan dan bersepadu terutama di kawasan bandar di Malaysia manakala kerajaan tempatan juga perlu mengambil tanggungjawab dan peranan utama dalam membentuk pengurangan karbon dioksida.

“Justeru, MDKS turut bertanggungjawab merangka pelbagai program ke arah matlamat bandar rendah karbon seperti menganjurkan kempen penanaman pokok, penyediaan laluan pejalan kaki, kebun komuniti dan penggunaan sistem pengumpulan air hujan,” katanya.

Karnival itu bermula jam 7 pagi dan bakal berakhir jam 1 pagi.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS keluar 70 kompaun hari pertama bayaran parkir

KUALA SELANGOR, 4 SEPT: Sebanyak 70 kompaun dikeluarkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) atas kesalahan gagal mempamerkan kupon letak kereta pada hari pertama pelaksanaannya, semalam.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, sejumlah RM10 dikenakan bagi mereka yang membuat bayaran dalam tempoh 24 jam dan akan meningkat kepada RM30 dalam tempoh 14 hari jika lewat.

“Bagaimanapun, pada hari pertama pelaksanaan sistem ini berjalan lancar dan kebanyakan pengguna memahami serta mematuhi pelaksanaannya.

“Hanya terdapat segelintir pengguna yang masih keliru dengan tarikh pelaksanaan yang bermula semalam, namun MDKS akan berterusan menjalankan proses habahan kepada orang awam melalui Facebook dan laman rasmi kami,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah berkata, orang ramai boleh mendapatkan kupon gores melalui 140 ejen yang dilantik di semua kawasan Operasi Tempat Letak Kereta.

Katanya, untuk memudahkan pengguna, mereka juga boleh menggunakan aplikasi ‘Smart Selangor Parking’ dan ‘Flexi Parking’ yang boleh dimuat turun melalui ‘Google Play’ dan ‘Apple Store’.

“Selain itu, MDKS juga menawarkan harga promosi pas bulanan bernilai RM60 mulai September hingga Disember 2019 dan mulai 1 Januari 2020 harga pas bulanan itu akan dijual pada harga asal iaitu RM70 sebulan.

“Orang ramai boleh mendapatkannya dengan menghubungi 0332811654 untuk tempahan pembelian,” katanya.

Categories
EXCO PBT SELANGOR

MDKS bertanggungjawab rancang pelan tindakan pelancongan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dipertanggungjawab merancang pelan tindakan menjadikan sektor pelancongan di daerah itu terbaik di Malaysia dan antarabangsa.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, Pihak Berkuasa Tempatan itu akan bertindak menjalankan pembangunan sektor pelancongan mengikut fasa serta keperluan.

Katanya, ketika ini ia masih dalam proses pelaksanaan pengindahan semua pusat pelancongan, sekali gus menyediakan kemudahan dan prasarana bertaraf antarabangsa.

“Ini bagi meningkatkan keindahan imej pelancongan Kuala Selangor serta mengekalkan warisan sejarahnya yang semakin menjadi tumpuan.

“MDKS akan terus menyokong kerajaan negeri dalam memperkenalkan Selangor khususnya Kuala Selangor kepada masyarakat dunia tanpa mengabaikan sejarah warisan yang wujud sejak beribu tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pada sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex, hari ini.

Abdul Rashid berkata, pembangunan yang bakal dilaksanakan itu juga akan menekankan Kesejahteraan Rakyat dan Pemuliharaan Alam Sekitar melalui peruntukan yang akan disalurkan Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, katanya, MDKS mengambil maklum terhadap keputusan itu dan akan turut menyusun perancangan dalam merangka jawatankuasa induk dan membabitkan jabatan serta agensi bertanggungjawab.

“Hal ini bagi memastikan segala perancangan serta pelan tindakan dibuat akan menjadikan sektor pelancongan daerah Kuala Selangor terbaik di Malaysia dan dunia serta ‘Gugusan Eko-Pelancongan Selangor,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Penduduk mahu MDKS batal cadangan caj tempat letak kereta

 

KUALA SELANGOR, 10 Jun : Penduduk Bandar Puncak Alam, Bandar Saujana Utama dan Alam Jaya di sini, memohon agar Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membatalkan atau mengkaji semula cadangan pelaksanaan tempat letak kereta berbayar, yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Julai hadapan.

Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam (4PA), Mohd Hanif Md Sultan berkata, tindakan MDKS melaksanakan caj parkir dibuat, tanpa mengambil kira pendapat dan kedudukan ekonomi penduduk setempat terlebih dahulu.

“MDKS sepatutnya menyelesaikan semua masalah berbangkit, seperti kualiti perkhidmatan pembersihan yang kurang memuaskan, jalan raya yang kurang diselenggara, lampu jalan yang tidak berfungsi, dan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk sekitar sini terlebih dahulu.

“Selain itu, kemudahan prasarana di Puncak Alam masih belum sempurna, seperti tiada balai polis, balai bomba dan bank, pejabat agensi kerajaan dan agensi penyedia utiliti juga tiada di sini lagi,” katanya pada pada sidang akhbar mengenai bantahan perlaksanaan tempat letak kereta berbayar di sini hari ini.

Sidang media itu turut disertai Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin serta lebih 16 pengerusi persatuan penduduk sekitar tiga kawasan itu.

Mohd Hanif yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Sinar Alam menambah, terdapat kawasan yang tidak wajar yang turut dikenakan bayaran seperti kawasan lot kedai di taman perumahan, walaupun bukan kawasan komersil.

“Tempoh tamat operasi caj parkir juga tidak munasabah sehingga jam 6.30 petang, sedangkan urusan pejabat tamat jam 4.30 petang hingga 5 petang,” katanya.

Sementara itu, Khairul Annuar berkata, pihaknya tiada menerima apa-apa notis rasmi berhubung perlaksanaan perkara itu.

“Kami tahu perkara ini pun melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook MDKS, dan bukannya melalui makluman rasmi mengenai pelaksanaan ini.

Tambah beliau, penduduk Saujana Utama sehingga kini masih membangkitkan mutu kerja MDKS yang kurang memuaskan, antaranya kemudahan lampu jalan rosak, jalan berlubang dan kutipan sampah tidak ikut jadual, sedangkan majoriti kawasan ini pembayar cukai.

“Kena tingkatkan mutu kualiti kerja dulu sehingga MDKS dinaik taraf kepada perbandaran, sebelum nak laksanakan caj parkir,” katanya. -BERNAMA