Anwar: Bina Jambatan Ketiga Klang, Bukti Kerajaan PR Cekap Urus Wang

BESTARI JAYA 21 NOV : Keupayaan Kerajaan Negeri Selangor membina jambatan ketiga di Klang berharga RM300 juta adalah bukti Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengurus kewangan negeri dengan cekap, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod jambatan berkenaan sepatutnya dibina Kerajaan Pusat setelah berjanji untuk membina jambatan berkenaan semasa pilihan raya umum 2008 lalu.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor berkata, penjimatan dan pengurusan kewangan berhemah yang diamalkan Kerajaan Selangor berjaya meningkatkan simpanan rizab tunai sehingga RM2.5 bilion yang akhirnya rakyat keseluruhannya menerima manfaatnya.

“Ini adalah contoh kita memilih pemimpin yang boleh laksanakan, kita tengok Kerajaan Negeri boleh buat jambatan, air percuma dan boleh memberikan bantuan kepada rakyat.

“Dan perkara ini tidak berlaku sebelum ini (semasa kerajaan BN), Kerajaan Negeri kini juga mampu membina rumah rakyat. Ia disebabkan berjimat menjaga wang ringgit,” kata Anwar.

Beliau berkata, demikian semasa Sambutan Perayaan Deepavali DUN Ijok dan Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat yang diadakan di pekarangan Dewan Bestari Jaya di sini malam tadi.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, jika Negeri Selangor diurus baik dan cekap sejak 15 tahun lepas maka negeri itu mampu menyaingi kemajuan yang dicapai oleh Negara Singapura.

“Kerana sebelum ini kerajaan tidak mengurusnya dengan baik maka Negeri Selangor tidak dapat mencapai maju seperti Singapura.

Beliau berkata, pembentangan belanjawan negeri berimbang selama lima tahun ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

“Pembangunan Selangor lebih maju semenjak di bawah Pakatan Rakyat, Rizab Simpanan Selangor meningkat empat kali ganda,” katanya.

Beliau turut berkata, demi kebajikan rakyat projek perumahan mampu milik turut akan dibina di DUN Ijok melalui Belanjawan 2013 yang dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Kira-kira 2,000 penduduk hadir dalam majlis itu yang turut dihadiri Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Bukit Melawati, Ir Muthiah Maria Pillay dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan.

Categories
SELANGOR

‘Perkuburan Wilayah Bersepadu’ Atasi Masalah Tapak Kubur Di Selangor

SHAH ALAM, 9 APR : Berdasarkan perangkaan terkini unjuran penduduk sehingga 2060, kerajaan negeri mengambil inisiatif merancang Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) bagi mengatasi isu kekurangan kawasan perkuburan di negeri ini .

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, berkata PWB menggabungkan dua aspek penting iaitu konsep Perkuburan Wilayah dan Perkuburan Bersepadu.

Perkuburan Wilayah menyaksikan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berjiran atau berhampiran dengan maksimum 45 minit masa perjalanan berkongsi tanah perkuburan manakala Perkuburan Bersepadu merupakan pembangunan yang terancang menempatkan tanah perkuburan untuk mereka yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

“Melalui konsep ini juga, perancangan PWB turut menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, bangunan krematoriom, tandas awam, laluan akses dan pejalan kaki selain tempat meletak kereta.

“Kita dalam usaha melaksanakannya mengikut lokasi dan wilayah kedudukan PBT dan setiap zon tapak perkuburan perlu dikenalpasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahsampaian dan aksesibiliti yang dikongsi antara PBT berhampiran,” jelas Teresa ketika sidang medianya di Bangunan Darul Ehsan.

Sebanyak tiga zon dikenalpasti sebagai Zon Tapak PWB iaitu Zon Utara yang menggabungkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi Zon Timur pula meliputi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan Majlis Daerah HUlu Selangor (MDHS).

Sementara itu, Zon Selatan menggabungkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSpg), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlid Daerah Kuala Langat (MDKL).

Di peringkat awal ini, Teresa berkata, kerajaan negeri dalam proses perolehan tapak dan perancangan lanjut di beberapa tapak iaitu di Sepang, Petaling dan Hulu Langat.

Categories
NASIONAL

Projek untuk habuan Kroni Akhirnya Terbengkalai


TANJUNG KARANG, 12 MAC: Gara-gara obses dengan projek pembangunan yang menjanjikan pulangan lumayan untuk parti, kroni dan diri, undang-undang tidak lagi menjadi persoalan bagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Projek yang sepatutnya melalui prosedur dan kelulusan pihak tertentu sebelum kerja pembinaan dimulakan juga dipandang sebelah mata sekaligus menjadikan kemudahan yang dibina bakal menjadi satu lagi projek gajah putih BN.

Terbaru, projek pembinaan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bagan Pasir Penambang yang hampir 90 peratus siap juga tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak termasuk kelulusan kerajaan negeri.

Menurut Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri hari ini, projek yang menelan kos lebih RM22 juta itu juga tidak memiliki pelan yang diluluskan oleh pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan mestilah kemukakan Permohonan Kebenaran Merancang dari pihak kerajaan tempatan dan pihak berkaitan dengan mengemukakan Pelan Pendirian Bangunan dan Pelan Susunatur.

“Contohnya kelulusan Jabatan Alam sekitar, Jabatan Penilaian, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Pembangunan, Indah Water, TNB, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perancangan Pembangunan dan kesemuanya lebih kurang ada 19 pihak perlu meneliti sesuatu projek.

“Oleh kerana ia melibatkan pembinaan jeti, projek ini juga mesti dapatkan komen dan kelulusan dari jabatan maritim atau pun marin.

“Komen-komen dari jabatan-jabatan atau agensi yang saya sebutkan ini amat penting sebab ia melibatkan struktur bangunan itu sendiri supaya tidak timbul isu keselamatan atau bangunan runtuh apabila diduduki nanti.

“Jadi bila dah tak ada kelulusan pelan pembinaan, macamana pihak MDKS nak bagi sijil menduduki (CF) bila siap nanti sebab dah tentu mereka tahu tiada jaminan jeti itu selamat digunakan.

“Saya pasti Jeti itu nanti akan jadi satu lagi projek gajah putih BN sebab tak boleh dapat CF.

“Ini memang jelas, kalau tanya pada pihak majlis pun, mereka akan ‘confirm’ tiada kelulusan” ujar Yahya.

Tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan peruntukan RM22 juta terhadap projek yang tidak mendapat

kelulusan RM22 juta juga menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Kenapa Menteri Pertanian, tergesa-gesa mengeluarkan peruntuk yang besar tanpa mahu berbincang dengan kerajaan negeri dan menunggu pemeriksaan pihak berkuasa tempatan untuk dapatkan kelulusan?

“Adakah semata-mata mahukan projek ini jalan supaya dapat habuan untuk kroni, parti dan diri sendiri sahaja, maklumlah sekarang dah dekat pilihan raya dah ni.

“Sekiranya projek ini beri manfaat kepada rakyat Selangor dan mematuhi undang-undang saya pasti pihak kerajaan negeri tentunya tidak akan menghalang,” katanya lagi.

Selain itu Yahya turut mempersoalkan infrastruktur yang belum dibina meskipun proses pembinaan bangunan tersebut telah mencapai lebih 80 peratus.

Menurut beliau lagi, keadaan ini berlaku disebabkan ketiadaan pelan perancangan yang diluluskan.

Yahya turut menggesa pihak SPRM, Jabatan Audit Negara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) segera campur tangan dalam isu yang melibatkan kepentingan awam ini.

Dalam isu yang sama, Setiausaha MDKS, Azahari Sairin memberitahu TVS hari ini, permohonan kelulusan pelan yang dihantar oleh pemaju telah tidak mendapat kelulusan pihak MDKS.

“Pemaju ada hantar pelan perancangan tetapi pihak MDKS kembalikan kerana didapati tidak menepati piawaian.

“Lepas itu mereka tak hantar semula untuk penilaian MDKS hinggalah sekarang yang menyebabkan pelan pembangunan Jeti LKIM tu memang tak diluluskan MDKS,” ujar beliau.