Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas menteri PAKATAN meninggal dunia

SHAH ALAM, 2 OKT: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking dan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, lapor Malaysiakini.

Vui Keong yang juga ahli parlimen Batu Sapi dan pengerusi tetap Parti Warisan Sabah (Warisan) dimasukkan ke hospital dan dilaporkan koma sebelum ini.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Mendiang merupakan mantan menteri dalam Kerajaan PAKATAN yang amat berdedikasi dan cukup komited terhadap usaha reformasi perundangan, termasuk berkait reformasi sistem penjara serta hukuman gantung.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat Dewan Rakyat dan persada politik tanah air,” katanya.

Vui Keong pernah memimpin Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN) ketika itu, sebelum menyertai Warisan.

Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan Datuk Seri Najib Razak pada 2009 hingga 2013.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas MB Terengganu meninggal dunia

KUALA TERENGGANU, 21 SEPT: Bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung.

Berita duka itu dimaklumkan oleh anaknya Wan Abdul Hakim melalui Facebook miliknya.

Wan Abdul Hakim turut memberitahu jenazah ayahnya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong, selepas solat zohor nanti dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam Selangor.

Allahyarham Wan Mokhtar, 88, yang berasal dari Kuala Terengganu, berkhidmat sebagai menteri besar Terengganu selama 25 tahun dari 1974 hingga 1999.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon veteran Idris Mat Diah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Pelakon veteran, Idris Mat Diah yang membawa watak Pak Andak dalam drama ‘7 Hari Mencintaiku’, meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita kematian Idris, 61, disahkan Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan, hari ini.

“Menurut anak Allahyarham, Alia, ayahnya tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi tadi, mereka menghubungi pihak ambulans yang kemudiannya mengesahkan arwah meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi,” kata Hafiz.

Hafiz berkata jenazah Allahyarham kini dalam perjalanan dari Putrajaya ke rumah mereka di Kepong dan akan diuruskan di Masjid Al-Faizin Kepong sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong.

“Anak arwah juga memaklumkan jika arwah ada berhutang pada sesiapa beliau memohon agar menghubungi pihak waris,” katanya menambah Seniman Malaysia turut mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

Selain drama ‘7 Hari Mencintaiku’, Allahyarham juga pernah muncul dalam drama ‘Cucu Tauke Beras’, ‘Menantu Bilal’, ‘Andainya Takdir’ dan ‘Zahir Tak Terucap’.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Umur 23 tahun paling muda maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kematian paling muda akibat Covid-19 di negara ini merupakan pesakit berumur 23 tahun manakala paling tua ialah 101 tahun.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook berkata 128 kes kematian direkod sehingga 5 September dengan sebahagian pesakit mempunyai rekod penyakit kronik.

“Kumpulan umur 70 tahun ke atas merekodkan kematian tertinggi akibat Covid-19 di negara ini dengan 36 peratus atau 46 daripada 128 kes keseluruhan.

“Kumpulan kedua tertinggi melibatkan umur 61 hingga 70 tahun dengan 33 peratus (42 kes), umur 51 hingga 60 tahun sebanyak 14 peratus (18), 41 hingga 50 tahun sebanyak 7.8 peratus (10) dan 21 hingga 40 tahun sebanyak 9.4 peratus (12),” katanya.

KKM menjelaskan kes pandemik di seluruh dunia ialah 26.8 juta kes dengan kadar kematian sekitar 879,000 kes setakat ini.

“Jumlah kes harian di India, Amerika Syarikat dan Brazil masing-masing menunjukkan kenaikan iaitu 91,000 kes, 54,000 kes dan 46,000 kes,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon veteran Zulkifli Zain meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, meninggal dunia di kediamannya di Ukay Perdana pada kira-kira 7.30 malam tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Perkara itu disahkan anaknya, Norzaza ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Normala Omar dan anak-anaknya.

Sebelum ini, Zulkifli yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung serta buah pinggang dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Allahyarham memulakan karier sebagai pelakon melalui filem Jiwa Remaja pada tahun 1975 dan telah muncul dalam lebih sepuluh buah filem serta beratus-ratus drama sepanjang menceburi dunia hiburan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas Zohor esok.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas Pengasas Harakah Subky Latif meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Bekas Pengasas Harakah dan Pengerusi Veteran Pas, Subky Abdul Latif, 80, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak dekat sini 11.05 pagi.

Berita pemergian Subky dikongsikan dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya hari ini dan disahkan oleh anak sulungnya, Dang Fatiha Subky.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Amin,” menurut hantaran itu.

Ketika dihubungi Bernama, Dang Fatiha berkata, pada saat akhir hayat Allahyarham dikelilingi isteri, Naznah Taha dan lima anaknya.

“Allahyarham meninggal dunia akibat sakit myelodyplastic syndrome (MDS) pre-leukimia yang ada kaitan dengan darah,” katanya.

Menurut Dang Fatiha, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah selepas Zohor, dekat sini, untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Abam Bocey meninggal dunia, MB rakam takziah

SHAH ALAM, 10 FEB: Selebriti dan pelawak terkenal, Abam Bocey disahkan meninggal dunia pagi ini.

Berita sedih itu dikongsikan dua rakan seperjuangan dalam kumpulan Bocey, Mohd Nasir Hamzah atau lebih dikenali Achey dan Fadzlie Mohd Nizam atau Fad menerusi Instagram.

Kematian mengejut Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 32, juga mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang merakamkan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat Allahyarham.

“Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Sumbangan beliau dalam menceriakan industri hiburan tanah air akan sentiasa dikenang. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Twitter.

Kematian Abam difahamkan akibat demam, kata adiknya Ali Puteh, lapor mStar.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Hidayah Mohd Ali dan anak, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Beliau mula menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega sejak 2013 pernah muncul juara dua kali pada 2015 dan 2016 selain tempat ketiga (2019).

Categories
BERITA UTAMA

Timbalan Menteri JPM meninggal dunia akibat serangan jantung

PONTIAN, 21 SEPT: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, meninggal dunia sekitar 6 pagi tadi di Hospital Pontian, dekat sini.

Pemergian Ahli Parlimen Tanjung Piai itu disahkan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd Solihan Badri.

“Beliau yang dimasukkan ke hospital pagi tadi, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya ketika dihubungi Bernama, sebentar tadi.

Md Farid, 42, merupakan Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke rumah ibunya di Serkat, Pontian untuk dikebumikan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan sebelum Zohor, kata Mohd Solihan.

Md Farid memenangi kerusi parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi 21,255 undi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Presiden CAP meninggal dunia

GEORGE TOWN, 17 MEI: Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S M Mohamed Idris, 92, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini pada pukul 5 petang hari ini kerana sakit tua.

Naib Presiden CAP yang juga adik kepada Allahyarham, Mohideen Abdul Kader yang mengesahkan perkara itu berkata jenazah abangnya akan dibawa ke rumahnya di No 2 Rose Avenue, di sini selepas urusan di hospital selesai.

Beliau berkata, jenazah abangnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak pada pukul 10 pagi esok.

Mohamed Idris dilahirkan pada 6 Dis 1926 adalah pengasas kepada penubuhan CAP pada tahun 1969 dan beliau juga adalah pengerusi Sahabat Alam Malaysia.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran George Town (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang) selama beberapa tahun sejak 1954.

Allahyarham yang juga seorang pencinta alam sekitar pernah menerima Anugerah Tun Abdul Razak pada 22 Jun 2014 di atas sumbangannya terhadap komuniti dan alam sekitar.

Mohamed Idris meninggalkan empat orang anak. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bayi 4 bulan meninggal dunia pulang dari taska

IPOH, 9 MAC: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia beberapa jam selepas diambil dari taman asuhan kanak-kanak (Taska), di Bandar Seri Botani, semalam.

Meor Ikram Addnan, 32, berkata anaknya Muhammad Aakif Iskandar disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini kira-kira 6.55 petang.

Katanya, dia menghantar anaknya ke hospital berkenaan setelah dimaklumkan pengasuh bahawa anak bongsu daripada tiga beradik itu lemah dan tidak bermaya kira-kira 6 petang.

“Masa saya ambil anak di taska kira-kira 6.10 petang, anak saya dah tak sedar, badan lembik, kaki tangan semua pucat. Saya terus bawa ke bahagian kecemasan HRPB.

“Doktor sedaya upaya untuk selamatkan anak saya tetapi denyut nadi, jantung otak semua dah berhenti dan anak saya disahkan meninggal dunia kira-kira 6.55 petang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HRPB di sini, hari ini.

Katanya, anak bongsunya itu berada dalam keadaan sihat dan hanya hidung berair kerana selesema sebelum dihantar ke taska berkenaan.

Katanya, dia turut menghantar anak keduanya iaitu lelaki berusia setahun ke taska itu sementara anak sulungnya, perempuan berusia lima tahun.

“Selama saya hantar kedua-dua anak saya ke taska itu, saya periksa tiada kesan lebam,” katanya, menambah mula menghantar Muhammad Aakif Iskandar sejak sebulan lalu, selepas isterinya Ismahani Zainal Abidin, 30, seorang pekerja bank kembali bekerja setelah habis cuti bersalin.

Dia yang bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasar raya, turut meluahkan rasa terkilan kerana pengasuh lewat memberitahu keadaan anaknya.

Meor Ikram berkata, Muhammad Aakif Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larang, di sini selepas solat zuhur, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Adli Tamby mengesahkan menerima laporan kejadian daripada bapa bayi berkenaan. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tan Sri Sanusi Junid kembali ke rahmatullah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Bekas menteri kabinet, Tan Sri Sanusi Junid, meninggal dunia sekitar jam 6 pagi tadi selepas wuduk ketika menunggu waktu solat Subuh.

Beliau meninggal dunia pada usia 75 tahun dan jenazah Allahyarham akan disembahyangkan, di Masjid Saidina Umar, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Allahyarham sebelum ini pernah menjadi menteri pembangunan negara dan luar bandar pada 1981 dan kemudian menjadi menteri pertanian, pada 1986.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai menteri besar Kedah, pada 1996 hingga 1999.

Mengulas perkembangan sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian beliau menerusi laman twitter.

“Menerima berita sedih Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia awal pagi ini. Al Fatihah.

“Semoga allahyarham mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat Allah SWT. Sabar untuk keluarga,” katanya di @AzminAli.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Seniman negara Tan Sri SM Salim meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Negara kehilangan seniman yang banyak berjasa dalam duna seni, Tan Sri SM Salim yang meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur, pada jam 5.44 petang tadi.

sm-salimMemetik Astro Awani, SM Salim atau nama sebenar, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, memulakan kariernya sebagai penyanyi pada 1950an dan merupakan pendukung gigih lagu Melayu klasik.

Beliau lumpuh akibat sakit saraf dan pergerakannya bergantung pada kerusi roda, sejak 17 tahun lalu.

Antara lagu popular nyanyian beliau adalah Apa Dah Jadi, Dulu Lain Sekarang Lain, Pantun Budi, Lagu Zaman dan duet bersama Datuk Siti Nurhaliza iaitu Pandang-Pandang Jeling-Jeling.

Buat masa ini, keluarga Allahyarham sedang membuat persediaan pengebumian.

Al-Fatihah.