Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sahkan Haziq meninggal dunia akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Kematian pemanah negara Haziq Kamaruddin semalam adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis, demikian menurut kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini.

Kenyataan itu memetik Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Datuk Dr Zahari Noor yang berkata hingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian Olimpian berusia 27 tahun itu berkait langsung dengan vaksinasi Covid-19.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah ujian calitan Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut. Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisis makmal,” kata Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik itu.

Haziq yang pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dilaporkan rebah di rumahnya pada kira-kira 8 pagi semalam, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 1.40 pagi tadi selepas selesai dibedah siasat di Hospital Kajang malam tadi.

Haziq antara lebih 200 atlet dan pegawai yang terlibat dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang melengkapkan dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada 4 Mei lalu.

Sepanjang sedekad mewakili negara, Haziq pernah meraih pingat emas pada Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, selain meraih empat emas dan dua perak menerusi acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Atlet memanah Haziq Kamaruddin meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Arena sukan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita pemergian atlet memanah negara Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Menurut seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali, pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi tadi.

“Arwah tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat subuh dan terus tidak sedarkan diri,” kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia sejurus ketibaan di hospital itu.

Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Haziq yang sedang menjalani persiapan untuk kelayakan ke temasya di Tokyo itu sudah sedekad mewakili negara di pelbagai peringkat, termasuk meraih pingat emas Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa semasa Piala Asia 2019 di Filipina.

Pencapaian lain allahyarham yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011 itu ialah meraih empat pingat emas dan dua perak dalam acara individu serta berpasukan sepanjang penyertaannya di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Sementara itu, rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan merupakan antara yang terawal memaklumkan tentang pemergian Haziq menerusi laman Facebooknya.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, dukacita dimaklumkan sahabat saya, Haziq Kamaruddin telah pergi mengadap llahi pagi tadi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman. Minta semua rakan-rakan saya mendoakan. al-Fatihah,” menurut catatan beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga ketua pengarang Malay Mail

SHAH ALAM, 14 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Pengarang Malay Mail Datuk Wong Sai Wan yang meninggal dunia pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyifatkan pemergian Sai Wan sebagai kehilangan besar dalam industri media.

“Kita kehilangan satu nama besar sepanjang tempoh perjuangan menentang pandemik Covid-19,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kira-kira jam 6 pagi tadi, Sai Wan,59, disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Mendiang meninggalkan isteri, Loo Poh Ling serta dua anak, Wong Chee Mun dan Wong Yik Pen.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai wartawan akhbar The Star pada awal 1980-an.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mantan ADN Kajang meninggal dunia, MB ucap takziah

SHAH ALAM, 11 MEI: Bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang Lee Kim Sin meninggal dunia pagi tadi akibat serangan jantung di Hospital Serdang.

Perkara tersebut dimaklumkan anaknya Lee Teng menerusi Facebook mendiang.

“Untuk makluman semua, ayah saya mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pagi ini – Lee Teng,” tulisnya di laman sosial itu.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat handai mendiang.

“Menerima perkhabaran dukacita mantan ADN Kajang saudara Lee Kim Sin atau dikenali sebagai Cikgu Lee telah menghembuskan nafas terakhir.

“Takziah diucapkan kepada ahli keluarga serta sahabat mendiang. Mendiang merupakan ADN Kajang dari tahun 2008 ke 2013,” tulisnya.

Kim Sin, 66, dipilih sebagai wakil rakyat Kajang selama satu penggal selepas menewaskan calon MCA Datin Paduka Low Lee Leng pada 2008.

Beliau yang berasal dari Merbok, Kedah, terkenal sebagai Tokoh Budaya dan Warisan Kajang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas timbalan MB Selangor, Abu Sujak meninggal dunia

SHAH ALAM, 11 FEB: Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor Datuk Abu Sujak Mahmud, meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 4, kira-kira pukul 6 petang tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Kamaruzzaman Johari ketika dihubungi berkata, Allahyarham Abu Sujak, 82, meninggal dunia disebabkan sakit tua.

“Berita kematian itu dimaklumkan oleh anak saudara Allahyarham petang tadi. Difahamkan jenazah Allahyarham masih di rumahnya dan ziarah pada malam ini hanya untuk keluarga terdekat sahaja.

“Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 4 esok, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Datuk Dagang, Kampung Jawa, Klang,” katanya.

Kamaruzzaman yang kali terakhir bertemu Allahyarham semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lepas menyifatkan, Allahyarham sebagai seorang yang baik, suka menolong dan berpegang kuat kepada agama.

Allahyarham Abu Sujak yang merupakan anak jati Kampung Jawa, Klang memegang jawatan sebagai timbalan kepada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pada Nov 1989, sehingga Pilihan Raya Umum 1990.

Allahyarham juga menyandang kerusi Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang selama dua penggal bermula tahun 1986 hingga 1995, dan kemudiannya menjadi ADN Batu Tiga selama satu penggal sehingga tahun 1999, yang kesemuanya atas tiket Barisan Nasional.

Selain itu, Allahyarham juga merupakan datuk bandar Shah Alam yang pertama dilantik pada 10 Okt 2000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas wakil rakyat Lembah Jaya meninggal dunia

SHAH ALAM, 3 FEB: Bekas Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Datuk Ismail Kijo meninggal dunia pada jam 12.33 tengah hari tadi di Hospital Sungai Buloh.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar di Facebooknya yang mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“”Innalillahi wainnaillaihi rojiun. Dukacita dimaklumkan sahabat saya dalam Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Ismail Kijo, Ketua UMNO Bahagian Ampang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Sungai Buloh.

“Sama-sama kita doakan semoga Allahyarham diletakkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Salam takziah kepada seluruh anggota keluarga. Al-Fatihah,” tulisnya.

Jenazah Allahyarham akan diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berikutan Ismail disahkan positif Covid-19.

Allahyarham pernah menjadi wakil rakyat Lembah Jaya selama tiga penggal antara 1995 hingga 2008.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham nafi petugas kesihatan meninggal dunia akibat kepenatan

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan dakwaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia akibat kelesuan dalam bertugas ataupun kerana jangkitan Covid-19.

Sebaliknya beliau berkata ia disebabkan Allahyarham mempunyai penyakit lain, namun enggan mendedahkannya ketika ditanya.

“Beliau meninggal bukan akibat jangkitan Covid-19 atau kelesuan dalam bertugas,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Terdahulu Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menerusi laman Facebook semalam melaporkan Dr Ali jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Sementara itu dalam kenyataan di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata keputusan ujian Covid-19 Allahyarham adalah negatif dan memohon mana-mana pihak tidak membuat spekulasi bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham.

Menurutnya Allahyarham yang meninggal dunia lewat malam kelmarin (18 Jan) dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan menjalani beberapa sesi rawatan.

“Beliau seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau. Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor bin Hassan atas pemergian beliau,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengajak semua memanjatkan doa buat Allahyarham agar dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Belasungkawa: Malaysia kehilangan tokoh perundangan ulung

Oleh Fadzillah Aishah Ismail

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Malaysia kehilangan seorang tokoh perundangan ulung yang amat dihormati, bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang dijemput Ilahi semalam.

Kehilangan besar itu berlaku pada pukul 3.20 pagi semalam selepas Mohamed Salleh, 91, yang merupakan Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd menghembuskan nafas terakhirnya akibat pneumonia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Dilahirkan pada 25 Ogos, 1929 di Besut, Terengganu Mohamed Salleh yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti of Wales, United Kingdom menyertai perkhidmatan perundangan pada 1957, sebelum kembali semula ke Britain untuk mendapatkan Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Antarabangsa dan Perlembagaan di University of London.

Mohamed Salleh merupakan seorang yang dihormati sepanjang kerjayanya di dalam perkhidmatan awam. Beliau mula berkhidmat sebagai seorang Majistret di Kota Bharu, Kelantan sebelum dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Cara Negara di Jabatan Peguam Negara.

Beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada tahun 1982 sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) pada usia 50 tahun. Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 dan memegang jawatan itu sehingga 1988.

Bekas ketua hakim itu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih selepas memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 menggunakan tiket PAS tetapi tidak bertanding dalam PRU 2004 di atas faktor kesihatan.

Beliau meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh, lima anak dan 26 cucu. Isteri pertama beliau Toh Puan Azimah Mohd Ali, meninggal dunia pada 2016.

Mohamed Salleh adalah salah seorang tokoh utama yang membantu merangka Rukun Negara pada tahun 1970.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos, 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, menjadi asas kepada keharmonian antara rakyat Malaysia selepas rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei, 1969.

Mohamed Salleh pernah dilaporkan berkata hasratnya adalah agar Rukun Negara terus dihormati dan diamalkan supaya Malaysia kekal sebuah negara yang stabil dan beliau juga berharap generasi muda akan melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia lebih dihormati.

Krisis Badan Kehakiman 1988

Pemecatan Mohamed Salleh daripada jawatannya pada Ogos 1998 selepas beliau menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak hakim-hakim lain yang menzahirkan kekecewaan terhadap tuduhan tertentu yang dibuat perdana menteri ketika itu , Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi satu episod hitam dalam sejarah badan kehakiman negara.

“Anda akan menghancurkan demokrasi jika anda memusnahkan badan kehakiman” antara pesanan tegas Mohamed Salleh apabila mengulas mengenai krisis kehakiman itu.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang ketika itu dikenali sebagai Mahkamah Agung juga digantung tugas pada Julai tahun itu tetapi tiga daripada mereka dikembalikan semula jawatan pada Oktober sementara dua lagi dipecat.

Krisis itu dicetuskan oleh pembentangan rang undang-undang di Dewan Rakyat untuk meminda Artikel 121 dan 145 Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan kuasa mahkamah daripada kuasa kehakiman persekutuan.

Mohamed Salleh juga menzahirkan harapannya bahawa krisis itu akan menjadi peringatan kepada generasi sekarang dan akan datang tentang keperluan memiliki suatu badan kehakiman yang teguh dan bebas.

Pada 2008, Mohamed Salleh menerima pembayaran ex-gratia daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim di atas pemecatannya daripada jawatan Ketua Hakim Negara dalam tahun 1988.

Kerajaan bersetuju untuk membuat pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada hakim-hakim yang dipecat semasa krisis badan kehakiman itu dengan mengambil kira pandangan peribadi dan kesusahan yang ditempuhi mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Ulama terkenal Indonesia Syekh Ali Jaber meninggal dunia

JAKARTA, 14 JAN: Ulama terkenal di Indonesia, Syekh Ali Jaber meninggal dunia di Rumah Sakit Cempaka Putih, Jakarta, ketika dilaporkan sedang menjalani rawatan Covid-19.

Bagaimanapun punca kematian Syekh Ali Jaber atau nama sebenarnya Ali Saleh Mohammed Ali Jaber, 44, belum diketahui selepas ada laporan menyatakan Allahyarham negatif virus itu sebelum meninggal dunia.

Menurut hantaran Instagram yayasan.syekhalijaber, pendakwah bebas yang popular di aplikasi Instagram, YouTube dan TikTok serta sering muncul di pelbagai stesen televisyen tempatan itu meninggal dunia pada 8.30 pagi tadi.

“Benar Syekh Ali wafat. 08.30 WIB (waktu Indonesia Barat), sudah dalam keadaan negatif Covid. Di RS Cempaka Putih, Jakarta,” menurut rakan Allahyarham, Ustaz Yusuf Mansur dalam hantaran Instagram tersebut.

Allahyarham Syekh Ali Jaber berketurunan Arab yang lahir di Madinah, Arab Saudi itu berkahwin dengan Umi Nadia yang berasal dari Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2008 sebelum mendapat taraf kewarganegaraanrepublik tersebut pada 2012.

Pada 13 September 2020, Syekh Ali Jaber ditikam seorang lelaki ketika sedang berceramah di Masjid Falahuddin, Sukajawa, Bandar Lampung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun Rahah meninggal dunia pada usia 87 tahun

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Tun Rahah Mohamed Noah, isteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan oleh anaknya yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial sebentar tadi, lapor Bernama.

“Innalillahiwainnailaihirojiun, bonda saya sudah tiada. Kami sekeluarga di hospital. Kesedihan dan air mata mengalir, tiada kata-kata untuk kehilangan ini,” tulisnya di Facebook.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada Najib atas pemergian ibu tersayang.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Al Fatihah,” tulisnya di Twitter.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Legenda bola sepak Namat Abdullah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Malaysia kehilangan seorang lagi legenda bola sepak, Datuk Namat Abdullah, 74, yang meninggal dunia di kediaman menantunya di Kamunting, Taiping, pada pukul 5.30 petang tadi.

Menantunya, Mohd Fadzlie Ramlee berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Taman Peruda, Sungai Petani malam ini untuk penghormatan terakhir.

Beliau berkata Allahyarham yang menghidap angin ahmar dan barah usus sejak beberapa tahun lepas, akan dikebumikan di Sungai Petani, pagi esok.

“Kami anakanda kepada arwah ingin memohon maaf bagi pihak arwah dan sekiranya ada ucapan, perbuatan yang terguris tanpa sengaja sepanjang perkenalan bersama arwah, maafkanlah dan sekiranya abah ada berhutang sila berhubung dengan kami,” katanya ketika dihubungi.

Dilahirkan pada 30 Mac 1946 di Butterworth, Pulau Pinang, Namat mula menyarung jersi negara dari 1968 hingga 1975, dan bekas kapten Harimau Malaya itu juga merupakan anggota skuad Olimpik Munich 1972 dan Sukan Asia Tehran 1974.

Memulakan kerjaya beliau dengan Marines Sports Club di Pulau Pinang, Namat dikenali dengan rembatan deras dan kebolehan membuat lontaran jauh ke dalam kotak penalti sepanjang kerjayanya sebagai pemain pasukan Penjara, Pulau Pinang dan skuad kebangsaan.

Di awal kariernya, Allahyarham bertindak selaku penggempur sewaktu membantu Pulau Pinang menjuarai Piala Burnley 1965 sebelum bermain di posisi bek kanan, dan beliau meraih tiga kejayaan dalam tahun yang sama – Piala Malaysia, Pestabola Merdeka dan pingat gangsa Sukan Asia 1974.

Namat juga pernah menjulang Piala FAM bersama penjara pada 1970, 1971 dan 1973.

Allahyarham yang juga bekas subinspektor di Jabatan Penjara meninggalkan seorang isteri, Datin Mahani Sulaiman, tujuh anak, 17 cucu dan seorang cicit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen Gerik meninggal dunia

IPOH, 16 NOV: Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia di Raub, Pahang petang ini kerana sakit jantung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor Salbiah Mohamed ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata Hasbullah, 63, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Raub, Pahang.

-BERNAMA