Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Rembau mula operasi Januari 2020

SEREMBAN, 10 NOV: Hospital Rembau dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun hadapan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun beliau berkata, perkhidmatan bahagian kecemasan dan unit wad bersalin mungkin akan dibuka terlebih dahulu selewat-lewatnya bulan hadapan.

Dr Dzulkefly berkata ketika ini proses kemasukan peralatan perubatan dan bukan perubatan seperti perabut, katil dan sebagainya masih dijalankan termasuk proses ujian dan pentauliahan peralatan perubatan.

“Kita sedia maklum Hospital Rembau ini memang sangat dinanti-nantikan warga Rembau untuk mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan berhampiran dengan kawasan kediaman mereka.

“Sekarang proses kemasukan alat-alat perubatan dan bukan perubatan antaranya seperti perabut serta proses ujian sedang dijalankan.

“Proses pentauliahan peralatan perubatan lebih 7,000 alat perubatan dan bukan perubatan juga sedang dijalankan,” katanya .kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat Dewan Undangan Negeri Paroi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata proses ujian dan pentauliahan peralatan perubatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

Sebelum ini Dr Dzulkefly berkata Hospital Rembau akan mula beroperasi Jun lepas sekali gus menjadi pelengkap kepada rangkaian hospital awam di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembukaan Hospital Rembau yang dijadual memulakan operasinya pada Jun terpaksa ditangguhkan pada akhir tahun ini.

Katanya penangguhan operasi itu tidak dapat dielakkan walaupun pembinaan sudah siap 99 peratus kerana perlu menjalankan pemeriksaan bagi memastikan segala kelengkapan hospital mencukupi termasuk kelengkapan dan peralatan hospital.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penanaman hemp dibenarkan untuk penyelidikan industri

PUTRAJAYA, 6 NOV: Penanaman hemp, sejenis tumbuhan herba daripada spesies Cannabis sativa, akan dibenarkan bagi tujuan penyelidikan pihak industri, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya kebenaran itu adalah di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana menteri kesihatan mempunyai kuasa memberi izin penanaman hemp, untuk pengeluaran serat dan biji sahaja bagi tujuan bukan komersial.

“Bagaimanapun tarikh pelaksanaan kebenaran ini masih belum dapat diputuskan. Ia bergantung kepada perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli,” katanya kepada media selepas merasmikan 18th Annual Scientific Congress of Asia Pacific Association of Medical Toxicology 2019, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly turut menegaskan bahawa penanaman kanabis bagi tujuan perubatan dan sebagainya, masih tidak dibenarkan selagi undang-undang tidak dipinda.

“Kebenaran untuk penanaman hemp tidak melibatkan penanaman kanabis. Saya harap orang ramai tidak keliru,” katanya menambah penanaman hemp dibenarkan kerana serat yang dihasilkan boleh digunakan dalam kosmetik.

Menurut laporan media, hemp mempunyai kandungan ganja pada kadar sangat rendah, berbanding potensinya dalam beberapa industri termasuk tekstil.

Sementara itu, Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr Ramli Zainal berkata terdapat banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu digariskan berikutan kebenaran penanaman hemp.

“Ini termasuklah siapa yang akan import, siapa yang akan tanam, tanah yang bagaimana sesuai untuk ditanam hemp, berapa lapis dan tinggi pagar,” katanya sambil menambah Kementerian Kesihatan akan menyediakan garis panduan bagi penanaman hemp.

Menurut Dr Ramli, kebenaran penanaman hemp itu merupakan keizinan pertama yang diberikan Kementerian Kesihatan, di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Untuk hemp ditanam bagi tujuan komersial atau secara besar-besaran, ia memerlukan satu lagi keputusan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat mangsa belon meletup keluar hospital hari ini

LIPIS, 13 OKT: Empat daripada enam mangsa insiden belon meletup di Dataran Putrajaya semalam, berkemungkinan dibenarkan pulang dari Hospital Putrajaya, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka terdiri daripada tiga dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, yang difahamkan hanya menanti kebenaran daripada pakar yang merawat mereka untuk tujuan itu.

“Dua lagi mangsa masih berada di wad biasa dan masih memerlukan rawatan. Bagaimanapun, keadaan mereka adalah stabil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Karnival Koi Nak Sihat: Lain Weh!’ di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan pelakon popular Fahrin Ahmad yang berkongsi pengetahuan tentang penyakit AIDS dan penjagaan kesihatan.

Semalam, 16 individu cedera selepas belon yang didakwa berisi gas helium meletup selepas perasmian Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya.

Kejadian yang turut membabitkan sembilan kanak-kanak dipercayai berlaku semasa pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon termasuk ada yang dikatakan menggunakan pemetik api.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA

Dr Dzulkefly juga memaklumkan Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikologi juga akan memberi kaunseling kepada pesakit yang masih berada di hospital untuk mengurangkan kesan pasca trauma.

Pada perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, Hospital Bera yang telah terbengkalai sejak Januari 2015 dijangka boleh mula beroperasi pada suku tahun pertama, bergantung kepada aspek perjawatan.

“Hospital itu setakat 11 Oktober lalu, status kemajuannya 90.2 peratus dan saya optimis kontrakor terlibat boleh menyiapkannya pada akhir tahun ini, yang masih berbaki dua bulan,” katanya.

Untuk rekod, projek pembinaan Hospital Bera bermula sejak Julai 2012 dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga tahun, terbengkalai kerana kegagalan kontraktor walaupun telah diberikan lanjutan sehingga 690 hari.

Kos pembinaan hospital dengan kemudahan 40 katil itu pada asalnya RM88 juta, namun kegagalan kontraktor yang disenaraihitamkan itu, menyebabkan kerajaan memerlukan kos tambahan RM33 juta.

Mengulas mengenai program itu, Dr Dzulkefly berkata lebih 9,000 orang mengunjungi karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, yang antara lain melibatkan pemeriksaan kesihatan percuma.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beli ubat secara pukal tiga kementerian, beri penjimatan kepada kerajaan

IPOH, 12 OKT: Peruntukan RM500 juta bagi pembelian ubat secara pukal membabitkan tiga kementerian termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dilihat mampu memberikan penjimatan terbaik kepada kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu lebih baik berbanding pembelian secara berasingan.

“Kita sudah menguar-uarkan tentang kepentingan merangkum tiga Kementerian, iaitu KKM, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan, andai kita dapat melakukan apa yang diistilahkan sebagai ‘pool procurement’ atau perolehan secara kelompok (pukal) ia akan dapat memberikan kita ‘economic of scale’, keupayaan untuk berunding dengan lebih baik.

“Apabila kita merangkum ketiga-tiga sekali kita, kita dapat lakukan penjimatan yang baik, ini lebih baik berbanding secara asing-asing dan tidak ada keupayaan untuk berunding,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan edaran pelekat notis larangan merokok di premis perniagaan peringkat negeri Perak, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai peratusan penjimatan yang dibuat oleh kerajaan menerusi pendekatan itu, Dr Dzulkefly berkata ia bergantung kepada hasil rundingan.

“Saya tidak boleh memberikan apa-apa angka itu (peratusan penjimatan) kerana ia tergantung kepada sejauh mana perundingan yang dapat kita lakukan.

“Kita tidak mahulah nanti dipegang dengan janji semua peratusan, saya fikir ia adalah pasaran terbuka kita mesti faham bahawa penawaran dan permintaan itu bergantung kepada kehendak pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, terdapat penambahan seramai 1.27 juta orang penerima manfaat daripada Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) yang diperluaskan kepada individu 40 tahun ke atas berbanding had umur 50 tahun sebelum ini.

“Ketika kami memulakan projek rintis Skim Peka B40 bagi umur 50 tahun ke atas bagi pasangan suami dan isteri kita mempunyai 3.9 juta orang penerima.

“Apabila kita rangkumkan bagi individu 40 tahun ke atas, kita menambah lagi seramai 1.27 juta penerima,” katanya

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, melaporkan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) bagi pemeriksaan dan intervensi awal mengesan penyakit tidak berjangkit untuk mereka yang berusia antara 50 tahun hingga 60 tahun, diperluaskan individu berumur 40 tahun dan ke atas mulai tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Dzulkefly: Bersuara untuk keselamatan pesakit

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Semua pihak berkepentingan dalam sistem penjagaan kesihatan termasuk pesakit, pembuat dasar dan badan profesional perlu bersuara demi keselamatan pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka juga perlu menyuarakan kebimbangan berhubung amalan dan alam sekitar yang tidak selamat serta bahaya dalam kemudahan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, pesakit perlu diperkasakan untuk bersuara dan mengajukan pertanyaan kepada kakitangan penjagaan kesihatan jika mempunyai keraguan atau kebimbangan berhubung rawatan yang diberikan atau amalan kakitangan penjagaan kesihatan.

Katanya, kakitangan penjagaan kesihatan juga mesti bersedia mendengar saranan pesakit dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kajian menunjukkan bahawa bersuara mempunyai kesan pencegahan segera terhadap kesilapan manusia dan dapat membantu memperbaiki kekurangan teknikal dan sistem serta mencegah kejadian buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia di Malaysia dan Seminar Keselamatan Pesakit 2019, di sini semalam.

Dr Dzulkefly menarik perhatian kepada enam insiden tinggi membabitkan keselamatan pesakit di Malaysia dari 2016-2018 iaitu salah pembedahan, tertinggal benda secara tidak sengaja dalam badan, kesilapan transfusi nyata, kesilapan medikasi, pesakit dewasa terjatuh dan pesakit pediatrik terjatuh.

Insiden salah pembedahan menyaksikan peningkatan pada 2018 dengan 11 kes daripada lima pada 2017, pesakit dewasa terjatuh meningkat kepada 3,547 tahun lepas daripada 2,934 pada 2017, manakala kesilapan transfusi mencatatkan 47 kes tahun lalu daripada 35 pada 2017.

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa keselamatan pesakit adalah penting dan kritikal, sambil menambah bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menggalakkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang menekankan pada keselamatan pesakit, pengalaman pesakit dan jangkaan pesakit.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan keselamatan pesakit termasuk penubuhan Majlis Keselamatan Pesakit pada 2003 untuk menerajui usaha peningkatan keselamatan pesakit secara nasional.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperkenalkan Matlamat Keselamatan Pesakit Malaysia pada 2013 untuk menggariskan bidang utama keutamaan untuk keselamatan pesakit dan penanda aras pencapaian keselamatan pesakit di Malaysia.

Sebagai simbol solidariti global dalam menjadikan keselamatan pesakit sebagai keutamaan global, Dr Dzulkefly berkata, Pengurusan Menara KL bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menerangi Menara Kuala Lumpur dengan cahaya lampu berwarna jingga malam ini.

Selain Menara Kuala Lumpur, Tiga Piramid di Giza, Kaherah dan air pancut Jet d’Eau di Geneva turut bermandikan cahaya jingga bagi meraikan Hari Keselamatan pesakit Sedunia.

Sementara itu, Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategik Amanah berkata Pakatan Harapan tidak perlu gusar dengan kerjasama antara UMNO dan PAS kerana kekuatan utama parti gabungan itu adalah mampu mengurus perbezaan kaum, agama dan budaya.

“Kerajaan akan terus membawa kemakmuran bersama, memulihkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan belia serta usaha dan misi untuk melahirkan sebuah masyarakat yang dapat tangani pelbagai jurang itu,” katanya.

Sabtu lalu, UMNO dan PAS memeterai perjanjian kerjasama politik (Piagam Muafakat Nasional) dan langkah itu menandakan permulaan kerjasama politik antara kedua-dua parti pembangkang berkenaan.

Dr Dzulkefly berkata membentuk sebuah gabungan politik berdasarkan mono-etnik dan mono-agama adalah sukar bagi Malaysia baharu dengan demografi campuran.

“Kalau mereka (UMNO-PAS) mengambil pendekatan bersifat ekstremisme sayap kanan yang saya tidak kata mereka begitu, tetapi kalau mereka membawa agenda itu, bertambahlah sukar untuk Malaysia Baru menerima politik sebegini,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Program AED tingkat kesedaran awam pelajari pertolongan cemas

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Program Defibrilasi Automatik Luar (AED) boleh meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mempelajari kaedah rawatan awal terutama dalam masalah serangan jantung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, program yang diperkenalkan oleh St John Ambulans Malaysia (SJAM) itu adalah langkah yang amat ke hadapan dalam usaha organisasi itu untuk mendidik orang ramai mempelajari pertolongan cemas.

“Dengan program ini melalui penglibatan SJAM ia dapat meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai keperluan untuk mempelajari pertolongan cemas seperti CPR (Cardiopulmonary Resuscitation), cara-cara penggunaan mesin AED dan sebagainya.

“Ini adalah kaedah rawatan awal yang sangat penting untuk semua orang tahu sebab ia boleh menyelamatkan nyawa sebelum perubatan dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat SJAM di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi dan Pemerintah Agung SJAM Datuk Lai See Ming.

Program yang bertujuan membantu mengurangkan jumlah kes kematian akibat serangan jantung di tempat awam itu telah dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Julai lepas.

SJAM merancang untuk menempatkan mesin AED di beberapa tempat awam di sekitar Lembah Klang.

AED adalah peranti perubatan yang menganalisis irama jantung dan penyelamat kemudiannya dinasihatkan sama ada kejutan diperlukan untuk mendapatkan semula denyutan jantung yang normal dan ia juga membolehkan responden pertama untuk menyediakan terapi menyelamatkan nyawa dalam minit kritikal sebelum ambulans tiba.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes denggi meningkat 89.5 peratus – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Sebanyak 72,356 kes denggi dilaporkan sepanjang Januari hingga 20 Julai tahun ini berbanding 38,190 kes pada tempoh yang sama 2018, peningkatan drastik sebanyak 89.5 peratus pada 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes kematian yang disebabkan penyakit itu juga meningkat sebanyak 108 kematian berbanding 61 kes tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus.

“Kes denggi telah menunjukkan peningkatan bermula bulan Mei tahun ini,” katanya satu dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi sebanyak 40, 849 kes manakala, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan sebanyak 8,794 kes, diikuti Johor sebanyak 6,057 kes.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan juga disambut bersekali dengan Konvensyen COMBI (Communication For Behavioral Impact) dan tema yang dipilih tahun ini ialah “Banteras Denggi, bermula dengan saya”.

Beliau berkata, tema ini bertepatan untuk membuktikan peranan setiap individu dan komuniti amat penting bagi aktiviti pencegahan denggi.

Beliau juga menegaskan semua pihak termasuk masyarakat, agensi swasta dan media memainkan peranan penting bagi menjamin kejayaan pencegahan Denggi secara berterusan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM guna nyamuk Aedes mengandungi Wolbachia tangani denggi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan kaedah pelepasan nyamuk aedes mengandungi bakteria Wolbachia secara berperingkat di seluruh negara bagi mengawal dan menangani kes denggi yang meningkat saban tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah ini susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti kes denggi di Selangor sejak Mac 2017 yang menunjukkan penurunan kes sebanyak 50 hingga 80 peratus setiap lokaliti.

Katanya, langkah itu menjadikan Malaysia negara kedua di dunia selepas Australia menggunakan kaedah berkenaan sebagai pencegahan dan kawalan kes denggi.

“Pelaksanaan kaedah ini dipilih bagi menangani beban kes denggi dan mengurangkan kebergantungan kepada kawalan nyamuk dengan menggunakan racun serangga,” katanya selepas majlis pelepasan telur nyamuk aedes mengandungi Wolbachia di Apartment Sri Rakyat, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pada 2019, sebanyak 62,421 kes denggi dilaporkan dari 1 Januari hingga 29 Jun, berbanding 32,435 kes bagi tempoh sama pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 29,986 kes (92.4 peratus).

“Jumlah kumulatif kematian denggi bagi tempoh sama tahun ini adalah sebanyak 93 kematian, berbanding 53 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Dzulkefly berkata sebanyak 180 bekas yang setiap satunya mempunyai 150 bekas kecil berisi telur nyamuk mengandungi Wolbachia itu akan dibekalkan kepada 11 lokaliti terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada fasa pertama program itu.

“Pelaksanaan fasa kedua dan seterusnya akan diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat mulai Sept ini,” katanya.

Dzulkefly menegaskan masyarakat hendaklah menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran dan aktiviti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan tumpuan pembersihan sekurang-kurangnya 10 minit pada setiap minggu bagi menangani kes denggi.

Mengulas kematian seorang wanita akibat penyakit asthma di Pasir Gudang semalam, Dzulkefly berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kesihatan Johor sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Punca kematian 12 Orang Asal tidak dapat disahkan

PORT DICKSON, 6 JUL: Hasil bedah siasat yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian terhadap 12 mayat Orang Asal yang ditemui di Kampung Kuala Koh, Kelantan, tidak dapat disahkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mayat ini yang ditemui polis telah menjalani proses bedah siasat yang dilaksanakan pasukan forensik pada 17 dan 18 Jun lalu.

“Bagaimanapun keputusan terhadap ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperolehi.

“Sehingga semalam, tiada kes kematian baru dilaporkan dan kes kematian kekal tiga kes, yang mana ketiga-tiga kes ini telah disahkan measles melalui ujian makmal. Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik juga mengesahkan kematian bagi tiga kes ini berpunca dari jangkitan dan komplikasi measles,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Tambahnya, di Kelantan sehingga 5 Julai lalu, seramai 48 kes masih dirawat, di mana 46 di wad isolasi manakala dua di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, kesemua yang dirawat berada dalam keadaan stabil, manakala 53 kes yang bergejala ringan ditempatkan di PLKN Etnobotani, Gua Musang.

Sementara itu di Terengganu, seramai lima kes masih dirawat di wad isolasi Hospital Hulu Terengganu, manakala di Pahang tiada kes baharu.

“Kita ingin menjelaskan bahawa wabak yang berlaku ini adalah terkawal,” katanya.

Sejak wabak ini dilaporkan pada 3 Jun sehingga 5 Julai lalu, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan sebanyak 173 kes, sebanyak 147 kes berlaku di Kelantan termasuk tiga kematian, Terenggnu (18 kes), dan Pahang (8 kes).

Daripada jumlah tersebut, 82 kes disahkan measles melalui ujian makmal.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara bincang semak fi perubatan swasta

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Jemaah menteri meminta supaya cadangan semakan fi perundingan pengamal perubatan am swasta dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara sebelum sebarang keputusan diambil.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan semakan fi itu dibawa ke Kabinet pada 24 April lalu untuk persetujuan, berikutan pihaknya mengambil maklum kesukaran pengamal perubatan am swasta yang berdepan masalah kenaikan kos dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Dalam mempertimbangkan cadangan semakan fi perundingan ini, kementerian mengambil kira pandangan pelbagai pihak dengan mendapatkan pandangan daripada persatuan pengguna dan majikan daripada pelbagai sektor industri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PAKATAN-Klang) yang ingin tahu tindakan kementerian untuk menyelaras fi pengamal perubatan swasta.

Dr Dzulkefly berkata, sesi dialog awam (town hall) membabitkan pengamal perubatan am swasta dan pihak-pihak berkepentingan juga diadakan pada 27 Ogos 2018.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan kini merancang satu pendekatan strategik untuk memperluaskan pelaksanaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara secara berfasa.

“Setakat ini, sistem EMR dilaksanakan di 35 hospital daripada 145 hospital kerajaan, manakala 118 klinik daripada keseluruhan 1,703 klinik kerajaan menggunakan produk Hospital Information System (HIS) dan Clinical Information System (CIS),” katanya.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PAKATAN-Selayang) yang ingin tahu perkembangan pelaksanaan EMR di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Melalui sistem EMR, maklumat kesihatan yang berkaitan dapat dicapai mana-mana klinik atau hospital untuk tujuan rawatan dengan mengambil kira keperluan kerahsiaan maklumat pesakit itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiga lagi kes sesak nafas di Kampung Kuala Koh

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Tiga kes baharu membabitkan gejala saluran pernafasan dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua daripada mangsa berkenaan, iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita dewasa berusia 24 tahun, dikesan mengalami gejala itu pada Khamis lepas dan kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai, Kelantan.

“Satu lagi kes dikesan semalam melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang.

“Ketiga-tiga pesakit berada dalam keadaan stabil. Ini menjadikan kumulatif kes sejak 3 Jun hingga 21 Jun 2019 sebanyak 116 kes dengan gejala saluran pernafasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan di Pusat Darah Negara di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

Dr Dzulkefly juga mengesahkan setakat ini kematian akibat penyakit demam campak (measles) dalam kalangan komuniti berkenaan juga kekal tiga kes.

Dalam pada itu, katanya kementerian setakat ini belum mendapat keputusan ujian makmal terhadap sampel 12 mayat yang ditemukan di Kampung Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Setakat ini katanya, kementerian menjalankan pemeriksaan antropologi ke atas mayat tersebut bagi menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangka masa kematian.

Mengulas penularan penyakit itu dalam kalangan komuniti Orang Asli di Kampung Gerdong di Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat di Jerantut, Dr Dzulkefly berkata hanya terdapat satu kes baharu dilaporkan di Kampong Gerdong, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 13 kes, dengan lapan kes disahkan demam campak.

“Tiada kes baharu dikesan dari Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang menjadikan bilangan kes sehingga 20 Jun sebanyak lapan kes, dengan empat kes disahkan ‘measles’ melalui ujian makmal,” katanya yang turut mengesahkan semua kes dari dua kampung berkenaan mempunyai sejarah pergerakan atau kontak dengan komuniti dari Kuala Koh, Gua Musang.

Menurut Dr Dzulkefly, sehingga kini tiada penularan jangkitan demam campak membabitkan perkampungan lain dilaporkan dan pemantauan diteruskan oleh semua Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan dua kes baharu dikesan melibatkan kejadian sesak nafas yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah agama di Pasir Gudang, Johor semalam menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang telah mendapatkan rawatan akibat gejala itu seramai 31 orang iaitu 21 perempuan dan 10 lelaki.

Kedua-dua mangsa merupakan pelajar lelaki Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, dan telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru bagi menjalani rawatan.

“Bagaimanapun enam daripada mereka yang dimasukkan ke hospital sama pada 20 Jun telah pun keluar semalam, nampaknya kes ini tidak begitu serius,” katanya.

Pada Khamis, seramai 15 murid sekolah agama itu, yang lokasinya terletak kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik Mac lalu, mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital dipercayai akibat pencemaran udara.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Insiden di Pasir Gudang mungkin kerana gas beracun

PUTRAJAYA, 21 JUN: Insiden membabitkan 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor, yang mengalami kesukaran bernafas dan muntah-muntah, kemungkinan disebabkan gas beracun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bercakap pada sidang media di kementeriannya di sini semalam, beliau berkata Kementerian Kesihatan menyedari kejadian itu dan akan memantau keadaan dengan teliti, sambil menambah ‘segala-galanya dalam kawalan’.

“Simptom itu kelihatan seperti kemungkinan gas beracun atau gas organik yang mudah meruap sama seperti insiden di Sungai Kim Kim,” katanya dan menambah kementerian itu sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Selahudden Abd Aziz berhubung perkara itu.

Ditanya jika ada pengumuman berhubung penutupan sekolah, Dr Dzulkefly berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Saya akan melihat maklumat, jenis ketoksikan, tahap pendedahan dan ketoksikan yang perlu dipertimbangkan.

“Apa yang penting Jabatan Kesihatan negeri Johor bekerja dengan sangat tekun. Mereka sudah dimaklumkan dan mereka kini berada di lapangan untuk menangani perkara ini,” katanya.

Pada Mac lalu, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menyebabkan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan menyebabkan penutupan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang.

-BERNAMA