Categories
NASIONAL

Tindakan doktor sokong antivaksin bawah bidang kuasa MMC

KLANG, 13 MEI: Sebarang tindakan terhadap mana-mana doktor yang dikesan menyokong kumpulan antivaksin adalah di bawah bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia (MMC), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kumpulan tersebut dan mengambil pendekatan untuk terus berdialog dengan golongan itu bagi menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin kepada semua bayi serta kanak-kanak.

“KKM memang sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan anti vaksin ini. Jika mereka mempunyai pendapat mereka (berkaitan suntikan vaksin), kita juga ada hujah kita sendiri.

“Mereka tidak boleh sekadar menyatakan pendapat mereka secara ‘satu hala’ saja, mereka perlu berdialog dengan kita dan kita bersedia untuk berkongsi pentas dengan mereka bagi bercakap mengenai isu ini jika mereka mahu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Ditanya berkenaan bilangan doktor perubatan yang dikesan oleh KKM menyokong gerakan antivaksin itu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya tidak ada membuat pemantauan mengenai isu berkenaan.

Namun katanya, masyarakat digalak melaporkan kepada MMC jika mendapati wujudnya dalam kalangan doktor yang menyokong kumpulan antivaksin berkenaan supaya pihak majlis dapat mengambil tindakan sewajarnya, jika perlu.

Mengulas berhubung kertas cadangan KKM yang mahu mewajibkan bayi dan kanak-kanak diberi suntikan vaksin, beliau berkata ia kini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) bahawa jawatankuasa terlibat telah membentangkan kertas cadangan itu kepadanya dan beliau pula akan bentangkan kepada saya, sebelum saya membawanya kepada Kabinet.

Perkara ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Banyak aspek yang perlu kita lihat dan ada beberapa isu kritikal yang saling berkait juga perlu diteliti. Apa yang penting adalah kita mahu anak-anak kita selamat dan tidak dijangkiti oleh orang yang tidak divaksin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), akhir April lepas.

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini juga dilapor mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan menerusi vaksin di negara ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KRIBA HTAR dijangka beroperasi tahun hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 13 MEI: Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dijangka beroperasi sepenuhnya tahun hadapan susulan kekurangan kakitangan dalam kalangan jururawat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini, KRIBA hanya digunakan sekitar 40 peratus dan ia sedang diselesaikan secara berperingkat dengan pengambilan kakitangan baharu akan berlangsung, pada Julai ini.

“Kita bina kemudahan dan peralatan tetapi kita tidak dapat menjalankan KRIBA secara optimum kerana kekurangan tenaga kerja.

“Perkara ini sangat dikesalkan, sebab itu pembinaan infrastruktur mesti sekali dengan perjawatan, sistem dan perisian. Kita sudah mohon 57 perjawatan baharu untuk jururawat di HTAR sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke HTAR buat pertama kali, hari ini.

Sempena lawatan itu, beliau turut meluluskan peruntukan segera RM200,000 bagi membeli mesin ‘autoclave’ baharu dan tambahan RM200,000 untuk membaik pulih bumbung dapur hospital.

Dr Dzulkefly sebelum itu turut melawat Kompleks Rawatan Harian dan mendengar taklimat disampaikan Pengarah HTAR, Dr Mohamad Sabri Othman di Auditorium Permata.

Aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Multidiscipline Short Stay Unit (MSSU), Jabatan Kecemasan, Bed Management Unit (BMU) dan KRIBA.

Categories
NASIONAL

Keracunan metanol di Perak kes pertama dicatat tahun ini

PUTRAJAYA, 7 MEI: Kes keracunan metanol di Perak yang mencatatkan tiga kematian, baru-baru ini adalah kes pertama yang dicatatkan negara untuk tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kes keracunan metanol yang mengakibatkan kematian berlaku setiap tahun, dengan 40 kematian direkodkan pada tahun lalu.

“Kes ini sentiasa berlaku dari semasa ke semasa kerana permintaan ke atas minuman alkohol murah sentiasa ada,” katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Berhubung kes keracunan metanol di Perak, beliau berkata, Kementerian Kesihatan menerima 10 notifikasi kes membabitkan enam warga Malaysia termasuk dua Orang Asli, manakala empat lagi adalah warga asing.

Tiga daripada 10 notifikasi kes itu mencatatkan kematian membabitkan dua warga asing dan seorang warga tempatan, katanya.

Pecahan kes mengikut daerah ialah lima kes di Kinta, Perak Tengah (dua), Kuala Kangsar (dua) serta Larut Matang dan Selama masing-masing satu kes, katanya.

Ditanya jika kementerian merancang untuk mengurangkan harga pelekat nikotin atau membuat apa-apa produk dengan harga istimewa di klinik kerajaan bagi membantu seseorang itu berhenti merokok, Dr Dzulkefly berkata beliau sedang meneliti perkara itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

8,042 individu dikesan hidap, bawa Talasemia

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Seramai 8,042 orang dikenal pasti menghidap penyakit dan pembawa talasemia dalam negara sehingga Disember tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan laporan ‘Malaysian Thalassaemia Report’ yang buat pertama kali diterbitkan, yang menunjukkan lebih 5,000 pesakit daripada jumlah itu dikesan berada pada tahap kritikal yang memerlukan rawatan berkala melalui pemindahan darah.

“Dalam konteks Malaysia, seorang dalam 20 warganegara kita adalah pembawa genetik talasemia. Nisbah itu agak tinggi dan serius… tetapi pada masa yang sama, kepanjangan hayat pesakit talasemia ada menunjukkan peningkatan.

“Ini adalah satu penunjuk yang positif, menunjukkan keberkesanan perubatan rawatan kita,” katanya pada sidang media Hari Talasemia Kebangsaan 2019 (National Thalassaemia Day 2019) di sini hari ini.

Katanya, peningkatan jangka hayat pesakit membuktikan bahawa rawatan serta teknologi terkini berhasil membantu pesakit menikmati jangka hayat yang lebih lama sehingga ke usia lebih 40 tahun.

Dr Dzulkefly berkata bagaimanapun kerajaan perlu membelanjakan RM3 juta bagi kos rawatan setiap pesakit sepanjang hayat mereka dan kos itu juga semakin meningkat.

Sehubungan itu katanya, bagi mengawal penyakit genetik itu daripada terus meningkat, rakyat seharusnya mengetahui status talasemia mereka dengan menjalani ujian saringan talasemia.

“Mahu atau tidak mahu…kita perlu imbas saringan, dan menggalakkan setiap pasangan tidak berkahwin sesama pembawa genetik talasemia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Setahun PH: PeKa B40 antara pencapaian KKM

PUTRAJAYA, 3 MEI: Pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), pengurusan projek sakit dan inisiatif mengawal harga ubat, merupakan antara pencapaian Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak setahun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, turut menjadi kebanggaan adalah penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan pada 27 Mac lepas yang turut tertumpu kepada agenda meningkatkan kerjasama antara hospital awam dan swasta dalam menambah baik sistem kesihatan di negara ini.

Dalam sidang media berkaitan pencapaian itu, Dr Dzulkefly berkata seramai 2,443 orang telah menjalani saringan kesihatan di bawah projek perintis PeKa B40 sehingga 29 April lepas.

“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan disediakan secara percuma kepada penerima. Ia akan melibatkan 800,000 orang dengan peruntukan RM100 juta.

“Sasaran populasi akan dikembangkan pada masa akan datang, bergantung kepada kejayaan projek ini serta penambahan peruntukan daripada kerajaan,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PH mentadbir baru-baru ini.

PeKa B40 yang bermula pada 15 April lalu dan kini dalam fasa ujian operasi memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta dalam meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berumur 50 tahun ke atas bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi dalam golongan berkenaan.

Beliau berkata selain manfaat utama iaitu saringan kesihatan, PeKa B40 juga memberi bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Selain PeKa B40, Dzulkefly berkata kementerian turut memberi fokus memperkasa perubatan kesihatan keluarga serta mengukuhkan peranan klinik kesihatan sedia ada sama ada sektor awam mahupun swasta bagi menangani penyakit NCD yang semakin membimbangkan di negara ini.

Doktor perubatan kesihatan keluarga sama ada di klinik kerajaan ataupun swasta merupakan komponen penting barisan hadapan perkhidmatan kesihatan kerana bertanggungjawab mengenal pasti dan memastikan usaha mencegah penyakit dalam kalangan masyarakat berjaya.

“Pendekatan yang menekankan pencegahan lebih daripada kuratif dengan tidak menafikan kepentingan untuk kita terus membangunkan fasiliti di hospital kita. Saya telah tekankan mengenai pembaharuan dalam penjagaan kesihatan primer dan primary care.

“Kami mahu setiap klinik menjadi gatekeeper kesihatan, kenal pasti mereka awal, bagi rawatan awal. Saya mahu kalau boleh sebahagian besar daripada GP (pengamal perubatan) dan MO (pegawai perubatan) kita mengambil pengkhususan dalam bidang perubatan keluarga supaya mereka menjadi pakar perubatan keluarga.

“Kami hendak meletakkan primary care dan penjagaan kesihatan primer dalam konteks klinik kesihatan menjadi satu wajar dan sesuai dengan posisinya dan tidak hanya dilihat sebagai subset kesihatan sahaja tetapi adalah sangat penting,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya mengambil serius peningkatan penyakit NCD kerana ia dikesan menjadi antara penyebab utama kemerosotan kualiti kehidupan penghidapnya yang menghadapi komplikasi penyakit tersebut serta punca purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat dipertingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun.

Bersandarkan matlamat yang serupa juga, KKM sedang melaksanakan penyusunan semula perkhidmatan kesihatan Klinik 1Malaysia (K1M) untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada selain menyusun keperluan dan mengoptima sumber manusia dan kewangan.

Daripada 347 K1M, sejumlah 293 akan ditambah nilai dan menjadi Klinik Komuniti manakala 20 akan dinaik taraf fasiliti kepada Klinik Kesihatan dan 34 yang lain bakal ditutup.

Berkaitan dengan pengurusan projek sakit, beliau berkata tindakan tegas telah dilakukan kepada kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual asal.

“Penamatan kontrak kontraktor utama projek pembangunan Klinik Kesihatan dan Kuarters Kampung Raja, Besut, selepas gagal mengikuti pelan pemulihan yang telah dirancang bersama Pegawai Penguatkuasa JKR (Jabatan Kerja Raya).

“Berdasarkan prestasi sangat lemah, kontraktor utama tidak dapat menyiapkan projek mengikut tarikh siap semasa yang diberikan kini iaitu 22 Mei 2019. Notis penamatan dikeluarkan pada 18 April 2019 dan akan ditender semula dalam tempoh 6 bulan dari tarikh notis,” katanya.

Berhubung dengan penamatan kontrak utama projek pembinaan Hospital Petra Jaya, Sarawak (300 katil) pada Ogos 2018 setelah gagal menyiapkan projek tersebut mengikut jadual asal, proses tender semula telah dijalankan oleh Kementerian Kerja Raya dan syarikat yang berjaya dilantik dijangka akan mula memasuki tapak pada Okt 2019.

Mengulas mengenai usaha mengawal harga ubat, beliau berkata kawalan harga ubat yang bertujuan memastikan akses ubat-ubatan pada harga berpatutan terutama ubat baharu yang mahal di semua klinik, hospital dan farmasi akan dilaksanakan secara berfasa.

Selain itu, KKM juga memperkenalkan beberapa lagi inisiatif bagi meningkatkan penjagaan kesihatan yang holistik dan berkualiti kepada rakyat termasuk penubuhan Jawatankuasa Kerja (Task Force) bagi mengkaji kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi serta dalam peringkat merangka kertas cadangan penubuhan Institut Kesihatan Mental.

Cadangan tindakan mewajibkan imunisasi akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Perancangan KKM pada 8 Mei ini untuk kelulusan sebelum diangkat ke Kabinet untuk penelitian lanjut.

Pencapaian lain termasuk menangani masalah kebajikan warga staf KKM menerusi inisiatif Junior Doctors Quandry, program Ideas That Matter yang mengalu-alukan kakitangannya mengemukakan cadangan, idea serta penamatan perkhidmatan ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital atas kes salah laku seksual.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Lepasi fasa pemulihan, optimis ekonomi kembali rancak – Dzulkefly

SEMENYIH, 27 APR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad optimis ekonomi negara kembali rancak dengan pelaburan domestik dan luar turut kembali melonjak dalam enam bulan akan datang berikutan negara telah melepasi fasa pemulihan.

“Rakyat sebenarnya sudah memahami sepuluh bulan lalu beberapa projek dibekukan adalah kerana kita mahu menyemak semula dengan melakukan rundingan dengan kontraktor untuk memastikan kosnya munasabah.

“Oleh itu industri pembinaan tergendala seketika dan telah memberi ‘multiple effect’ kepada sektor lain.

“Namun kita sudah melepasi fasa itu dan saya yakin dalam tempoh enam bulan ke setahun yang akan datang, kita akan memacu ekonomi yang sangat rancak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Selangor Insan Sejahtera di Setia Ecohill, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasil tinjauan pendapat oleh Merdeka Center yang dikeluarkan semalam yang menyebut bahawa kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) merosot dari 79 peratus pada Mei tahun lalu kepada 39 peratus Mac lepas.

Dzulkefly menambah beliau turut berhubung dengan pegawai khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Tony Pua yang memaklumkan strategi pemulihan yang dilaksanakan kerajaan PAKATAN menampakkan kesan positif kepada ekonomi.

Dalam pada itu, mengenai lanjutan tempoh penguatkuasaan bagi larangan merokok di tempat makan sehingga akhir tahun ini, Dr Dzulkefly menegaskan langkah itu adalah bagi memberi lebih masa untuk mendidik perokok .

Malah, jumlah yang mendaftar bagi kempen berhenti merokok didapati meningkat sebanyak 528 orang bagi tempoh empat bulan tahun ini berbanding 480 orang sahaja sepanjang tahun lalu, katanya.

“Saya tegaskan lanjutan ini bukan u-turn seperti yang disebutkan, tapi kita mahu mengangkat agenda pendidikan bahawa tuntutan menjaga kesihatan itu adalah tanggungjawab diri dan kita mahu kesedaran itu datang daripada perokok (sendiri),” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tempoh pendidikan larangan merokok di tempat makan diteruskan

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat makan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu dibuat bagi memberikan peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berhubung bahaya merokok serta kawasan larangan merokok.

Cadangan pelanjutan tempoh pendidikan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikannya pada 16 April lepas dan disertai 10 kementerian lain dan satu wakil badan bukan kerajaan, katanya.

Dr Dzulkefly berkata jawatankuasa itu juga memutuskan supaya peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri agar kumpulan perokok dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok, mQuit.

“Penangguhan ini dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok untuk menghentikan tabiat ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang bermula pada 1 Januari 2019 telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.

Beliau berkata melalui tinjauan yang dijalankan, rata-rata masyarakat mematuhi larangan itu secara baik dan memberikan impak positif dengan semakin ramai warga Malaysia dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.

“Ini menunjukkan komitmen rakyat Malaysia mematuhi peraturan ini bagi memastikan kesihatan dan keselesaan semua orang ketika menikmati makanan di tempat awam,” katanya.

Katanya, kajian dijalankan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia bermula pada 1 April hingga 17 April membabitkan 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan yang diwartakan.

Katanya, impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my yang meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding purata 428 orang bagi tahun sebelumnya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Malaysia antara destinasi pilihan rawatan IVF

ALOR SETAR, 7 APRIL: Malaysia kini menjadi antara destinasi pilihan bagi pasangan dari negara luar untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, hal itu kerana kadar kejayaan kelahiran bayi IVF pada lebih 30 peratus di negara ini dianggap sebagai peratusan kejayaan yang sangat baik bagi bidang itu.

“Kalau kita ukur dengan prestasi di seantero dunia, kita berada dalam kalangan sangat membanggakan dan kejayaan (kelahiran melalui IVF) menunjukkan pencapaian yang tinggi.

“Dalam teknologi IVF ini banyak kekangan dan parameternya, jadi bagi 30 peratus, itu adalah sangat at par, diiktiraf setara (dengan perkembangan IVF di lain-lain negara),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Unit Perubatan Reproduktif dan Tabung Uji di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat 52 pusat Perkhidmatan Reproduktif dan Tabung Uji dalam sektor swasta dan empat di hospital-hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan berasaskan zon iaitu Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas di Sabah dan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu.

“Dijangkakan dalam masa terdekat ini, satu lagi pusat IVF bawah kementerian akan beroperasi di Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh, Perak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata program subkepakaran Perubatan Reproduktif juga diperkasa untuk melatih lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Saya harap dapat penuhi keperluan tenaga, perjawatan dalam bidang IVF iaitu pegawai-pegawai sains, embryologist khususnya yang kita alami kekurangan buat masa ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang terlibat dalam pembangunan fasiliti kesihatan yang gagal menjalankan kerja-kerja mereka mengikut jadual.

Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya akan memastikan pembinaan fasiliti kesihatan seperti Hospital Pendang yang bakal memuatkan 126 katil, dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya pembinaan hospital yang menelan belanja RM222 juta itu bermula pada 7 Mei tahun lepas dan dijangka siap pada 1 Nov 2021.

Sementara itu, katanya pembinaan bangunan tambahan di Hospital Baling yang melibatkan kos sebanyak RM108 juta dimulakan pada 4 Mei tahun lalu dan dijangka siap pada 29 April 2021. –BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

‘X-Break’ 15 minit di setiap kementerian

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Kabinet bersetuju supaya setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman selama 15 minit sehari bagi membudayakan gaya hidup sihat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata program ‘X-Break’ itu memerlukan setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman sama ada pada sebelah pagi atau petang untuk kakitangan mereka.

“Cadangan itu sudah dipersetujui oleh semua jemaah Menteri baru-baru ini, kami cadangkan 15 minit setiap hari sama ada pagi atau petang (untuk bersenam) tetapi ia fleksibel mengikut kesesuaian setiap kementerian.

“Sekarang ini memang ada kementerian yang sudah lakukan, tetapi kami akan keluarkan satu garis panduan buat semua yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen hidup aktif ‘Big WALK’ di sini, hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) esok untuk merangka satu Pekeliling bagi diedarkan kepada setiap kementerian.

Tahun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat demikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

Terdahulu kira-kira 3,000 perserta bersenam dan berjalan sejauh tiga kilometer pada program Big WALK di ibu kota hari ini dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hospital Rembau dibuka Jun ini – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA, 2 APR: Hospital Rembau di Negeri Sembilan dengan kos RM104 juta akan dibuka bagi memberi perkhidmatan kesihatan mulai Jun depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, hospital dengan kapasiti 76 katil, yang mula dibina pada September 2013 itu adalah kluster kepada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan pakar-pakar perubatan dari hospital berkenaan ditugaskan secara berkala di Hospital Rembau untuk rawatan tertentu.

“Pembukaan hospital ini akan memberikan nilai tambah kepada penduduk setempat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya, sambil menambah Hospital Rembau itu kini sudah mencapai tahap 90 peratus siap.

Pengoperasian Hospital Rembau yang sepatutnya dibuka pada September 2016 menjadi antara isu hangat yang dibangkitkan calon pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Rantau yang sedang berlangsung.

Dzulkefly berkata, cadangan projek klinik kesihatan gantian jenis kelas tiga di Rantau dan Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan telah diterima dan ia melibatkan kos pembinaan sebanyak RM35 juta setiap satu.

Klinik kesihatan gantian itu bakal dilengkapi kemudahan kuarters dan mampu memberi perkhidmatan sokongan dan klinikal kepada kira-kira 800 pesakit sehari, katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata kementerian itu sedang melakukan perincian terhadap beberapa mekanisme sebelum mengumumkan satu mekanisme khusus bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran.

Antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah berkaitan rantaian bekalan serta peranan yang boleh dilakukan pemain industri farmaseutikal selepas mekanisme tersebut diumumkan sebelum akhir tahun ini, katanya.

“Kementerian tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memastikan hanya mekanisme yang terbaik diangkat untuk dilaksanakan kelak,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata kertas kerja bagi mekanisme pelaksanaan penyelarasan kawalan harga ubat-ubatan di seluruh Malaysia sedang dijalankan bagi mengawal kos.

Ia dibuat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

NCD punca utama jangka hayat rakyat tidak dapat ditingkatkan

KUALA SELANGOR, 31 MAC: Penyakit tidak berjangkit (NCD) dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata ini kerana kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap NCD serta komplikasinya dilihat masih rendah berbanding rakyat negara lain yang sentiasa berusaha memanjangkan jangka hayat mereka.

Mengambil contoh darah tinggi serta diabetis daripada kelompok penyakit NCD, Dr Dzulkefly memberitahu 50 peratus daripada pesakit yang dirawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyedari yang mereka menghidapi penyakit berkenaan dan perkara itu dilihat amat membimbangkan.

“Hari ini, (jangka hayat) rakyat kita sudah ‘tersekat’ untuk satu dekad berbanding negara lain iaitu pada purata umur 75 tahun yang mana individu lelaki biasanya mencapai usia sehingga 73 tahun manakala wanita 78 tahun.

“Sebab utama ini berlaku akibat NCD terutama penyakit darah tinggi yang membawa komplikasi serangan jantung; diabetis akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang; penyakit berkaitan kolestrol dan pelbagai lagi. Punca kedua (yang memendekkan jangka hayat) baru kanser,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini hari ini.

Katanya, antara punca banyak rakyat masih kurang tertarik untuk menjalani ujian saringan kesihatan adalah disebabkan tahap kesedaran yang rendah, tidak peluang untuk berbuat demikian selain tidak mahu melakukannya.

Memberi contoh Singapura, Dr Dzulkefly berkata negara berkenaan amat serius dalam menangani penyakit NCD sehingga melancarkan ‘perang’ ke atas diabetis yang mana setiap rakyatnya diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan.

Walaupun Malaysia belum sampai ke tahap itu, beliau berkata KKM sentiasa memberi khidmat terbaik malah menasihati rakyat supaya sentiasa peka dengan kesihatan masing-masing seperti kempen KKM yang menganjurkan setiap ibu bapa harus bertanggungjawab terhadap kesihatan seluruh anggota keluarganya.

“KKM boleh anjurkan pelbagai program tetapi jika rakyat tetap tak mahu terlibat malah tak mahu juga mengikuti rawatan susulan di fasiliti kita, buat apa? Kita sudah buat yang terbaik (memberi khidmat kesihatan sewajarnya kepada seluruh rakyat).

KUALA SELANGOR, 31 Mac — Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berucap pada Majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat di Kampung Bukit Kuching Tengah Jeram hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya mahu mengingatkan (kepada semua rakyat), kita mungkin lihat penyakit diabetis sebagai biasa tapi komplikasinya seperti perlu melalui proses dialisis, strok mahupun amputasi anggota badan, ia pasti akan mengganggu kualiti hidup.

“Bayangkan, kos dialisis seorang pesakit buah pinggang di fasiliti KKM menelan belanja sehingga RM44,000. Komplikasi seperti ini menyebabkan kewangan keluarga terbeban. Kita tak mahu ini berlaku. Kita mahu produktiviti warganegara (berada pada paras) tinggi,” katanya.

Disebabkan itu kata Dr Dzulkefly, program Skim Peduli Sihat (PeKa B40) selain program tambahan iaitu Kampungku Sihat, diharapkan dapat mencegah peningkatan jumlah pesakit NCD selain bertujuan mengumpul data kesihatan rakyat dengan cara menyantuni mereka melalui beberapa ujian saringan.

Katanya, data berkenaan amat penting untuk memastikan pihaknya mengesan penyakit berkaitan NCD dalam kalangan rakyat selain memberikan perkhidmatan kesihatan sewajarnya khususnya bagi golongan B40.

Ditanya sama ada program Kampungku Sihat akan diperluaskan ke seluruh negara, Dr Dzulkefly berkata ia mungkin boleh dilakukan mengikut keupayaan KKM dengan memberi tumpuan khusus kepada kampung-kampung yang dilihat tercicir daripada khidmat kesihatan asas.

Pada program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor, 550 pelatih daripada dua Institut Latihan KKM menjalankan beberapa ujian saringan kesihatan asas ke atas penduduk di tiga kampung bagi kawasan Jeram meliputi pemeriksaan tekanan darah, bacaan aras gula dalam darah dan pengiraan indeks jisim tubuh (BMI) sebagai simbolik kepada perasmiannya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gubal akta berasingan warta tempat awam kawasan larangan merokok

MELAKA, 31 MAC: Kementerian Kesihatan komited menggubal Akta Kawalan Tembakau secara berasingan yang mewartakan semua tempat awam sebagai Kawasan Larangan Merokok dengan senarai tempat terhad untuk perokok menghisap rokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bukan hasrat beliau atau kementerian untuk mengisytiharkan merokok sebagai menyalahi undang-undang tetapi ia bagi memastikan orang ramai terutama wanita dan kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok.

Beliau berkata, dalam apa jua perubahan, pengubahsuaian norma-norma masyarakat yang semula jadi melibatkan merokok tentu tidak mudah, tetapi kementerian yakin bahawa ia boleh dan akan dilakukan dengan kejayaan muktamad.

“Mungkin suatu hari nanti kita akan mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang merokok di sekitar kanak-kanak bawah umur tanpa mengira lokasi kesalahan itu dilakukan.

“Hati saya hancur-luluh setiap kali melihat orang dewasa merokok semasa mendukung anak mereka,” kata beliau ketika berucap pada Majlis “Recognition and Awards Ceremony for Revolution Smoke-Free Workplace Campaign” di sini malam tadi.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Anti dadah negeri Melaka Low Chee Leong dan Presiden Malaysian Women’s Action on Tobacco Control and Health, Roslizawati Ali.

Pada Majlis itu, 14 hotel di Melaka menerima pensijilan sebagai tempat kerja bebas asap rokok yang disampaikan oleh Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly berkata asap rokoh mengandungi beribu-ribu jenis bahan kimia beracun yang jika terhidu boleh menyebabkan kanser, penyakit jantung, penyakit paru-paru dan masalah kesihatan lain yang serius.

“Oleh itu, undang-undang dan dasar yang efektif perlu digubal dan dikuatkuasakan dengan ketat untuk memastikan penduduk dilindungi secukupnya daripada ancaman pencemaran daripada asap rokok,” kata beliau.

Beliau berkata sebagai penjaga kesihatan awam, kementerian bertekad untuk mengutamakan kepentingan yang terbaik kepada rakyat mengatasi mana-mana entiti komersial.

“Tetapi usaha itu boleh menjadi sangat mencabar, dan kami mungkin tidak dapat melakukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, saya menyeru kepada semua sektor terutama masyarakat awam, agensi kerajaan dan sektor swasta untuk menyokong kami,” katanya. -BERNAMA