Categories
GLOBAL

Import minyak sawit India susut 11.8% pada April

NEW DELHI, 16 MEI: Pembelian minyak sawit India pada April susut 11.8 peratus daripada bulan sebelumnya sejajar dengan penurunan keseluruhan dalam import minyak sayuran negara ini.

Berdasarkan data industri, India mengimport 707,450 tan minyak sawit bulan lepas berbanding 802,443 tan pada Mac.

Bahagian minyak sawit dalam jumlah import minyak sayuran India adalah 59 peratus, menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut India.

Import minyak kacang soya turun 15 peratus kepada 248,851 tan pada April daripada angka yang dicatatkan pada Mac, manakala jumlah minyak bunga matahari berkurangan 19 peratus kepada 242,462 tan.

Jumlah import minyak sayuran India pada April adalah 1.23 juta tan, 14.8 peratus lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

– BERNAMA​​​​​​

Categories
EKONOMI

Di sebalik isu minyak sawit, hubungan EU-Malaysia kekal kukuh

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Kesatuan Eropah (EU) optimis hubungan dengan Malaysia kekal kukuh meskipun ketika perbalahan mengenai isu minyak sawit melanda.

Duta EU dan Ketua Delegasi ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez berkata, ketika tiada larangan minyak sawit memasuki EU, kesatuan itu terbuka untuk mengadakan dialog dengan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian.

“Hubungan kita tidak tertakhluk dalam sektor minyak sawit semata-mata dan kita tidak boleh biarkan hubungan terjalin sekian lama terjejas. Jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang perlu dicari dan kami terbuka untuk berdialog,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama semasa sambutan Hari Eropah di sini.

Hari Eropah disambut setiap tahun pada 9 Mei oleh 28 negara anggota sempena Deklarasi Schuman – ditandatangani pada 9 Mei 1950 – tertubuhnya EU.

Pertikaian berhubung syor yang dicadangkan EU untuk mengehadkan minyak sawit dalam biobahan api bermula 2021 dan larangan sepenuhnya menjelang 2031 telah berlarutan sejak sekian lama antara kedua-dua pihak.

Blok terdiri 28 anggota mengatakan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di Eropah menyebabkan penebangan hutan yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Bagaimanapun, Malaysia menyangkal tuduhan itu, menyifatkan ia mengelirukan dan boleh menjejaskan industri itu, terutamanya kepada kira-kira 650,000 pekebun kecil kelapa sawit di negara ini.

Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan pada 2018 negara mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke E, turun empat peratus daripada 1.99 juta tan pada 2017.

EU adalah pengimport minyak sawit Malaysia kedua terbesar selepas India, membeli 12 peratus daripada jumlah pengeluaran yang dihasilkan pada 2018.

Fernandez berkata, wakil EU di Malaysia akan terus terlibat dengan pihak berkuasa berkaitan, pekebun kecil dan komuniti tempatan, selain melawat ladang untuk mendapatkan maklumat secara langsung berhubung isu itu.

Dalam perkembangan lain, Fernandez berkata EU akan terus menyokong demokrasi di Malaysia, usaha berterusan dalam agenda pembaharuan institusi antara lain memperbaiki kedudukan hak asasi manusia.

Selain dalam sektor politik, perdagangan dan ekonomi, kerjasama EU dengan Malaysia merangkumi pelbagai bidang seperti pendidikan, budaya, alam sekitar dan pembangunan mampan.

“Kita rakan kongsi yang rapat dan perlu bekerja untuk hubungan yang ada serta mengatasi apa jua cabaran termasuk isu minyak sawit.

“Banyak yang telah kita lakukan bersama dan masih ada lagi perkara yang boleh diusahakan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
RENCANA

EU, Perancis bukan musuh minyak sawit

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kesatuan Eropah (EU) dan Perancis bukan musuh minyak sawit dan kedua-dua pasaran itu akan terus terbuka menerima tanaman tersebut terutamanya sekarang dengan dasar-dasar berwibawa kerajaan Pakatan Harapan dalam melindungi alam sekitar.

Dalam membuat kenyataan itu, Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche mengakui bahawa perkaitan antara minyak sawit dengan penebangan dan kemusnahan hutan sejak sekian lama telah menjejaskan imejnya tetapi keadaan telah berubah.

“Saya dapat lihat bahawa kerajaan Malaysia sedang menangani dengan positif isu alam sekitar dan defisit kepercayaan dalam kalangan pengguna Eropah. Ia menumpukan usahanya bagi dua objektif ini, yang saya fikir adalah sangat baik dan penting.

“Di satu pihak, anda ada persediaan untuk mempromosikan minyak sawit dan memperbaiki imejnya yang masih negatif dalam pandangan umum. Jadi kerajaan melancarkan kempen promosi Love MY Palm Oil (Sayangi Minyak Sawit Malaysia) bagi membantu membersihkan nama tanaman itu,” katanya kepada Bernama.

“Dan keduanya, pembangunan dasar untuk menggalakkan perlindungan alam sekitar, termasuk mengekalkan lebih 50 peratus hutan hujan tropika dengan pelbagai biodiversiti, mengehadkan jumlah bagi kawasan sawit di Malaysia pada 6.5 juta hektar (daripada 5.8 juta hektar pada 2018) dan tiada penanaman sawit di tanah gambut serta menambah baik kelestarian sememangnya penting untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengguna Eropah. Dan ini adalah sesuatu yang kami boleh menyokong sepenuhnya,” kata Laplanche.

Tiada larangan ke atas minyak sawit

Perkembangan lain yang menggalakkan adalah langkah Sabah mengguna pakai sepenuhnya pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan di peringkat persekutuan, usaha bagi inisiatif pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Selain Kementerian Industri Utama, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga merangka dasar kukuh bagi pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan solar.

“Selain itu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli membangunkan dasar-dasar untuk membendung penebangan hutan di kawasan yang terdegradasi. Jadi gabungan semua ini akan menjadikan dasar lebih kukuh dan berwibawa bagi alam sekitar,” jelasnya.

Laplanche menegaskan bahawa tidak ada larangan minyak sawit memasuki EU, tetapi apa yang berlaku adalah Perancis dan EU secara keseluruhan beransur-ansur menarik balik insentif bagi minyak sawit untuk ditambah ke dalam campuran diesel.

“Alasan (penarikan balik insentif itu) adalah kerana pengiraaan yang dibuat menunjukkan terdapat masalah keseimbangan dan kesan karbon.

“Sudah tentunya saya perlu terangkan bahawa, walaupun tiada larangan, langkah-langkah ini kemungkinan akan membawa kepada pengurangan penggunaan minyak sawit sebagai biofuel di Eropah, bergantung kepada harga bahan api fosil.

“Sememangnya, dengan menarik balik insentif fiskal itu, kes ekonomi bagi menambah minyak sawit ke dalam diesel akan luput kerana minyak sawit lebih mahal berbanding bahan api fosil tradisional pada harga pasaran semasa.

“Namun, penting untuk memahami bahawa ia bukan larangan, dan kami hanya memperkatakan tentang menarik semula insentif, dan hanya bagi minyak sawit sebagai biofuel. Tidak ada sama sekali perubahan dalam dasar berkaitan minyak sawit digunakan bagi produk makanan dan bahan asas bagi industri oleokimia di peringkat Perancis mahupun EU,” katanya.

EU bukan musuh minyak sawit

Beliau berkata EU adalah antara yang pertama memperkenalkan insentif bagi biofuel dan merupakan antara rantau terakhir di dunia yang masih memberikan insentif bagi minyak sawit dan biofuel.

“Kebanyakan negara lain sama ada tidak pernah memberikan insentif bagi minyak sawit untuk memasuki pasaran mereka sebagai biofuel ataupun telah menarik baliknya sejak lama dahulu. Oleh itu saya tidak mahu orang memikirkan bahawa EU adalah musuh minyak sawit, dan Malaysia. Ia tidak benar,” katanya.

EU, katanya, sentiasa menyediakan pasaran yang besar bagi minyak sawit Malaysia, dan menjadi pelanggan kedua terbesar minyak sawit di dunia, di belakang India.

Beliau juga berkata EU tidak akan mengubah tarif import ke atas minyak sawit dan malahan, tarif bagi minyak sawit diimport ke kesatuan itu adalah antara yang terendah di dunia.

Paris baru-baru ini mengeluarkan perangkaan baharu bagi perdagangan dua hala Perancis-Malaysia, yang menunjukkan peningkatan 11.4 peratus bagi eksport Malaysia ke Perancis tahun lepas dalam semua produk, mencecah lebih daripada RM11 bilion.

Dengan pertumbuhan lebih sederhana eksport Perancis ke Malaysia pada 3.4 peratus, negara ini mencatatkan lebihan perdagangan hampir RM2 bilion dengan Perancis, peningkatan 73 peratus berbanding 2017.

Wujudkan dialog Malaysia, Perancis

Sementara itu, Laplanche turut membangkitkan keperluan menjalin dialog lebih erat antara kerajaan Perancis dan Malaysia.

“Itulah yang kami usahakan pada masa ini, mewujudkan seberapa banyak dialog dengan kerajaan dan pengeluar minyak sawit.

“Malah, kami turut memutuskan untuk membawa Duta Alam Sekitar kami, Yann Wehrling melawat Malaysia pada awal April (lepas). Beliau dibawa ke Sabah bagi meninjau projek pemuliharaan, habitat hidupan liar serta ladang kelapa sawit untuk melihat sendiri apa yang sebenarnya berlaku di situ.

“Seterusnya kami kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan sesi dengan jawatankuasa bersama kedua-dua kerajaan membabitkan kerjasama minyak sawit. Secara asasnya, pasaran di Perancis dan Eropah akan terus terbuka bagi minyak sawit Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada EU akan kekal sebagai pembeli minyak sawit kedua terbesar dunia, beliau berkata sebarang perubahan itu adalah mengikut populasi dan pembangunan di negara lain.

“Kami mempunyai rakyat seramai 500 juta orang manakala China ada kira-kira 1.4 bilion penduduk, India 1.3 bilion penduduk…namun saya berani katakan bahawa Eropah, termasuk Perancis akan terus menjadi pelanggan penting minyak sawit,” katanya.

Pada 2018, India merupakan pembeli minyak sawit terbesar dunia iaitu sebanyak 15 peratus dan diikuti EU (12 peratus), China (11 peratus), Pakistan (7.0 peratus), Filipina (4.0 peratus), Turki (4.0 peratus) dan Amerika Syarikat (3.0 peratus).

Kerjasama pertanian

Selain itu, Laplanche turut menggesa agar Malaysia dan Perancis mewujudkan kerjasama dalam bidang alam sekitar dan pertanian.

Beliau berkata, sama seperti Malaysia, pertanian di Perancis juga berteraskan ladang milik keluarga dan negara itu boleh berkongsi pengalaman dari segi pembangunan pertanian organik dan penjenamaan tempatan yang khusus dalam konteks pertanian ladang kecil.

“Menerusi pengalaman ini, Perancis mahu ketengahkan lebih banyak nilai untuk ladang milik keluarga. Itulah yang kami harap dapat paparkan dalam dialog dengan Malaysia.

“Bagi minyak sawit pula, kami mempunyai sebuah pusat penyelidikan di sini yang mengkaji agronomi minyak sawit dan dikenali sebagai CIRAD (Pusat Penyelidikan Pertanian bagi Pembangunan Antarabangsa). Inilah bidang yang boleh kita usahakan bersama bagi memastikan hasil sawit ini dapat tumbuh dalam persekitaran terbaik.

“Anda boleh meningkatkan pendapatan tanpa perlu menambah jumlah kawasan (penanaman). Hasil di kawasan sama dapat ditingkatkan dan itulah antara misi yang sedang diusahakan oleh pusat penyelidikan Perancis itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Minyak sawit Malaysia berpotensi besar cemerlang – Teresa

KUALA LUMPUR, 27 APR: Minyak sawit Malaysia masih mempunyai banyak potensi untuk cemerlang berbanding pesaingnya seperti minyak kacang soya, sesawi, zaitun dan bunga matahari, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Bagaimanapun, katanya peserta industri besar dan kecil perlu memastikan minyak sawit Malaysia lebih baik daripada minyak makan yang lain.

“Kita perlu mematuhi semua peraturan termasuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bagi ladang kita.

“Sehingga 31 Mac, kira-kira 28 peratus daripada ladang kita diperakui MSPO. Kami mahu memastikan menjelang tahun depan, semua pengeksport minyak sawit terutamanya ke Kesatuan Eropah (EU) diperakui. Ini matlamat kami,” katanya pada taklimat bersama media sempena sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Teresa berkata kempen Sayangi Sawit dengan slogan ‘Produk Malaysia Lima Bintang’ yang dilancarkan baru-baru ini, menggesa peserta industri untuk meneliti semula cara mereka mengendalikan ladang mereka.

“Dengan menguruskan ladang dengan baik, secara automatik kita akan dapat menangani semua dakwaan terhadap industri ini, termasuk penebangan hutan, membunuh hidupan liar dan kehilangan biodiversiti.

“Itu sebabnya saya pergi ke Sabah. Saya mahu memberi inspirasi kepada semua kerajaan negeri dan peserta industri minyak sawit untuk menanam semula satu juta pokok hutan di seluruh negara.

“Saya turut menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membincangkan tentang bagaimana kita dapat menghubungkan kembali seluruh koridor hidupan liar supaya ladang kelapa sawit dapat bersama hidupan liar kita. Beri kembali hutan kepada hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, mengenai resolusi EU dan cadangannya untuk melarang minyak sawit ke Eropah, menteri itu mengakui bahawa ia akan menjadi ‘perjuangan jangka panjang’.

Beliau berkata walaupun berdekad menangani isu ini, lebih banyak penglibatan diperlukan antara Malaysia dan pemimpin politik EU.

“Kita masih perlu melobi dan berkempen untuk minyak sawit. Mengetahui pada Mei akan terdapat pilihan raya Parlimen Eropah dan perubahan iklim, semua ini menjadi kepentingan politik untuk semua calon yang bertanding dalam pilihan raya itu.

“Oleh itu, ia mungkin amat sukar bagi kami untuk meminta mereka menangguhkan peraturan perwakilan itu, tetapi peraturan tersebut akan dikaji semula pada Jun 2021,” katanya.

Ditanya mengenai potensi kehilangan hasil daripada kehilangan eksport ke blok perdagangan itu disebabkan larangan tersebut, menteri itu berkata tiada angka yang tepat pada peringkat ini berikutan ia masih mengimport minyak sawit Malaysia.

“Mereka akan menghentikan secara berperingkat jumlah import menjelang 2030,” katanya.

Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan tahun lepas, negara mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke EU, susut empat peratus berbanding 1.99 juta tan dicatatkan pada 2017 dan menyumbang 12 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.

EU merupakan pembeli minyak sawit Malaysia kedua terbesar, selepas India.

Sementara itu, China merupakan pengguna ketiga diikuti Pakistan, Filipina, Turki dan AS. Tujuh negara utama ini menyumbang 9.31 juta tan atau 56.5 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.

Categories
NASIONAL

Malaysia timbang tindak balas jika EU terus diskriminasi minyak sawit

PUTRAJAYA, 20 MAC: Malaysia akan menimbang tindakan balas terhadap Kesatuan Eropah (EU) sekiranya ia meneruskan langkah tidak adilnya terhadap minyak sawit, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih agresif dalam perkara ini.

“Malahan, kita telah menulis surat kepada semua ketua kerajaan EU dan memaklumkan kepada mereka bahawa kita mungkin perlu bertindak balas sekiranya mereka meneruskan diskriminasi terhadap minyak sawit,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah, di sini, semalam.

Dilaporkan pada Jumaat bahawa Malaysia akan menimbang mengambil tindakan balas terhadap eksport Eropah sekiranya EU meneruskan hasratnya untuk melaksanakan Akta Perwakilan (Delegated Act) bagi menghentikan secara berperingkat dan melarang penggunaan sawit dalam biodiesel.

Pada Januari, Perdana Menteri menghantar surat kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron, dengan menyatakan bahawa Malaysia akan menimbang undang-undang untuk mengehadkan produk Perancis sekiranya Paris tidak menarik balik rancangan untuk melarang penggunaan biodiesel sawit.

Pada 19 Disember tahun lalu, penggubal Perancis mengundi untuk menghapuskan minyak sawit daripada skim biofuel negara itu bermula Januari 2020.

Menerusi surat beliau kepada Macron, Dr Mahathir menyatakan bahawa sekiranya Perancis meneruskan cadangannya untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biodiesel, Malaysia terpaksa menangguhkan rundingan perdagangan bebas dengan EU dan mengenakan sekatan yang sama terhadap eksport Perancis.

Cadangan Akta Perwakilan EU itu dijadual dibentangkan di Parlimen Eropah pada April 2019 – adalah tambahan kepada Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II untuk mengehadkan dan melarang biofuel minyak sawit sama sekali menjelang 2030.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Afrika bakal jadi pengguna minyak sawit kedua terbesar dunia

PETALING JAYA, 13 MAC: Pertumbuhan ekonomi dan perbandaran kini meningkatkan permintaan ke atas makanan di Afrika, sekali gus benua itu berpotensi menjadi pasaran baharu bagi pengeksport minyak sawit Malaysia.

Pengasas dan Pengarah Global Farm Trade, Sandeep Singh berkata, penduduk di benua itu dijangka meningkat menjelang 2030, dan Afrika akan mengalahkan India dengan menjadi pengguna kedua terbesar minyak sawit dunia selepas China.

“Mereka semakin dekat (mencapai tahap itu) memandangkan tiada ladang sawit utama di sana.

“Kita ada kelebihan untuk menembusi pasaran ini dan mempromosi ‘minyak serba guna’ ini menerusi usaha sama dengan menjadikan Togo, sebagai contoh, sebagai pintu masuk strategik ke Afrika Barat ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan pada forum pasaran yang dihoskan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), di sini hari ini.

Forum setengah hari bertajuk ‘Memerangi Cabaran, Mengoptimumkan Peluang’, itu bermatlamat untuk membantu ahli industri mendapatkan pemahaman lebih baik berkenaan pelbagai perkembangan yang memberi kesan kepada eksport minyak sawit.

Sandeep berkata, import minyak sawit kini sebahagian besarnya adalah dari Togo dan Benin, ekoran duti importnya yang lebih rendah.

“Ia dekat dengan pasaran besar seperti Nigeria, Ghana, Ivory Coast, Burkina Faso dan Niger, yang membentuk sebahagian besar daripada permintaan serantau,” katanya.

Sementara itu, Perunding Perladangan dan Pengarah Ganling Sdn Bhd, Ling Ah Hong berkata, pengeluaran minyak sawit mentah tahun ini tidak akan berkurangan, dan akan memberi impak ke atas harga komoditi itu.

“Stok perlu diturunkan kepada 2.4 juta tan daripada 3.05 juta tan pada masa ini, suatu angka yang masih tinggi di atas garis trend.

“Kami menjangkakan stok akan menyederhana pada separuh pertama 2019 ekoran permintaan lebih baik dan pengeluaran lebih rendah secara bermusim,” katanya.

Ling berkata, kemunculan fenomena cuaca El Nino dijangka lemah dan terlalu lewat untuk menjejaskan pengeluaran minyak sawit pada 2019, dengan keadaan cuaca baik dalam tempoh 24 bulan lalu akan menjadi kondusif untuk pertumbuhan minyak sawit dan bekalan.

Beliau mengunjurkan pengeluaran Malaysia akan mencecah 20.2 juta tan tahun ini (meningkat 3.5 peratus) manakala pengeluaran Indonesia mencapai 42.4 juta tan (+7 peratus).

Berkenaan harga MSM pada masa depan, beliau berkata, ia dijangka tidak banyak berubah antara RM2,000 setan dan RM2,500 setan dan mungkin menjadi tidak menentu, didorong terutama berita berkaitan permintaan seperti penggunaan biodiesel serta belian pengimport utama seperti China juga India. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

SDP-Salcra bersama wujud rantaian nilai minyak sawit

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) menjalin usaha sama untuk mewujudkan, memperkukuh dan menggalakkan kerjasama komersial sinergi dalam rantaian nilai minyak sawit.

SDP berkata, kedua-dua pihak hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan standard industri minyak sawit Sarawak dari segi keefisienan operasi dan produktiviti menerusi amalan agronomik terbaik.

“Di bawah MoU itu, pasukan SDP dan Salcra mahu menggabungkan sumber dan kepakaran mereka untuk menjalin usaha sama, menilai dan menjalankan penyelidikan dalam perkara berkaitan dengan rantaian nilai minyak sawit dan input agronomik berkaitan dalam bidang tertentu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

SDP berkata, bidang berkenaan termasuk bahan pertanian seperti biji benih dan anak pokok kelapa sawit, penutup anak benih, baja, racun rumput, racun serangga, bahan kimia pertanian dan peralatan pertanian; pengurusan, perkhidmatan konsultan dan latihan berkaitan pembangunan perladangan kelapa sawit, penanaman dan pemprosesan, penanaman baharu dan tanam semula dan amalan baik.

Bidang lain kerjasama adalah perkhidmatan konsultan dalam soal perancangan dan pembangunan kilang kelapa sawit, pengurusan sisa, penapisan, kilang isirung, oleokimia dan aktiviti hiliran lain yang berkaitan dan perkhidmatan analitik makmal.

SDP berkata, turut termasuk dalam MoU itu, sebarang aktiviti lain berkaitan dengan perladangan getah dan perniagaan pertanian yang lain.

– BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

MPOC: Malaysia giat cari pasaran baharu minyak sawit

PUTRAJAYA, 28 JAN: Malaysia sentiasa berusaha mencari pasaran baharu mempromosikan minyak sawit selain memperkukuh pasaran sedia ada yang menumpukan pada negara ASEAN tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr Kalyana Sundram berkata, negara ASEAN amat bimbang dengan perkembangan minyak sawit kerana mereka adalah pengguna utama komoditi itu, khususnya untuk memasak dan dalam penghasilan produk makanan.

“Afrika ialah pasaran yang mengujakan dan minggu lepas kami berkunjung ke (pasaran sedia ada) Pakistan dan Turki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat mengenai mesyuarat Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit, hari ini.

Untuk rekod, Pakistan dan Malaysia telah menjalin hubungan perdagangan minyak sawit bagi tempoh lama iaitu lebih 40 tahun.

Setakat November 2018, eksport minyak sawit Malaysia ke Pakistan berjumlah 1.06 juta tan bernilai kira-kira US$650 juta (US$1=RM4.10).

Negara itu antara empat negara utama pembeli minyak sawit membabitkan 6.1 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia dan merupakan negara ketiga terbesar mengimport minyak sawit Malaysia.

“Kami akan membangunkan lagi pasaran ini untuk jangka panjang, semuanya sudah siap diatur, cuma akan mengambil masa,” katanya.

Kalyana berkata kedua-dua agensi kerajaan – Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan MPOC, mempunyai pejabat di luar negara untuk memantau permintaan negara asing bagi komoditi itu.

“Contohnya, kami ada pejabat terletak di Accra, ibu negara Ghana, untuk menjaga semua negara Afrika Selatan, di Brussels untuk semua negara Eropah dan di Moscow, untuk menjaga Rusia dan timur Eropah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI

Dagangan berhati-hati niaga hadapan MSM minggu depan

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan berikutan peserta pasaran bimbang mengenai simpanan stok yang meningkat, kata peniaga.

Beliau berkata pedagang menunggu penjelasan lanjut daripada data stok pada November yang akan dikeluarkan pada Isnin.

“Kekurangan pemangkin pasaran yang baharu akan terus mempengaruhi sentimen pasaran. Kami mengharapkan data yang dapat menyokong harga,” katanya.

Bagaimanapun, laporan terkini daripada CIMB Equities Research menunjukkan stok pada akhir bulan mungkin mencatatkan paras yang tinggi melebihi 3.06 juta tan, manakala eksport dianggarkan merosot 11.9 peratus bulan ke bulan pada November 2018.

Sementara itu, Maybank Kim Eng Research, dalam notanya, berkata pasaran dijangka tidak begitu baik pada suku keempat 2018 berikutan harga MSM diniagakan di bawah RM2,000 satu tan sejak awal November.

“Simpanan stok minyak sawit yang tinggi perlu dikeluarkan dengan segera untuk menaikkan harga MSM. Nasib yang lebih baik menjelang akhir suku pertama 2019 apabila pengeluaran industri menjadi rendah,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, harga niaga hadapan MSM diniagakan bercampur-campur.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, Disember 2018 susut RM79 kepada RM1,793 satu tan, Januari 2019 merosot RM54 kepada RM1,916 satu tan, Februari 2019 turun RM42 kepada RM1,998 satu tan, dan Mac 2019 berkurangan RM23 kepada RM2,084 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 204,825 lot daripada 227,037 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka naik kepada 278,911 kontrak daripada 272,485 kontrak minggu lepas.

Di pasaran fizikal, Disember Selatan susut RM60 kepada RM1,800 satu tan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Kontrak hadapan minyak sawit mentah didagangkan rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatifi dijangka didagangkan rendah antara RM1,750 dan RM1,850 setan minggu depan, kata seorang peniaga.

Peniaga Kanan Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata peniaga hadapan MSM Malaysia menyaksikan suasana penurunan di tengah-tengah tahap stok inventori yang tinggi.

“Pasaran global sedang melalui kemelesetan termasuk pasaran komoditi dan peningkatan angka saham akan terus memberikan tekanan kepada harga MSM,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan “Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia untuk bulan Oktober 2018” yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada Isnin, jumlah stok minyak sawit Malaysia pada Oktober 2018 meningkat 7.63 peratus kepada 2.72 jutan tan daripada 2.52 juta tan pada September.

“Stok MSM meningkat 13.94 peratus kepada 1.61 juta tan pada bulan berkenaan daripada 1.41 juta tan bulan sebelumnya,” kata laporan itu.

Sementara itu, Pertubuhan Perdagangan Dunia menurunkan ramalan pertumbuhannya bagi dagangan barangan global untuk 2018 kepada 3.9 peratus daripada 4.4 peratus pada April dan pasaran juga mengambil isyarat selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan amaran pertumbuhan global yang perlahan.

IMF meramalkan pertumbuhan global untuk 2018-2019 pada 3.7 peratus.

Asas Jumaat ke Jumaat, Disember 2018 susut RM193 kepada RM1,775 setan, Januari 2019 susut RM148 kepada RM1,892 setan, Februari 2019 susut RM137 kepada RM1,972 setan dan Mac 2019 susut RM129 kepada RM2,043 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 269,566 lot daripada 61,326 lot Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 320,059 kontrak daripada 300,705 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Disember Selatan susut RM50 kepada RM1,750 setan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Harga minyak sawit mentah diramal menurun

KUALA LUMPUR 25 FEB: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif diramal mengekalkan trend menurun minggu depan, berikutan pengeluaran tinggi ketika keadaan cuaca yang baik, kata peniaga.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group, Jim Teh, memberitahu BERNAMA, berikutan fenomena El-Nino, yang menyebabkan kemarau berpanjangan telah berkurangan, ia akan membolehkan penanaman yang lebih baik dan dengan itu meningkatkan hasil.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, bulan semerta Mac 2017 jatuh RM117 kepada RM2,977 satu tan metrik, April 2017 turun RM91 kepada RM2,860 satu tan metrik, Mei 2017 susut RM53 kepada RM2,806 satu tan metrik dan Jun 2017 merosot RM21 kepada RM2,758 satu tan metrik.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 408,289 lot berbanding 333,313 lot Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 280,948 kontrak berbanding 281,124 kontrak sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Mac Selatan susut RM220 kepada RM3,020 satu tan metrik berbanding minggu sebelumnya.

=EZY=