Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.3450/3550 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan baharu membabitkan vaksin Covid-19 walaupun sentimen positif terus mempengaruhi pasaran kewangan serantau, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 4.3450/3550 berbanding 4.3440/3510 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berikrar untuk terus menerajui usaha global menangani pandemik Covid-19 selepas Presiden AS Donald Trump mengugut untuk memotong sumbangan dana dan keluar daripada agensi dunia itu sekiranya enggan meminda prosedurnya dalam masa 30 hari.

Selain itu, pembeli India telah menyambung semula pembelian minyak sawit Malaysia selepas terbabit dalam pertikaian diplomatik dengan pembelian dipacu oleh penyusutan inventori domestik dan harga diskaun, kata sumber dagangan.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0685/0764 daripada 3.0648/0706 pada Selasa dan susut berbanding yen Jepun kepada 4.0625/0361 daripada 4.0387/0456.

Ringgit juga turun berbanding euro pada 4.7530/7652 daripada 4.7179/7283 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3291/3431 daripada 5.3166/3269 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan kontrak hadapan minyak sawit mentah kekal berhati-hati

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal berhati-hati minggu depan berikutan tindakan peniaga menunggu data penawaran dan permintaan terkini yang akan diumumkan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

Pemilik/Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpejabat di Singapura, Dr Sathia Varqa memberitahu Bernama, pasaran akan turut mengikuti rapat data sebenar yang akan diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada 12 Mei depan.

“Dagangan MSM dijangka bergantung kepada peningkatan pengeluaran. Sekiranya kenaikan itu sekitar 10-15 peratus atau lebih tinggi, ini akan menekan harga menjadi lebih rendah ke arah RM2,000 satu tan,” katanya.

Malah, katanya, sebarang penyusutan pengeluaran akan menyebabkan harga MSM ke paras RM2,100 satu tan berbanding RM2,082 pada masa ini.

Jurunilai kargo Intertek Testing Services pada Jumaat menyatakan eksport minyak sawit Malaysia bagi April meningkat 3.8 peratus kepada 1.17 juta tan daripada 1.13 juta tan pada Mac lepas.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran menyaksikan dagangan kebanyakannya tinggi, seiring dengan prestasi pasaran minyak soya selain pergerakan tinggi dan perkembangan berkaitan COVID-19.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi Mei 2020 susut RM19 kepada RM2,102 satu tan, Jun 2020 meningkat RM17 kepada RM2,105 satu tan, Julai 2020 menambah RM13 kepada RM2,088 satu tan dan Ogos 2020 menambah RM6 kepada RM2,081 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 184,464 lot berbanding 337,648 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 260,537 kontrak daripada 251,148 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM untuk Mei Selatan susut RM31 kepada RM2,095 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lemah minggu depan susulan permintaan rendah yang terus menjejaskan harga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata India yang juga pembeli terbesar komoditi itu di dunia sedang menjalani sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 sehingga 14 April ini yang pasti memberi kesan terhadap pasaran tempatan.

“Berikutan itu kami menjangkakan harga sekitar RM2,200 hingga RM2,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Ng berkata keputusan kerajaan Sabah untuk membenarkan operasi kilang dan kilang penapis sawit di enam daerah — Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak and Kalabakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak banyak memberi impak terhadap minat belian.

“Bagaimana pun, ini akan meningkatkan pengeluaran apabila operasi disambung semula,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, dagangan pasaran kebanyakannya lebih tinggi selaras dengan sentimen positif dalam pasaran ekuiti Asia, kelemahan ringgit dan kebimbangan bekalan yang meningkatkan minat belian terhadap sawit.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2020 dan Mei 2020 meningkat RM69 masing-masing kepada RM2,389 satu tan dan RM2,365 satu tan, Jun 2020 menokok RM67 kepada RM2,312 satu tan manakala Julai 2020 meningkat RM66 kepada RM2,285 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 257,369 lot daripada 310,509 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka berkurangan kepada 243,081 kontrak daripada 264,378 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi April Selatan pada paras RM2,380 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka naik

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat semula minggu depan, berikutan bank-bank pusat dunia meningkatkan mudah tunai dalam pasaran yang terjejas oleh Covid-19 untuk menerapkan keyakinan pasaran.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pada minggu lepas, pelbagai langkah melibatkan peruntukan yang besar telah diumumkan oleh beberapa bank pusat, termasuk mudah tunai bernilai lebih US$1 trilion diumumkan oleh Rizab Persekutuan AS untuk membendung kejatuhan pasaran disebabkan COVID-19.

“Selain itu, pakej rangsangan daripada Bank Pusat Eropah (ECB) dan pengurangan dalam Nisbah Keperluan Rizab (RRR) dari China turut menawarkan gabungan dasar yang kukuh untuk menangani keadaan tidak menentu dalam pasaran kewangan.

“Oleh itu, harga niaga hadapan MSM dijangka meningkat semula minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran diniagakan dalam jajaran kecil, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh Covid-19 dan kemerosotan harga minyak mentah.

Harga komoditi itu turut dijejaskan oleh minyak sawit dan stok MSM yang rendah pada Februari 2020 seperti dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Semasa ditutup pada Khamis, niaga hadapan MSM di bursa tempatan susut di bawah RM2,300 satu tan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Biodiesel B20 perkukuh permintaan minyak sawit – TPM

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan menyediakan sokongan mampan permintaan minyak sawit seterusnya memastikan harganya kukuh.

Katanya peningkatan kadar adunan biodiesel sawit dapat menggiatkan perkembangan industri biodiesel negara selain kilang biodiesel sawit turut dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Malaysia juga harus berani menggandakan penggunaan biodiesel sawit bagi mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara.

“Pembangunan mampan dan berterusan industri sawit negara juga membantu 650,000 pekebun kecil sawit yang memerlukan dasar membantu mereka meningkatkan ekonomi,” katanya ketika melancarkan Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan Secara Berfasa Seluruh Negara, di sini, hari ini.

Program biodiesel B20 bagi penggunaan di sektor pengangkutan itu mempunyai adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum.

Wan Azizah berkata perladangan kelapa sawit di Malaysia merangkumi kawasan seluas enam juta hektar dapat menghasilkan dua puluh juta tan metrik minyak sawit setiap tahun dan dieksport ke lebih 160 negara di seluruh dunia.

Industri berkenaan juga menyediakan pekerjaan kepada lebih tiga juta di sepanjang rantaian bekalannya termasuk kepada lebih daripada setengah juta pekebun kecil di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MPOB tinjau kesesuaian MCT berasas minyak sawit tangani koronavirus

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam proses meninjau kesesuaian Medium Chain Triglyceride (MCT) berasaskan minyak sawit sebagai bahan antiviral meningkatkan sistem imun badan bagi melindungi diri daripada Koronavirus 2019.

Ketua pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata memandangkan usaha itu masih pada peringkat awal, lebih banyak kajian perlu dijalankan bagi mengesahkan keberkesanan antiviral tersebut.

“Usaha ini tidak berlaku dalam tempoh semalaman tetapi potensinya ada dan kita perlu menjalankan penyelidikan berterusan bagi tujuan itu.

“Tumpuan utama bukan setakat aspek pasarannya tetapi mencuba sedaya upaya membantu China dan dunia dengan memberi sumbangan termasuk dalam bentuk penyelidikan bagi mengenal pasti kaedah melindungi diri daripada penularan itu,” katanya.

Ahmad Parveez berkata kajian awal menunjukkan MCT berkemungkinan dapat memusnahkan lapisan virus.

Susulan itu, beberapa penyelidik berminat untuk mengenal pasti kesan antiviral dalam MCT dan MPOB akan turut bekerjasama rapat dengan mereka.

Selain itu, MPOB turut menyedari peningkatan permintaan untuk MCT berasaskan sawit itu di China sejak tahun lepas, terutamanya bidang makanan bagi tujuan perubatan khas dan penggantian makanan bertepung.

Beliau berkata, terdapat beberapa pakar China yang bekerjasama dengan MPOB untuk mendapatkan kajian kolaboratif berkaitan kesan tocotrienol sawit ke atas imuniti manusia yang kini dibincangkan secara meluas bagi mencegah penularan koronavirus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

India dijangka tingkat pembelian minyak sawit Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 DIS: India dijangka meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia dalam masa terdekat walaupun eksport Malaysia ke negara itu menyusut 60 peratus Oktober lalu susulan pengenaan duti perlindungan oleh India terhadap minyak sawit proses dari Malaysia, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kerajaan India mengenakan duti perlindungan sebanyak lima peratus selama enam bulan mulai 4 September lalu untuk melindungi dan menggalakkan industri penapisan minyak tempatan selain mengurangkan kebergantungan terhadap import minyak sayuran.

Ini menyebabkan duti import ke atas minyak sawit proses negara meningkat kepada 50 peratus (daripada 45 peratus) dengan Indonesia turut menyaksikan kenaikan sama terhadap minyak sawitnya, katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas Nair yang ingin tahu implikasi daripada langkah-langkah yang diambil India.

Shamsul berkata, eksport minyak sawit Malaysia ke India menurun 60 peratus kepada 219,956 tan metrik pada Oktober berbanding 550,452 tan metrik pada September.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

India dijangka kekal pembeli minyak sawit Malaysia

Laporan eksklusif oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 31 OKT: India yang bergantung kepada 70 peratus import minyak makan, dijangka meneruskan pembelian minyak sawit bertapis Malaysia walaupun kerajaannya merancang untuk menaikkan cukai import, kata seorang penganalisis.

Cadangan kenaikan cukai itu dibuat atas alasan untuk meningkatkan usaha pemprosesan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembelian dari negara asing.

“Cukai sedia ada sudah terlalu tinggi. Namun, jika itu dilaksanakan, India masih perlu meneruskan pembelian (minyak sawit) dari Malaysia dan Indonesia,” kata Dr Sathia Varqa, pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpejabat di Singapura, kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan harga minyak sawit mentah (MSM) Indonesia yang lebih rendah iaitu didagangkan pada diskaun US$20-S$30 berbanding MSM Malaysia, India sebaliknya akan membeli lebih banyak dari Indonesia berbanding Malaysia.

Sathia turut menjangkakan India akan membeli sebanyak 10.20 juta tan minyak sawit pada 2020 iaitu meningkat daripada anggaran sebanyak 9.50 juta tan pada tahun ini.

“Unjuran itu tidak berubah. India secara amnya membeli 75 peratus minyak itu dari Indonesia dan selebihnya dari Malaysia,” katanya.

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan India sedang dalam proses membincangkan cadangan untuk mengenakan levi baharu sebagai tambahan kepada duti import sedia ada selain menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan ke atas minyak tropika yang telah diproses.

Bulan lepas, India bertindak menaikkan duti import ke atas minyak sawit bertapis Malaysia kepada 50 peratus daripada 45 peratus bagi mengurangkan import dan menggalakkan usaha penapisan di peringkat tempatan.

India merupakan pengimport minyak sawit terbesar dunia dan pada tahun lepas telah mengimport sebanyak sembilan juta tan minyak sawit bernilai RM23.02 bilion termasuk 2.51 juta tan yang diimport dari Malaysia.

Malah, India turut menyumbang 15 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia.

Sekiranya kenaikan cukai itu dilaksanakan, ini mungkin menyebabkan harga minyak sawit Malaysia mengalami penurunan kecil dan kerajaan perlu mencari pasaran baharu atau bertindak mengembangkan pasaran semasanya.

Sebarang langkah untuk melaksanakan kandungan bio 20 peratus atau program biodiesel B20 dilihat dapat meningkatkan permintaan minyak sawit dalam negara kepada 500,000 tan setahun.

Selain India, Malaysia turut mengeksport minyak sawit ke lebih 170 negara, termasuk China, Kesatuan Eropah dan Timur Tengah.

Sewaktu urus niaga ditutup pada Selasa, peningkatan kontrak hadapan MSM di Bursa Malaysia dilihat ketara apabila menokok 82 mata kepada kurang RM2,500 satu tan berikutan spekulasi pasaran eksport bagi Oktober meningkat antara 12 peratus dan 20 peratus berbanding penurunan pengeluaran yang mengehadkan bekalan dan permintaan.

Malah, pasaran turut mencecah paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan, semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perjanjian CECA-India lindungi kepentingan industri minyak sawit

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Malaysia tidak perlu terlalu bimbang dengan laporan berita bahawa India mungkin menaikkan duti import minyak sawit ditapis, berikutan kedua-dua negara telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA).

Pakar minyak sawit, M.R. Chandran berkata, permohonan meningkatkan duti import dibuat syarikat penapis minyak makan India menerusi Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) dan bukan daripada kerajaan sendiri.

“Saya tidak fikir India akan melakukan ini dan saya sangsi bahawa duti import sedia ada ke atas minyak sawit ditapis, yang kini pada 45 peratus, akan dinaikkan kerana kami mempunyai perjanjian dengan India dan anda tidak boleh melangkaui kuantum yang telah dipersetujui tanpa perbincangan.

“Anda boleh rundingi semula, tetapi anda tidak boleh mengubahnya tanpa memberitahu pihak satu lagi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

SEA, dalam surat kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, telah meminta kerajaan menaikkan duti import minyak sawit ditapis dari Malaysia untuk melindungi industri tempatan berikutan peningkatan penghantaran masuk ke negara itu dari negara Asia Tenggara.

Chandran, yang juga penasihat kepada lembaga eksekutif Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan berkata, jika SEA ingin menjadikan duti import minyak sawit ditapis Malaysia pada kadar sama dengan rakannya Indonesia, persatuan itu sepatutnya merayu untuk mengurangkan duti penghantaran dari Indonesia, bukan dengan menaikkan tarif ke atas Malaysia.

Pada Januari lalu, sebagai sebahagian daripada CECA, India mengurangkan duti import minyak sawit, mengurangkan duti minyak sawit mentah daripada negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia, kepada 40 peratus daripada 44 peratus, dan duti bagi minyak sawit ditapis Malaysia kepada 45 peratus daripada 54 peratus.

Sementara itu, duti bagi minyak sawit ditapis daripada Indonesia dikurangkan kepada 50 peratus daripada 54 peratus.

India kini adalah pengimport minyak sayur-sayuran terbesar di dunia, dengan keperluan bulanan 1.9 juta tan.

Malaysia dan Indonesia adalah pembekal minyak sawit utama untuk negara itu.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata, jika kerajaan India terus menaikkan cukai ke atas import minyak sawit, kemungkinan akan menyebabkan kemerosotan permintaan dalam jangka pendek, yang akan menambah tekanan ke atas paras stok di negara itu secara menyeluruh.

“Harga rendah ketika ini sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan yang lemah dan kitaran pengeluaran yang tinggi.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan secara beransur-ansur akan meningkat pada suku ketiga tahun ini, berikutan faktor musim, yang mungkin akan menyokong harga pada paras antara RM1,900 dan RM2,200 satu tan untuk baki tahun ini,” katanya.

Ng berkata, dasar afirmatif seperti mandat biobahan api adalah satu daripada inisiatif utama yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan paras stok di negara ini secara menyeluruh.

“Di samping dasar biobahan api, kita juga boleh meningkatkan usaha promosi, terutamanya dalam memasarkan minyak sawit ke destinasi utama seperti China dan India.

“Menyelesaikan isu alam sekitar yang disebarkan oleh negara-negara di Kesatuan Eropah boleh menjadi langkah yang baik untuk meningkatkan permintaan bagi minyak sawit Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usaha Malaysia ke arah pengeluaran minyak sawit mampan dipuji

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Malaysia berada di landasan tepat untuk membolehkan pengeluaran minyak dan industri kelapa sawit mendapat pengiktirafan sebagai komoditi mampan, kata duta Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto.

“Kami mengalu-alukan komitmen Malaysia dan kami gembira Malaysia melaksanakan peranannya berhubung pandangan terhadap pengeluaran mampan, bagi membolehkan lebih banyak minyak kelapa sawitnya mendapat pengiktirafan.

“Kami fikir Malaysia di landasan tepat kerana lebih banyak minyak sawit Malaysia kini diperakui oleh Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO). Ini sangat penting…bahawa (kemampanan) adalah masa depan semua,” katanya dalam temu bual dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini, baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia mewajibkan semua penanam dan pekebun kecil sawit di negara ini mendapatkan pensijilan MSPO menjelang akhir 2019.

Diperkenalkan pada 2015, pensijilan itu mengesahkan produk sawit yang dihasilkan adalah melalui kaedah mampan iaitu tidak mencemarkan alam sekitar, menggunakan cara selamat dan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP).

Kerajaan Malaysia juga telah mengehadkan kawasan ladang kelapa sawit kepada kira-kira 6.5 juta hektar, menumpukan kepada penggunaan bahan penanaman yang lebih bermutu dan meningkatkan produktiviti tanpa perlu berkembang ke kawasan hutan baharu.

Malaysia juga komited dalam usahanya untuk mengekalkan kawasan hutannya sekurang-kurangnya 50 peratus, walaupun pihak Barat mendakwa ladang kelapa sawit telah menyebabkan penebangan hutan dan mengancam pemuliharaan.

Maggipinto juga berpendapat dengan pelbagai langkah yang telah diambil, agensi Malaysia berkaitan dan pemain industri utama perlu meningkatkan penglibatannya dengan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) untuk meredakan situasi tegang yang menyelubungi industri berkenaan.

“Kami akan terus membeli minyak sawit Malaysia. Itali adalah antara pengimport minyak sawit Malaysia yang terpenting kerana kami menggunakan produk itu dalam industri makanan.

“Arahan EU tidak mengatakan EU tidak akan membeli minyak sawit, tetapi ia berkaitan pengeluaran biobahan api di EU. Kita perlu menghentikan beberapa komponen tertentu dalam biobahan api bagi memastikan pengeluarannya lebih mampan untuk alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata import minyak sawit Itali dari Malaysia pada tahun lepas ialah € 250 juta atau 372,000 tan metrik.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan Malaysia mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke EU pada 2018, turun empat peratus berbanding 2017.

EU adalah pengimport minyak sawit Malaysia kedua terbesar selepas India, membeli 12 peratus daripada jumlah pengeluaran yang dihasilkan pada 2018.

Industri minyak kelapa sawit di negara seperti Malaysia dan Indonesia mengalami tekanan, lantaran syor EU untuk mengehadkan pengeluaran biobahan api berasaskan minyak sawit bermula 2021 dan larangan sepenuhnya menjelang 2030.

Langkah itu akan menjejaskan 650,000 pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia komited berperanan sebagai pemain teknologi biofuel

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Sebagai satu daripada pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam memastikan komoditi itu kekal sebagai pengganti bahan api yang lestari dan mesra alam bagi pasaran dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, minyak sawit adalah pilihan berdaya maju untuk mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil, kerana ia memiliki potensi amat besar sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Sebagai pengeksport terbesar dan pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, kita berada di kedudukan untuk memastikan komoditi ini berkembang menjadi industri yang membawa banyak manfaat kepada pasaran global, terutamanya, ekosistem tenaga dan pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Biofuel baru-baru ini mendapat perhatian utama sebagai pengganti berdaya maju bagi bahan api fosil.

Selain daripada potensinya sebagai pengganti utama bahan api fosil, biofeul diperoleh daripada tanaman yang ditanam, yang membolehkan pengeluarannya dirancang, dituai dan diperbaharui secara lestari berbanding bahan api fosil yang mengambil masa berjuta-juta tahun untuk membentuk dan kini semakin berkurangan.

Selain itu, biofuel mempunyai sifat neutral karbon, kerana sumber bahan api ditanam menyerap karbon dioksida semasa ia tumbuh membesar, yang mana semasa proses itu dapat mengimbangi jejak karbon.

Darell menjelaskan walaupun terdapat bantahan terhadap amalan semasa penanaman sawit kebelakangan ini, terdapat permintaan dan potensi bagi sektor itu untuk muncul sebagai pemain utama dalam memenuhi keperluan sektor tenaga dan pengangkutan.

“Malaysia memiliki prasarana dan saiz pasaran yang perlu bagi menambah baik kualiti dan pengeluaran produk tenaga berasaskan sawit,” katanya.

Beliau juga berkata selain daripada sokongan padu industri terhadap biodiesel, agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan SIRIM Bhd mempunyai keupayaan teknologi untuk mengangkat minyak sawit menjadi pesaing utama kepada tenaga boleh diperbaharui global.

Malaysia memperkenalkan B10 biodiesel kepada pasaran pengangkutan domestik pada Disember 2018, meningkatkan adunannya daripada tujuh peratus (B7 Biodiesel) kepada 10 peratus.

Sementara itu, Dasar Automotif Negara (NAP), yang sedang dalam kajian semula ketika ini, dijangka meneruskan pembangunan biodiesel sebagai agenda penting kepada pelan kecekapan tenaga pengangkutan negara, untuk menyediakan peratusan tinggi adunan biodiesel bagi tempoh beberapa dekad akan datang.

Kerajaan, menerusi MITI dan Kementerian Industri Utama menyasar memperkenalkan B20 biodiesel pada 2020.

Pada masa sama, Kementerian Industri Utama juga bekerjasama dengan MITI untuk memasukkan spesifikasi “B20/B30-sedia” bagi kenderaan dalam kajian semula NAP.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Minyak sawit: Kerajaan jumpa anggota parlimen Eropah Oktober ini

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kementerian Industri Utama akan mengadakan perjumpaan dengan anggota Parlimen Eropah dan Majlis Eropah pada Oktober dalam misi mempromosikan minyak sawit negara.

Menterinya, Teresa Kok berkata, ia susulan pelantikan anggota Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menerusi pilihan raya yang baharu.

“Kita harus tunggu keputusan pilihan raya dan bulan Oktober ini saya akan ke Eropah untuk berjumpa anggota Parlimen mereka dan Pesuruhjaya Eropah yang baharu.

“Kita perlu bekerjasama dengan orang baharu (anggota Parlimen). Kita perlu faham bahawa ‘Delegated Regulation’ akan dikaji semula pada 2021, dan kita perlu bekerja keras untuk dua tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program duta minyak sawit dalam kalangan pelajar di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keputusan EU itu tidak membawa impak segera kepada ekonomi negara buat masa ini. – BERNAMA