Categories
EKONOMI NASIONAL

Harga petrol kekal minggu ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan mengumumkan harga minyak petrol kekal minggu ini dengan jualan runcit bagi RON95 dan diesel dikekalkan pada harga RM2.20 seliter serta RM2.18 seliter.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga RON97 akan mula diapungkan secara managed float pada harga RM2.66 seliter sehingga 13 Jun ini dan akan diselaras setiap minggu.

Katanya, berdasarkan harga purata mingguan minyak mentah dunia, ia mencecah USD76 setong dan harga produk produk petrol dan diesel yang ditapis antara USD87 hingga USD88 setong.

“Disebabkan itu, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 33 sen seliter bagi produk RON95 dan diesel.

“Ini bermakna, tanpa subsidi minyak yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan PRU14, harga RON95 dan diesel akan meningkat kepada RM2.53 dan RM2.51 masing-masing seliter.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM3 billion sehingga hujung 2018 untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel,” katanya.

Categories
EKONOMI GLOBAL

Brent menokok selepas cecah terendah sebulan

NEW YORK 6 JUN: Dagangan hadapan minyak mentah Brent menyongsang kejatuhan semalam, selepas mencecah paras terendah dalam hampir sebulan susulan laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) meminta Arab Saudi dan pengeksport utama lain meningkatkan pengeluaran.

Brent menokok sembilan cent untuk ditutup pada AS$75.38 satu tong, mewakili peningkatan 0.12 peratus.

Ia mencecah para rendah AS$73.81, terendah sejak 8 Mei.

West Texas Intermediate (WTI) pula menokok 77 cent untuk ditutup pada AS$65.52 satu tong, naik 1.2 peratus.

WTI sebelum itu mencecah paras terendah sesi AS$64.22, terendah sejak 10 April.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak dunia turun 2%

NEW YORK 5 JUN: Harga minyak turun sekitar dua peratus dengan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mencecah paras terendah dalam hampir dua bulan, melepasi paras sokongan teknikal.

Ia berikutan pelabur terus menjual di tengah-tengah peningkatan pengeluaran di AS, kemungkinan peningkatan bekalan global dan ketegangan perdagangan antara AS dan beberapa negara.

Dagangan hadapan Brent susut AS$1.50 satu tong, atau dua peratus, untuk ditutup pada AS$75.29 satu tong.

West Texas Intermediate (WTI) susut AS$1.06, atau 1.6 peratus, pada AS$64.75 satu tong.

Ia sebelum itu mencecah AS$64.57, terendah sejak 10 April.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Brent naik lebih 2%

GLOBAL, 31 MEI: Brent ditutup pada kadar AS$2.11 atau 2.8 peratus lebih tinggi pada AS$77.50 satu tong.

Ia sekali gus menyaksikan harga minyak menokok, mengenepikan laporan bahawa terdapatnya peningkatan simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) selain faktor bank pusat Russia yang menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan melonjakkan bekalan minyak.

West Texas Intermediate (WTI) naik AS$1.48 atau 2.2 peratus kepada AS$68.21.

Data American Petroleum Institute (API) menunjukkan inventori minyak mentah AS dengan tidak diduga meningkat minggu lalu, menambah satu juta tong berbanding penyusutan 525,000 tong diunjurkan penganalisis.

Pada 25 Mei, sumber memberitahu Reuters bahawa Arab Saudi dan Russia sedang berunding untuk membolehkan OPEC dan sekutu bukan OPEC meningkatkan pengeluaran sebanyak sekitar satu juta tong sehari.

Bagaimanapun, semalam bank pusat Russia berkata harga minyak yang turun hanya akan memberi risiko kepada sektor kewangan negara itu. – Reuters

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak mentah dunia turun

NEW YORK 30 MEI: Dagangan hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh lebih AS$1 satu tong kerana bimbang Arab Saudi dan Russia akan mengepam lebih banyak minyak mentah bagi melonjakkan bekalan selepas lebih setahun menyaksikan penyusutan inventori di seluruh dunia.

West Texas Intermediate (WTI) susut AS$1.15 untuk ditutup pada AS$66.73 satu tong, mewakili kejatuhan 1.7 peratus.

Penanda aras dagangan hadapan minyak mentah global, Brent ditutup mengukuh sembilan cent kepada AS$75.39 satu tong.

Arab Saudi dan Russia berunding untuk meningkatkan pengeluaran minyak OPEC dan bukan ahli OPEC sebanyak satu juta tong sehari bagi menangani kemungkinan tidak cukup bekalan dari Venezuela dan Iran.

Brent jatuh kira-kira enam peratus sejak mencecah AS$80.50 pada 17 Mei, tertinggi sejak 2014.

Penyusutan stok dan pengukuhan indeks dolar AS juga menarik turun harga.

Pasaran saham AS turun lebih satu peratus, manakala dolar AS mengukuh sekitar 0.7 peratus.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL

Kerajaan tak naik harga minyak walau pasaran dunia meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 23 MEI: Kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak walaupun harga pasaran dunia pada masa ini sudah mencecah AS70 dolar setong, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Harga di pam tetap sama walaupun harga pasaran dunia semakin meningkat,” katanya pada sidang akhbar pertama kabinet di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, ketika menyentuh isu pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Mahathir berkata, pada masa ini kerajaan kekal dengan keputusan memansuhkan GST berkuat kuasa pada 1 Jun depan.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu tertakluk kepada kuasa Kementerian Kewangan.

Mesyuarat kabinet hari ini merupakan mesyuarat pertama dipengerusikan Mahathir selepas berlaku peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah Brent AS$73.14 setong

SINGAPURA 2 MEI: Harga minyak stabil hari ini, disokong oleh kebimbangan bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin mengenakan semula sekatan ke atas pengeksport utama, Iran, namun bekalan yang bertambah di AS mengehadkan kenaikan harganya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$73.14 satu tong pada 0148 GMT, hampir tidak berubah daripada penutup terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) menokok 15 cents, atau 0.2 peratus pada AS$67.40 satu tong.

Iran, negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), muncul semula sebagai pengeksport minyak utama pada Januari 2016 apabila sekatan antarabangsa terhadap Tehran ditamatkan berikutan halangan ke atas program nuklear negara itu.

Eksport minyak Iran mencecah 2.6 juta tong sehari (bpd) pada April, lapor agensi berita Kementerian Minyaknya, SHANA.

Ia rekod tertinggi sejak sekatan ditamatkan, dengan China dan India membeli lebih separuh daripada minyak Iran.

Bagaimanapun, AS menyatakan keraguan terhadap kejujuran Iran dalam melaksanakan halangan berkenaan dan Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan semula sekatan.

Trump akan membuat keputusan pada 12 Mei ini sama ada untuk mengenakan semula sekatan AS ke atas Iran, yang akan menyebabkan pengurangan eksport minyak negara itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL

Harga minyak kekal lima minggu berturut-turut

NASIONAL 25 APR: Harga runcit minyak di negara ini tidak berubah untuk minggu kelima berturut-turut.

Menurut pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, RON95 dijual pada harga RM2.20 seliter dan RON97 pula RM2.47 seliter.

Harga jualan runcit diesel pula masih RM2.18 seliter.

Pengekalan harga itu ketika lagi dua minggu rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 9 Mei.

Penetapan harga petrol dan diesel dibuat secara mingguan mulai 30 Mac tahun lalu.

SUMBER: MALAYSIAKINI

Categories
EKONOMI

Harga minyak Brent melepasi paras AS$75 setong

SINGAPURA 24 APR: Minyak mentah Brent menokok untuk hari keenam, melepasi AS$75 setong dengan jangkaan bekalan akan berkurangan dan pada masa sama Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mengenakan sekatan ke atas Iran.

Dagangan hadapan minyak mentah Brent menokok setinggi AS$75.20 setong pada awal dagangan hari ini, tertinggi sejak 27 November 2014.

Brent masih pada AS$75 setong pada 0311 GMT naik 29 cent, atau 0.4 peratus, daripada penutup sebelum ini.

Kenaikan enam hari Brent itu adalah yang tertinggi sejak kenaikan yang dicatat pada Disember dan ia menokok lebih 20 peratus daripada paras terendah Februari 2018.

West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$68.98 setong, menokok 34 cent, atau 0.5 peratus daripada penutup sebelum ini.

Khamis lalu, WTI menokok setinggi AS$69.56, tertinggi sejak 298 November 2014.

Pasaran mendapat lonjakan susulan pengurangan bekalan diterajui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang diperkenalkan pada 2017 bertujuan menaikkan harga.

Potensi sekatan baharu yang akan dikenakan AS ke atas Iran turut menolak naik harga.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata sekatan baharu ke atas Tehran itu “boleh menolak naik harga minyak sehingga AS$5 setong.”

AS ada sehingga 12 Mei untuk memutuskan sama ada ia akan keluar daripada perjanjian nuklear Iran dan mengenakan semula sekatan pengeluar ketiga terbesar OPEC itu, yang mana ini akan mengurangkan lagi bekalan global.

“Minyak mentah kini berada di paras tertinggi dalam tiga tahun, mencerminkan kebimbangan berhubung ketegangan geopolitikal di Asia Barat, yang adalah sumber hampir separuh bekalan minyak dunia,” kata Bank ANZ.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga Brent meningkat AS$71.80 setong

SINGAPURA 17 APR: Harga minyak meningkat pada Selasa di tengah-tengah kebimbangan berhubung kemungkinan ada risiko tinggi terhadap gangguan bekalan terutama di Asia Barat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$71.80 setong pada 0120 GMT, naik 38 cent atau 0.5 peratus daripada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) naik 39 cent atau 0.6 peratus kepada AS$66.61 setong.

Peniaga berkata, pasaran minyak menerima sokongan umum berikutan jangkaan bahawa wujudnya risiko gangguan bekalan yang tinggi termasuk potensi konflik di Asia Barat, sekatan baharu AS ke atas Iran dan kejatuhan pengeluaran susulan keputusan politik dan krisis ekonomi di Venezuela.

“Dengan banyak potensi gangguan bekalan dan beberapa petanda pergolakan pasaran akan berakhir tidak lama lagi, peniaga terus meraih premium ke atas risiko geopolitik,” kata Ketua Pedagang Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes.

“Harga minyak kekal tinggi… sekurang-kurangnya sehingga tarikh akhir perjanjian nuklear Iran (12 Mei), jika tidak baki tahun 2018,” tambahnya.

Pasaran minyak umumnya mendapat sokongan baik tahun ini dengan Brent menokok sekitar 16 peratus daripada paras rendah 2018 pada Februari, disebabkan permintaan yang positif selepas kartel pengeluar, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menerajui pemotongan bekalan dengan sasaran untuk mengetatkan pasaran dan memacu harga.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah Brent naik 0.2 peratus

SINGAPURA 27 MAC: Harga minyak didagangkan pada aliran menaik hari ini, berikutan kebimbangan bahawa ketegangan di Asia Barat boleh menyebabkan gangguan bekalan.

Harapan di sebalik perbincangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dalam usaha mengelakkan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu juga menyokong pasaran global termasuk niaga hadapan minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) didagangkan AS$65.71 setong pada 0142 GMT, naik 16 cent, atau 0.2 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan AS$70.25 setong, naik 13 cent atau 0.2 peratus.

Pengarah Urusan dan Pengurus Portfolio Tenaga dengan firma pengurusan aset Tortoise, James Mick, berkata, peningkatan ketegangan geopolitik memacu harga minyak.

“Minyak mentah juga menerima sokongan daripada ahli OPEC apabila Arab Saudi dan Russia, mengulangi pendirian untuk melanjutkan perjanjian pemotongan pengeluaran,” kata Mick.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia turun

SINGAPURA 7 MAC: Harga minyak turun hari ini, ditarik turun pasaran saham yang lemah selepas penyokong utama perdagangan bebas dalam kerajaan Amerika Syarikat (AS) meletak jawatan.

Ini sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa Washington berkemungkinan akan meneruskan cadangan mengenakan tarif import ke atas keluli dan aluminium dan terdedah kepada perang perdagangan, lapor REUTERS.

Peningkatan pengeluaran minyak mentah AS dan peningkatan inventori turut menarik turun harga minyak mentah, kata peniaga.

Gary Cohn, penasihat ekonomi kepada Presiden Donald Trump, yang dilihat sebagai penyokong kuat perdagangan bebas dalam kerajaan AS, semalam berkata beliau meletak jawatan, mencetuskan kejatuhan lebih satu peratus dalam dagangan hadapan S&P 500 pada awal.

Minyak mentah menyusuli, dengan dagangan hadapan Brent susut 51 cent, atau 0.8 peratus, daripada AS$65.28 satu tong sebelumnya.

West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$62.13 satu tong, turun 47 cent, atau 0.75 peratus.

“Ketidaktentuan daripada peletakan jawatan Cohn… mungkin menyaksikan harga minyak turun lebih rendah dalam sesi dagangan hari ini,” kata Stephen Innes, ketua perdagangan Asia Tenggara di OANDA di Singapura.

Kuasa besar, termasuk Kesatuan Eropah dan China, sebelum ini memberi amaran tarif yang akan dikenakan itu boleh menjurus kepada langkah tindak balas dan mencetuskan perang perdagangan global, yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan penggunaan minyak.

Peniaga juga berkata harga minyak turut dipengaruhi peningkatan inventori minyak mentah AS.

Inventori minyak mentah meningkat sebanyak 5.661 juta tong dalam seminggu kepada 426.880 juta tong, demikian menurut data American Petroleum Institute (API).

SUMBER: REUTERS