Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Selangor bantu tiga beradik lengkap dua dos

GOMBAK, 22 JULAI: Hasrat tiga beradik untuk bersama-sama melengkapkan dua dos vaksin akhirnya kesampaian selepas berdaftar menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Hamizan Sulaiman, 50, Hazwan Sulaiman, 47, dan Hazran Sulaiman, 43, menerima vaksin jenis Sinovac di Pusat Pemberian Paksin (PPV) Dewan Sri Siantan di sini semalam.

Pengurus Bank, Hamizan Sulaiman, 50

Hamizan yang berkhidmat sebagai pengurus bank berkata nama mereka dimasukkan pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada 27 Jun lalu.

“Alhamdulillah, selepas nama berdaftar di SELangkah, keesokannya (28 Jun) kami terus terima dos pertama dan hari ini (semalam) berjaya lengkap dua dos.

“Sebenarnya kami sudah buat pendaftaran di aplikasi MySejahtera sejak Februari tetapi tempoh menunggu agak lama sebelum dimaklumkan sebagai penerima program Selvax,” kata ibu tiga anak ketika ditemui Selangorkini.

Bagi Zarikhd Wahid, 36, dirinya bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima vaksin Selvax serta telah melengkapkan dua dos.

Pembantu jualan Zarikhd Wahid, 36

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata proses suntikan vaksin mengambil masa kurang sejam bermula dari stesen saringan gejala dan suhu sehingga kaunter pemerhatian.

“Program Selvax memastikan saya tidak perlu menunggu lama untuk menerima dos pertama dan kedua. Langkah mempercepatkan vaksin juga melindungi orang ramai daripada ancaman Covid-19,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan.

Sebanyak 500,000 dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri untuk menjayakan program percuma Selvax Komuniti yang memanfaatkan 250,000 rakyat.

 

 

 

 

 

 

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kontak rapat, bergejala disaran manfaatkan saringan bersasar komuniti di Klang

SHAH ALAM, 2 JAN: Individu kontak rapat kes positif Covid-19 serta bergejala diminta memanfaatkan program saringan bersasar  komuniti di Jalan Batu Unjur 5, Taman Bayu Perdana yang diadakan hari ini dan esok.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran berkata program secara percuma itu menawarkan saringan kepada 1,600 individu dalam tempoh berkenaan.

“Jadi manfaatkan peluang ini memandangkan kes di Klang meningkat. Program ini dapat kesan kes positif bagi elak penularan.

“Penduduk yang keluar bercuti, jika pulang awal datanglah membuat saringan. Ini usaha yang sangat berkesan melawan pandemik ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Program anjuran Kerajaan Selangor itu memfokuskan penduduk sekitar Taman Bayu Perdana, Taman Sri Andalas, Taman Bayu, Taman Desawan, Taman Desa Utama, Taman Chi Liung, Taman Petaling Indah dan Bandar Bukit Tinggi.

Saringan bermula 9 pagi hingga 4 petang berkenaan dilakukan susulan peningkatan kes sekitar Klang dan semalam sebanyak 206 kes dilaporkan membabitkan 159 di mukim Klang manakala 47 kes di mukim Kapar.

Categories
AGENDA NASIONAL

APM sasar 20,000 sukarelawan baharu, tingkat upaya hadapi bencana

ALOR GAJAH, 6 DIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan pengambilan 20,000 anggota sukarelawan baharu pada tahun depan dalam usaha meningkatkan keupayaan agensi itu untuk menghadapi bencana.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata pengambilan anggota baharu itu difokuskan kepada komuniti di kawasan kerap berlaku bencana supaya mereka dapat memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan sebelum bantuan susulan daripada pelbagai agensi keselamatan lain tiba.

“Bagi pengambilan anggota baharu tahun depan, kami akan memfokuskan kepada komuniti di kawasan berisiko termasuk banjir, tanah runtuh atau ribut dan melatih mereka bagi memastikan anggota baharu ini bersedia untuk berhadapan pelbagai kecemasan di kawasan tempat tinggal mereka.

“Ini kerana kebiasaannya mereka akan lebih tahu apa yang berlaku di tempat asal mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali.

Mengulas lanjut, Roslan berkata orang ramai yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan APM bagi pengambilan baharu tahun depan boleh melayari laman web APM iaitu www.civildefence.gov.my atau hadir ke pejabat APM yang berdekatan.

Sementara itu, beliau berkata APM menerima peruntukan RM25 juta bagi menggantikan ambulans agensi itu yang uzur secara berperingkat bermula tahun depan.

Katanya, buat permulaan RM5 juta akan dibelanjakan untuk membeli 20 ambulans baharu, manakala RM10 juta masing-masing untuk tujuan sama pada tahun 2022 dan 2023.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MMA: Jangan lalai, Covid-19 masih wujud dalam komuniti

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Rakyat tidak boleh lalai dan seronok walaupun Malaysia diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara yang berjaya mengawal pandemik Covid-19 kerana virus ini masih wujud dalam komuniti.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata pada satu ketika negara hampir bebas dari Covid-19, tetapi kealpaan masyarakat terhadap virus yang tersembunyi di dalam komuniti itu memungkinkan ia merebak semula.

“Walaupun kita diiktiraf WHO sebagai negara yang berjaya mengawal pandemik ini, tetapi kita tak boleh seronok, tak boleh lalai, ini rakyat kena faham, virus ini masih ada dalam komuniti, dan ia bukan tugas mudah untuk atasi (Covid-19),” katanya ditemu bual Bernama TV semalam.

Dr Subramaniam juga berkata sikap rakyat yang alpa terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan kegagalan mematuhi penjarakan fizikal juga boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan kes.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan pandemik itu, Dr Subramaniam berkata Covid-19 mungkin hanya dapat dicegah sepenuhnya dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Beliau berkata tanpa vaksin dan ubat yang boleh merawat, ia bergantung sepenuhnya kepada kawalan kendiri masyarakat dalam mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian pandemik ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pertimbang kajian penularan Covid-19 dalam komuniti

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang pertimbangkan pelaksanaan kajian penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti terutamanya di kawasan zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian tersebut akan melibatkan saringan terhadap penduduk setempat bagi mengukur antibodi individu yang telah dijangkiti Covid-19.

“Jadi kalau mereka terdedah kepada virus tersebut, maka dalam tempoh seminggu akan terbinanya antibodi atau IgG (Immunoglobulin G) dengan IgM (Immunoglobulin M).

“Jadi ini mungkin kajian yang baik yang boleh kita pertimbangkan, mungkin kita akan lihat masa yang sesuai untuk kita melaksanakan ujian tersebut dan ujian ini akan menggunakan kit ujian antibodi yang cepat (dapat keputusan) iaitu kita dapat ukur antibodi atau IgG atau IgM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata menerusi kit ujian tersebut, hanya perlukan setitis darah untuk mengukur antibodi tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ujian itu bukan untuk diagnosis tetapi bagi mengetahui berapa ramai dalam kalangan komuniti yang telah dijangkiti Covid-19.

Katanya, kajian itu juga memerlukan kerjasama rapat dengan pihak swasta bagi memastikan maklumat yang dikumpul adalah terkini dan sebarang tindakan sewajarnya dapat diambil.

Sebelum ini seorang pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar mencadangkan KKM mengukur kadar jangkitan dalam komuniti bagi mengesan antibodi terhadap sejumlah orang awam secara rawak dari seluruh negara, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.

Mengenai kekurangan penutup hidung dan mulut jenis N95 di Hospital Umum Kuching, Sarawak, Dr Noor Hisham berkata penggunaan penutup hidung dan mulut jenis itu diutamakan kepada petugas kesihatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad rawatan Covid-19.

Jelasnya, petugas kesihatan di klinik biasa pula boleh menggunakan penutup hidung dan mulut tiga lapisan sekiranya tidak berdepan dengan pesakit Covid-19.

“(Petugas) bukan di wad Covid-19 boleh guna (penutup hidung dan mulut) tiga lapisan, penutup hidung dan mulut jenis N95 kena jimat untuk mereka yang memerlukan di wad ICU dan wad Covid-19.

“Tetapi kalau tidak ada N95, petugas boleh guna alat pelindung muka dan penutup hidung dan mulut tiga lapisan untuk mereka yang kerja di klinik dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA