Categories
AGENDA NASIONAL

KKM digesa buat audit, elak orang tengah komersial ujian Covid-19 warga asing

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) semalam menggesa kerajaan menjalankan audit di lokasi ketika proses saringan secara besar-besaran terhadap pekerja asing dijalankan pada masa ini bagi memastikan piawai dan pematuhan sepenuhnya garis panduan saringan Covid-19.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata audit itu boleh dijalankan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata audit itu juga perlu dilakukan bagi mengelakkan cubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan Covid-19 yang semakin meningkat, disebabkan permintaannya yang semakin tinggi.

“Nampaknya tiada kawalan atau penguatkuasaan ke atas aktiviti orang tengah ini yang bertindak sebagai ejen untuk menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 kepada majikan. Perlu diingat bahawa orang-orang tengah ini, bukanlah penyedia penjagaan kesihatan.

“Majikan perlu sedar hanya pengamal perubatan am yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap saringan dan piawai penjagaan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Dis, MMA mengingatkan majikan agar berwaspada terhadap orang tengah atau syarikat bukan penyedia penjagaan kesihatan, yang menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 yang menyasarkan pengamal perubatan yang mempunyai masalah dengan mengenakan bayaran profesional yang rendah dan seterusnya mereka boleh mendapat keuntungan yang lebih daripada majikan.

KKM pada awal November menyatakan ujian Covid-19 oleh pihak swasta hanya boleh dijalankan di klinik perubatan swasta, pusat penjagaan ambulatori atau hospital swasta, manakala hanya klinik perubatan swasta boleh menawarkan saringan di lokasi seperti di kilang, dewan orang ramai ataupun pejabat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika terlibat seludup warga asing

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jabatan Imigresen tidak berkompromi dan melindungi pegawai dan anggotanya yang didapati bersekongkol dengan tekong atau orang tengah dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pegawai dan anggota yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas kerana terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

“Imigresen sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan pegawai dan anggota tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tiga pegawai Imigresen di Johor semalam yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis serta yakin siasatan yang adil dan profesional akan dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan kursus, kempen serta program-program berkaitan antirasuah bagi memastikan integriti setiap pegawai dan anggota berada di tahap tertinggi.

“Sebagai jabatan yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara dan menguruskan hal ehwal warga asing, setiap pegawai sentiasa dinasihatkan agar tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Semalam, polis menahan seorang pegawai kanan dan dua pegawai Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata , sindiket berkenaan disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk Jabatan Imigresen palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

-BERNAMA