Categories
NASIONAL

Jemput Sultan : Rekod dedah Kerajaan Negeri ikut prosedur

SHAH ALAM : Penganjuran Majlis Sambutan Kemerdekaan Ke- 55 peringkat Selangor terbukti mengikut lunas amalan dan prosedur yang diamalkan sejak bertahun-tahun.

Merujuk rekod Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, DYMM Sultan Selangor hanya pernah sekali dijemput iaitu pada tahun 2007.

Rekod yang diperolehi sehingga tahun 2003 menunjukkan hanya Menteri Besar bertindak sebagai tetamu kehormat pada sambutan ambang Merdeka pada setiap malam 30 Ogos.

Bukti ini menunjukkan bahawa sejak dari pentadbiran Umno-BN lagi sebelum 2008, Sultan Selangor tidak dijemput untuk menyertai acara ambang kemerdekaan.

Menteri Besar Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata Sultan Selangor menerima jemputan pada setiap tahun untuk Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang diadakan pada setiap 31 Ogos sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Jemputan kepada Sultan Selangor pada 2007 itu melibatkan keberangkatan pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

Abdul Khalid mendedahkan rekod jemputan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ke pihak Sultan Selangor bagi menjawab persoalan mengapa baginda tidak dijemput ke acara ambang merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos lalu.

Persoalan itu ditimbulkan oleh beberapa pihak baru-baru ini yang mempertikaikan mengapa Sultan Selangor tidak dijemput ke acara tersebut.

“Saya terima penjelasan (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Mohamad Khusrin Munawi berkenaan perkara ini dan saya berterima kasih atas kerja-kerja jawatankuasa berkenaan,” kata beliau.

Abdul Khalid juga menyangkal dakwaan dari bekas Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo yang beliau pernah menjemput Sultan Selangor ke Majlis Sambutan Kemerdekaan.

Katanya tiada sebarang rekod yang menunjukkan Dr Khir pernah menjemput Sultan.

“Buat masa ini tiada sebarang rekod ditemui, mungkin juga sudah terbakar,” jawab beliau secara sinis dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco di sini.

Selain itu, Abdul Khalid berkata tindakan Kerajaan Negeri mengundang Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sebagai penceramah jemputan.

“Tetamu kehormat adalah Menteri Besar, dan Anwar pula hadir sebagai penceramah jemputan.

Sama seperti sebelum ini, kita ada penyanyi jemputan, cuma kali ini kita gantikan dengan penceramah jemputan,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Lagi Skandal Umno Beli Tanah, Selangor Rugi Lebih RM 3 Juta.

SHAH ALAM, 7 JULAI: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini mendedahkan satu lagi kes pembelian tanah oleh Umno Tanjong Karang yang merugikan rakyat Selangor. Kali ini negeri hilang RM3.3 juta akibat diskaun premium yang diberikan kepada parti itu.

Tanah komersial keluasan 1.2 hektar tersebut terletak di Jalan Sungai Kajang, Tanjong Karang dan Umno Tanjong Karang hanya membayar premium RM130,244.

Sedangkan tanah itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM3.3 juta pada tahun 2001, semasa Umno Tanjong Karang membuat pembelian.

Menurut Suee Lim, pada ketika itu mantan Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo merupakan Ketua Bahagian Umno Tanjung Karang.

Menurutnya, pada masa itu, Umno Tanjong Karang merayu supaya harga asal premium tanah dikurangkan dan kerajaan negeri, yang diterajui Dr Mohamed Khir pada masa itu, meluluskan permohonan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada April 2002.

“Secara tidak langsung Umno mendapat durian runtuh sekiranya dijual atau dipindah milik dengan keuntungan RM3.1 juta,” kata Suee Lim pada satu sidang media di sini.

Ini merupakan pendedahan kedua yang dibuat Suee Lim selepas mendedahkan bahawa Umno bahagian yang sama membeli tanah 47,000 kaki persegi daripada Kerajaan Negeri Umno-BN pada masa itu dengan harga premium hanya satu ringgit untuk satu kaki persegi.

Walhal, premium tanah tersebut pada masa ia dibeli pada 2002 adalah RM 27 untuk satu kaki persegi.

“Ini adalah antara siri tanah-tanah kerajaan yang diagihkan kepada Umno oleh Kerajaan BN dahulu. Khir Toyo sebagai Ketua Bahagian Tanjong Karang pada ketika itu.

“Tanah diagihkan begitu murah, sedangkan rakyat pada ketika itu tidak diluluskan meskipun tapak rumah.

“Apakah modal Umno nak berbicara soal ketelusan. Umno ghairah isu Talam tapi tidak berasas. Pada masa sama mereka mengutamakan kepentingan diri sendiri,” katanya.

Tegas Suee Lim, beliau mencabar Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar agar dapat memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat mengapa tanah diberikan dengan begitu murah.

 

Categories
NASIONAL

Manikavasagam : Umno-BN Tolong Berhenti Memujuk Saya

SUBANG JAYA 22 MEI : Pemimpin Umno-BN di Perak yang kini seorang exco kerajaan negeri adalah antara individu yang didakwa pernah memujuk MP Kapar S Manikavasagam untuk tinggalkan Pakatan Rakyat sejak 2008.

Manikavasagam berkata individu-individu tersebut sanggup menunggu berjam-jam di luar rumah dan pejabat bagi berjumpa dengannya bagi tujuan tersebut.

Beliau yang mengakui pernah berselisih faham dengan kerajaan Selangor, walaubagaimanapun berkata tidak mempunyai apa-apa masalah dengan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat Selangor.

Malah Manikavasagam tegas dengan pendiriannya untuk terus bersama PKR dan Pakatan, dan meminta Umno-BN untuk berhenti daripada meneruskan usaha untuk memujuknya.

“Tahun 2008 saya ada senarai nama siapa yang berjumpa dengan saya sehingga mereka menunggu berjam lamanya di luar rumah saya. Hari ini individu tersebut merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak.

?Saya tidak mahu sebut nama. Kalau mereka cabar, saya akan sebut nama mereka,? Manikavasagam berkata di satu sidang media di pusat khidmat MP Kelana Jaya di Sunway Mentari di sini.

Manikavasagam antara wakil rakyat Pakatan yang sering disebut akan meninggalkan gagasan itu kerana kenyataannya yang lepas yang mengkritik dasar dan pemimpin Kerajaan Selangor.

Terbaru, sebuah blog Sel13.com memaparkan artikel yang beliau minta RM10 juta daripada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamed Khir Toyo untuk tinggalkan Pakatan.

Manikavasagam menjelaskan beliau tidak pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Dr Khir sebaliknya pertemuan yang berlaku di Hotel Grand Blue Wave merupakan secara kebetulan.

“Dalam perjumpaan itu, his mouth came out. Dia yang kata, Yb kalau tidak gembira,  mari sini (kepada BN), kami akan jaga kamu dan memberikan wang.

?Ianya dari mulut dia bukan mulut saya. Tidak sampai lima minit dia pergi,? Manikavasagam berkata.

Sehubungan itu, Manikavasagam akan membuat satu laporan polis terhadap penulis artikel, M Zakrul Adam dan Dr Khir Toyo esok bagi membersihkan nama beliau.