Siaran Langsung Mesyuarat Majlis PBT Erat Hubungan Dengan Rakyat

logo PBT

SHAH ALAM, 19 JUN : Siaran langsung mesyuarat Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di laman web mampu mengeratkan hubungan antara pihak Majlis dengan masyarakat tempatan.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohammad Ali Khair Abdul Ghafar berkata, tindakan itu bukan hanya memperlihatkan ketelusan PBT dalam melakukan kerja, sebaliknya memberi maklumat kepada rakyat mengenai perkhidmatan dan kerja PBT.

Menurutnya, kebanyakan penduduk setempat beranggapan PBT tidak melaksanakan tugas kerana akses media mereka yang terhad.

“Pada pandangan saya, ia adalah tindakan yang telus malah yang terbaik supaya rakyat lebih nampak kerja kita yang tulus dan ikhlas.

“Banyak insiden terjadi contohnya apabila Ahli Majlis melaksanakan tugasan ada penduduk yang tidak nampak. Maka jika disiarkan ia adalah lebih bagus kerana kita tiada media cetak atau elektronik yang boleh diwar-warkan kepada rakyat.

“Apa yang PBT buat sekarang tidak sampai kepada rakyat, jadi pada dasarnya tindakan itu sememangnya bagus,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Bagi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azizan Jamaludin, usaha itu disambut baik kerana baginya tiada apa yang perlu diselindungkan daripada pengetahuan orang ramai mengenai pihak Majlis.

“Kita buat segala-galanya mengikut kehendak masyarakat, kita cuba laksanakan segala yang mungkin. Apabila kita siarkan secara langsung, masyarakat tahu apa yang kita setuju dan tidak.

“Dengan cara itu, masyarakat tidak boleh menyalahkan PBT kalau sesuatu berlaku. Masyarakat juga perlu peka dengan segala masalah yang datang dan membantu menyelesaikannya secara bersama dan bukan bergantung kepada PBT semata-mata,” ujarnya.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ismail Arsat pula beranggapan siaran mesyuarat secara langsung membuktikan pihak PBT lebih terbuka dan membolehkan rakyat bertindak sebagai pemerhati.

“Mesyuarat itu sememangnya sudah terbuka cuma tidak ditunjukkan secara langsung, namun kita tiada masalah jika tindakan ini dilakukan.

“Sekarang ini sudah terbuka, tetapi jika disiarkan secara langsung ia lebih terbuka. Penduduk dapat lihat apa yang kita bincangkan dan bagaimana sesuatu cadangan itu diluluskan,” jelasnya.

Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MPS adalah PBT pertama yang telah menyiarkan mesyuarat bulanan secara langsung bermula awal tahun ini.

“Masyarakat boleh perhatikan dan tahu apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat majlis, malah kebaikannya ialah mereka boleh beri respon dalam perbincangan itu.

“Ini menunjukkan wujud interaksi antara masyarakat dengan kita,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pejabat Parlimen Serdang Kesan Pengundi Hantu

Teo Nie Ching PC Pengundi Hantu 01

BALAKONG, 3 APR : Pengundi hantu dipercayai antara penyumbang utama kepada pertambahan mendadak pengundi di Dun Balakong dan Bangi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Pengundi yang statusnya menimbulkan keraguaan mula dikesan apabila seorang lelaki keturunan Indonesia datang ke Pejabat Ahli Parlimen Serdang bagi mendapatkan surat sokongan untuk permit perniagaan daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Menurut Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, beliau ketika itu terkejut apabila lelaki yang bernama Hotim bin Abdul Jalil menunjukkan Mykad miliknya.

“Selepas di pergi, saya semak di web site Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan amat menakutkan saya apabila didapati dia merupakan pengundi di kawasan saya,” kata Nie Ching dalam sidang media yang diadakan di Pejabat DAP Kampung Baru di sini.

Teo Nie Ching PC Pengundi Hantu 02Selain Hotim, semakan lanjut Pejabat Ahli Parlimen Serdang juga berjaya menemui sekurang-kurangnya seramai 31 individu lain yang berdaftar dengn SPR tetapi statusnya diragui atau tidak dapat dikesan di Parlimen Serdang.

Lebih mengejutkan apabila semakan tersebut juga mendapati kebanyakkan pengundi meragukan tersebut didaftar oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebuah badan di bawah Kemeterian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan.

“Mendaftar pengundi bukanlah kerja JASA, ini meragukan,” kata Teo lagi.

Teo menambah, jumlah pengundi di kawasan Serdang telah meningkat sebanyak 42 peratus sepanjang lima tahun bermula daripada 2008. Iaitu dari 94,877 ke 134,888 pada suku keempat tahun lalu.

Pertambahan tersebut melibatkan pertambahan sebanyak 23 peratus Dun Sri Kembangan, 51 peratus bagi Dun Balakong dan 50 peratus Dun Bangi.

Dalam sidang media sama, Ahli Majlis MPKj, Mohammad Ali Khair Abdul Ghafar melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan yang mudah memberikan kerakyatan kepada warga asing yang tidak mempunyai kelayakan profesional.

“Sepatutnya kerakyatan diberi kepada golongan profesional yang mempunyai kepakaran tertentu, bukan kepada pekerja buruh,” kata Mohammad Ali Khair.

Beliau menambah, pemberian kerakyatan kepada golongan bukan profesional akan menyempitkan lagi pasaran kerja dan peluang perniagaan bagi penduduk tempatan.