Categories
SELANGOR

Setelah 50 Tahun Menunggu, SJK(T) Ladang Midlands Kini Berwajah Baru

SHAH ALAM, 15 APR : Setelah sekitar 50 tahun murid-murid sebuah sekolah Tamil di sini belajar di dalam bilik darjah dinding papan dan lantai simen, mereka akhirnya mendapat bangunan dan dewan baru.

Bangunan dan kemudahan baru seperti makmal komputer dan perpustakaan yang tidak pernah dirasai murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands itu sebelum ini, dibina dengan lebih RM4.7 juta.

Sebanyak RM 3 juta disumbangkan Kerajaan Selangor, manakala RM 1.7 juta dikumpulkan oleh jawatankuasa PIBG.

Pembinaan sekolah tersebut tidak menggunakan satu sen pun dari Kerajaan Pusat.

Bangunan sekolah baru itu boleh menempatkan kira-kira 2,000 murid-murid, sementara bangunan lama di kawasan bersebelahan akan dirobohkan untuk dijadikan padang bagi aktiviti kokurikulum.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, pembinaan bangunan sekolah serba moden bernilai lebih RM3 juta itu merupakan hadiah buat rakyat menerusi perolehan hasil kekayaan negeri.

Menurutnya, pembinaan sekolah dan dewan serbaguna itu adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) dalam membantu nasib rakyat tidak kira bangsa dan agama untuk merasai pembangunan negeri.

“Pembinaan bangunan sekolah dan dewan ini merupakan satu penterjemahan daripada hasil negeri yang kita beri kepada rakyat dan pertama kali dalam sejarah.

?Polisi kerajaan PR, kalau hendak beri bantuan, sediakan dahulu baru cakap.

?Di bawah Belanjawan Selangor, kita memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan sekolah Tamil dan kita akan teruskan pemberian hasil negeri ini sekiranya diberi mandat untuk memerintah Selangor lagi, ” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri upacara perasmian bangunan SJK(T) Ladang Midlands dan Midlands Concention Centre di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, MP Shah Alam, Khalid Samad, MP Subang, R.Sivarasa, MP Gombak Azmin Ali, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Sekolah yang didirikan atas tanah seluas empat ekar itu memiliki 24 buah kelas, dewan perhimpunan, bilik mesyuarat, bilik komputer, perpustakaan, kantin dan bilik guru.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyelar kegagalan kerajaan Umno-BN untuk memberi pembelajaran selesa kepada pelajar khususnya anak-anak ladang sehingga mengakibatkan mereka tercicir dari aspek pendidikan.

Ujarnya, peruntukan pendidikan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat juga gagal diurus dengan baik sehingga hari ini.

“Kerajaan pusat menjanjikan tanah untuk pembinaan sekolah, tetapi mereka tidak buat malah peruntukan yang sepatutnya ada untuk pendidikan juga tidak sampai kepada rakyat.

?Kerajaan pusat mengutip cukai daripada rakyat untuk membuat kemajuan di negara ini, tetapi ke mana hasil itu pergi?

?Walaupun kerajaan Selangor berbelanja besar untuk diberikan kepada rakyat, tetapi simpanan tunai kita tetap meningkat,” jelasnya.

 

 

 

Stadium Shah Alam Akan Dibuka April Ini

SHAH ALAM 29 FEB : Setelah tiga bulan ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf, Stadium Shah Alam sedia dibuka bermula April ini.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, stadium yang mula ditutup awal Disember tahun lalu kini berada di fasa terakhir kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf yang menelan kos RM3.4 juta.

“Ada beberapa kerja utama dan antara yang ditumpukan adalah berkaitan padang dan rumput dimana harapan kita jangkakan ia sedia digunakan sebelum 6hb April.

“Rumput yang kita gunakan kali ini adalah jenis rumput lembut pantai yang kini sedang proses dipotong, dirawat dan dibaja serta disiram bagi hasil terbaik,” jelas Mohd Jaafar.

Selain padang dan rumput, fokus penyelenggaraan kali ini juga tertumpu kepada usaha memperbaiki bumbung yang rosak, penggantian kabel dan mentol lampu, menaik taraf bilik persalinan, bilik air, tangga, kerusi dan juga sistem bunyi.

Mohd Jaafar turut memberitahu segala kerja-kerja hampir 100 peratus selesai melainkan kerja pemasangan lampu yang baru mencapai 70 peratus memandangkan lampu yang akan diguna diimport dari Jerman.

“Bagaimanapun kerja-kerja pemasangan lampu ini akan siap sebelum 23hb Mac untuk proses ‘commissioning’ bagi menjamin kelancaran permainan yang akan diadakan di stadium ini,” ujar Mohd Jaafar.

Dalam pada itu, Mohd Jaafar turut mengumumkan perlawanan pertama yang bakal berlangsung merasmikan wajah baru stadium adalah perlawanan Liga Super antara pasukan Selangor dan Terengganu pada 7hb April nanti.

Selain Mohd Jaafar, turut serta dalam lawatan tersebut, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Jaafar, Pengerusi Jawatankuasa Tiket FAM, Datuk S. Sivasundaram dan juga ahli-ahli majlis MBSA.

Categories
SELANGOR

MBSA: Kontraktor Baru Ambil Alih Kutip Sampah Mulai Esok

SHAH ALAM 29 FEB : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melantik kontraktor baru bagi kerja-kerja pengutipan sampah domestik yang akan memulakan tugas mereka bermula esok, ujar Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Jaafar juga menjelaskan jumlah zon telah dikecilkan daripada 70 zon kepada 50 zon dan setiap zon ditugaskan satu kontraktor bagi mengutip sisa domestik.
“Taklimat juga sudah diberikan kepada mereka pada malam Jumaat lepas tentang syarat-syarat kontrak.

“Mereka ini akan mula berkhidmat esok pagi dengan tempoh kontrak selama tahun tahun,” ulas Jaafar.

Jaafar juga berkata kontraktor yang memberikan perkhidmatan cemerlang berpeluang untuk disambung kontrak selama dua tahun lagi.

Menurut Jaafar lagi, setakat ini MBSA sentiasa memantau kerja-kerja pengutipan sampah dengan menghantar wakilnya turut padang memastikan segala kerja lancar dan memuaskan.

Selain itu, Jaafar turut mengumumkan orang ramai masih boleh membuat aduan melalui talian Bilik Operasi Sampah (BOS) setiap hari bekerja bermula 8 pagi hingga 5 petang kecuali hari Sabtu yang dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.