Categories
AGENSI SELANGOR

30 mangsa banjir kilat di Cheras dipindahkan

SHAH ALAM, 30 APRIL: Seramai 30 mangsa di Kampung Batu 10, Cheras dipindahkan selepas banjir kilat menyebabkan kediaman mereka dinaiki air sedalam satu meter malam tadi.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melalui Facebook memaklumkan mangsa yang dipindahkan termasuk warga emas, bayi, kanak-kanak dan orang dewasa.

“Banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 8 malam semalam menyebabkan lebih kurang 15 unit rumah ditenggelami air sedalam satu meter.

“Kebanyakan mangsa terperangkap dan dikeluarkan menggunakan bot Skuad Pantas MPKj dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mereka ditempatkan sementara di Kompleks Penghulu Batu 10, sebelum dibenarkan untuk pulang ke rumah selepas keadaan beransur pulih pagi tadi,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Tiada permit, pemaju tanah kena Perintah Berhenti Kerja

HULU LANGAT, 16 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan Perintah Berhenti Kerja terhadap satu projek kerja tanah yang sedang dalam pelaksanaan berhampiran Taman Wawasan dan Sekolah Tun Abdul Aziz Majid, di sini pada 10 Oktober lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof melalui perkongsian di laman sosial Facebook, pada 14 Oktober lalu.

Beliau berkata, pemaju projek berkenaan dikenakan Notis Kompaun Akta Jalan Parit 1974 Seksyen 70A (1) selepas dipercayai mengakibatkan kelodak tanah memenuhi sistem perparitan dan jalan ketika menjalankan kerja tanah terbabit.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit turut mengenakan denda RM25,000 terhadap pemaju ekoran kerja tanah dijalankan di tapak tanpa kelulusan dan permit.

“Aduan diterima berkenaan satu pemajuan di kawasan berkenaan dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) turun melihat serta meminta PBT menyiasat.

“Mengikut laporan, terdapat kerja tanah yang sedang berjalan di tiga lot iaitu Lot 1432, Lot 1102 dan Lot 1431 oleh Maju Serijuta Sdn Bhd,” katanya.

Selain memberhentikan kerja di tapak serta merta sehingga memperolehi kelulusan Pelan Infrastruktur, Edry berkata, pemaju diarah membina ‘slip trap’ bagi menahan kelodak daripada memasuki sistem perparitan.

“Pemilik tanah baik individu atau pemaju diingatkan sekali lagi bahawa pentingnya mendapatkan kelulusan pihak berkuasa sebelum sebarang pemajuan dilakukan ke atas tanah.

“Pejabat DUN akan mendapatkan kemas kini tindakan susulan MPKj dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sambut baik inisiatif Kerajaan Negeri tawar rumah

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan rumah Idaman kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Yang Dipertuanya, Dato’ Rosli Othman berkata, inisiatif itu antara sagu hati istimewa buat PBT terbabit, apabila projek pertama Idaman dilancarkan di kawasan pentadbiran MPKj.

Katanya, penawaran rumah Idaman itu sebagai peluang terbaik kepada sebahagian kakitangan awamnya yang belum memiliki rumah.

“Kita akan pertimbangkan untuk penjawat awam MPKj berkelayakan memiliki sebahagian unit Idaman ini.

“Jika layak, kita akan mendaftarkan penjawat awam MPKj ini bagi mendapatkan unit Idaman, namun bergantung kepada kemahuan mereka juga,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Raja Shahreen Raja Othman.

Pada masa sama, Rosli berkata, pembinaan rumah itu bakal memberi manfaar kepada seluruh rakyat Selangor khususnya.

“Saya mengalu-alukan Kerajaan Negeri untuk membina lebih banyak rumah seperti itu di dalam kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan penawaran 60 unit rumah Idaman kepada kakitangan MPKj.

Categories
SELANGOR

Kes denggi di Hulu Langat meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JAN: Kes denggi di Hulu Langat dilaporkan meningkat dalam tempoh dua minggu pertama, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Sayuti Bakar berkata, ia sekali gus menjadikan Hulu Langat di tempat ketiga dengan kes denggi tertinggi selepas Petaling dan Klang.

Katanya, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 180 kes dalam tempoh sama, pada 2018.

“Sehingga kini, jumlah kes yang dicatatkan di Selangor ialah 3,246 dengan satu kematian. Daripada jumlah terbabit, 459 kes direkodkan dalam kawasan selenggaraan MPKj.

“Untuk makluman, terdapat 101 lokasi wabak denggi dan 19 kawasan hotspot iaitu Kajang, Sungai Ramal, Balakong, Dusun Tua dan Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Penuh MPKj di Menara MPKj, baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohd Sayuti turut memaklumkan kejayaan operasi bersama Jabatan Imigresen dengan tertutupnya premis mencuci kenderaan yang dikendalikan warga asing.

“Sebanyak empat premis mencuci kenderaan secara haram wujud termasuk di Serdang, Balakong dan Sungai Long, kita akan meneruskan operasi ini pada masa akan datang,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis MPKj beri pencerahan program IPR

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 12 JAN: Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil inisiatif membuka kaunter, di Dewan Orang Ramai Taman Mesra, di sini bagi memberi penerangan dan menarik masyarakat mendaftar di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Ahli Majlis Zon 10, Sharifah Norhayati Syed Omar berkata, hal itu kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak tahu berkenaan IPR, walaupun ia sudah wujud sejak 2008.

“Apabila kita turun padang, baru kita dapat lihat sebenarnya ramai masyarakat kurang mengetahui berkenaan IPR.

“Selain dapat memberikan penerangan jelas, ia turut memudahkan urusan pendaftaran tanpa perlu hadir ke pusat khidmat kawasan masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian pada program Bantuan Sara Hidup E-Kasih, I-Suri dan I-Saraan yang dirasmikan Ketua Wanita KEADILAN Cabang Serdang, Lim Kim Eng.

IPR yang diperkenalkan pada Mac 2008 (dahulunya dikenali sebagai Merakyatkan Ekonomi Selangor) kini mempunyai lebih 40 program merangkumi Kasih Ibu Smart Selangor, Peduli Sihat dan Food Stamp.

Categories
PBT SELANGOR

Hanya 271 aduan sampah di MPKj sejak awal 2018

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 30 JUN: Aduan sampah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menurun sebanyak 271 aduan sejak awal tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, penurunan itu berlaku sejak pihaknya merombak sistem pepejal dan pembersihan awam dengan memperkenalkan spesifikasi kerja baru dan menjalankan pengezonan semula kawasan bagi memudahkan pemantaun kontraktor lebih sistematik sejak Julai 2016.

“Hasilnya berdasarkn statistik aduan bagi 2018 kita hanya menerima 271 aduan berbanding purata 100 hingga 150 aduan setiap bulan pada tahun sebelumnya.

“Aduan sampah ini tidak lagi menjadi aduan top 5 iaitu antara anduan tertinggi di majlis sejak penghujung 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kompaktor Kontraktor di MPKj, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), syarikat membelanjakan RM23 juta bagi 59 lori kompaktor dan RM50 juta untuk pembersihan awam, bagi perkhidmatan kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran MPKJ bermula 1 Julai ini.

Kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dilakukan secara berperingkat melibatkan 59 kawasan.

Sayuthi berharap dengan pengambilalihan pengurusan sistem pepejal, tahap pengurusan sistem akan terus diangkat ke tahap lebih baik daripada sekarang.

“Tahniah kepada sub kontraktor yang dilantik, saya berharap dengan perlantikan ini kontraktor akan dapat terus mempertingkatkan sistem kutipan sampah dengan lebih cekap, berwibawa, berintegriti dan berkualiti,” katanya.

Pada masa sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan KDEBWM berjaya menurunkan sehingga 95 peratus aduan sampah bagi tempoh tiga bulan di majlis perbandaran dan daerah sejak peralihan pengurusan.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPKj terima banyak aduan babitkan kaki lima

SHAH ALAM, 21 MEI: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerima banyak aduan berkaitan gerai dan halangan yang membabitkan kaki lima jalan.

Bagaimanapun, Yang DiPertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pihaknya mendapati aduan itu lebih bersifat provokasi.

Katanya, beberapa tindakan juga pernah diambil terhadap aduan itu, sebelum ini.

“Jika kita mendapati aduan itu perlu disegerakan, pihak jabatan akan melaksanakan penguat kuasaan berdasarkan ‘case by case’,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak jabatan lebih bersikap selektif dalam menerima aduan.

“Tindakan ‘preventive’ masih diteruskan, malah beberapa tindakan perobohan dan sitaan akan dilaksanakan” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj peruntuk RM33 juta, tekad kurangkan sisa pepejal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 21 APR: Sejajar dengan tekad mengurangkan sisa pepejal, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membelanjakan jumlah keseluruhan RM33 juta bagi pelaksanaan kerja Pembersihan Awam.

Timbalan Yang Dipertuanya, Najmuddin Jemain berkata, peruntukan khas setiap tahun itu turut mengambil kira aspek perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pengurusan sampah di sekitar MPKj.

“Kos pelupusan sampah sisa pepejal yang dikenakan adalah sebanyak RM36 bagi per tan sampah, manakala untuk pelupusan sampah pukal, menelan kos per tan RM30.

“Untuk pelupusan sisa pepejal dan sisa pukal pula, kita memperuntukkan kos RM11 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula (Go Green with 3R), di Taman Harmoni, Bandar Teknologi Kajang, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Najmuddin berkata, sebanyak satu set yang mewakili tiga tong kitar semula MGB 660 L, diserahkan kepada komuniti Taman Harmoni bagi meminimakan sisa lebihan.

“Konsep ini secara mudahnya mengajak semua penduduk supaya dapat memaksimumkan kitar semula.

“Selain mengurangkan penggunaan, ia turut memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh diguna, dibaiki, dan dikompos semula.

“Kemudahan ini sekali gus meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama, Najmuddin berkata, proses pelupusan sisa sampah dan pepejal sentiasa dijalankan secara kerap untuk memastikan kelestarian kawasan sekitar terus terjamin.

“Oleh itu, jadual pelupusan disusun dengan rapi dan sistematik supaya sisa pepejal dapat dilupuskan mengikut ketetapan waktu.

“Sisa pepejal dari kawasan perumahan akan dihantar ke Tapak Pelupusan Tanjung 12, Dengkil sebanyak tiga kali seminggu untuk dan setiap hari bagi kawasan komersil,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPKj komited tingkatkan pengurusan sisa pepejal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 21 APR: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan sistem pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran itu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awamnya, Izuddin Ramli berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya bagi memastikan penjagaan kebersihan secara berterusan dijalankan di kawasan berkenaan.

“Walaupun untuk menguruskan sampah bukan satu kerja mudah, namun ia perkara yang harus diberi penekanan serius segenap lapisan masyarakat.

“Justeru, kerjasama secara kolektif antara masyarakat dengan pihak MPKj sendiri amat diperlukan bagi mewujudkan persekitaran bersih, hijau dan sihat.

“Hal ini juga selari dengan hasrat dan agenda Kerajaan Negeri, menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri sifar sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula (Go Green with 3R), di Taman Harmoni, Bandar Teknologi Kajang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Izuddin berkata, Taman Harmoni menjadi lokasi keenam bagi program pengasingan sisa dan kitar semula sejak ia diperkenalkan pada 2016.

“Kita melihat kepada keberkesanan program di lima lokasi sebelum ini. Misalnya, Bandar Mahkota Cheras, antara lokasi pertama pelaksanaan program seperti ini.

“Sambutan menggalakkan daripada komuniti ternyata menyuntik inspirasi baru kepada pihak kami untuk merancakkan sistem pengurusan sisa sampah dengan baik dan teratur demi keharmonian bersama,” katanya.

Terdahulu, majlis disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain dan hadir sama pada program berkenaan adalah Ahli Majlis Zon 16, Zulfikar Ali Ariffin, serta Pengerusi Badan Kebajikan Penduduk Islam, Osman Hasan.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPKj-NGO jalin kerjasama, tingkat Smart Partnership

OLEH HAZIQ ISMAIL

KAJANG 12 APR : Majlis Pembandaran Kajang (MPKj) komited mempertingkatkan hubungan baik antara badan bukan kerajaan (NGO) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia dilaksanakan bagi memperbanyakkan jalinan perkongsian pintar atau Smart Partnership.

Katanya, inisiatif itu bagi mencari penyelesaian yang lebih efektif dalam menambahbaik perkhidmatan MPKj kepada stakeholder.

“Kerjasama yang dijalinkan dengan sektor terbabit bukan sahaja dapat memaksimumkan idea dan cara alternatif yang inovatif tetapi turut merangkumi kaedah lebih berkesan serta berkualiti.

“Saya percaya ia akan mengurangkan kos perbelanjaan MPKj, dalam jangka masa panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPKj 2017 di dewan Sri Cempaka Saujana Impian, di sini, hari ini.

Pada masa sama, MPKj menggalakkan kakitangannya mengamalkan budaya kerja lebih cekap dan pantas bagi memberi perkhidmatan terbaik pada masyarakat.

“Warga kerja MPKj perlu sentiasa mempratikkan elemen kepantasan dalam melakukan keputusan dan melaksanakan tindakan.

“Namun, kepantasan ini tidak boleh dilaksanakan secara melulu,” katanya lagi.

Categories
PBT SELANGOR

Warga kerja MPKj agen reformasi kecemerlangan komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 12 APR : Warga kerja Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memainkan peranan terbaik untuk membawa perubahan reformasi kepada pembangunan komuniti di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuti Bakar berkata, ia menjadi manifestasi terbaik untuk menggalakkan komuniti perbandaran meningkatkan jaringan perhubungan bersama MPKj.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya membabitkan semua kepimpinan daripada peringkat tertinggi hingga bawahan.

“Justeru, warga MPKj dan komuniti harus berkerjasama untuk memastikan kesejahteraan ini dapat diseimbangkan bagi memastikan kecemerlangan dapat dizahirkan secara berkesan.

“Apa yang lebih penting, ia sekali gus dapat memastikan hala tuju dan kecemerlangn MPKj dapat dikekalkan,” katanya ketika berucap pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 MPKJ, di Dewan Seri Cempaka, petang ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 80 warga kerja MPKj dan 14 pesara kakitangan pelbagi agensi PBT itu diraikan atas sumbangan serta khidmat bakti yang diberikan mereka sepanjang berkhidmat bersama MPKj.

Mohd Sayuti berkata, pengiktirafan diberikan atas komitmen kakitangannya menghasilkan kualiti perkhidmatan bermutu dan cemerlang.

“Saya berharap kecemerlangan ini akan terus berkekalan dan selayaknya semua penerima layak dinobatkan sebagai agen reformasi perkhidmatan awam, di MPKj,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah cemerlang itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Categories
PBT SELANGOR

Beri maklum balas Rancangan Tempatan MPKj 2035

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 5 APR: Orang ramai digalak memberi maklum balas dan pandangan berkaitan cadangan Rancangan Tempatan (RT) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 2035 (Penggantian) yang mula dilancarkan, pada hari ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pandangan boleh dibuat melalui pelbagai medium seperti memuat turun aplikasi RTMPKj2035 di telefon pintar yang boleh didapati di Google Playstore.

“Jika mempunyai bantahan, cadangan dan pandangan, ia boleh dipanjangkan kepada MPKj dengan mengisi borang bantahan awam yang disediakan di kaunter pemeriksaan serta aplikasi RTMPKJ2035 juga boleh dihantar melalui serahan tangan, pos, faks atau emel ke [email protected].

“Hebahan berkenaan program publisiti ini juga diuar-uarkan melalui notis akhbar, laman sesawang MPKj, Plan Malaysia dan Plan Malaysia @ Selangor. Majlis juga menyediakan banner, poster dan bunting yang dipasang di seluruh kawasan MPKj,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPKj 2035 (Penggantian), di sini.

Melalui program itu, diadakan pameran berkenaan RT MPKj 2035 yang berlangsung sebulan bermula hari ini hingga 4 Mei 2018, manakala kaunter pemeriksaan akan dibuka setiap hari bekerja, pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Mohd Sayuthi berkata, orang ramai boleh membuat semakan di aplikasi RTMPKj2035 dan kaunter pemeriksaan di lobi MPKj dan Plan Malaysia @ Selangor (JPBD Selangor), Tingkat 16, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam.

“Diharapkan orang awam seperti pemilik tanah, pemaju hartanah, golongan profesional dan organisasi bukan kerajaan (NGO) membabitkan diri dalam memberikan pandangan serta maklum balas terhadap cadangan MPKj,” katanya.