Categories
PBT SELANGOR

MPKj: SK Leftenan Adnan, SMK Bandar Baru Sungai Lang menang sekolah hijau

SHAH ALAM, 12 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menobatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Leftenan Adnan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Lang sebagai pemenang Anugerah Sekolah Hijau 2020.

Pegawai perhubungan awamnya berkata kemenangan bagi kategori sekolah rendah dan menengah itu  melayakkan kedua-dua sekolah membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala dan sijil.

“Diharap penganugerahan ini dapat menyuntik semangat murid dan guru untuk terus mengamalkan gaya hidup hijau serta memelihara alam sekitar di peringkat sekolah,” kata Kamarul Izlan Sulaiman dalam kenyataan.

Sementara itu, SK Cheras Jaya dan SMK Bandar Seri Putera menyandang naib johan manakala SK Bandar Rinching dan SMK Convent (M) Kajang (ketiga).

Kamarul Izlan berkata empat anugerah khas turut diberikan kepada sekolah yang menunjukkan komitmen tinggi daripada aspek pelaksanaan aktiviti kitar semula, inovasi, kebersihan dan penghijauan kawasan sekolah.

Menurutnya, SK Leftenan Adnan meraih anugerah kitar semula, SK Bandar Rinching (inovasi dan kreativiti), SK Cheras Jaya (kebersihan) serta SK Jalan Enam (penghijauan) dengan masing-masing mendapat hadiah wang tunai RM200 berserta sijil.

Majlis penyampaian hadiah disiarkan secara langsung menerusi Facebook MPKj jam 2.30 petang Khamis.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj bekal set tong kitar semula untuk agensi, sekolah

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membekalkan sembilan set tong kitar semula kepada sembilan agensi dan sekolah terpilih pada 24 November lalu.

Yang Dipertuanya berkata ia sebagai tanda penghargaan kepada agensi terlibat bagi pelaksanaan program Cabaran Perbandaran Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge) dan pembangunan mampan.

“Kita mahu meningkatkan kesedaran masyarakat melalui penerapan amalan nilai hijau sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” kata Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid kepada SelangorKini.

Agensi dan sekolah terbabit ialah Jabatan Pengangkutan Jalan cawangan Bangi, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Balai Polis Bandar Baru Bangi, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, PKNS Andaman Development Sdn Bhd (Evo Mall), Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga, SK Jalan Empat, SK Jalan Enam di Bandar Baru Bangi serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bandar Baru Bangi.

Zul-kefli berkata MPKj dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat turut membekalkan kemudahan sama untuk lapan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 19 November lalu.

Menurutnya, sekolah tersebut ialah SK Bandar Tasik Kesuma, SK Bandar Rinching, SK Semenyih, SK Bandar Teknologi Kajang, SMK Khir Johari, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Bandar Rinching dan SMK Engku Husain.

“Program ini tidak melibatkan aktiviti berkumpulan dan upacara perasmian bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita 11 lori buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 11 lori terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram di daerah itu sepanjang bulan ini.

Yang Dipertua Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur Unit Alam Sekitar dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj.

“Tiga lori disita di Jalan Kuari Sungai Long, Sungai Serai, Hulu Langat manakala lapan lagi di lain-lain kawasan seluruh MPKj yang tidak dijalankan secara komersial.

“Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4 dan UUK 13(1) Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata jumlah itu berkurang berbanding beberapa bulan sebelum ini berikutan operasi statik di pintu masuk tapak sampah haram.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu sentiasa komited membanteras kegiatan pembuangan sampah haram bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PKPB: Tahap patuh warga Kajang 95 peratus, dua PBT lain pergiat rondaan

SHAH ALAM, 18 OKT: Kadar pematuhan penduduk dan peniaga di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencapai 95 peratus setakat ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata statistik itu berdasarkan pemantauan anggota penguat kuasa dan polis membabitkan mukim Cheras, Kajang, Semenyih, Bangi dan Hulu Langat.

“Kita percaya semua pihak akur dengan arahan PKPB bagi mengelak dikenakan tindakan malah rata-ratanya sedar bahawa jangkitan Covid-19 di Selangor semakin meningkat.

“Tiada premis dikesan beroperasi melebihi had masa cuma ada beberapa kes terpencil yang tidak mematuhi penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan hanya menggunakan sistem MySejahtera. Pengusaha terbabit diarah sediakan SELangkah dengan kadar segera,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata ketika ini pihaknya meningkatkan pemantauan dan kawalan di pasar awam Seksyen 6 dan Seksyen 16, di sini sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Shahrin Ahmad, anggota penguat kuasanya turut membuat rondaan di premis seperti restoran, kedai runcit, kedai serbaneka, warung dan stesen minyak selain pemantauan daripada aspek pelesenan, kesihatan serta halangan awam.

“Kita akan terus mengadakan rondaan dan pemantauan terhadap kawasan MBSA secara berkala bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP sekali gus memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain pula berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung pelanggaran SOP PKPB dalam kalangan masyarakat mahupun peniaga.

Bagaimanapun, jelas beliau, Jabatan Pelesenan dan Penguat kuasa dengan kerjasama polis menjalankan pemeriksaan sepanjang masa khususnya di tempat tumpuan umum seperti pasar awam dan pasar raya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj serah lesen sementara kepada hampir 1,200 penjaja

SHAH ALAM, 30 SEPT: Hampir 1,200 penjaja dan peniaga kecil sekitar Kajang menerima lesen sementara bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata lesen pasca Covid-19 yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu boleh digunakan sehingga 31 Disember tahun depan namun perlu diperbaharui mengikut tempoh ditetapkan.

“Pemberian lesen itu antara inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan susulan pandemik wabak,” katanya selepas menyerahkan permit kepada penjaja di MPKj semalam.

Sementara itu, Sze Han berkata PBT itu juga sudah mengeluarkan hampir 10,000 lesen perniagaan kepada penjaja sekitar kawasan berkenaan.

Kerajaan Selangor memutuskan program pemberian lesen sementara dilanjut sehingga penghujung 2021 selepas melihat kejayaan program itu membantu golongan terkesan.

Bagaimanapun had sah permit bergantung kepada PBT masing-masing mengikut kesesuaian semua faktor.

Categories
PBT SELANGOR

Elak kes denggi meningkat, MPKj pasang penyembur nyamuk automatik

SHAH ALAM, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memasang penyembur nyamuk automatik di dua kawasan perumahan di Sungai Long untuk mengelak peningkatan kes denggi.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkefli Khalid berkata Evergreen Park Acorn dan Hazel merekodkan sembilan kes jangkitan dalam tempoh 42 hari manakala tujuh kes di Evergreen dalam tempoh 40 hari.

“Penyembur berkenaan akan membuat semburan secara automatik bermula jam 6.30 pagi, 6 petang dan tengah malam. Dengan cara ini, kita mengurangkan penggunaan tenaga kerja serta kos pengangkutan ke lokasi,” katanya memetik laporan The Star.

Beliau menjelaskan penggunaan Sistem Mistaway adalah inisiatif baru MPKj dengan kerjasama Sumitomo Chemical Enviro-Agro Asia Pacific Sdn Bhd yang menyediakan mesin dan racun serangga.

Katanya, mesin berkenaan pernah digunakan di Flat Baiduri dan Bandar Tasik Kesuma, Kajang selepas ia dikenal pasti sebagai lokasi panas denggi selama enam bulan.

Zulkefli menambah dari Januari sehingga 12 September lalu, Hulu Langat merekodkan kes denggi kedua tertinggi di Selangor iaitu 7,723 kes dengan tiga kematian.

Bagaimanapun jumlah berkenaan turun 30.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 11,094 kes dengan 15 kematian.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj lanjut tempoh diskaun kompaun parkir kereta hingga akhir Sept

SHAH ALAM, 2 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melanjut tempoh kempen pengurangan bayaran kompaun tempat letak kereta berjumlah RM20 sehingga 30 September ini.

Yang Dipertuanya berkata lanjutan tempoh yang sepatutnya berakhir kelmarin dibuat selepas mendapat permintaan tinggi orang awam di daerah itu.

“Tawaran ini salah satu inisiatif dilaksanakan MPKj bagi meringankan beban pesalah tegar tempat letak kereta yang terkesan dengan ekonomi sepanjang tempoh pemulihan pandemik Covid-19 di negara kita,” kata Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya turut menawarkan sistem pembayaran secara kelompok dengan imbasan melalui cetakan kod pembayaran yang dicetak Jabatan Undang-Undang MPKj.

“Pembayaran juga boleh dilakukan di kaunter hasil MPKj, mesin kiosk 24 jam dan aplikasi telefon pintar Smart Selangor Parking dan Flexi Parking melalui menu ‘Scan & Pay’,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MPKj keluar 150 lesen sementara, bantu peniaga kecil

SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan 150 permit sementara bagi membantu penjaja dan peniaga kecil tidak berlesen sekitar kawasan pentadbirannya.

Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata lesen yang diberikan September ini membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara sah.

“Setakat ini tujuh lokasi dikenal pasti untuk menempatkan penjaja dan MPKj akan membuat penstrukturan semula untuk membantu mereka yang benar-benar mahu berniaga.

“Kita juga akan melancarkan pelbagai inisiatif sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah pascawabak Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggesa Program Penyusunan Semula Peniaga Kecil dan Penjaja diperluas ke seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan golongan itu memperoleh lesen.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan sambutan hangat program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 15 Ogos lalu di Bandar Baru Sungai Buloh.

Semalam, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengarahkan PBT mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja dan peniaga kecil yang berniaga di tempat selamat.

Minggu lalu, MBSA memberikan permit niaga sementara kepada 180 peniaga kecil dan penjaja manakala Majlis Perbandaran Klang semalam mengeluarkan 500 lesen sementara yang sah digunakan sehingga hujung tahun ini.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Mohon lesen jual roti, kasut kurang 10 minit

KAJANG, 27 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam melancarkan aplikasi e-Lesen bagi memohon dan memperbaharui lesen dalam tempoh singkat.

Yang Dipertuanya Dato’ Zulkefli Khalid berkata permohonan membabitkan lesen pemilikan anjing dan 52 lesen tidak berisiko seperti premis menjual kasut, permainan dan roti.

“Bersesuaian dengan norma baharu, orang ramai hanya berurusan menggunakan telefon bimbit dengan permohonan (lesen) kurang 10 minit,” katanya selepas melancarkan aplikasi tersebut di ibu pejabat MPKj di sini.

Beliau berkata aplikasi yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store mulai semalam bakal diperluaskan kepada permohonan lesen perniagaan.

Categories
PBT SELANGOR

Gugur hak milik jika komplot dengan sindiket sampah haram

KAJANG, 26 JUN: Pemilik tanah persendirian berdepan risiko kehilangan hak milik jika berkomplot dengan sindiket pelupusan sampah haram, tegas Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Yang Dipertuanya Dato’ Zulkefli Khalid berkata notis pemulihan mengikut Kanun Tanah Negara dikenakan untuk kesalahan pertama, disusuli notis tunjuk sebab dan rampasan jika berulang.

“MPKj tidak akan bertolak ansur memandangkan bilangan tapak sampah haram bertambah, justeru pemilik yang berbuat demikian berdepan tindakan undang-undang serta tanah dirampas,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPKj hari ini.

Zulkefli berkata pihaknya terus komited membenteras kegiatan tidak bermoral bagi memastikan kualiti hidup masyarakat di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu lebih baik.

Pada 4 Jun lalu, MPKj mengeluarkan kompaun RM25,000 terhadap pemilik tanah persendirian di Kampung Sungai Serai dan Kampung Sungai Semungkis, Hulu Langat kerana menjadikan tanah mereka sebagai tapak pelupusan sampah haram.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj gempur peniaga asing, lebih 70 gulung tikar

KAJANG, 26 JUN: Lebih 70 peniaga warga asing dikenakan tindakan termasuk barang perniagaan disita Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sejak 18 Mac lalu.

Yang Dipertuanya Dato’ Zulkefli Khalid berkata tindakan selaras arahan Kerajaan Negeri awal bulan ini yang melarang golongan tersebut berniaga.

“MPKj tidak akan sesekali berkompromi kerana kebenaran niaga hanya diberikan kepada rakyat tempatan,” katanya yang menegaskan operasi gempur terus dipergiatkan jika ada yang berdegil.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPKj hari ini, Zulkefli berkata peniaga tempatan boleh dilucutkan hak milik premis dan lesen jika mengupah pekerja warga asing atau memberi kebenaran sewa.

Warga asing tidak lagi dibenarkan berniaga selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan Undang-undang Kecil Penjaja pada 3 Jun lalu.

Golongan itu juga dilarang memiliki lesen perniagaan, menjadi peniaga sementara atau diambil bekerja.

Categories
PBT SELANGOR

98 peratus penduduk Kajang akur SOP – Zulkefli

KAJANG, 25 JUN: Pematuhan orang ramai di bandar ini terhadap tatacara operasi piawai (SOP) mencapai 98 peratus sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata bagaimanapun kerjasama penduduk masih diperlukan dalam membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19.

“Berdasarkan tinjauan hampir setiap hari, pematuhan SOP berada cukup baik malah tidak berlaku pelanggaran arahan dan peraturan PKPP.

“Namun, kita berharap smasyarakat terus patuh dan jangan leka dengan kelonggaran diberikan kerana kita masih berusaha untuk memutuskan rantaian wabak,” katanya selepas meninjau Taman Rekreasi Sungai Chua di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau peniaga dan penjaja kecil bagi memastikan tiada yang melanggar arahan.