Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sedia tiga MPV bawa petugas kesihatan vaksin warga emas, OKU

SHAH ALAM, 8 JUN: Tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Lembaga Zakat Selangor (LZS) digunakan untuk membawa petugas kesihatan menjalankan tugas memberi suntikan vaksin kepada golongan sasar.

Ketua Pegawai Eksekutif berkata program ‘Skuad Vaccine On The Go’ akan menjelajah ke 265 pusat jagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) seluruh negeri bermula hari ini.

“Penggunaan kenderaan ini merupakan inisiatif khidmat masyarakat LZS bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Ia juga bertujuan membantu menangani keperluan kritikal dalam usaha memberi vaksin kepada masyarakat. Lebih ramai divaksinasi, maka lebih cepat kita mencapai matlamat imuniti kelompok,” kata Saipolyazan M Yusop menerusi kenyataan.

Majlis pelancaran dan pelepasan ‘Skuad Vaccine On The Go’ disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua ditahan polis, campak wang dalam kereta peronda

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Tindakan dua lelaki warga Indonesia mencampakkan sejumlah wang ke dalam kenderaan Cawangan Kereta Peronda (MPV) bagi mengelak daripada dikenakan tindakan dalam satu pemeriksaan semalam, membawa padah apabila kedua-duanya ditahan kerana cuba merasuah pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 50 tahun terbabit ditahan oleh sebuah MPV yang melakukan rondaan rutin di Km14 Lebuhraya Kuala Lumpur-Rawang pada 7.35 pagi.

“Dua lelaki berkenaan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum memecut laju namun berjaya ditahan oleh MPV terbabit.

“Ketika diperiksa, kedua-duanya gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan sah. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM170,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan lanjut dijalankan, kedua-dua suspek mengeluarkan sejumlah wang dan cuba memberi rasuah kepada anggota bertugas.

“Suspek yang diberi amaran agar tidak berbuat demikian kemudian bertindak mencampak wang tersebut ke dalam kereta peronda, menyebabkan mereka ditangkap atas kesalahan cuba memberi rasuah selain tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Arifai berkata mereka kini direman selama 14 hari hingga 25 Dis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis belanja RM67 juta ganti kereta peronda lama

MELAKA, 28 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperuntukkan RM67 juta untuk menggantikan 425 unit kenderaan peronda (MPV) baharu melibatkan model Honda Civic 1.8S dan Proton X70 secara berperingkat sehingga pertengahan September depan.

Pengarah Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata 250 unit merupakan Honda Civic, manakala 175 unit adalah Proton X70 yang akan diguna dalam tugasan rondaan bagi menggantikan MPV lama model Proton Waja yang sudah melebihi had penggunaan lapan tahun.

Katanya, PDRM kini dalam peringkat pembuktian konsep (POC) bagi memastikan Proton X70 sesuai digunakan untuk penugasan kepolisan melibatkan pelbagai aspek termasuk pemanduan defensif.

“Sekarang ini, pihak teknikal di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman sedang membuat pemeriksaan bagi setiap kenderaan yang diterima sebelum diserahkan kepada semua kontinjen secara berperingkat.

“Pada setiap kenderaan itu, kita tidak mahu ada perkara yang tidak memenuhi atau tidak mematuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan JPJKK untuk membuat tugas rondaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MPV di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 14 MPV Honda Civic diserahkan kepada IPK Melaka dan majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata MPV baharu yang diterima secara sewaan melalui konsesi dengan Syarikat Spanco Sdn Bhd itu dilengkapi peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih serta ciri khas termasuk mempunyai kod kenderaan sendiri.

Beliau berkata kenderaan itu juga akan dilengkapi jaket kalis peluru untuk kegunaan anggota sekiranya berhadapan insiden melibatkan senjata api.

Sementara itu, katanya PDRM juga dalam usaha memperoleh 1,000 unit senjata tidak bawa maut atau ‘non-lethal weapon’ bagi kegunaan pegawai dan anggota khususnya untuk mengendalikan insiden orang agresif atau mengamuk.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

2 replika MPV PDRM untuk dimenangi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan dua replika kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Inspira edisi khas buat orang ramai yang menyertai peraduan di laman facebook milik mereka.

PDRM melalui kenyataan berkata, orang ramai hanya perlu mengikuti syarat ditetapkan melalui laman facebook rasmi PDRM, www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

“Bagi yang ingin menyertai peraduan ini, anda hanya perlu mengisikan dialog kreatif pada ruangan komen berdasarkan gambar yang diberikan.

“Peraduan ini dibuka dari 14 hingga 18 Januari ini dan nama pemenang akan diumumkan pada 23 Januari ini serta pemenang juga akan menerima ‘goodies’ istimewa daripada PDRM,” katanya.