Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

NADMA: Lebih 2,000 mangsa banjir dipindahkan di seluruh negara

PUTRAJAYA, 29 OKT: Bilangan mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat dengan 2,371 orang daripada 657 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS), berbanding 1,971 mangsa daripada 576 keluarga semalam.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Perlis menjadi negeri keenam dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka di Padang Besar bagi menempatkan 81 mangsa daripada 19 keluarga.

Di Kuala Selangor, seramai 858 mangsa daripada 276 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di daerah itu.

Di Perak, banjir di empat daerah iaitu Batang Padang, Hilir Perak, Kerian dan Manjung menyebabkan 619 mangsa daripada 155 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS.

Di Johor pula, seramai 524 mangsa daripada 129 keluarga ditempatkan di 10 PPS, masing-masing lima di Kluang, dua di Kulaijaya, dua di Pontian dan satu di Batu Pahat.

Di Kedah, seramai 206 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Kulim, Kubang Pasu dan Pendang, manakala di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang seramai 83 mangsa daripada 22 keluarga dipindahkan ke tiga PPS.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

NADMA sedia 50,000 kit makanan untuk agihan mangsa bencana

PELABUHAN KLANG, 21 NOV: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan 50,000 kit makanan untuk diagihkan kepada mangsa bencana khususnya banjir di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi NADMA, Zakaria Shaaban berkata jumlah kit makanan yang disediakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu adalah sebagai permulaan dan ia akan ditambah jika keperluannya meningkat dari semasa ke semasa.

“Kit ini sebagai makanan tambahan mengandungi produk keluaran Agromas yang mudah disediakan seperti biskut, bihun kering, oats, sardin tin, bubur segera pelbagai perisa serta cawan dan sudu garfu plastik.

“Kita sedang dalam peringkat menghantar kit makanan ini ke lima depoh utama seluruh negara untuk diagihkan ke 165 stor bencana. Bagi mangsa banjir di Melaka, kira-kira 500 kit telah dihantar dan sedang diagihkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penyediaan kit makanan itu di depoh edaran FAMA, di sini hari ini.

Beliau berkata pengedaran kit berkenaan bukan hanya tertumpu kepada mangsa banjir tetapi juga bencana lain seperti tanah runtuh dan ia akan diberi kepada setiap ketua keluarga yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana termasuk banjir, Zakaria berkata kesiapsiagaan pihaknya termasuk pengurusan aset berada pada tahap tertinggi hasil latihan dan simulasi yang dijalankan sepanjang tahun.​​​​​​​

Sementara itu, Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata sebanyak 67,837 kit makanan disediakan pihaknya hasil kerjasama dengan NADMA sejak 2014, namun pada tahun ini sahaja, sebanyak 50,000 kit makanan perlu dibekalkan kepada mangsa bencana.

“Pertambahan jumlah kit ini menunjukkan keprihatinan kerajaan baharu terhadap kebajikan mangsa bencana khususnya banjir. Malah produk yang kita sediakan juga boleh digunakan dalam jangka masa panjang kerana bertarikh luput sekurang-kurangnya setahun daripada sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai stok bekalan makanan semasa musim tengkujuh, Ishak memberi jaminan bahawa stok yang merangkumi produk makanan basah mahupun industri asas tani adalah mencukupi.

Jelas beliau, pihaknya telah membuat sasaran peningkatan permintaan produk makanan semasa musim banjir dan semua pusat usahawan FAMA di seluruh negara telah diarahkan untuk sentiasa memastikan barangan berkenaan mencukupi bagi mengelakkan manipulasi harga.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nadma nafi hantar SMS Tabung Gempa Bumi Sulawesi

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menafikan menghantar mesej ringkas mengenai Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami (TBGBTS) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.

Dalam kenyataannya hari ini, Nadma menegaskan mesej ringkas yang tersebar atas nama Tabung Bencana Gempa Bumi NADMA yang didepositkan kepada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (221191183544) adalah bukan daripada agensi itu.

Sebaliknya, menurut agensi itu mereka yang ingin menderma boleh berbuat terus ke TBGBTS.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Muamalat bernombor 16010000882-71-8 atau melalui cek atas nama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Bukti transaksi berkenaan perlu dihantar ke nombor 012-6519563 atau 012-2344048 untuk tujuan rekod.

Kerajaan pada 4 Okt lepas telah meluluskan penubuhan TBGBTS bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami Sulawesi dan tempoh operasi tabung berkenaan adalah selama sebulan sehingga akhir bulan ini.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

NADMA pantau kejadian ribut di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini menjalankan pemantauan berhubung kejadian ribut di Perlis, semalam, yang mengorbankan empat nyawa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, NADMA dengan kerjasama agensi berkaitan juga akan menilai kerosakan berlaku akibat kejadian berkenaan.

“Laporan berhubung pemantauan dan penilaian ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang akan diadakan, pada malam ini,” katanya dalan kenyataan media, hari ini.

Foto: Astro Awani

Ekoran kejadian itu, beliau berkata, terdapat enam kemalangan berlaku dan rekod rasmi polis melaporkan sehingga kini berlaku empat kematian.

“Operasi pembersihan sedang giat dijalankan pelbagai agensi berkaitan dan orang awam dengan keutamaan diberikan kepada kes pokok tumbang yang menghalang laluan serta menimpa rumah,” katanya.

Dr Ahmad Jailani berkata demikian merujuk kejadian hujan lebat dan angin kencang di Perlis, semalam, yang mengakibatkan banyak pokok tumbang dan rumah rosak serta kemudahan awam terjejas.

Kejadian dengan kelajuan angin 68.7 kilometer sejam direkod MET Malaysia Perlis, menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sehingga jam 12 tengahari tadii menyebabkan 102 rumah terjejas sekitar Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Selain itu, sebanyak 189 kes pokok tumbang mengakibatkan gangguan elektrik, di kawasan terbabit.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Perkasa ramal bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) disaran meningkatkan keupayaan meramal bencana baru yang mungkin dihadapi negara bagi membuat persediaan sebarang kemungkinan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, fenomena perubahan iklim yang berlaku ketika ini harus diteliti dengan mendalam.

“Kita mungkin akan menghadapi bencana baru seperti kemarau panjang dan taufan.

“Walaupun masalah ini jarang berlaku di negara kita tapi harus meneliti dari sekarang berhubung persediaan yang diperlukan.

“Kita perlu melakukan perancangan senario untuk menghadapi kemungkinan di luar jangkaan, pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media, di sini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan diberikan taklimat berhubung agensi terbabit.

NADMA bertanggungjawab menyelaras pengurusan bencana negara dan bertanggungjawab untuk membentuk serta memastikan segala dasar juga mekanisme pengurusannya dipatuhi juga dilaksanakan, di setiap peringkat.