Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: Lebih 90 peratus responden faham, setuju SOP norma baharu

SHAH ALAM, 12 NOV: Kajian Impak Kempen Pembudayaan Norma Baharu oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendapati lebih 90 peratus daripada kira-kira 12,000 responden memahami tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu bagi mendepani pandemik Covid-19.

Ketua Penyelidik Kajian Impak Pembudayaan Norma Baharu Prof Dr Yarina Ahmad berkata rata-rata responden turut bersetuju SOP yang dilaksanakan oleh kerajaan bertepatan dalam mendepani wabak berkenaan.

Beliau berkata kajian ke atas responden daripada pelbagai latar belakang sosial serta ekonomi itu membabitkan kutipan data selama empat bulan bermula bulan Sept tahun lepas, dan kajian mendapati 94 peratus responden menyatakan kepatuhan terhadap pemakaian pelitup muka.

“Sebanyak 91 peratus didapati mematuhi arahan penjarakan fizikal, dan 90 peratus menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai alternatif mencuci tangan sekiranya tiada air dan sabun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records: Kajian Pandemik Covid-19 Pertama Berkaitan Impak Pembudayaan Norma Baharu kepada UiTM hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata Nadma diberi peranan bagi pengurusan norma baharu itu, dan pihaknya perlu mengkaji keberkesanan sistem pengurusan berkenaan menerusi kerjasama dengan UiTM.

“Sebab itulah kita bekerjasama dengan UiTM untuk memperoleh pendapat daripada rakyat dan orang awam, apa yang mereka rasakan dan ia bukan retorik. Mereka betul-betul amalkan SOP contohnya pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma: Pengurusan mayat pesakit Covid-19 di ibu negara teratur

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pengendalian mayat pesakit Covid-19 di sekitar ibu negara ketika ini adalah teratur dan terurus, tidak seperti dakwaan sesetengah pihak di media sosial yang menyatakan sebaliknya.

Beliau berkata Pusat Sehenti Sementara (Pusara), yang berfungsi menguruskan mayat pesakit Covid-19 Islam dan bukan Islam serta terletak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) diwujudkan bagi memastikan perkara itu.

Aminuddin berkata terdapat lima kontena yang boleh memuatkan 225 mayat pada satu-satu masa di Pusara ketika ini diuruskan kira-kira 70 petugas dan sukarelawan.

“Dalam satu hari, kita boleh keluarkan dalam 50 mayat untuk diproses serta dituntut keluarga dan setiap hari, kita dapat memastikan bahawa data dapat dikumpul, mayat dapat diuruskan dengan lebih teratur serta bersepadu,” katanya selepas meninjau urusan pengebumian 18 jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Lebuhraya KL-Karak, Taman Selaseh hari ini.

Beliau berkata Pusara, yang mula beroperasi pada akhir Julai lepas, merupakan inisiatif bersama pelbagai agensi seperti Nadma, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, HKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Aminuddin berkata Pusara turut menyediakan kemudahan permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 NADMA sekali beri sehingga RM5,000 kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan jangkitan virus itu.

Beliau turut mengulas komen negatif sesetengah pihak berhubung penggunaan pengorek kaut dalam urusan penggalian kubur bagi pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

“Bagi yang meninggal akibat Covid-19, kalau boleh kita tidak mahu jenazah terdedah dalam masa yang lama di luar, sebab itu kita pastikan apabila sampai di kawasan ini (kubur), dalam masa tiga minit ia sudah berada di dalam liang lahad dan ditutup, itu tatacara operasi piawai,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin menyampaikan bantuan makanan kepada beberapa penggali kubur dan menyatakan bahawa pihaknya juga mendapatkan input daripada Jawi berhubung keperluan serta kebajikan petugas yang menguruskan jenazah pesakit Covid-19 untuk disampaikan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Ketika ini, terdapat 113 petugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 di hospital dan pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang merangkumi 74 kakitangan Jawi, 21 kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan 18 kakitangan Kor Agama Angkatan Tentera.

Petugas sukarelawan pula terdiri daripada 37 penggali kubur dan 54 pemandu kenderaan yang membawa jenazah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kapasiti pusat kuarantin seluruh negara kini pada tahap 60 peratus

IPOH, 11 JUN: Kadar kapasiti penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara ketika ini berada pada tahap 60 peratus, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata beberapa pilihan seperti penggunaan Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara dan asrama awam akan diguna pakai pihaknya sekiranya jumlah pesakit di PKRC terus bertambah namun ia bergantung kepada kes dan keadaan semasa.

“Kita akan pastikan ada ruang (penampan) 20 peratus bagi setiap PKRC. Kalau sudah sampai 80 peratus (kapasiti), kita akan cari pilihan tertentu. Antara pilihan itu adalah kita mempunyai 360 buah Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara.

Itu merupakan satu potensi, begitupun kebanyakan institut awam ini kita gunakan sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang balik dari luar negara dahulu. Sekiranya berlaku keadaan agak kritikal di PKRC, NADMA akan menggunakan pilihan berkenaan tetapi tidak melibatkan semua negeri dan bergantung kepada kekuatan yang ada,” katanya selepas melawat PKRC Arena Badminton Ipoh hari ini.

Katanya, aset awam (bangunan dan infrastruktur kerajaan) dipilih kerana ia boleh digerakkan secepat mungkin menerusi kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan negeri selain boleh mengurangkan beban kos membiayai setiap pusat kuarantin dan PKRC yang dilihat amat tinggi.

Keperluan menambah PKRC sedia ada bagi menampung pesakit Covid-19 terutamanya kategori satu dan dua, akan terarah serta difokuskan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Johor Bahru dan Lembah Klang terlebih dahulu.

Nadma bertanggungjawab terhadap kelicinan proses di semua 80 PKRC seluruh negara yang membabitkan kira-kira 5,000 petugas kesihatan dan bukan kesihatan selain 30,000 katil untuk menampung pesakit-pesakit pandemik tersebut.

Agensi itu kini sedang mengadakan siri lawatan ke semua PKRC di seluruh negara pasca Hari Raya Aidilfitri bagi melihat situasi semasa pusat-pusat kuarantin ini dari segi kapasiti dan perjalanan proses pentadbiran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma, APM bantu Selangor tingkat pendaftaran suntikan vaksin

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Persekutuan akan menyediakan kakitangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu Selangor meningkatkan pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata kumpulan berkenaan akan bergerak bersama jentera Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke rumah penduduk serta membuka kaunter di kawasan tumpuan sebagai langkah mendidik masyarakat mengenai kepentingan vaksin.

“Selangor merupakan negeri tertinggi pemberian vaksin fasa ini untuk dos pertama. Dari segi pendaftaran juga mencatat bilangan tertinggi dengan nisbah 38.4 peratus berbanding sasaran peringkat kebangsaan 26.9 peratus.

“Maknanya rakyat negeri ini sedar kepentingan vaksin,” kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Dewan Annex di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sementara itu Khairy menjelaskan jemaah menteri turut mengarahkan program imunisasi terbabit diutamakan kepada Selangor memandangkan negeri ini merupakan pemacu ekonomi negara selain memiliki kawasan industri yang besar.

“Jadi kita akan jalin kerjasama dengan sektor perindustrian untuk laksanakan suntikan di kilang atau asrama pekerja. Menerusi pendekatan ini, mereka tidak perlu keluar ke kawasan orang ramai sekali gus mengundang risiko penularan jangkitan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pendekatan Selangor depani Covid-19 jadi rujukan agensi persekutuan

SHAH ALAM, 23 FEB: Beberapa pendekatan Kerajaan Selangor dalam menangani cabaran perebakan Covid-19 menjadi ikutan agensi persekutuan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan negeri ini paling awal memperkenal tatacara operasi piawai (SOP) di pusat kuarantin sebelum ia diguna pakai Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pusat kuarantin di negeri lain pada awalnya tiada SOP tetapi Selangor ada laksana SOP dan akhirnya SOP kita turut digunakan MKN.

Buku edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19 terbitan Pejabat Menteri Besar Selangor

“Unit Pengurusan Bencana Negeri juga menjadi rujukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan sebahagian modus operandi agensi ini mengambil contoh dari Selangor,” katanya melalui wawancara dalam edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19.

Kita Selangor, majalah terbitan Pejabat Dato’ Menteri Besar, merakam detik-detik awal Kerajaan Negeri berdepan wabak Covid-19 dan perkembangannya sehingga Oktober tahun lalu.

Majalah setebal 64 halaman ini merekod detik penting, personaliti utama dan contoh program yang dijayakan sepanjang tempoh tersebut. Ia diedarkan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) wakil rakyat, pusat kesihatan, jabatan kerajaan dan orang ramai mulai minggu ini.

Amirudin menambah Selangor juga negeri pertama membuka pusat penjagaan anak-anak petugas hadapan di hospital.

“Selain itu dalam kesibukan petugas hadapan, Kerajaan Negeri memikirkan bentuk sokongan yang boleh diberikan, jadi kita tubuhkan pusat penjagaan untuk anak mereka.

“Inisiatif mewujudkan pusat jagaan antara buah fikiran diberikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma nafi buat kenyataan Pahang akan alami banjir besar

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menafikan dakwaan Ketua Pengarahnya Datuk Dr Aminuddin Hassim membuat kenyataan berkaitan banjir besar yang dijangka berlaku di Pahang seperti yang sedang tular dalam media sosial.

Menurut kenyataannya hari ini, Ketua Komunikasi Korporat Nadma Nur Daliza Dohat memaklumkan semua kenyataan yang berbentuk teknikal berkaitan situasi Monsun Timur Laut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sebelum ini, tular mesej mengenai Pahang bakal mengalami banjir besar tahun ini akibat kenaikan dua sungai utama di negeri itu.

Menurut mesej palsu itu, empat daerah bakal terjejas iaitu Temerloh, Maran, Pekan dan Kuantan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas barisan hadapan PKRC MAEPS 2.0 tabah melangkah tahun baharu

SERDANG, 1 JAN: “Mungkin kerana saya berkorban, Allah permudahkan urusan saya,” kata seorang petugas barisan hadapan, Intan Rosmawannie Adlan, yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0).

Intan Rosmawannie, 34, yang merupakan pegawai penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) PKRC MAEPS 2.0 bekerja di di pusat itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac 2020.

Terdahulu dari bulan Oktober hingga Disember 2019, beliau membuat persiapan menghadapi monsun timur laut, sebelum jangkitan Covid-19 pertama dikesan dalam negara awal tahun 2020, yang meletakkan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai penyelaras data bagi individu di bawah pengawasan (PUS) yang baru tiba dari luar negara.

Menurut Intan, beliau masih melaksanakan tugas yang sama di KLIA sehingga sekarang, sebagai tambahan kepada kedudukan beliau sebagai penyelaras NADMA bagi PKRC MAEPS pertama dari Mac hingga Julai 2020 dan PKRC MAEPS 2.0 sejak awal Disember 2020.

“Cuti panjang tiada langsung, sejak Okt tahun lepas (2019). Cuti yang dibekukan pun tidak ‘cair’ lagi,” kata ibu kepada dua anak itu secara berseloroh.

“Saya harap diberi kekuatan untuk meneruskan kerja di sini. Sepanjang bekerja, Alhamdulillah saya tidak pernah sakit atau demam walaupun tempat yang saya pergi semua berisiko tinggi dan saya juga tidak pernah kena swab test sebab tiada gejala,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Intan mengakui bahawa ia merupakan tempoh yang sukar bagi keluarganya kerana beliau tidak dapat bersama untuk tempoh yang panjang seperti sebelumnya, dan pada masa yang sama suaminya yang bekerja dalam industri penerbangan pula telah kehilangan pekerjaan November lepas.

“Saya datang kerja, orang selalu nampak saya ‘happy’, tapi sebenarnya saya sedih sangat, keluarga macam terabai. Kalau ikutkan, saya juga ‘down’, suami saya juga ‘down’ sebab tiada kerja. Selalu terfikir mengenai kewangan kami,” katanya.

Bagi Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS 2.0 Kol Dr Aeriza Mohd Yusak pula, beliau berharap para petugas barisan hadapan akan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menempuh saat yang sukar ini, dan menurutnya mereka yang bertugas memerangi pandemik semasa tempoh yang sukar ini, tidak kira sama ada petugas barisan hadapan atau sebaliknya, mereka telah melakukan pengorbanan yang amat besar kepada negara.

“.. dari segi tenaga, mental, fizikal dan serba serbi, ia adalah pengorbanan kepada setiap kita. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah, dan saya harapkan semua daripada kami petugas di sini dan semua ‘frontliners’ untuk meneruskan kerja,” katanya.

Dr Aeriza, 42, yang juga Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, sebelum ini ditugaskan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) pada bulan Jun lepas, sebelum ditukarkan ke PKRC MAEPS 2.0.

“Jadi tahun 2020 ini memang banyak yang berlaku dalam diri saya secara individu. Untuk PKRC MAEPS 2.0, ini lapangan baharu. Proses kerja dan pasukan sini semuanya baharu, jadi saya kena cepat adaptasi dengan apa yang baharu ini, supaya perjalanan menjadi lancar.

“Alhamdulillah, saya mempunyai suami yang sungguh memahami yang sokong saya daripada belakang, kerana tanpa dia sokongan ibu bapa, saya tidak akan sampai ke tahap saya berada hari ini,”katanya.

Terdahulu di PKRC MAEPS 2.0, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Datin Mastura Mohd Yazid melawat pusat kuarantin sementara, dan mengadakan mesyuarat dengan petugas barisan hadapan dari semua agensi.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu Mastura berkata tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat kepada negara tanpa mengira waktu dan keselamatan sendiri.

Melihat kepada trend jangkitan Covid-19, beliau berkata rakyat Malaysia boleh membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam memutuskan rantaian jangkitan, di samping menyuarakan empati.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma: Patuhi SOP ketika rentas negeri terutama kawasan banjir

KUALA TERENGGANU, 7 DIS: Kelonggaran sekatan jalan raya untuk rentas daerah dan negeri bermula hari ini bukanlah ‘lampu hijau’ untuk orang ramai pulang ke kampung terutama di kawasan banjir tanpa berwaspada terhadap pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pihak berkuasa akan memberi tumpuan penguatkuasaan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) untuk mencegah penularan pandemik itu.

Beliau berkata ekoran kelonggaran itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan pergerakan orang ramai yang tinggi hujung minggu ini, dan pihaknya akan bekerjasama meningkatkan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Mungkin akan ada pergerakan balik ke kampung melihat keluarga di kawasan banjir serta bantuan sukarelawan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan)… kita harap pergerakan ini tidak membawa musibah kerana niat datang untuk membantu tapi dikhuatiri bawa balik Covid-19,” katanya selepas mendengar taklimat pengurusan banjir di Bilik Gerakan Bencana Negeri (BGBN) hari ini.

Sementara itu di Kelantan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata kerajaan negeri bimbang kemunculan kluster baharu susulan jangkaan lebih ramai perantau pulang ke negeri itu nanti, memandangkan beberapa negeri termasuk Kelantan masih memiliki bilangan kes Covid-19 yang agak tinggi.

“Sekarang ini di Kelantan kita ada Kluster Huma di Pasir Puteh yang perlu dikawal, begitu juga di negeri-negeri lain masih ada kluster-kluster tertentu… kami risau jika ramai rentas negeri, akan berlaku penularan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Negeri Kelantan kepada 14 pemilik di Taman Wadi Iman, Pasir Genda hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga asing perlu bayar caj kuarantin sebaik tiba di Malaysia

PUTRAJAYA, 16 NOV: Individu yang ingin memasuki Malaysia yang telah menandatangani borang Letter of Undertaking (LoU) dan menerima Notis Perjalanan, seharusnya memahami dan akur dengan garis panduan ditetapkan kerajaan Malaysia, termasuk mengkehendaki bukan warganegara membuat bayaran caj kuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan bagi individu bukan warganegara untuk membuat bayaran caj kuarantin di PMA, termasuk caj pengurusan/pentadbiran sebaik ketibaan, ekoran terdapat banyak kes di mana Person Under Surveillance (PUS) bukan warganegara yang berada di stesen kuarantin, gagal membayar caj sehingga tarikh akhir tempoh kuarantin.

Menurut Nadma, bagi bukan warganegara termasuk tanggungan kepada warganegara, dicaj RM150 sehari seorang berdasarkan kepada tempoh kuarantin di premis hotel, sebagaimana yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan serta caj pentadbiran dan pengurusan kuarantin sebanyak RM2,600.

Secara keseluruhannya, Nadma berkata seorang bukan warganegara perlu membayar RM5,070 termasuk RM250 ujian PCR (polymerase chain reaction) sebaik ketibaan dan RM120 bagi ujian RTK (antigen rapid test kits) pada hari ke-13.

“LoU yang ditandatangani mengandungi ikrar dan aku janji akan membayar semua caj yang dikenakan (ada dijelas dengan terperinci dalam garis panduan),” kata Nadma dalam satu kenyataan hari ini, berhubung proses kemasukan dan kuarantin PUS bukan warganegara yang tiba dari luar negara, di sini hari ini.

Nadma juga menjelaskan, bagi penumpang bukan warganegara Malaysia yang gagal mengemukakan Notis Perjalanan, Jabatan Imigresen (JIM) berhak untuk mengeluarkan perintah ‘Not-to-Land’ (NTL).

Katanya, sebelum memasuki Malaysia, individu perlu mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan Jabatan Imigresen atau agensi kerajaan, di mana setiap pemohon perlu menghantar dokumen berkaitan bersama-sama LoU lengkap melalui e-mel Perwakilan Malaysia yang ditauliahkan, selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh berlepas, dan jika lulus, Notis Perjalanan akan dikeluarkan oleh Perwakilan Malaysia.

Sejak 24 Julai 2020, kerajaan memutuskan bahawa semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki Malaysia, akan dikenakan perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang telah diwartakan berdasarkan kepada peruntukan di bawah subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), selaras dengan hasrat serta usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Berikutan arahan itu, semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki Malaysia melalui semua PMA, perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin.

Sejak arahan itu berkuatkuasa, Nadma berkata ia telah menerima beberapa aduan berkaitan pembayaran bagi bukan warganegara Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat ingin pulang ke Malaysia perlu daftar di portal Nadma

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, perlu mendaftar butiran peribadi di laman sesawang yang akan dibangunkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini berikutan rungutan orang ramai mengenai kelewatan semasa urusan pendaftaran di stesen kuarantin, sama ada di hotel atau Institut Latihan Awam (ILA).

“Bagi memudahkan proses pendaftaran, mereka yang ingin pulang ke tanah air digalakkan untuk memberi maklumat kepada pihak Nadma, berkenaan tarikh serta masa ketibaan dan juga pilihan stesen kuarantin sama ada hotel atau ILA.

“Pihak Nadma akan membangunkan portal maklumat proses dan stesen kuarantin dalam masa terdekat, bagi proses pendaftaran tersebut,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga membenarkan individu yang dikuarantin di stesen kuarantin untuk memesan makanan dari luar, melalui penghantar secara dalam talian.

Bagaimanapun, jelasnya, mereka perlu menandatangani surat aku janji dan bertanggungjawab, jika timbul sebarang masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Ismail Sabri berkata, penambahbaikan itu bagi mengelak kelewatan, semasa proses kemasukan individu yang pulang ke tanah air untuk ke bilik kuarantin di hotel, apabila terdapat beberapa kumpulan dari luar negara, tiba pada masa yang sama.

Bagi individu yang mahu menaik taraf bilik hotel, Ismail Sabri berkata, mereka boleh berbuat demikian dengan syarat kos ditanggung sepenuhnya oleh individu berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan orang ramai di Perak mengenai hotel kuarantin yang berada di dalam sebuah pusat membeli-belah, Ismail Sabri berkata, orang ramai tidak perlu khuatir berhubung perkara tersebut.

“Orang ramai tak perlu bimbang. Mereka (individu kena kuarantin) dah masuk hotel, mereka tak boleh keluar. Malah mereka lebih selamat dari orang yang di luar, kerana mereka telah di buat ujian swab. Jika mereka negatif sekalipun, mereka masih perlu dikuarantin sehingga 14 hari,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dari 24 Julai hingga 17 Ogos, seramai 12,646 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 63 hotel dan lima ILA di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 43 individu dibawa ke hospital untuk rawatan kerana didapati positif Covid-19, manakala 5,216 individu didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah.

“Pegawai KKM bersama anggota PDRM membuat 481 pemeriksaan mengejut, bagi memastikan mereka yang masih menjalani ‘home quarantine’ mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) dan daripada pemeriksaan tersebut, empat individu dikenakan tindakan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma terima sumbangan RM53 juta untuk Tabung Covid-19

PUTRAJAYA, 11 JUN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menerima sumbangan wang tunai dan barangan bernilai lebih RM53 juta dari sembilan syarikat dan organisasi untuk Tabung Covid-19.

Kesemua sumbangan disampaikan oleh wakil syarikat penyumbang kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datin Mastura Mohd Yazid di ibu pejabat Nadma di sini hari ini.

Nadma dalam kenyataan memberitahu barangan tersebut akan digunakan oleh petugas barisan hadapan.

”Sumbangan diterima hari ini akan membantu negara menguruskan fasa pemulihan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Sembilan syarikat yang memberikan sumbangan itu ialah Ali Baba Foundation dan Jack Ma Foundation; Crecom Burj Group Sdn Bhd; Wipro Unza (M) Sdn Bhd; Overseas Chinese Muslim Association of Malaysia; Pestech International Berhad; Vistana Tropika Sdn Bhd; CLA Global Holdings Sdn Bhd; Yayasan MRCB dan Acasia Communication Sdn Bhd.

Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas susulan penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nadma sedia bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan

KUANTAN, 31 JAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersiap sedia untuk membawa pulang 80 rakyat Malaysia di Wuhan, China susulan wabak koronavirus 2019 di sana, kata menteri luar negeri.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata keputusan dibuat Kabinet pada 29 Januari lalu, yang memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat di sana memandangkan situasi penyakit itu belum melegakan.

Katanya, mereka akan dibawa pulang menggunakan pesawat komersial secepat mungkin, namun pengumuman tarikh dan penerbangan yang boleh digunakan hanya dibuat selepas perkara itu dimuktamadkan.

“Pesawat itu juga akan membawa pasukan perubatan dan mereka (yang dibawa pulang) akan diperiksa di China sebelum sekali lagi diperiksa setibanya di Malaysia yang jika perlu, akan dikuarantin untuk beberapa ketika sebelum dilepaskan.

Datuk Saifuddin Abdullah. Foto BERNAMA

“Buat masa ini, Kementerian Luar sedang berbincang dengan Kementerian Luar China mengenai beberapa perkara sebelum proses membawa keluar dimulakan kerana seperti diketahui kawasan itu sudah ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Indera Mahkota di sini semalam, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu Lee Chean Chung.

Saifuddin berkata kerajaan China dilihat akan memberikan kerjasama baik kepada usaha membawa pulang rakyat Malaysia, seperti dilakukan negara itu kepada Jepun dan beberapa negara yang mahu membawa keluar rakyat mereka.

Beliau menjelaskan rakyat Malaysia di China ialah seramai 35,000 orang dengan di Hubei seramai 115 orang.

“Walaupun terdapat 115 orang di Hubei, namun hanya 80 yang berada di Wuhan kerana mereka yang lain sudah pulang bercuti di Malaysia, selain ada yang bercuti di wilayah lain di China,” katanya.

Saifuddin menjelaskan Kedutaan Malaysia di Beijing juga membuka bilik operasi 24 jam sejak seminggu lalu dan berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di China.

Beliau berkata sebagai tanda solidariti kepada China, Malaysia akan menghantar bantuan 10 juta sarung tangan getah yang diperlukan petugas perubatan di sana.

-BERNAMA