Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga, pekerja di Napoh mahu saman pemilik kedai Nasi Kandar Salleh

ALOR SETAR, 14 OGOS: Selepas dikenakan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu bakal menghadapi tuntutan saman pula oleh peniaga dan pekerja di kawasan berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusoff yang mewakili peniaga dan pekerja berkenaan yang mahu menuntut ganti rugi selepas pendapatan mereka terjejas ekoran penularan kluster Sivagangga.

“Setakat ini seramai 100 peniaga terdiri daripada pengusaha kedai runcit, kedai makan peniaga pasar malam dan pekerja yang bergaji harian di sekitar Napoh atau kedai Nasi Kandar Salleh membuat aduan kepada kita dan mahu menuntut ganti rugi selepas pendapatan mereka terjejas.

“Sebelum ini (sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan) pendapatan mereka sudah terjejas lebih dua bulan dan sekarang terjejas semula susulan Temco (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar) yang disebabkan oleh pemilik kedai nasi kandar itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika ini Cake sedang mengumpul maklumat kerugian yang dihadapi peniaga dan pekerja bergaji hari di kawasan itu dan akan mengemukakan semua maklumat berkenaan kepada peguam.

Menurut Mohamad Yusrizal, Cake melantik seorang peguam yang bersedia menawarkan khidmatnya secara percuma dan tuntutan itu dijangka difailkan di mahkamah, minggu depan.

“Kita harap tindakan kita ini akan memberi pengajaran kepada semua orang supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar tatacara operasi piawai yang ditetapkan kerajaan sehingga menyebabkan virus Covid-19 merebak,” katanya.

Semalam, pemilik kedai makan itu Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, dikenakan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Temco di empat kawasan iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; dan Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap susulan penularan kes Covid-19 yang berpunca daripada kluster berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh dipenjara lima bulan, denda RM12,000

ALOR SETAR, 13 OGOS: Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, pada sesi pertuduhan khas yang diadakan di Hospital Lama Alor Setar di sini, tempat tertuduh dikuarantin selepas didapati positif Covid-19.

Nezar Mohamed dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis Bank Rakyat Cawangan Jitra pada 4.40 petang; di premis Agro Bank Cawangan Jitra pada 3.58 petang; di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3.35 petang dan di premis Public Bank Cawangan Jitra pada 3 petang, 14 Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nezar Mohamed dijatuhi hukuman penjara lima bulan, menjadikan jumlahnya 20 bulan, bermula hari ini dan denda RM,3000 bagi setiap pertuduhan dan hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zabidah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan rakyat agar tidak melanggar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya tertuduh telah menyebabkan kesihatan awam terjejas dengan tercetusnya kluster Sivagangga pada 28 Julai lepas, melibatkan tiga daerah di Kedah (Kubang Pasu, Kulim, Padang Terap), satu daerah di Perlis (Kangar) dan dua daerah di Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah).

“Ekonomi negara juga terjejas kerana Kluster Sivagangga telah menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM1 juta di kawasan TEMCO (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar) daerah Kubang Pasu sahaja dan menyebabkan keresahan dan kebimbangan kepada masyarakat umum,” katanya.

-BERNAMA