Categories
AGENDA NASIONAL

Didakwa bulan madu di Langkawi, polis siasat Neelofa, PU Riz

SHAH ALAM, 4 APRIL: Polis akan membuka kertas siasatan berhubung tindakan selebriti popular Neelofa memuat naik foto dan video bersama suami bersiar-siar di Langkawi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata gambar yang dimuat naik di media sosial melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan, lapor Kosmo Online.

“Apabila keluar sahaja gambar-gambar tersebut, maknanya kehadiran beliau (Neelofa) bersama suaminya itu melanggar SOP yang telah ditetapkan dan kita akan ambil tindakan.

“Jadi dalam kes sebegini, wajarnya SOP polis adalah buka kertas siasatan yang mana dia (Neelofa) akan dipanggil untuk dirakamkan kenyataan termasuk berhubung gambar dan video yang tular,” katanya.

Abdul Hamid berkata pegawai penyiasat juga akan menyoal sama ada aktiviti terbabit sebahagian urusan perniagaan selebriti berkenaan.

“Itu macam santai-santai sahaja, selain tidak boleh datang dari negeri PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ke PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Pada 28 Mac, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dengan Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) yang didakwa melanggar SOP.

Neelofa melangsungkan perkahwinan bersama pendakwah bebas itu pada 27 Mac di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: Keluarga Neelofa, penganjur himpunan tuntut Undi 18 beri keterangan

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Polis mengambil keterangan daripada keluarga selebriti tempatan terkenal, Neelofa dan penganjur Himpunan Tuntut Undi 18 yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata susulan dakwaan majlis perkahwinan selebriti itu tidak mematuhi SOP, lima individu termasuk ahli keluarga Neelofa dan penganjur majlis tersebut tampil memberi keterangan.

Ahad lepas, majlis perkahwinan Neelofa, 32, dan pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara didakwa tidak mengikut SOP serta tiada penjarakan fizikal.

Mohamad Zainal berkata penganjur Himpunan Tuntut Undi 18 turut hadir hari ini untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan bagi membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun.

“Seramai lapan individu termasuk penganjur dan peserta perhimpunan itu telah hadir bagi memberi keterangan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Antara yang hadir ialah bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari Young Syefura Othman.

Sabtu lepas, kira-kira 200 peserta terdiri daripada golongan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan itu di hadapan bangunan Parlimen di sini.

Siasatan kedua-dua kes dijalankan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Mohamad Zainal berkata bagi Himpunan Tuntut Undi 18, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: Polis panggil pengurus acara, saksi majlis nikah Neelofa

SHAH ALAM, 29 MAC: Polis akan memanggil pengurus acara majlis pernikahan pelakon, Neelofa hari ini yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua polis Daerah Dang Wangi berkata turut dipanggil ialah beberapa saksi lain termasuk pekerja hotel untuk memberi keterangan, lapor Sinar Harian.

“Kita sudah mengambil keterangan pihak hotel dan hari ini dijangka pengurus acara majlis berkenaan tampil untuk memberi keterangan manakala saksi lain akan dipanggil dalam masa terdekat,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau juga memberi jaminan pihaknya tidak memilih bulu dalam pelaksanaan SOP serta mengambil tindakan sewajarnya selepas kertas siasatan lengkap seterusnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Semalam, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dengan pendakwah bebas, PU Riz.

Siasatan awal mendapati majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan majlis nikah Neelofa dan PU Riz langgar SOP

SHAH ALAM, 28 MAC: Polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pelakon, Neelofa dengan pendakwah bebas, PU Riz yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua polis daerah Dang Wangi berkata siasatan awal mendapati majlis itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal, lapor Berita Harian.

“Susulan itu kita akan memanggil penganjur bagi membantu siasatan,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Semalam, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan PU Riz (Muhammad Haris Mohd Ismail) dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijemput membacakan khutbah nikah dan tazkirah ringkas.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Neelofa, Vivy mahu kerajaan pandang serius isu barangan tiruan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd, Noor Neelofa Mohd Noor dan Ketua Pegawai Kreatif Fashion Valet (FV), Vivy Yusof mahu kerajaan memandang serius isu barangan tiruan.

Kedua-dua pelopor utama industri fesyen muslimah itu meluahkan kebimbangan tersebut ketika dipanggil Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan Tun Daim Zainuddin tengahari tadi.

Neelofa ketika ditemui SelangorKini selepas pertemuan itu memberitahu, beliau kecewa berikutan isu barangan tiruan terutamanya membabitkan jenama Neelofar Hijab semakin menjadi-jadi.

“Dalam pertemuan tadi, saya turut memberitahu bahawa kami telah pernah bekerjasama dengan Kastam Malaysia mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK), namun masalah barangan tiruan masih tidak dapat diselesaikan.

“Namun saya telah mencadangkan kepada majlis penasihat kerajaan supaya masalah ini turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), iaitu mana-mana peniaga online yang menjual barangan tiruan ditarik kembali lesen mereka,” katanya.

Vivy pula memberitahu, masalah barangan tiruan yang melibatkan jenama tudungnya, Duck turut menerima tempias kerugian gara-gara barangan tiruan terutama daripada Vietnam dan China.

Katanya, masalah tersebut sekaligus menjejaskan usahawan tempatan termasuk jenama terkenal lain seperti Ariani.

“Sudah tentu ia adalah masalah yang besar dan perlu diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui di Menara Ilham.

Selain Neelofa dan Vivy, turut menemui Majlis Penasihat Kebangsaan ialah Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Radzi yang terkenal dengan siri animasi Upin Ipin.

Majlis Penasihat Kerajaan dengan lima pakar ekonomi itu baru-baru ini diberi mandat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kerajaan yang antara lain bertugas mencari atau mewujudkan formula efektif dalam menghentikan ketirisan serta pembaziran oleh kerajaan terdahulu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ini nasihat JAIS kepada Neelofa, matlamat tak halalkan cara

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menasihatkan selebriti dan usahawan terkemuka, Neelofa untuk mematuhi syariat sebagai umat Islam.

Pengarah JAIS, Sahibus Saadah Dato’ Haris Kasim berkata, tindakan Neelofa menganjurkan majlis pelancaran tudung di sebuah kelab malam di ibu negara pada Isnin adalah tidak wajar dan dikhuatiri menjadi ikutan.

“Kita tahu niat beliau baik ingin menjual tudung dan menggalakkan wanita menutup aurat tetapi dia perlu tengok jugak tempat kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

“Walaupun JAIS tidak mempunyai kaitan dengan tindakan dan cara beliau ingin mempromosikan produk jualan kerana itu hak peribadi, namun dari segi syariat beliau perlu patuh bagi menjaga sensitiviti umat islam yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 di Bangunan Sultan Idris Shah, pagi tadi.

Haris berkata, JAIS turut menyokong kenyataan yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan menegur tindakan selebiriti itu yang boleh membawa fenomena normalisasi dalam bertudung.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataannya di laman Facebook semalam, khuatir tindakan itu akan timbul persepsi apa saja seperti membolehkan dan dibenarkan pergi ke kelab malam asalkan bertudung.

“Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan.

“Kami khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung.

“Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat,” katanya

Beliau turut berpesan kepada Neelofa untuk menghayati syariat Islam yang sebenarnya dengan bertanya kepada ulama sebelum bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Neelofa mula tugas rasmi di AirAsia

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 JAN: Usahawan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan AirAsia, hari ini.

Memetik Berita Harian, beliau dilapor menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan itu di ibu pejabat AirAsia dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“AirAsia dipenuhi dengan mereka yang sangat bersemangat dan kreatif dengan idea dan pandangan mereka membuatkan saya semakin yakin bagaimana AirAsia mampu berdiri gah di mata dunia seperti sekarang.

“Pastinya, pengalaman ini akan disimpan dan digunakan untuk diri sendiri, perniagaan dan orang lain. Tirai 2018 dibuka dengan jayanya,” kata Neelofa.

Selepas mesyuarat tamat, pelakon dan pengacara terkenal itu dilapor sempat meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan syarikat penerbangan itu.

Pada 8 Disember lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fenandes mengumumkan pelantikan Neelofa sebagai Pengarah Bebas bukan Eksekutifnya dan diluluskan sebulat suara Ahli Lembaga Pengarah.

Tony berkata, pelantikan itu merupakan sebagai antara usaha AirAsia untuk mengukuhkan lagi jenamanya.

“Pengalamannya sebagai usahawan, pencipta jenama akan menjadi sesuatu yang tidak ternilai kepada AirAsia.

“Beliau juga boleh memberikan pandangan baru kepada kami ketika sedang menuju ke arah menjadi syarikat penerbangan digital,” katanya.

Categories
EKONOMI

Neelofa dilantik Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Air Asia

SHAH ALAM 9 DIS: AirAsia Bhd melantik aktres dan pengacara televisyen, Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa), sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya.

AirAsia dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli lembaga pengarahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, berkata Neelofa merupakan penambahan yang baik kepada lembaga pengarah memandang pengalaman beliau sebagai usahawan, pencipta jenama dan inovator industri.

Beliau berkata Neelofa akan dapat menyuntik pandangan baharu kepada perniagaan AirAsia ketika syarikat itu melangkah ke arah penerbangan digital.

“Neelofa bijak, muda dan berdikari sendiri – ciri-ciri yang kami perlukan untuk membantu syarikat terus kekal dihadapan ketika kami bergerak ke arah menjadi satu daripada syarikat yang mencatatkan prestasi terbaik, paling diyakini dan dihormati di dunia.

“Reputasi beliau sebagai ahli perniagaaan wanita utama di Malaysia, salah seorang daripada segelintir rakyat Malaysia yang dinamakan oleh Forbes Asia dalam senarai ‘30 Under 30′ majalah itu dan rekod prestasi baik beliau memperjuangkan wanita dalam perniagaan adalah satu inspirasi kepada kami. Saya berharap dapat bekerjaa bersama-sama dengan Neelofa,” kata Fernandes.

Sementara itu Neelofa berkata pelantikan tersebut bukan sahaja satu pencapaian bagi beliau tetapi juga bagi semua wanita.

“Sejak tujuh tahun lepas, saya telah menceburi industri hiburan dan perniagaan yang menyediakan banyak peluang kepada saya untuk berkembang dan melakukan perubahan. Saya teruja untuk menggalas peranan baharu ini, mencabar diri saya sendiri untuk meningkatkan lagi prestasi diri dan pergi lebih jauh lagi.

“Saya juga teruja untuk mewakili Generasi Y dan menyuarakan pandangan kami bagi perniagaan,” katanya.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia mengumumkan peletakan jawatan Aireen Omar dan Tharumalingam Kanagalingam daripada lembaga bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengarah bebas untuk meningkatkan tadbir urus korporat dan pematuhan.

Syarikat itu berkata langkah tersebut juga akan membolehkan Aireen dan Tharumalingam menumpukan kepada pelan transformasi dan pertumbuhan AirAsia.

SUMBER: MSTAR ONLINE

Categories
EKONOMI NASIONAL

Neelofa tersenarai 300 individu ‘Forbes 30 Under 30 Asia 2017’

SINGAPURA 13 APRIL: Pelakon Malaysia, Neelofa, adalah antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017. Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 28, pengasas dan pengarah NH Prima International Sdn Bhd, tersenarai di bawah kategori Runcit dan E-dagang.

Beliau menjalankan beberapa perniagaan termasuk jenama pakaian wanita Muslimah, “Neelofar Hijab.” Senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2017 itu menampilkan 300 penginovasi muda, usahawan dan peneraju yang membawa impak besar kepada dunia hari ini.

Semua individu yang menerima penghargaan itu berusia di bawah 30 tahun dan dipilih oleh para penilai yang juga adalah antara tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing.

Selain Runcit dan E-dagang, kategori lain termasuklah Teknologi Pengguna, Teknologi Perusahaan, Hiburan dan Sukan, Seni, Kewangan dan Modal Teroka, Industri, Pembuatan dan Tenaga, Penjagaan Kesihatan dan Sains, Usahawan Sosial dan Media, Pemasaran dan Pengiklanan.

“Senarai Forbes 30 Under 30 Asia tahun ini menonjolkan kepelbagaian bakat di rantau yang luas ini, dengan 300 usahawan muda mengagumkan daripada segenap lapisan masyarakat berusaha keras meningkatkan inovasi,” kata Editor Kanan Digital, Asia at Forbes Media, Rana Wehbe dalam satu kenyataan, di sini.

“Suatu yang menarik adalah melihat bagaimana golongan muda ini menggunakan teknologi bagi menginovasikan industri mereka, memperkasakan masyarakat mereka dan menangani halangan budaya.
“Senarai tahun ini, terutamanya, menampilkan banyak individu wanita di Asia yang menyokong perubahan sosial, lari daripada stereotaip dan prejudis untuk memberi contoh positif apa yang boleh dicapai oleh wanita di rantau ini,” katanya.

Turut termasuk dalam senarai 30 Under 30 Asia itu ialah Kavin Bharti Mittal dari India; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hike Messenger, Josiah Humphrey & Mark McDonald (Australia, Pengasas Bersama Appster); Suboi (Vietnam, artis Hip Hop); Liu Wen (China, Supermodel Antarabangsa); Chenyao Zhou (China, Rakan Kongsi di Longling Capital); Gibran Huzaifah Amsi El Farizy (Indonesia, Pengasas eFishery); Yuki Shimahara (Jepun, Pengasas LPixel Inc); Daroath Phav (Kemboja, Pengarah WaterSHED); Hyungcheol Lim & Goeun Choe (Korea Selatan, Pengasas Bersama Gameberry).

Kriteria pemilihan bagi senarai itu termasuklah kepimpinan dan inovasi dalam bidang mereka, pemikiran keusahawan dan keputusan yang dicapai, serta kemungkinan menukar bidang mereka dalam tempoh separuh abad akan datang.

Menurut Forbes, lebih 1,200 penyertaan diterima, tetapi hanya 300 pemohon memasuki senarai akhir. Bagi mendapatkan senarai lengkap, berita rencana dan video eksklusif, boleh layari laman web www.forbes.com/30-under-30-asia/2017.

SUMBER: BERNAMA

=EZY=