Categories
GLOBAL

New Zealand haramkan beg plastik

WELLINGTON 11 OGOS: New Zealand menjadi negara terbaharu mengharamkan beg plastik selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern menegaskan penggunaannya akan dihentikan berkuat kuasa tahun depan sebagai langkah terbaik mengurangkan masalah pencemaran.

Menurut Arden, New Zealand menggunakan beratus-ratus juta beg plastik setiap tahun dengan kebanyakannya menjadi bahan pencemaran yang menjejaskan hidupan marin.

“Kita perlu jauh lebih bijak dalam cara kita menguruskan sisa dan ini adalah permulaan yang baik.

“Kami akan menghentikan penggunaan beg plastik supaya kami dapat memantau persekitaran kami dengan lebih baik dan melindungi reputasi bersih serta hijau New Zealand,” jelasnya.

Ardern berkata, kerajaan gabungannya termasuk Parti Hijau berdepan cabaran alam sekitar dan seperti juga perubahan iklim, pihaknya akan mengambil langkah-langkah penting untuk me­ngurangkan pencemaran plastik supaya masalah ini tidak membebankan generasi akan datang.

Beg plastik adalah sampah pa­ling biasa ditemui di kawasan pantai di New Zealand dan kumpulan pencinta alam sekitar mengalu-alukan keputusan untuk mengharamkan penggunaannya.

“Ini boleh menjadi langkah besar dalam mengubah pencemaran plastik di lautan dan usaha penting pertama dalam melindungi hidupan marin seperti penyu serta paus laut daripada sisa plastik,” kata Anggota Greenpeace Oceans, Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Jun menyatakan, sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun atau hampir 10 juta beg plastik seminit.

“Jika disambung, kesemua beg plastik ini boleh membalut dunia sebanyak tujuh kali setiap jam dan seperti kebanyakan sampah plastik, hampir tidak ada yang dikitar semula,” kata Ketua Alam Sekitar PBB, Erik Solheim.

Menurut PBB, lebih daripada 60 buah negara telah memper­kenalkan larangan dan levi ke atas barangan plastik sekali guna seperti beg.

Tetapi jelasnya, pengurusan sisa yang lebih baik, insentif kewangan untuk mengubah tabiat membeli pengguna dan penyelidikan tentang bahan alternatif diperlukan untuk membuat perubahan sebenar.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

New Zealand negara pertama dunia haramkan beg plastik

ELLINGTON, 10 OGOS: New Zealand mengharamkan penggunaan beg plastik mulai tahun depan sebagai langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, ia berikutan negara itu menggunakan ratusan beg plastik setiap tahun dan kebanyakannya berakhir di dalam laut, sekali gus membahayakan kehidupan marin.

Katanya, ketetapan pengharaman itu menjadikan New Zealand sebagai negara pertama di dunia yang berbuat demikian.

“Kita perlu lebih bijak dalam menguruskan sisa buangan dan ini ialah langkah permulaan yang amat baik.

“Kita hentikan penggunaan beg plastik bagi membolehkan kita menjaga alam sekitar dan melindungi reputasi New Zealand sebagai negara hijau yang bersih,” katanya.

Menurut Ardern, kerajaan gabungan pimpinan beliau termasuk Parti Hijau berdepan cabaran alam sekitar termasuk perubahan cuaca sekali gus mereka perlu mengambil langkah bermakna untuk mengurangkan pencemaran plastik supaya tidak membebankan generasi akan datang.

Beg plastik adalah antara benda paling kerap ditemui dibuang di sekitar pantai New Zealand dan kumpulan alam sekitar, Greenpeace mengalu-alukan langkah mengharamkan penggunaan bahan berkenaan.

“Ini boleh menjadi langkah utama dalam mengurangkan pembuangan plastik di dalam laut serta langkah pertama yang penting untuk melindungi hidupan marin seperti penyu dan ikan paus,” kata Penyelaras Kempen Greenpeace Ocean, Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang disiarkan Jun lalu menyebut, lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun atau hampir 10 juta beg plastik setiap minit. – AFP

Categories
GLOBAL

Taufan Gita: Hampir 1,000 pelancong terkandas di New Zealand

WELLINGTON 21 FEB : Hampir 1,000 pelancong dilaporkan terkandas di Teluk Emas di sini selepas saki baki Taufan Gita melanda rantau itu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Menurut pihak berkuasa, mereka sedang menimbangkan kemungkinan untuk menghantar feri bagi mengeluarkan semua pelancong dari pulau terpencil terbabit kerana lebuh raya utama terhalang sepenuhnya akibat tanah runtuh.

Bekalan elektrik juga dilaporkan terputus di beberapa kawasan dan menjejaskan ribuan kediaman penduduk.

Taufan Gita yang dikategorikan sebagai taufan kelas 5 minggu lalu menyebabkan kemusnahan besar kepada Tonga dan Samoa.

Walaupun semakin melemah, kekuatannya masih berupaya menyebabkan kerosakan ketika melanda negara ini malam tadi bersama kelajuan angin 140 kilometer sejam (kmh) dan hujan lebat.

Tujuh majlis perbandaran termasuk Christchurch turut membuat pengisytiharan darurat berikutan keadaan dijangka bertambah buruk.

Namun laporan yang diterima setakat ini menyatakan keadaan tidak seburuk yang disangka.

SUMBER: AFP

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Anak jati Selangor buka agensi pelancongan di New Zealand

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 1 NOV: Seorang anak jati Selangor yang berpindah ke New Zealand membuka agensi pelancongan bagi memudahkan pelancong terutamanya rakyat Malaysia mengembara ke kawasan menarik di negara itu.

Mohd Shazly Khan, 40, yang dilahirkan dan dibesarkan di Hulu Klang mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengembara ke seluruh New Zealand supaya dapat berkongsi dengan semua orang tentang keistimewaan negara itu.

“Sebelum ini, saya pernah membuka akademi pengajian agama Islam (iMuslim Academy) secara percuma di Shah Alam namun merancang pula untuk membuka agensi pelancongan di sini.

“Saya juga bekerja sebagai pendakwah untuk mengajar orang Maori (Orang Asli New Zealand) tentang Islam di samping berdakwah sepenuh masa.

“Selain itu, saya telah pergi mengembara ke serata New Zealand dengan pelbagai aktiviti dilakukan seperti mendaki gunung, meredah hutan, berenang di tasik sejuk dan skydiving,” katanya kepada SelangorKini.

Shazly berkata, beliau menubuhkan agensi pelancongan iaitu Jalan-Jalan NZ (JJNZ) Travel & Tours sejak empat bulan lalu  bagi membantu melaksanakan pelaksanaan aktiviti dakwah di New Zealand.

Konsep dan pakej percutian yang diperkenalkan di JJNZ boleh dilayari di laman web www.jalanjalanNZ.com yang menawarkan pakej dengan harga murah dan berpatutan.

Selain agensi pelancongan, beliau juga merupakan pengasas akademi pengajian agama Islam iaitu iMuslim Academy dan Sakupenuh.com.

 

=EZY=

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Makanan tumpuan utama rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kajian dilakukan BlackBox Research untuk Tourism New Zealand. mendapati makanan sentiasa menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia termasuk ketika mereka menikmati percutian.

Kaji selidik itu mendapati lapan daripada setiap 10 (80 peratus) rakyat Malaysia lebih memberi tumpuan terhadap makanan dan menjamu selera adalah aktiviti paling digemari apabila bercuti di sesebuah negara.

BlackBox Research melakukan kaji selidik ke atas 1,000 responden dan turut mendapati 50 peratus daripada pengembara Malaysia menghargai masa berkualiti yang mereka habiskan bersama keluarga juga sahabat handai ketika bercuti diikuti menikmati keindahan alam semula jadi (43%) serta bersantai di pantai (43%).

Pengurus Tourism New Zealand bagi rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara, Steven Dixon berkata, kegemaran rakyat Malaysia terhadap makanan bukan rahsia lagi bagi rakyat New Zealand.

Katanya, terdapat banyak tempat di New Zealand yang sentiasa bersedia memenuhi selera pengembara dari Malaysia.

new zealand“New Zealand menawarkan pelbagai makanan lazat di seluruh negara. Daripada menjamu selera dengan menikmati hidangan tradisional dikenali sebagai ‘Hangi’ di bahagian tengah North Island hingga kelazatan udang getak yang segar di Kaikoura.

“Maka, setiap rakyat Malaysia tidak menghadapi masalah untuk memenuhi selera mereka di mana sahaja apabila berada, di New Zealand,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor BERNAMA.

Dixon berkata, Tourism New Zealand menyediakan Panduan Makanan Halal untuk memenuhi keperluan pelancong beragama Islam, yang boleh dimuat turun melalui www.newzealand.com/my/feature/halal-guide-for-new-zealand.

Dilancarkan tahun lalu, panduan itu memberi maklumat berkenaan opsyen hidangan halal yang terdapat di negara berkenaan.

“Ini termasuk senarai restoran dan kafe yang mempunyai sijil pengesahan halal serta yang menyediakan hidangan daripada sayur-sayuran,” kata Dixon.

new zealand 1Terdapat juga pelbagai acara berkaitan makanan sepanjang tahun di New Zealand yang memberi peluang kepada pengembara dari Malaysia bukan sahaja untuk menikmati budaya makanan negara itu tetapi mengisi masa bersama orang tersayang.

Antara acara yang dimaksudkan ialah ‘Wellington on a Plate’ iaitu festival masakan tahunan yang diadakan pada Ogos apabila restoran dan medan selera menghidangkan masakan baharu dan berbeza sepanjang dua minggu bagi memenuhi selera setiap pengunjung.

Dixon menyifatkan, pengembara dari Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menikmati percutian, di New Zealand.

“Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki New Zealand yang memudahkan mereka untuk berkunjung ke negara ini bagi menikmati percutian sambil menjamu selera.

Selain itu, kata beliau, terdapat penerbangan terus dari Malaysia ke New Zealand yang disediakan Malaysia Airlines, di samping opsyen penerbangan dengan satu persinggahan menarik yang disediakan beberapa syarikat penerbangan termasuk Singapore Airlines.

Categories
NASIONAL

Perlindungan diplomatik hanya untuk tugas diplomasi bukan jenayah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUL: Perlindungan atau imuniti diplomatik tidak boleh diguna pakai bagi melindungi seseorang yang dituduh melakukan kesalahan serius seperti isu percubaan merogol yang didakwa dilakukan kakitangan diplomatik Malaysia di New Zealand terhadap seorang rakyat negara itu.

Ketua Biro Guaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya, berkata langkah memberikan kekebalan kepada golongan itu menyebabkan negara lain terpaksa menimbangkan banyak kali untuk menerima diplomat baru dari Malaysia.

“Perlindungan diplomatik tidak boleh dikekalkan bagi tujuan melindungi seseorang dalam tuduhan yang serius seperti ini. Ini percubaan merogol atau gangguan seksual.

Malaysian-Diplomat-Rape-Case-in-New-Zealand-Muhammad-Rizalman-bin-Ismail-Photo“Ini satu pertuduhan serius. Jadi perlindungan diplomatik atau perlindungan imuniti tidak boleh digunakan dalam kes seperti ini. Perlindungan diplomatik hanya untuk tugas diplomasi bukan untuk kerja jenayah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini.

Latheefa berkata, kes terbabit yang berlaku di New Zealand harus disiasat dan dibicarakan di mahkamah negara itu memandangkan segala bukti serta keterangan berada di sana.

“Kejadian berlaku di New Zealand, bagaimana nak kumpul bukti di sini.Tidak mungkin perkara ini boleh disiasat dan dibicarakan di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, diplomat Malaysia di New Zealand, Momammed Rizalman Ismail dibicarakan di mahkamah negara itu atas tuduhan serangan seksual dan merompak seorang wanita.

Bagaimanapun, Malaysia kemudiannya ditawarkan alternatif pihak berkuasa negara itu untuk membawa pulang Momammed Rizalman yang dituduh dalam kejadian yang berlaku sebelum 30 Mei lalu berikutan beliau mempunyai imuniti sebagai kakitangan diplomatik.

-NFN-