Categories
NASIONAL

Anwar mohon pelepasan hadir pengebumian Allahyarham Tok Guru Nik Aziz

SHAH ALAM, 13 FEB: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pihak berkuasa penjara membenarkannya hadir ke majlis pengebumian bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, hari ini.

Peguam PKR, Latheefa Koya berkata, setakat ini pihak berkuasa Penjara Sungai Buloh masih belum memberikan sebarang jawapan.

Nik Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim“Kami masih menunggu jawapan daripada pihak penjara,” kata Latheefa yang dipetik dari The Malaysian Insider.

Latheefa berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya dibenarkan melawat suaminya buat pertama kali pada jam 2.00 petang ini.

“Jika penjara tidak benarkan Anwar ke Kota Bharu, isterinya juga mungkin tidak dapat menghadiri pengebumian Nik Aziz hari ini kerana waktu yang singkat sebelum lawatan pertamanya,” katanya yang bertemu Anwar di Penjara Sungai Buloh bersama beberapa peguam lain, semalam.

Nik Aziz meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), pada jam 9.40 malam tadi.

Categories
NASIONAL

Lebih 20,000 hadir solat jenazah Allahyarham Tok Guru Nik Aziz

Oleh: AFIX REDZUAN

KOTA BHARU, 13 FEB: Lebih 20,000 orang awam termasuk pemimpin negara berkumpul di Dataran Masjid Pulau Melaka bagi menantikan detik mendirikan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada jam 10 pagi.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali juga selamat tiba Pulau Melaka bagi menziarahi jenazah Allahyarham Nik Aziz  yang kembali ke rahmatullah, jam 9.40 malam tadi.

IMG_5870Suasana di sekitar Pulau Melaka mula sesak sejak malam tadi selepas makluman pemergian mantan Menteri Besar Kelantan itu dihebahkan melalui media dan laman sosial.

Orang awam juga diberikan peluang untuk melihat kali terakhir jenazah Allahyarham yang dikenali sebgai Tok Guru itu sejak semalam.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir menziarahi Allahyarham.

Selain itu, kelihatan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat antaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta Adun Negeri Kelantan.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Beliau menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun sebelum melepaskan jawatan akibat faktor kesihatan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Nik Aziz berjaya selamatkan PR 2008

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 FEB: Sangat bijaksana, berperwatakan dan mempunyai pertuturan lembut serta memiliki daya pemikiran sangat tajam, demikian gambaran diberikan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong terhadap Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kali pertama saya bertemu baliau pada 2005 ketika bergelar pelajar lagi. Kali kedua pada 2012 sebagai ahli politik dan saya dapati beliau seorang sangat bijaksana.

nik“Selain itu, beliau mempunyai imej sangat lembut, pertuturannya juga lembut dan memiliki buah fikiran sangat tajam,” kata Chin Tong selepas menghadiri forum ‘Anwar Dipenjara: Masa Depan Politik Malaysia’ di bangunan @Kini, di sini, malam tadi.

Chin Tong berkata, pemergian Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga terkenal dengan panggilan Tok Guru itu satu kehilangan besar buat negara dan Pakatan Rakyat (PR) khasnya.

Katanya, antara jasa Allahyarham Nik Aziz adalah menghentikan spekulasi Kerajaan Perpaduan yang hangat diperkatakan pada tahun 2008.

Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 9.40 malam tadi dan jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tuan Guru Nik Aziz kembali ke rahmatullah

SHAH ALAM, 12 FEB: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan, jam 9.45 malam tadi.

Nik Aziz grafikMantan Menteri Besar Kelantan itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira sejam selepas keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Tokoh politik terkenal tanah air itu meninggalkan  seorang balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 orang anak.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan yang beriman.

Al-Fatihah

 

Categories
NASIONAL

Tok Guru Nik Aziz bertambah baik

SHAH ALAM, 25 JAN: Keadaan kesihatan Mursyidul AM PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan baik dan lebih selesa berehat, berbanding kelmarin.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, doktor meminta ahli keluarga mengurangkan lawatan tetamu untuk memberikan keselesaan kepada ayahnya.

Nik Aziz grafikMemetik Harakah Daily, Nik Mohamad Abduh berkata, ayahnya masih memerlukan sokongan saluran pernafasan dan akan menjadi lemah jika tidak menggunakan alat terbabit.

“Harapan kami sekeluarga, semua pihak tidak berkecil hati jika tidak mendapat keistimewaan . Sihat nanti, anda semua adalah VIP kami Insya Allah.

“Terima kasih dan mari berdoa untuk ayahanda kami dan anda juga,” katanya melalui akaun facebook, malam tadi.

Categories
NASIONAL

Kesihatan Nik Aziz positif, sedar sepenuhnya

KOTA BHARU 21 JAN: Perkembangan kesihatan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menunjukkan positif apabila sedar sepenuhnya.

Anaknya, Nik Mohamed Abduh berkata, ayahnya berbual dengan doktor berhubung kesihatannya dan perkembangan sepanjang di Unit Rawatan rapi Neuro.

Nik Aziz grafik“Selepas diberi rawatan, ayahanda menunjukkan reaksi lebih baik dan stabil, walau bagaimanapun, doktor menyatakan ayahanda perlukan rawatan rapi untuk pemulihan lebih baik.

“Ayahanda mengidap kanser prostat yang dikesan sejak sekian lama tetapi rawatan berterusan doktor berjaya mengawalnya,” tulis Mohamed Abduh di Facebooknya.

Mantan Menteri Besar Kelantan sempat menunaikan Solat Subuh dan bersarapan minum teh o sebelum berehat semula.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan untuk kesihatan ayahanda.

“Ziarah ayahanda adalah mengikut prosedur yang ditentukan pihak hospital dan dipersetujui pihak keluarga,” tulisnya.

EZY

Categories
NASIONAL

Khabar angin Nik Aziz meninggal dunia palsu

SHAH ALAM 11 OKT: Khabar angin yang mengatakan Mursyidul Am PA, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kompilasi jantung adalah tidak benar.

Khabar angin yang disebar luas melalui media sosial itu dinafikan menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi Nik Aziz malam tadi.

Nik Aziz“Khabar angin yang mengatakan YB Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia akibat komplikasi jantung dilaman sosial sekarang adalah ‘Tidak Benar’, ini adalah FITNAH oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan media itu.

Beliau yang juga ADUN Chempaka melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Selepas melepaskan jawatannya itu, Nik Aziz dilaporkan sering mengalami masalah kesihatan dan mendapatkan rawatan.

EZY

 

Categories
SELANGOR

Nik Aziz: “Semoga keputusan Istana Selangor memberi manfaat semua”

SHAH ALAM 27 OGOS: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengharapkan keputusan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor semalam dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Mantan Menteri Besar Kelantan itu dalam reaksi ringkasnya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di Kota Bharu turut berharap mudah-mudahan keputusan itu dapat memberikan manfaat di dunia dan di akhirat.

SULTAN SELANGOR“Berdoalah kepada Allah sebanyaknya mudah-mudahan keputusan yang dibuat Istana itu dapat memberi manfaat dunia dan akhirat, Insya-Allah,” katanya dipetik Bernama.

Semalam Sultan Selangor menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor sehingga pelantikan baru ditentukan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menerima menghadap Abdul Khalid yang menyembah hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Keputusan baginda itu mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur.

Selain itu Sultan Selangor juga menitahkan agar setiap parti dalam Pakatan Rakyat masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baru.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Nik Aziz pesan perbaiki golongan ‘politikus munafik’ agar jadi baik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 OGOS: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membatalkan niatnya untuk membuang golongan ahli politik ‘munafik’ selepas mendapat nasihat Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menziarahi mantan Menteri Besar Kelantan itu baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata, sebaliknya beliau dinasihatkan agar sentiasa bersabar dengan memelihara maruah golongan itu dengan sama-sama membantu memperbaiki diri masing-masing.

IMG_22519320679863Kata Abdul Khalid, beliau akan mencuba sedaya upaya bagi melaksanakan nasihat Nik Aziz itu walaupun beliau sendiri tidak pasti sama ada mampu melaksanakan tugasan mencabar itu.

“Saya diberi satu tugas yang sungguh berat, saya belajar daripada Tuan Guru dengan menunjukkan begitu sabarnya, kebijaksanaan, tingginya maruah  Islam itu sehinggakan orang yang dibencinya pun dapat digunakan untuk meningkatkan Agama Islam.

“Beliau kata dalam politik ni banyak hipokrit, banyak munafik. Jadi bila saya faham itu, saya ingat nak suruh saya hapuskan munafik. Rupanya tidak. Dia kata, ‘Datuk Menteri Besar, kita mesti jangan malukan munafik, kita sabar. Kita sama-sama betulkan dia. Jangan takut,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid berkata demikian dalam Majlis Solat Hajat Perdana Selamatkan Gaza dan Selangor Bumi Bertuah di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, malam tadi.

“Saya rasa betul-betul nak buang munafik semua. Rupanya dia (Nik Aziz) ingatkan saya Rasullullah S.A.W telah dapat menjalankan tugas, meningkatkan syiar Islam dengan pemimpin Islam itu dengan tidak menjatuhkan maruah orang lain walaupun dia jahat sekali mana pun tetapi dengan membetulkannya,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid berkata, kejayaan diraih Selangor ketika ini bukanlah terletak pada kekuatan politiknya tetapi lebih penting faktor pemimpin Islam yang mampu mentadbir Kerajaan Negeri dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab, amanah dan adil kepada semua.

Ketika menyentuh reaksi masyarakat Selangor berhubung isu politik Selangor yang semakin hangat, Abdul Khalid melahirkan rasa terharu apabila kerap didatangi pelbagai lapisan masyarakat yang menyatakan sokongan dan nasihat agar meneruskan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Sementara itu, dalam Majlis Solat Hajat Perdana Selamatkan Gaza dan Selangor Bumi Bertuah yang dianjurkan NGO, Geng Ustaz dan Dewan Pemuda PAS Selangor malam tadi dihadiri kira-kira lebih 500 orang.

Turut hadir dalam majlis malam tadi, Exco Agama; Sallehen Mukhyi, Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, beberapa orang besar daerah, orang besar istana serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

EZY

Categories
SELANGOR

Abdul Khalid Ziarah Nik Aziz, Ahmad Yakob

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil kesempatan sempena Aidilfitri menziarahi mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

IMG_22532658855014Abdul Khalid melalui laman Facebook rasmi beliau mengucapkan terima kasih di atas kesudian dua tokoh dari Kelantan itu yanf sudi menerima kunjungan beliau.

“Walaupun beliau (Nik Aziz) uzur, namun masih gagah berbicara.

“Terima kasih atas kesudian menerim kunjungan,” katanya.

-NFN-.

Categories
SELANGOR

Nik Aziz setuju Hadi Awang pertahan Abdul Khalid MB Selangor

SHAH ALAM 27 JULAI: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu Menteri Besar Selangor yang menyatakan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor wajar dikekalkan.

Nik Aziz berkata, tiada ada sebab Abdul Khalid perlu digugurkan setelah sepenggal beliau memimpin dengan cemerlang dan terus meningkat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Nik Aziz grafik“Saya membaca kenyaaan tuan guru presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau.

“Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Khalid ingin digugurkan dari jawatan menteri besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, persoalan sama ada Khalid wajar digugurkan kerana kelemahan pentadbiran perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat sebelum isu pengganti dibincangkan.

“Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai,” katanya.

Nik Aziz turut menggesa Pakatan Rakyat supaya menyelesaikan polemik Khalid dengan baik dan tidak membiarkannya terus berpanjangan.

Katanya, Pakatan perlu menyelesaikannya melalui perbincangan dalaman kerana rakyat pasti bosan mendengar mereka bertelagah sesama sendiri.

“Ini hanyalah satu kemelut kecil sahaja bahkan proses ini mematangkan hubungan kita di dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Nik Aziz: PAS bahtera yang ada nakhodanya

Saya pada mulanya tidak berhasrat untuk mengulas isu Menteri Besar Selangor memandangkan kita sekarang sedang berada di 10 akhir Ramadhan yang entah sempat atau tidak kita bersua dengan Ramadhan di tahun hadapan.

Sewajarnya tempoh terbaik di bulan yang terbaik ini digunakan dengan sepenuh tumpuan untuk kita menggandakan amal ibadat agar dikurniakan ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.

Nik Aziz grafikBagaimanapun, saya ditanya bertubi-tubi terutama oleh pihak media sejak dua hari lepas khususnya apabila keluar kenyataan Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor.

Ramadhan yang sepatutnya digunakan untuk masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadah menjadi masa untuk kita berpolemik. Seolah-olah kenyataan Tuan Guru Presiden itu tidak memadai, maka saya terus diasak untuk mengeluarkan pula kenyataan.

Saya membaca kenyaaan Tuan Guru Presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau. Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid ingin digugurkan dari jawatan Menteri Besar?

Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihanraya umum yang lepas, prestasi Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi Menteri Besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan. Sudah tentu persoalan yang berlegar ialah, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam prestasi gerak kerjanya?

Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan?

Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti. Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai.

PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan. Saya sendiri turut mendapat maklumat dari banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini.

Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik.

Pesan saya, selesaikan polemik ini dengan baik. Keruh di hulu selesaikan di hulu, jangan biar ia berhilir. Jangan keruh di hulu diheret panjang.

Utamakan perbincangan sesama kita agar rakyat tidak bosan mendengar hiruk pikuk pertengkaran suami isteri. Pada saya, ini hanyalah satu kemelut kecil sahaja bahkan proses ini mematangkan hubungan kita di dalam Pakatan Rakyat.

Wajib diingat, Pakatan Rakyat perlu terus kukuh bertahan dalam medan politik negara. Akar umbi perlu sentiasa segar dengan maklumat agar sikap dan tingkah laku pemimpin difahami dengan jelas. Jika akar rapuh, pohon yang rendang sekalipun tidak akan bertahan lama.

Salam Ramadhan. Teruskan saki baki Ramadhan dengan amal kebajikan.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)