Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiga dekad berlalu, aura jersi kebangsaan masih dirasai Chin Aun

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Lebih tiga dekad sudah berlalu, namun memori dan aura setiap kali menyarung jersi kebangsaan masih segar dalam ingatan legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Aun.

Mana tidaknya, pada era beliau, mewakili negara bukan perkara mudah dan ia menjadi satu kebanggaan buat setiap pemain Malaysia, yang ketika itu digeruni oleh gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan, terutama dalam saingan bola sepak tertua Asia, Pestabola Merdeka.

“Memang susah hendak mewakili negara dan bukan semua orang dapat, kena bekerja keras dan banyak berkorban untuk dapat tempat dalam pasukan. Ia satu kebanggaan, setiap kali memakai jersi kebangsaan dengan lencana negara di dada, bulu roma akan naik, ianya satu perasaan tidak dapat dilupakan,” katanya kepada Bernama.

Chin Aun, 70, yang dikenali sebagai ‘tauke’ kerana ketegasan dan kepimpinannya di dalam padang, adalah satu-satunya pemain yang membantu negara layak ke dua Sukan Olimpik, iaitu Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.

Pada edisi 1972, ketika berusia 23 tahun, pemain kelahiran Alor Gajah itu membantu skuad negara menewaskan Amerika Syarikat 3-0, namun gagal melepasi peringkat Kumpulan A apabila tewas 0-3 kepada tuan rumah, Jerman Barat pada pembukaan Olimpik dan 0-6 kepada Morocco, sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 16 pasukan terbaik dunia ketika itu.

Beliau mengetuai pasukan negara untuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 – kali terakhir Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu, namun, Malaysia memboikot temasya berkenaan sebagai bantahan kepada pencerobohan rejim Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.

Chin Aun yang mewakili negara dari 1969 hingga 1984, membentuk kubu pertahanan negara yang kebal bersama-sama gandingan Datuk Santokh Singh, Datuk Namat Abdullah, mendiang Datuk M. Chandran dan Harun Jusoh untuk meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.

Ia menyamai pencapaian terbaik negara selepas meraih gangsa pertama pada Sukan Asia 1962 di Jakarta.

Ditanya mengapa pemain pada masa ini sukar mencapai kejayaan di peringkat tinggi seperti eranya, Chin Aun yang pernah beraksi untuk pasukan Selangor (1970-1980) dan Melaka (1981-1989) berkata terlalu banyak perkara seperti hiburan, gajet dan gaji yang tinggi sering mengganggu fokus pemain zaman ini.

“Dulu tidak ada apa-apa, kami hanya bermain bola, sekarang ada banyak hiburan. Kami kerja separuh masa dan bermain bola, berbanding pemain sekarang yang profesional (pemain sepenuh masa).

“Elaun latihan sebagai pemain pun hanya RM10 sehari, manakala gaji dari majikan pun tidak banyak (sepenuh masa) dalam RM200-300, tapi cukup untuk tampung kehidupan kerana kos sara hidup pun rendah.

“Saya harap pemain muda sekarang bekerja keras dan tunjukkan semangat juang yang tinggi untuk memartabatkan maruah negara di persada antarabangsa,” katanya.

Chin Aun yang menjadi kapten skuad negara dari 1975 hingga 1984, turut berasa sedih kerana masih wujud sentimen perkauman di negara ini, yang mana perpaduan jelas lebih baik pada zamannya bergelar pemain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Buru slot tambahan Sukan Olimpik Tokyo 2020 – Azizulhasni

NILAI, 14 FEB: Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman, pada 26 Februari hingga 1 Mac ini menjadi platform bagi skuad negara meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata justeru dalam usaha meraih sasaran itu, beliau serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis perlu berada di kedudukan enam terbaik secara keseluruhan dalam acara pecut pada kejohan tersebut.

“Fokus pada kejohanan dunia adalah untuk mendapatkan satu lagi slot dalam acara pecut supaya di Olimpik Tokyo nanti kita dapat sekurang-kurangnya dua individu bersaing dalam acara keirin dan pecut,” katanya pada sidang media mengenai persiapan skuad trek negara ke Berlin, di sini, semalam.

Selain sasaran berada di pentas podium, katanya, beliau akan menggunakan kejohanan itu untuk melakukan sebarang pelarasan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Mengenai persiapannya menjelang kejohanan trek dunia itu, Azizulhasni berkata meskipun hanya 90 peratus pulih selepas terbabit dalam kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, Disember lalu, namun persiapan tetap diteruskan.

“Bahu saya masih sakit kalau latihan di gimnasium atau berkayuh di atas ‘roller’ tetapi kayuhan di gelanggang tidaklah menjejaskan, tetapi secara keseluruhannya persiapan sudah mantap,” katanya.

Pada kejohanan trek dunia, Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Fadhil dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga pelumba negara itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.

Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijadual bermula 22 Julai hingga 9 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Acara tinju kekal dalam sukan Olimpik 2020

ANKARA, 23 Mei: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu mengumumkan bahawa acara tinju harus mengekalkan tempatnya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 namun bukan di bawah seliaan Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA), lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Lembaga Eksekutif IOC (EB) memutuskan bahawa acara tinju mengekalkan tempatnya dalam program sukan bagi temasya Olimpik Tokyo 2020,” kata Presiden IOC Thomas Bach dalam sidang media di bandaraya Lausanne, Switzerland.

Bach berkata keputusan itu memihak kepada atlet sambil menambah bahawa terdapat satu sistem kelayakan yang sesuai untuk para petinju.

“Kami ingin memastikan bahawa semua atlet mampu menggapai impian mereka dan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada masa sama mendatangkan kesan yang sewajarnya kepada AIBA,” kata Bach.

Lembaga itu mencadangkan agar hak AIBA dilucutkan daripada menganjurkan perlawanan tinju amatur selepas satu laporan mendedahkan bahawa terdapat percanggahan dari segi perundangan dan kewangan dalam barisan kepimpinannya.

“Pada masa yang sama, kami menawarkan satu jalan bagi menarik balik penggantungan itu namun terdapat keperluan untuk melakukan perubahan asas yang lebih lanjut.”

Beliau juga menyatakan bahawa status pengiktirafan penuh AIBA akan dikaji semula selepas temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Skuad hoki wanita terpaksa korbankan raya demi Olimpik

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Skuad hoki wanita negara nampaknya terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana perlu melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Siri Final Wanita Dunia FIH di Banbridge, Ireland Utara, dari 8 hingga 16 Jun ini.

Skuad Malaysian Tigress perlu muncul antara dua pasukan terbaik dalam kejohanan lapan negara itu untuk mengesahkan tiket ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 antara Oktober dan November ini.

Umat Islam di negara ini dijangka menyabut Aidilfitri pada 5 Jun ini, justeru skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah akan meneruskan latihan semasa Ramadan yang bermula hari ini.

Muhammad Dharma berkata pada bulan Ramadan ini, anak buahnya akan akan mengikuti latihan dua sesi sehari iaitu dari jam 3 hingga 4.30 pagi dan 9 hingga 11 malam.

“Bukan mudah untuk bangun dari tidur pada jam 3 pagi dan berlatih pada waktu itu tetapi kami tahu akan menghadapi pasukan yang kuat seperti Korea Selatan dan Ireland,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

“Selain itu, ini adalah peluang terakhir untuk beraksi di Sukan Olimpik bagi beberapa pemain yang mungkin bersara selepas kempen ini,” katanya.

Justeru, katanya, anak buahnya berazam untuk menampilkan aksi yang terbaik bagi memburu dua tiket yang disediakan untuk ke pusingan kelayakan terakhir nanti.

Pada kempen di Ireland, Malaysia, yang menduduki ranking ke-22 dunia, diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dengan negara tuan rumah, Irealand (8), Republik Czech (19) dan Singapura (35) manakala Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan (11), Scotland (18), Ukraine (26) dan Perancis (30).

Muhammad Dharma berharap skuad negara dapat menduduki sekurang-kurang tempat ketiga dalam kumpulan sebelum beraksi pada perlawanan playoff untuk memburu tempat ke peringkat separuh akhir.

Juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir manakala dua lagi pasukan separuh akhir ditentukan menerusi playoff.

Sebagai persediaan, jurulatih itu berkata skuad negara akan berlepas ke Rome, Itali, pada 23 Mei ini untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, kemudian ke Glasgow, Scotland pada 1 Jun untuk perlawanan persahabatan sebelum ke Ireland pada 6 Jun.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Olimpik: ‘The Pocket Rocket Man’ raih pingat gangsa

RIO DE JANEIRO 17 OGOS: Pakar keirin negara, Azizulhasni Awang melakar sejarah menjadi pelumba basikal pertama negara memenangi pingat dalam Sukan Olimpik apabila meraih gangsa di Velodrom Olimpik Rio.

Kejayaan itu harus bermakna buat pelumba berusia 28 tahun yang digelar ‘The Pocket Rocket Man’ itu selepas gagal dalam dua percubaan di Beijing 2008 dan London 2012.

Gangsa dimenangi itu adalah pingat kedua diraih kontinjen negara selepas penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoon memenangi perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita.

Perlumbaan yang dua kali dibatalkan selepas pelumba memecut lebih awal sebelum motor pengiring keluar dari trek itu dimenangi Jason Kenny dari Britain.

Tempat kedua pula diraih pelumba Belanda, Matthijs Buchli.

Sementara itu Azizul mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan kejayaan beliau dan rakan sepasukan.

“Tidak kira apa jua bangsa dan agama, Melayu-Cina-India, Sabah Sarawak dan bumiputra, terima kasih atas sokongan jitu anda semua dan sentiasa mendoakan kejayaan saya. Sesungguhnya doa dari anda semua adalah senjata buat saya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ayah dan Mak saya di kampung yang sentiasa memberi sokongan penuh dan sentiasa mendoakan dalam apa jua yang saya lakukan, juga merestui pilihan jalan hidup yang dipilih ini,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Olimpik: Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ke final, emas atau perak

RIO DE JANEIRO 16 OGOS: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menyifatkan kejayaan mereka mara ke final pertandingan badminton Sukan Olimpik Rio 2016 ibarat satu mimpi.

Menurut Peng Soon, dia dan Liu Ying masih tidak percaya dengan kejayaan yang dianggap paling bermakna dan bersejarah sepanjang karier mereka itu.

“Kami teruja dan masih sukar mempercayainya. Ini kejayaan paling manis dan bersejarah,” kata Peng Soon dipetik BH Online sejurus mereka mengejutkan pasangan pilihan dari China yang juga pemenang perak di London 2012, Xu Chen-Ma Jin 21-12, 21-19 di separuh akhir.

Kemenangan itu sekali gus menjamin sekurang-kurangnya pingat perak sudah berada dalam genggaman.

Lebih bersejarah, kejayaan ini kali pertama beregu campuran negara mara ke final dan menyumbang pingat sejak badminton dipertandingkan di Barcelona 1992.

Dalam aksi final Rabu ini, Peng Soon-Liu Ying akan menentang pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir yang menewaskan pemenang emas di London 2012, Zhang Nan-Zhao Yunlei 21-16-21-15 sebentar tadi.

Kedua-dua beregu itu sudah bertemu dalam saingan peringkat kumpulan dengan pasangan Indonesia itu menang straight set 21-15, 21-11.

EZY

Categories
SELANGOR

Tahniah! Cheong Jun Hoong & Pandelela

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pimpinan negeri dan Pakatan meraikan kemenangan pingat Perak temasya Sukan Olimpik Rio, hasil sumbangan gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad antara yang terawal mengucap tahniah di laman Twitter.

“Tahniah atas catatan sejarah dengan kutipan pingat pertama negara di Rio 2016 – Pandelela & Jun Hong acara 10 M synchronised platform,” tweet beliau.

“Tahniah Cheong Jun Hoong & Pandelela,” kata Nik Nazmi pula.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata kejayaan gandingan penerjun itu membuat seluruh rakyat Malaysia bangga.

“Tahniah Pandalela & Jun Hoong! You girls make Malaysia proud! (Kamu berdua buat Malaysia bangga) #MalaysiaBoleh,” katanya di Twitter.

Turut berbangga, Ahli Majlis Eksekutif DAPSY, Dyana Sofya Mohd Daud berkata sumbangan pingat pertama kontinjen negara di temasya Olimpik Rio itu menyuntik semangat patriotisme.

“Congratulations Malaysia! So proud of Pandalela and Jun Hoong, I wanna stand and sing Negaraku now! (Tahniah Malaysia! Sangat bangga dengan Pandalela and Jun Hoong, saya mahu berdiri dan menyanyi Lagu Negaraku sekarang!),” tweet Dyana.

CpepTFPUsAElpCJ

Ratu terjun kelahiran Sarawak, Pandelela memulakan aksinya dalam acara 10 meter platform seirama bersama Jun Hoong pada pukul 4 petang Selasa waktu tempatan di Rio de Janeiro (3 pagi Rabu waktu Malaysia).

Gandingan negara itu mengumpul jumlah 344.34 mata untuk menang pingat perak dan memberi laluan emas kepada China yang mengumpul 354 mata.

Pada Sukan Olimpik London 2012, Pandelela merangkul pingat gangsa dalam acara akhir 10m platform wanita dengan kutipan 359.20 mata.

EZY

Categories
NASIONAL

Olimpik: Malaysia peroleh pingat pertama

RIO DE JANEIRO 10 OGOS: Malaysia merangkul pingat pertama dalam Sukan Olimpik Rio apabila gandingan penerjun, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menang pingat perak di Pusat Akuatik Maria Lenk.

Gandingan negara itu mengumpul jumlah 344.34 mata untuk menang pingat perak dalam acara 10m papan anjal serentak manakala China merangkul emas dengan 354 mata.

Kanada meraih pingat gangsa dengan mengumpul 336.18 mata.

Cpct1lQWgAAupz8

Sementara itu, atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor berjaya meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 69 kilogram (kg) di Pavilion 2 Riocentro.

Pemenang emas Sukan Komanwel 2014 itu berjaya memecah rekod kebangsaan untuk angkatan keseluruhan selepas mengangkat bebanan berjumlah 316 kg berbanding rekod lama 313 kg yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia di Perancis 2011.

Badang kelahiran Terengganu itu mengangkat 140 kg dalam acara snatch dan 176 kg untuk clean & jerk.

Bagaimanapun, dia sekadar menamatkan saingan di tangga ke-13 daripada 21 peserta.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet China, Shi Zhiyong yang mengangkat bebanan 352kg, Daniyar Ismayilov dari Turki kedua (351) dan atlet Kyrgyzstan Izzat Artykov ketiga (339).

EZY