Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan Sea: Tinju taruh bakat muda, senior hadapi kejohanan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Persatuan Tinju Malaysia (PTM) mempertaruhkan atlet muda dan senior pada penyertaan di Sukan Sea 2021 di Vietnam selaras usaha melahirkan juara peringkat Asia Tenggara di bawah umur 25 tahun.

Presiden PTM Mohd Iruan Zulkefli berkata keputusan itu dibuat kerana mahu melihat bakat muda negara meraih pingat emas di Sukan Sea pada masa depan dan tidak hanya bergantung kepada pemain senior.

Pada masa sama, beliau berkata tumpuan tetap diberikan untuk memantapkan enam atlet sedia ada di bawah Program Podium bagi menghadapi saingan di temasya dwi tahunan berkenaan.

“Kami berhasrat menghantar atlet muda di bawah umur 20 tahun ke luar negara untuk dapatkan latihan kerana mahu lahirkan juara Sukan Sea yang bukan lagi dalam kalangan atlet berusia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pemilihan exco PTM di Kompleks Majlis Sukan Negara Keramat hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Iruan berkata demi memastikan formula berkenaan berjaya dicapai, PTM telah merangka beberapa program jangka masa panjang membabitkan pencarian bakat baharu dengan kerjasama persatuan negeri.

Tambahnya, PTM juga menyasarkan 40 buah pusat latihan sambilan diwujudkan bagi membantu proses pencarian bakat di peringkat negeri.

“Sekarang pun ada pusat latihan tapi tidak mencukupi. Kami akan bekerjsama dengan persatuan negeri dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bantu lahirkan bakat baharu yang mungkin hasilnya boleh dilihat dalam masa lima hingga 10 tahun lagi,” katanya.

Menurutnya, PTM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan sukan tinju diperkenalkan di peringkat sekolah.

“Kami akan mengumpul bekas atlet kebangsaan untuk dijadikan jurulatih sambilan di pusat bakat, termasuk kepada pelajar sekolah,” katanya.

Sebagai rekod, skuad tinju negara berjaya meraih tiga pingat gangsa pada Sukan Sea 2019 di Manila, Filipina melalui Muhamad Fuad Redzuan dalam acara light flyweight kategori 46-49 kilogram (kg), Mohd Aswan Che Azmi (middleweight 75kg) dan Khir Akyazlan Azmi (light heavyweight 81kg).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Tujuh atlet tinju Selangor ke Sukma, sasar satu emas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor akan menghantar tujuh atlet tinju dengan sasaran satu pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

Jurulatihnya, Mohd Nazwan Shah berkata setakat ini sesi latihan berjalan lancar di Seksyen 7 di sini walaupun perlu mematuhi tatacara operasi piawai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Semasa PKP tempoh hari semua atlet perlu menghantar video latihan harian kepada saya. Sekarang sesi latihan masih berjalan seperti biasa cuma belum bebas dan tiada latihan berpasangan berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah kali terakhir Selangor meraih kejayaan pada Sukma 2016 di Sarawak dengan meraih gangsa dan tidak memenangi sebarang pingat di Perak pada 2018.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021, manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Sapok Biki julang negara di gelanggang tinju

Oleh Kadir Edison

KUCHING, 2 OGOS: Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik, telah melonjakkan nama Sapok Biki, 46, serta sukan tinju negara yang sebelum ini hanya dianggap sebagai acara sukan pelengkap sahaja.

Walaupun pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, dua tahun sebelum Sukan Komanwel Kuala Lumpur berlangsung, nama beliau agak kurang dikenali oleh peminat sukan di Malaysia kecuali individu yang betul-betul mengikuti sukan tinju.

“Pada masa itu, saya tidak berapa menyerlah. Mungkin disebabkan sukan tinju ini adalah satu sukan yang masih belum mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air tetapi selepas Sukan Komanwel (ia mula dikenali) mungkin disebabkan faktor Malaysia sebagai tuan rumah dan kejayaan saya sebagai pemenang emas terakhir dalam temasya sukan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Sapok mula berkecimpung dalam sukan tinju pada 1994 sebelum dipilih sebagai antara atlet dalam Program Jaya 98 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur.

Ketika itu, katanya, sukan tinju bukanlah acara sukan yang diletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang pingat dalam Sukan Komanwel, namun dengan semangat kental, beliau telah meletakkan dirinya sebagai pakej kejutan seterusnya mengubah landskap sejarah sukan tanah air.

Lakar Kejayaan

Walaupun kejayaan yang dilakarnya itu sudah lebih dua dekad berlalu, namun Sapok berkata segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya negara tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.

“Saya sebagai bekas atlet, di mana kita dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu rasa risau dan kita tidak ada kekangan daripada sesiapa untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bersukan,” katanya.

Sapok berkata usaha untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk sukan adalah mustahil untuk dilakukan jika negara berada dalam keadaan kacau-bilau dan masih dijajah oleh kuasa asing yang pastinya mahu menindas serta mengambil kesempatan atas ketidakstabilan sesebuah negara itu.

“Kita tengok kejayaan atlet-alet kita sebagai contoh, kalau mereka hendak bersukan mereka boleh berjaya dan kalau mereka hendak bekerja, dia boleh sampai ke tahap tertinggi. Ini adalah kerana negara kita aman, mempunyai ekonomi dan struktur pentadbiran stabil, jadi semua orang seperti atlet ini boleh bersukan dengan tenang dan masyarakat boleh bekerja dengan aman damai,” katanya.

Hargai Nilai Kebebasan, Kemerdekaan

Menurut beliau, setiap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira status sosial mereka harus menghargai nilai sebuah kebebasan dan kemerdekaan yang sedang dikecapi kerana generasi terdahulu telah melakukan pengorbanan amat besar untuk memperolehinya.

Tambah Sapok, Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan di negara ini juga perlu diperhalusi dan dihayati agar kesepaduan dan kebersamaan yang wujud dalam masyarat Malaysia dapat terus kekal serta diperkukuhkan lagi.

“Setiap prinsip yang terdapat dalam rukun negara itu mempunyai makna yang besar dan kalau kita hayati sepenuhnya kita pastinya akan merasakan bahawa kita adalah orang yang bertuah dapat duduk sama menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Sebagai seorang pegawai tentera yang masih dalam perkhidmatan, beliau berkata perjuangan dalam mempertahankan sebuah kebebasan merupakan sebuah perjuangan yang tidak pernah selesai.

“Rakyat atau diri kita (sendiri) harus mendisiplinkan diri dan sentiasa bersyukur serta berterima kasih kepada apa yang telah kita perolehi dan kecapi daripada hasil perjuangan generasi terdahulu. Generasi masa kini pula harus meneruskan perjuangan tersebut supaya negara kita boleh maju dan terus membangun,” katanya.

Justeru nasihat beliau, generasi muda kini harus didedahkan dengan lebih banyak material yang mempunyai unsur-unsur patriotik agar mereka tidak alpa bahawa kebebasan yang mereka miliki itu bukan sesuatu yang diperoleh secara percuma.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Acara tinju kekal dalam sukan Olimpik 2020

ANKARA, 23 Mei: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu mengumumkan bahawa acara tinju harus mengekalkan tempatnya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 namun bukan di bawah seliaan Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA), lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Lembaga Eksekutif IOC (EB) memutuskan bahawa acara tinju mengekalkan tempatnya dalam program sukan bagi temasya Olimpik Tokyo 2020,” kata Presiden IOC Thomas Bach dalam sidang media di bandaraya Lausanne, Switzerland.

Bach berkata keputusan itu memihak kepada atlet sambil menambah bahawa terdapat satu sistem kelayakan yang sesuai untuk para petinju.

“Kami ingin memastikan bahawa semua atlet mampu menggapai impian mereka dan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada masa sama mendatangkan kesan yang sewajarnya kepada AIBA,” kata Bach.

Lembaga itu mencadangkan agar hak AIBA dilucutkan daripada menganjurkan perlawanan tinju amatur selepas satu laporan mendedahkan bahawa terdapat percanggahan dari segi perundangan dan kewangan dalam barisan kepimpinannya.

“Pada masa yang sama, kami menawarkan satu jalan bagi menarik balik penggantungan itu namun terdapat keperluan untuk melakukan perubahan asas yang lebih lanjut.”

Beliau juga menyatakan bahawa status pengiktirafan penuh AIBA akan dikaji semula selepas temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Muhammad Farkhan juara tinju ABF Cruiserweight Championship

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 MAC: Peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron, muncul juara ‘Asian Boxing Federation (ABF) Cruiserweight Championship’ dengan menewaskan Jamed Jalarante dari Indonesia di Manila, Filipina, Sabtu lalu.

Anak kelahiran Johor menewaskan pencabarnya secara TKO (Technical Knockout) pada pusingan keenam.

Peninju berusia 29 tahun itu yang juga juara Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Light Heavyweight Champion, melebarkan rekodnya sebagai seorang peninju profesional kepada 6-0.

“Kejayaan itu mengharumkan nama beliau di persada dunia yang turut membawa nama baik Johor dan Malaysia,” kata kenyataan melalui laman Facebook JOHOR Southern Tigers.

=EZY=